Thursday 13 April 2023

Mengemis

Semalam (12/04/2023), saya telah melakukan sesuatu yang di luar kawalan iaitu secara tidak sengaja telah memecahkan suis loceng di tempat kerja.

12/04/2023

Saya dikehendaki memakai pakaian seragam setiap hari sewaktu bekerja dan perlu menuntutnya di bahagian dobi tempat bekerja.

Sejak hari pertama saya melaporkan diri bekerja, saya diberitahu bahawa jika tiada kakitangan yang menguruskan pakaian seragam, saya perlu panggil mereka dengan menekan suis loceng.

Hari berikutnya sewaktu menuntut pakaian seragam, walaupun ramai kakitangan di tempat menuntut pakaian seragam, saya disuruh menekan loceng untuk mendapatkan pakaian. Maksudnya, walaupun mereka berada di situ tetapi bukan tugas mereka menguruskan pakaian seragam.

Sejak itu, saya akan menekan suis loceng setiap kali turun bekerja untuk mendapatkan pakaian seragam. Dari masa ke semasa, walaupun suis loceng telah ditekan, tiada kakitangan yang berurusan dan harus menunggu serta menekan suis loceng berulang kali.

Kadang-kadang saya lepas geram juga dengan menekan suis loceng berulang-ulang tanpa henti untuk memanggil mereka dan saya tahu mereka tidak gembira. Macam-macam alasan yang mereka bagi seperti tidak cukup kakitangan, kakitangan masih baru dan sebagainya. Saya juga banyak kali terlepas cakap dengan meninggikan suara sebelum ini.

Kebelakangan ini masalah tiada kakitangan yang mengurus pakaian seragam semakin serius dan kemuncaknya berakhir dengan kejadian semalam di mana saya telah mengetuk suis loceng dengan tangan sebab telah banyak kali memanggil mereka namun tiada yang mengurus pakaian seragam dan ianya telah pecah seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas.

Berikutan itu saya disuruh mengisi borang 'staff explaination form' seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Saya tahu merosakkan harta syarikat adalah satu kesalahan dan saya bersedia untuk menggantikannya namun apa yang berlaku, suis tersebut telah dibuka keseluruhannya selepas saya membeli suis yang baharu.

Suis baharu...

Pada sebelah petangnya saya telah dipanggil bertemu dengan jabatan sumber manusia untuk siasatan lanjut dan saya telah beritahu semua seperti di atas. Dalam masa yang sama saya telah mencadangkan kepada mereka untuk mengatasi masalah yang tiada berpenghujung sejak saya mula bekerja di situ iaitu:-

  1. Saya membawa pakaian pulang ke rumah dan cuci pakaian seragam sendiri
  2. Saya dibenarkan bekerja tanpa pakaian seragam

Kesemua cadangan saya ditolak dan sebaliknya saya disuruh mengawal 'tahap kemarahan' agar tidak hilang kawalan lagi.

12/04/2023

Pagi ini (13/04/2023) sewaktu menuntut pakaian seragam, ianya telah tersedia di atas meja siap dengan label dan tidak perlu memanggil mereka lagi seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Sehingga blog ini ditulis, saya belum lagi menerima sebarang tindakan susulan seperti surat amaran atau dibuang kerja dan sebagainya namun saya bersedia untuk menerima sebarang hukuman.

Untuk makluman semua, perkara ini telah banyak kali saya hadapi namun saya tidak mengadu kepada kepada jabatan sumber manusia sebab saya tahu akan ada yang tidak gembira selain perlu berhadapan dengan mereka setiap hari sewaktu turun bekerja.

Dalam masa yang sama, saya juga merasa seolah-olah perlu mengemis pakaian daripada mereka untuk mendapatkan pakaian seragam.

Saya masih berpendapat kita digaji oleh majikan untuk menjalankan tugas serta menyelesaikan masalah tertentu dan bukan mengemis pakaian untuk bekerja.

Setiap hari kita turun bekerja untuk cuba sedaya upaya melaksanakan sebanyak mungkin tugas yang ada namun disebabkan perlu mengemis pakaian seragam sebelum mula bertugas, ianya telah mengakibatkan 'mood' seharian terjejas.

Bagaimana pekerja boleh memberi khidmat yang baik jika 'mood' seharian tidak baik?

Kadang-kadang saya tersinggung juga sebab jika pelanggan yang mengadu, pihak syarikat akan serta merta mengambil tindakan namun masalah pekerja tidak diendahkan seolah-olah pekerja perlu mengemis kepada mereka.

Mungkin pihak syarikat juga perlu mengemis dari pelanggan dan dalam masa yang sama melakukan benda yang sama terhadap pekerja.

Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.