Thursday 4 April 2013

Nilai wang kertas CACAT atau ROSAK

Pada pagi ini ketika saya membeli kuih untuk sarapan pagi, saya telah menggunakan wang cacat (sikit saja) untuk membuat pembayaran. Saya tidak pasti bila dan bagaimana wang kertas tersebut boleh berpindah milik kepada saya. Namun saya yakin ianya boleh digunakan dan mempunyai nilai penuh (full value) iaitu RM5.00

Namun juruwang enggan menerima wang kertas tersebut dan saya terpaksa menggunakan wang kertas yang lain untuk membuat pembayaran. Kecacatan pada duit yang saya maksudkan adalah seperti pada gambar di bawah.
Bahagian depan wang kertas RM5.00

Bahagian belakang wang kertas RM5.00
Seingat saya jika wang kertas tersebut tidak diconteng terutamanya pada potret Yang DiPertuan Agong dan kedua-dua nombor sirinya masih ada, nilainya penuh (full value).

Berikut merupakan prosedur dan garis panduan penilaian wang kertas cacat atau rosak yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk pengetahuan umum.

Saya amat berharap para peniaga harus tahu dan memberitahu juruwang masing-masing agar tidak menolak bulat-bulat wang kertas seperti yang berlaku pada saya pagi tadi.

1. WANG KERTAS CACAT

Wang kertas yang keadaan fizikalnya telah berubah, sama ada secara tidak sengaja dicemari dengan air, minyak, cat, dakwat atau bahan yang serupa atau kehilangan sebahagian atau beberapa bahagian daripadanya. Ini tertakluk kepada bahagian atau bahagian-bahagian yang dikemukakan itu dapat dibuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah bahawa bahagian atau bahagian-bahagian yang dikemukakan itu adalah pada asalnya sebahagian atau beberapa bahagian daripada satu helai wang kertas yang tunggal.


Terdapat tiga kategori nilai penebusan bagi wang kertas cacat seperti yang berikut: 
  1. Nilai penuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal atau; 
  2. Nilai separuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi setengah (1/2) tetapi kurang dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal atau;
  3. Tiada nilai bagi sebarang keping wang kertas yang kurang setengah (1/2) daripada wang kertas yang asal. 
2. WANG KERTAS ROSAK

Wang kertas yang terdapat padanya perkataan, tanda-tanda, simbol, lukisan, karikatur sama ada ditulis atau ditanda di atas permukaannya secara sengaja.
  1. Nilai penuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang mempunyai kerosakan kecil.
  2. Tiada nilai bagi sebarang keping wang kertas yang rosak dengan sebarang cara yang nyata (iaitu, tanda yang dibuat di atas potret Yang DiPertuan Agong, tulisan yang menggambarkan slogan politik atau menggunakan wang kertas itu sebagai kad jemputan/pad tulis).
3. KES-KES YANG MERAGUKAN

Sebarang kes yang meragukan yang menyukarkan penilaian dibuat disebabkan wang kertas itu dalam keadaan yang sudah rosak (sebagai contoh, satu helai wang kertas yang terbakar dengan teruk atau kerosakan pada wang kertas yang sukar menentukan saiznya) hendaklah dirujuk pada Bank Negara Malaysia untuk penilaian.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.