Thursday 9 May 2019

Robot Coupe Blixer 3 Repair

Bulan lepas saya telah membaiki mata pengisar untuk pengisar berjenama Robot Coupe, Model: Blixer 3 dan anda boleh membacanya di sini.
Jenama: Robot Coupe, Model: Blixer 3
Hari ini giliran pengisarnya pula bermasalah iaitu tidak berfungsi langsung walaupun arus elektrik telah dibekalkan.
Sambungan wayar yang salah...
Benda pertama yang saya periksa ialah plug 3-pin dan sejurus dibuka, sambungan wayar hidup (L) dan neutral (N) telah didapati tersalah sambung seperti yang boleh dilihat pada gambar di atas. Fius pada plug 3-pin masih elok dan tidak putus.
Setelah penutup bahagian bawah dibuka
Seterusnya saya terpaksa membuka bahagian bawah pengisar tersebut dan memeriksa sambungan wayar dari plug 3-pin ke papan litar utama. Kesemuanya elok dan tiada masalah. Di dalam pengisar tersebut terdapat sekeping dokumen yang memberi gambaran ringkas papan litar tersebut dan anda boleh melihatnya seperti pada gambar di bawah.
Simple diagram of Robot Coupe Blixer 3.
Seterusnya saya memeriksa kapasitor utama yang disambung terus ke motor pengisar dan juga berkeadaan elok.
Banyak najis lipas di dalam pengisar...

Apa yang saya dapati di bahagian dalam pengisar tersebut ialah dipenuhi dengan najis lipas dan baunya juga amat kuat iaitu bau nitrat (NO3) yang banyak terkandung dalam naijs lipas.
Papan litar utama telah dibuka
Saya juga periksa suis utama yang menggunakan 'reed switch' dengan menggunakan magnet dan ianya juga berfungsi dengan sempurna.
Bahagian atas papan litar
Akhir sekali saya memeriksa papan litar utama dan ianya juga dipenuhi dengan najis lipas seperti yang anda boleh lihat pada gambar di bawah. Setelah diperiksa menyeluruh, anehnya tiada satu pun komponen yang didapati rosak.
Bahagian bawah papan litar.
Setelah puas belek papan litar tersebut, saya dapati salah satu bahagian papan litar telah mengalami litar pintas akibat daripada najis lipas seperti yang anda boleh lihat dan telah saya tandakan pada gambar di atas. Setelah saya bersihkan bahagian tersebut dan diuji dengan multimeter, tiada lagi litar pintas pada bahagian tersebut.

Percaya atau tidak, bila dibekalkan arus elektrik dan diuji, kini pengisar tersebut boleh dihidupkan dan beroperasi seperti biasa.

Ingat, najis lipas boleh mengakibatkan litar pintas pada papan litar. Jagalah kebersihan peralatan eletronik anda.

Selamat mencuba...


No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.