Thursday, 19 January 2023

Philips GC520 garment steamer repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah 'garment steamer' berjenama Philips, model GC520 dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak menghasilkan wap.

Philips GC520 garment steamer

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman dirujuk 'garment steamer' untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Model: GC520

'Garment steamer' ini dilengkapi dengan papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah setelah penutup atas telah saya buka.

Setelah penutup atas dibuka...

Pemeriksaan dengan mata kasar pada papan litar mendapati sebiji kapasitor dengan nilai 330uf, 10v kembung dan harus di ganti.

Kapasitor kembung...

Pemeriksaan seterusnya pada bahagian tangki pemanas mendapati sebiji 'thermal cut off switch' atau juga dikenali sebagai 'thermal switch' putus dan lokasinya telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Thermal switch putus...

Thermal switch yang digunakan berjenama THERMASTE 10/250-T220 dengan rating 140C, 10A.

THERMASE 10/250-T220 - 140C

Dari pengalaman lepas, masalah utama 'garment steamer' ialah disebabkan sumbat yang mengakibatkan panas melampau (overheating).

Setelah tangki pemanas dibuka...

Gambar di atas menunjukkan keadaan di dalam tangki pemanas setelah dibuka dan terdapat banyak bendasing seperti pasir di dalamnya. Hal ini serupa dengan 'garment steamer' yang pernah dirujuk kepada saya sebelum ini.

Tangki pemanas telah dibersihkan...

'Garment steamer' ini berjaya diselamatkan setelah kedua-dua komponen yang rosak di atas telah saya gantikan dengan yang baharu selain membersihkan tangki pemanasnya.

Selamat berDIY...

Monday, 16 January 2023

CAFERINA coffee warmer repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk 'coffee warmer' untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

CAFERINA RHP Decanter Warmer

Pagi ini saya dirujuk sebuah 'coffee warmer' dengan masalah bila suis dihidupkan, seluruh rumah bergelap.

Pin neutral disambung ke elemen pemanas...

Menurut pemilik, masalah asalnya ialah suisnya rosak dan dia telah digantikan dengan yang baharu.

Saya juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak termasuk suis yang ditukar oleh pemilik.

Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui pendawaiaan pada suis tersalah sambung seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Cara sambungan...

Suis ini dipanggil 'rocker switch' dan ianya mempunyai 3 terminal. Cara menyambungnya telah saya labelkan pada gambar di atas dan di bawah.

Cara sambungan...

Kesilapan pendawaiaan oleh pemilik ialah pada terminal berwarna perang pada suis. Pemilik telah menyambungkannya kepada elemen pemanas dan wayar hidup (L) serta neutral (N) pula disambung pada bahagian suis.

Siap...

Keterangan terperinci cara penyambungan suis ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Saturday, 14 January 2023

JVD Zenith 866377 kettle repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk sebuah cerek elektrik seperti ini untuk di baiki dan anda boleh rujuk di sini.

JVD Zenith 866377
JVD Zenith 866375

Protect and Secure Your WiFi : https://bit.ly/vpn_secure

Kali ini saya dirujuk sebuah lagi cerek elektrik serupa namun warnanya hitam dengan masalah suis rosak.

Zenith 866377 (Black)

Suisnya boleh dilihat pada gambar di bawah dan telah patah serta tidak dapat dihidupkan untuk memasak air.

Suis rosak...

Setelah dibuka dan diperiksa, tuil suis telah patah seperti boleh dilihat perbezaannya pada gambar di bawah.

Suis patah...

Pada mulanya saya cuba gam kembali tuil suis yang patah namun ianya tidak tahan dan patah semula. Jadi, cara terbaik ialah gantikan suisnya dengan baharu.

Masalah selesai setelah suisnya telah saya gantikan dengan yang baru dan ianya masih boleh digunakan semula.

Siap...

Setelah diselidik dengan teliti, saya dapati suisnya sedikit berbeza berbanding dengan cerek elektrik lain sebab untuk menghidupkannya ianya perlu ditolak dan bukan ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Keterangan lanjut masalah cerek elektrik berjenama JVD ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Wednesday, 11 January 2023

JVD Clipper Single Chrome Hair Dryer Repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk alat pengering rambut seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah penutup dibuka...

Masalah alat pengering rambut ini ialah kipas tidak berpusing namun elemen pemanas merah menyala apabila suis dihidupkan.

Buka kipas...

Pemeriksaan awal pada fius, suis, element pemanas serta diod yang mengawal kelajuan kipas semuanya elok.

Buka pemegang motor...

Seterusnya saya buka motor kipas dan mendapati sebiji diod dengan yang label 1N4007 putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Diod 1N4007 terbakar...

Setelah diod 1N4007 yang terbakar telah saya gantikan dengan yang baharu serta diuji, kipas boleh berpusing namun perlahan dan menyebabkan elemen pemanas juga merah menyala.

Gantikan diod 1N4007 yang baharu...

Masalah motor berpusing perlahan adalah disebabkan motor telah rosak dan perlu ditukar atau dibaiki. Motor yang digunakan berlabel HC385S dan telah saya gantikan dengan RC-385 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gantikan motor yang baharu...

Alat pengering rambut ini telah berjaya diselamatkan dan ianya masih boleh digunakan semula setelah motornya telah saya gantikan dengan yang baharu selain menukarkan sebiji diod 1N4007.

Selamat mencuba...

Sunday, 8 January 2023

Maituo MT-1304 130MHz 4 port VGA splitter

Semalam saya telah dipanggil untuk membaiki wayar putus pada penyambung VGA yang disambung kepada TV. Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki penyambung VGA dan anda boleh rujuk di sini.

Wayar yang putus pada penyambung VGA telah saya tandakan pada gambar di atas serta di bawah dan apa yang perlu saya buat ialah pateri semula ke kedudukan asalnya.

Masalah asal ketika wayar penyambung VGA putus ialah tiada paparan pada skrin TV namun setelah dibaiki, paparan gambar pada skrin TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gambar yang terhasil pada TV tidak normal iaitu gambar menegak tidak lurus serta ada bayang-bayang. Masalah sedemikian adalah disebabkan isyarat (signal) yang dihantar dari komputer ke TV bermasalah. 

Maituo MT-1304

Pemeriksaan seterusnya mendapati wayar isyarat VGA disambung kepada sebiji '4 port VGA splitter' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Oleh kerana splitter tersebut mempunyai 4 sambungan output dan hanya 3 sahaja digunakan, saya telah pindahkan sambung TV di atas ke 'port' yang tidak digunakan dan masalah selesai. Paparan yang normal pada layar TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Siap...

Jadi, masalah asalnya bukan disebabkan wayar VGA putus tetapi salah satu 'port' VGA yang digunakan telah rosak serta menghasilkan gambar yang tidak normal. Wayar VGA mungkin putus ketika mereka melakukan 'troubleshooting' sendiri.

Untuk pengetahuan anda, ianya digunakan pada pusat penginapan dan jarak TV tersebut dari splitter ialah sejauh 5 tingkat bangunan.

Selamat berDIY...

Thursday, 5 January 2023

Dell H250AD-01 PSU repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah PSU (power supply unit) berjenama Dell, model H250AD-01 untuk kegunaan komputer desktop.

DELL H250AD-01

Menurut pemilik, masalahnya ialah boleh dihidupkan namun gagal berfungsi. Maksudnya jika butang power ditekan, lampu LED menyala namun sistem komputer tidak memulakan proses yang sepatutnya.

Model: H250AD-01

Ketika saya memeriksa voltan output, masalahnya cuma pada voltan 12v (wayar hitam & merah) dan bacaan yang saya dapat cuma 10.50v sahaja.

output 12c cuma 10.50v sahaja...

Masalah sedemikian boleh serta mudah dibaiki sebab masih ada voltan output namun kurang dari sepatutnya.

Kapasitor kembung...

Gambar di atas menunjukkan bahagian di dalam PSU setelah dibuka dan dari pandangan mata kasar, banyak kapasitor telah kembung.

Kapasitor utama - 150uf - 420v

Semua kapasitor yang kembung telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah iaitu:-

  1. sebiji kapasitor 150uf, 420v
  2. 2 biji kapasitor 2,200uf, 16v
  3. 2 biji kapasitor 2,200uf, 10v
Kapasitor output yang kembung...

Kapasitor yang kembung biasanya disebabkan mengalami panas melampu untuk tempoh masa yang panjang dan biasanya berlaku pada komputer yang tidak pernah dipadam seperti untuk kegunaan CCTV.

Gantikan semua kapasitor kembung...

Masalah selesai dengan menggantikan kesemua kapasitor yang kembung sahaja dan ianya berjaya diselamatkan serta msaih boleh digunakan semula.

Bacaan untuk 12v (tested - ok)

Selamat mencuba...

Monday, 2 January 2023

Premis loteri di Kedah tutup

Mulai semalam (01/01/2023) semua aktiviti perniagaan melibatkan perjudian yang telah dilesenkan di Kedah sebelumnya tidak lagi diperbaharui.


Ini berikutan pertukaran kerajaan negeri yang kini diterajui oleh PAS. Pengusaha tiada pilihan selain menamatkan operasi berikutan lesen sedia ada tamat tempoh pada 31/12/2022 serta tidak lagi diperbaharui oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Dua buah lagi negeri yang diterajui oleh PAS iaitu Kelantan dan Trengganu juga telah lama mengamalkan dasar yang sama.

Saya setuju banyak keburukan daripada kebaikan berjudi namun tindakan sehingga menutup periuk nasi orang lain ini tidak boleh diterima.

Mereka mungkin boleh melakukannya di negeri yang majoritinya orang melayu atau penganutnya islam namun ini tidak adil kepada rakyat bukan islam.

Selama ini mereka lantang mengatakan bahawa undang-undang islam/syariah termasuk RUU355 hanya untuk penganutnya sahaja namun apabila telah berkuasa sebaliknya yang berlaku atau 'cakap tidak serupa bikin'.

Saya merasa syukur kerajaan pusat yang dibentuk baru-baru ini tidak melibatkan PAS dan semoga rakyat lebih bijak memilih pada PRN/PRU akan datang.

Saya tetap dengan pendirian bahawa negara tidak boleh dipimpin berpaksikan agama dan contoh terbaik ialah apa yang telah berlaku di Afghanistan baru-baru ini apabila taliban berkuasa semula di mana perempuan dinafikan hak pendidikan.

Fikir-fikirkan...

Kemaskini: Semakkan kehakiman telah dibuat serta diterima mahkamah.

Sunday, 1 January 2023

2023

Tahun lepas (2022) merupakan tahun ke-3 berturut-turut saya telah berjaya menghasikan satu entri setiap hari.

Majoriti entri melibatkan perkongsian pengalaman harian melakukan kerja baiki-membaiki peralatan elektrik serta elektronik selain sedikit melibatkan politik negara serta dairi harian.

Berikut merupakan gambar tangkap layar untuk jumlah pelawat keseluruhan blog saya yang telah diambil pada hari terakhir setiap tahun.

31/12/2022

Tahun 2022 - 238,076 pelawat (1,086,355 - 848,279)

31/12/2021

Tahun 2021 - 187,138 pelawat (848,279 - 661,141)

31/12/2020

Tahun 2020 - 197,728 pelawat (661,141 - 463,413)

31/12/2019

Selamat menyambut tahun baharu 2023. Semoga tahun baharu yang dijangkakan bakal lebih mencabar lebih bermakna dari tahun-tahun sebelumnya.