Tuesday 23 July 2024

Harga telur ayam setelah diapungkan tanpa subsidi

Setelah harga telur ayam diapungkan dan subsidi ditamatkan pada awal tahun ini atau lebih tepat bulan January 2024, kini kita menyaksikan kenaikkan harga yang sangat ketara.

Gambar di atas adalah harga telur ayam selepas pandemik CoVid-19 dengan harga RM14.10 sepapan pada 13/8/2022.

Untuk maklumkan semua, kesemua harga telur ayam pada gambar adalah gred A dan harga pasaran selepas CoVid-19 ialah sekitar RM17.00 sepapan. Saya hanya akan membeli telur ayam jika harganya sekitar RM14 hingga RM15 sahaja.


Awal tahun ini saya masih boleh membeli sepapan telur ayam gred A dengan harga RM14.50 namun setelah subsidi dihentikan boleh dikatakan harga telur ayam naik setiap minggu seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

Kini harga telur gred A yang saya beli telah mencecah RM19.00 sepapan dan menyaksikan kenaikkan RM5 sepapan dalam masa setengah tahun.

Pada pertengahan bulan lepas, kerajaan telah mengumumkan penurunan 3 sen sebiji telur ayam seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Dalam masa yang sama telur gred A diumum 42 sen sebiji atau RM12.60 sepapan namun harga tersebut tidak pernah dinikmati di tempat saya iaitu bandaraya Miri, Sarawak.

Sesuatu yang menyedihkan ialah tiada sebarang penurunan berlaku walaupun telah diumumkan penurunan 3 sen sebiji.

Saya mengikuti persidangan parlimen bulan ini setiap hari dan apa yang saya dapat maklum ialah menteri hanya mampu menyatakan:-

  1. Harga telur terkawal
  2. Harga agak terkawal
  3. Tiada berlaku pencatutan harga
  4. Tiada kenaikan harga di luar kawalan

Dari kenyataan menteri, saya dapati undang-undang sedia ada yang digunakan ialah anti percatutan atau pengambilan keuntungan berlebihan atau luar biasa.

Baru-baru ini menteri telah menukar kenyataan dari 'terkawal' kepada 'tiada kenaikkan harga di luar kawalan' yang pada saya bermaksud kenaikkan sedikit demi sedikit adalah terkawal.

Bermacam-macam label telur...

Apa yang saya perasan setiap kali harga telur ayam naik ialah label telur juga turut berubah seperti 'diperkaya selenium', 'diperkaya DHA', 'telur kampung' dan macam-macam lagi.

Untuk pengetahuan semua, kesemua telur yang saya beli bukan telur organik dan harganya lebih kurang sama dengan harga telur organik sebelum pandemik CoVid-19. Saya tidak pasti berapa harga telur organik sekarang.

Persoalan sekarang ialah apakah harga siling telur ayam jika kenaikkan perlahan-lahan itu adalah terkawal serta berterusan?

Pada pendapat saya harga telur ayam sekarang adalah di luar kawalan dan buktinya ialah harga yang diumum kerajaan cuma 42 sen sebiji (RM12.6/sepapan) untuk gred A namun apa yang kita beli ialah 63 sen sebiji (RM19/sepapan)

Renung-renungkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.