Tuesday, 20 December 2022

TOYOTA AE100 ECU repair

Beberapa hari yang lepas saya dirujuk sebuah ECU untuk kereta berjenama TOYOTA meminta untuk cuba dibaiki.

F1719-12030

Menurut pemilik, keretanya boleh dihidupkan namun ada masalah kelancaran injin kereta. Apabila saya buka dan periksa, saya hanya menemui dua biji kapasitor yang berlabel C15 & C17 bocor seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Komponen yang rosak...

 Nilai kapasitor tersebut ialah:-

  • C15 - 220uF, 10v
  • C19 - 100uF, 10v

Kapasitor merupakan komponen 'wear and tear' dan perlu diganti bila tiba masanya. Jangka hayat kapasitor berubah mengikut fungsinya pada papan litar iaitu dari kira-kira 1,000 jam sehingga 10,000 jam atau lebih.

Siap...

Pagi ini pemilik telah menghubungi saya memaklumkan masalah kelancaran injin keretanya selesai setelah ECU dibaiki.

Selamat mencuba

Monday, 19 December 2022

Star Trac treadmill with no power

Hujung minggu lepas saya telah dipanggil untuk memeriksa sebuah treadmill berjenama Star Trac dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Label pada treadmill...

Pemeriksaan dengan mata kasar menemui salah satu breaker telah 'tripped' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Satu breaker tripped...

Setelah reset breaker tersebut, saya juga tidak menemui sebarang kerosakkan.

Tiada masalah pada EMI module...

Pemeriksaan pada EMI module dan MCB (Main Control Board) juga tidak menemui sebarang kerosakkan atau litar pintas.

Tiada masalah pada MCB (Main Control Board)

Cara reset breaker tersebut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Setelah dibekalkan arus elektrik dan suis dihidupkan, lampu pada suis kembali menyala seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Testing - lampu suis menyala...

Treadmill kembali berfungsi semula dan kesemua fungsi telah diuji tanpa sebarang masalah.

Tested - ok

Fungsi breaker tersebut ialah untuk keselamatan dan 'tripped' mungkin berpunca daripada bekalan elektrik yang tidak stabil.

Bekalan - 246vac

Selamat mencuba...

Sunday, 18 December 2022

Wang kertas cacat/koyak

Baru-baru ini saya telah memiliki sekeping wang kertas RM100 dengan kecacatan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Wang kertas tersebut sebenarnya saya dapat sewaktu mengeluarkannya melalui kaunter bank tanpa disedari. Saya telah cuba menggunakannya untuk membeli belah namun juruwang tidak mahu menerimanya.

Saya juga telah masukkan semula wang kertas tersebut ke akaun bank melalui 'cash deposit machine' (CDM) namun gagal dan ditolak oleh CDM. Seterusnya saya cuba baiki bahagian yang telah koyak dengan menggunakan pelekat kertas seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Percubaan untuk memasukkannya ke CDM cawangan RHB juga gagal dan seterusnya saya cuba pula pada CDM cawangan CIMB dan ianya telah berjaya diterima.

Kecacatan wang kertas seperti ini sebenarnya boleh ditukar di mana-mana cawangan bank namun masalah yang saya hadapi ialah waktu kerja saya sama dengan waktu pejabat bank.

Saya juga pernah kongsikan masalah sama sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Saturday, 17 December 2022

TeleBest 210BC telephone repair

Semalam saya dirujuk sebuah telefon berjenama TeleBest model 210BC dengan masalah tiada suara dan butang dial tidak berfungsi bila ditekan.

TeleBest 210BC

Masalah tiada suara selesai setelah speaker telah saya gantikan dengan yang baharu namun butang dial masih tidak berfungsi setelah ditekan.

Setelah penutup belakang dibuka...

Papan litar kelihatan elok dan tiada tanda-tanda ada kerosakkan apabila diperiksa dengan pandangan mata kasar.

Buka PCB...

Seterusnya saya periksa papan litar dengan menggunakan multimerter dan mendapati satu litar tiada keterusan dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Litar putus...

Pada mulanya saya cuba pateri sahaja namun masih tiada keterusan dan seterusnya saya sambungkannya dengan 'enamel copper wire' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sambung litar putus...

Masalah selesai setelah litar yang putus telah saya sambung seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Friday, 16 December 2022

LG MS-192W microwave repair

Banyak microwave seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

LG MS-192W

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lagi microwave serupa dengan masalah berkarat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Berkarat...

Cat asalnya menggunakan 'powder coating' dan kita tidak mampu melakukan tanpa kepakaran serta kelengkapan peralatan yang diperlukan.

Sembur cat pada penutup...

Apa yang saya lakukan ialah gosok bahagian yang berkarat dengan kertas pasir sehingga bersih dan cat semula dengan menggunakan cat sembur.

Cat bahagian telah dibersihkan...

Sembur cat di dalam penutupnya dahulu dan lepas itu gunakan putik kapas untuk mengecat bahagian yang telah dibersihkan sebelumnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Selamat berDIY...

Thursday, 15 December 2022

CYNiCS HT4261 DVR repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk DVR (Digital Video Recorder) untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: CYNiCS

Kali ini saya dirujuk sebuah DVR berjenama CYNiCS, Model: HT4216 dengan masalah tidak berfungsi langsung setelah dibekalkan arus elektrik.

Model: HT4216

Majoriti peralatan elektronik moden kini menggunakan teknologi SMT (Surface-mount technology) dan sukar dibaiki disebabkan komponennya sangat halus dan susah diperiksa serta dibaiki.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, 4 biji kapasitor yang telah saya tandakan pada gambar di bawah kembung dan perlu diganti.

Komponen rosak...

Setelah keempat-empat kapasitor telah saya gantikan dengan yang baharu dan diuji, ianya kembali berfungsi dan masih boleh digunakan semula.

Gantikan kapasitor baru...

Kapasitor adalah komponen 'wear & tear' dan akan rosak bila tiba waktunya. Kapasitor kembung biasanya terjadi pada peralatan elektrik yang digunakan sepanjang masa seperti CCTV, DVR, router, sistem WiFi dan sebagainya.

Kipas juga kembali berpusing...

Selamat mencuba...

Wednesday, 14 December 2022

Dragonfly DR-390E cooker hood repair

Semalam saya telah kongsikan pengalaman dirujuk 'cooker hood' berjenama Dragonfly model DR-390E dan anda boleh rujuk di sini.

Dragonfly DR-390E

Hari ini saya dirujuk sebuah 'cooker hood' serupa dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Fius 5A putus...

Setelah dibuka dan diperiksa, komponen yang rosak ialah sebiji fius dengan rating 5A seperti telah saya tandakan pada gambar di atas. 'Cooker hood' ini boleh dihidupkan setelah fiusnya saya gantikan dengan yang baharu namun terbakar lagi setelah kipas dihidupkan.

Wayar putih & kelabu terbalik sambung...

Pemeriksaan serta perbandingan dengan gambar semalam mendapati wayar kipas berwarna putih dan kelabu telah tersalah sambung seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Betulkan sambungan...

Masalah selesai setelah kedua-dua wayar yang terbalik sambung telah dibetulkan. Saya tidak pasti bagaimana wayar tersebut boleh bertukar kedudukan.

Selamat berDIY...

Tuesday, 13 December 2022

Dragonfly DR-390E cooker hood

Pagi ini saya dirujuk sebuah 'cooker hood' berjenama Dragonfly, model DR-390E. Menurut pemilik, seluruh rumahnya bergelap apabila suis dihidupkan.

Dragonfly DR-390E cooker hood

Pemeriksaan awal menggunakan multimeter tidak menemui sebarang litar pintas pada 'cooker hood' dari plugtop sehingga papan litar (PCB).

Model: DR-390E

Pemeriksaan pada kapasitor kipas (running capacitor) serta papan litar juga tidak menemui sebarang kerosakkan serta litar pintas.

Jenama: Dragonfly

Seterusnya saya bekalkan arus elektrik untuk uji 'cooker hood' tersebut dan ianya boleh dihidupkan tanpa sebarang masalah.

Fan speed - L, M & H

Setelah kesemua fungsinya diuji, kelajuan kipas didapati bermasalah. Apabila kipas dihidupkan, kelajuannya maksimum dan semakin perlahan apabila suisnya di tekan semula. 

Bagi mengatasi masalah sedemikian, saya tukarkan kedudukan sambungan wayar merah dan biru seperti telah dilabelkan di atas.

Tested - ok

Kelajuan kipas adalah paling perlahan sewaktu baru dihidupkan iaitu L (low) dan akan bertambah laju jika ditekan semula. Kipas 'cooker hood' ini hanya ada tiga kelajuan sahaja iaitu (Low, Medium & High).

Selamat mencuba...