Tuesday, 31 July 2012

Khidmat layanan di kaunter JPJ Miri sangat buruk

Ini pengalaman yang saya lalui pada 06/07/2006. Walaupun telah enam tahun berlalu, namun ianya masih jelas di ingatan saya sehingga ke hari ini.

Tujuan saya pergi ke kaunter JPJ pada hari tersebut ialah untuk menukar alamat pada sijil pendaftaran kenderaan saya. Sebagai pemilik saya tahu ini adalah tanggung jawab pemilik jika ada sebarang perubahan alamat kerana saya telah berpindah dari Batu Niah ke Miri.

Saya memiliki empat helai sijil pendaftaran kenderaan ketika itu dan disuruh mengisi borang pertukaran alamat untuk kesemua sijil pendaftaran. Saya juga disuruh membuat salinan kad pengenalan serta beberapa dokumen yang lain sebelum proses menukar alamat boleh dibuat oleh pihak JPJ.

Kedudukan JPJ Miri agak jauh dari pusat bandar dan tiada kedai berhampiran. Saya ada membawa kesemua dokumen yang dikehendaki dan meminta pihak JPJ membantu membuat salinan dokumen yang diperlukan dan saya akan membayar kos salinan tersebut. Namun permintaan saya ditolak...

Saya terpaksa pergi ke pusat bandar untuk membuat kesemua salinan dokumen yang diperlukan. Setelah semuanya selesai, saya kembali semula ke JPJ dan mengambil nombor giliran semula.

Ketika menunggu, banyak perkara yang boleh saya lihat dan saya rasa tidak seharusnya berlaku seperti berikut:-
  1. Terdapat ramai 'runner' yang pergi ke kaunter tanpa menunggu serta tidak mengambil nombor giliran  dan meninggalkan dokumen mereka kepada pegawai bertugas beserta wang ringgit.
  2. Pegawai yang bertugas akan menyiapkan dokumen 'runner' tersebut dahulu walaupun mereka tidak menunggu di situ dan membiarkan kami yang mengambil nombor giliran menunggu lama.
  3. Ada 'runner' yang menjalankan tugas pegawai bertugas seperti 'laminate' lesen memandu.
  4. Pegawai yang bertugas menggunakan bahasa yang kasar ketika bertugas.
Bila tiba nombor giliran saya dipanggil, saya menyerahkan kesemua dokumen yang diperlukan dan pegawai tersebut sempat menyindir saya dengan bertanyakan di mana saya membuat salinan tersebut.

Setelah menyiapkan sijil pendaftaran pertama, pegawai tersebut mencampakkan sijil pendaftaran tersebut kepada saya. Selepas beberapa ketika pegawai tersebut dengan suara yang lantang berkata 'satu salinan sudah cukup' dan mencampakkan yang selebihnya kepada saya semula. Sebelum ini pegawai tersebut juga yang menyuruh saya untuk membuat empat salinan tetapi kini hanya satu salinan diperlukan.

Bila saya meminta agar alamat baru saya dicetak pada kesemua sijil pendaftaran, dia sekali lagi dengan nada yang tinggi memberitahu saya bahawa alamat saya telah diperbaharui di dalam sistem JPJ.

Selepas itu pegawai tersebut terus memanggil pelanggan yang seterusnya tanpa menjawab pertanyaan saya yang lain.


Kepada anda yang terbaca artikel saya ini, apakah perasaan anda jika dilayan serta dimalukan sebegini didepan orang ramai?

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.