Sunday 8 January 2023

Maituo MT-1304 130MHz 4 port VGA splitter

Semalam saya telah dipanggil untuk membaiki wayar putus pada penyambung VGA yang disambung kepada TV. Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki penyambung VGA dan anda boleh rujuk di sini.

Wayar yang putus pada penyambung VGA telah saya tandakan pada gambar di atas serta di bawah dan apa yang perlu saya buat ialah pateri semula ke kedudukan asalnya.

Masalah asal ketika wayar penyambung VGA putus ialah tiada paparan pada skrin TV namun setelah dibaiki, paparan gambar pada skrin TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gambar yang terhasil pada TV tidak normal iaitu gambar menegak tidak lurus serta ada bayang-bayang. Masalah sedemikian adalah disebabkan isyarat (signal) yang dihantar dari komputer ke TV bermasalah. 

Maituo MT-1304

Pemeriksaan seterusnya mendapati wayar isyarat VGA disambung kepada sebiji '4 port VGA splitter' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Oleh kerana splitter tersebut mempunyai 4 sambungan output dan hanya 3 sahaja digunakan, saya telah pindahkan sambung TV di atas ke 'port' yang tidak digunakan dan masalah selesai. Paparan yang normal pada layar TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Siap...

Jadi, masalah asalnya bukan disebabkan wayar VGA putus tetapi salah satu 'port' VGA yang digunakan telah rosak serta menghasilkan gambar yang tidak normal. Wayar VGA mungkin putus ketika mereka melakukan 'troubleshooting' sendiri.

Untuk pengetahuan anda, ianya digunakan pada pusat penginapan dan jarak TV tersebut dari splitter ialah sejauh 5 tingkat bangunan.

Selamat berDIY...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.