Isra' dan Mi'raj merupakan satu peristiwa yang dikatakan pernah
berlaku ketika hayat Muhammad, di mana dia telah pergi dari Mekah ke
Baitulmaqdis, dan kemudian diangkat ke langit, dalam satu malam.
Isra'
berasal dari perkataan سرى (sara) yang bermaksud mengembara di tengah
malam, dan mi'raj dari kata عرج (araja) yang bermaksud menaiki. Isra'
merujuk kepada perjalanan pertama Muhammad di mana dia dikatakan telah
dibawa seekor haiwan berkepak yang telah menerbangkannya dari Mekah ke
Baitulmaqdis dalam satu malam, dan setibanya di sana, dia telah naik
pula (mi'raj) ke langit tertinggi dan telah bercakap-cakap dengan
Allah.
Sejujurnya, jika cerita ini diucapkan oleh seseorang pada
zaman ini, kita akan melabelnya sama ada seorang yang gila, atau seorang
penipu. Inilah label yang telah dilemparkan kepada Ayah Pin dan
pengikutnya.
Walaupun
dulu saya seorang Muslim, tetapi ketahuilah, sekarang ini apabila
dihidangkan dengan cerita Isra' Mi'raj, gambar di atas itulah yang saya
bayangkan tentang Muhammad. Seandainya orang Islam boleh melihat
kekarutan dalam perkara ini, ia akan lebih menguntungkan mereka. Mereka
gemar menghina Ayah Pin dan pengikutnya, tetapi ketahuilah satu jari
yang dituding kepada Ayah Pin, sebenarnya lagi empat jari menunjuk ke
arah mereka sendiri.
Peristiwa Isra' Mi'raj.
Tarikh
berlakunya isra' mi'raj tidak dipersetujui di kalangan para pendeta
Muslim, dan mereka memberikan pelbagai macam pendapat, ini kerana tidak
adanya satu hadith sahih yang menyebutkan secara tepat tarikh bila ia
berlaku. Ada yang mengatakan ia berlaku setahun sebelum hijrah (Ibn
Sa'd), berlaku pada tahun Muhammad dilantik sebagai nabi (at-Tabari),
tiga tahun sebelum hijrah (Ibn al-Athir) atau lima tahun sebelum hijrah
(an-Nawawi).
Berkenaan bulan juga sama tidak disepekati, ada
pendapat yang menyebut ia berlaku pada bulan Rabi'ul Awal, ada yang
meyebut Rabi'ul Akhir dan pendapat yang paling diterima sekarang ialah
27 Rejab.
Peristiwa ini dikatakan berlaku pada satu malam yang
sama dan telah diriwayatkan oleh sekian banyak hadith, dengan
periwayatan yang cukup panjang lebar dan terperinci. Agak sukar untuk
kita lihat kesemuanya, maka cukup untuk kita pergi kepada beberapa poin
penting. Jadi saya ringkaskan peristiwa yang berlaku.
Pada suatu
malam, dikatakan atap rumah Muhammad telah dipecahkan dan malaikat
Jibril turun masuk. Jibril kemudian telah membelah dada Muhammad dan
membasuh dadanya dengan air zam-zam dan memasukkan dadanya dengan
"hikmah" dan "iman" dari sekeping pinggan emas. Setelah itu, kemudian
dadanya ditutup semula oleh Jibril. Dari babak pertama cerita ini saja
sudah membuatkan kita berfikir, apakah benar ini berlaku, ceritanya
cukup kedengaran seperti lagenda, tetapi itulah yang didakwa berlaku
seperti diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan lainnya. Bahkan saya pernah
mendengar adanya ustaz yang pernah mengatakan inilah kali pertama dalam
sejarah operasi pembedahan telah berjaya dilakukan ke atas manusia!
Terdapat
perbezaan riwayat tentang dari mana sebenarnya Muhammad memulakan
isra'nya, hadith Bukhari menyebutkan dari rumahnya (hadith 349),
al-Baihaqi menyebutkan dari Masjidil Haram (Dalaa'il An-Nubuwah
2/36-142), manakala Ibn Hisyam menyebutkan dari rumah sepupu Muhammad,
Hind bint Abu Talib (Ummu Hani) (2: 52-53). Pun begitu kisah berkenaan
isra' dari rumah Ummu Hani telah dikritik sebagai riwayat yang lemah.
Untuk
mengelakkan percanggahan dengan ayat al-Qur'an yang menyebutkan
Muhammad diisra' dari Masjidil Haram, ada ulama menyebutkan Muhammad
telah dibawa dari rumahnya ke depan Kaabah dahulu, kemudian barulah dia
dibawa ke Baitulmaqdis. Dia isra' menaiki buraq, iaitu seekor makhluk
semacam kuda atau keldai (ia dikatakan lebih kecil daripada kuda, tetapi
lebih besar daripada keldai).
Ketika Muhammad di isra’ kan dari
mekah ke baitulmaqdis, dia telah diperlihatkan beberapa perkara ajaib
yang memberinya pengajaran, termasuk imej beberapa orang diseksa untuk
pelbagai macam dosa. Setiap apa yang dilihatnya, Jibrail menceritakan
apa yang berlaku. Setelah tiba di baitulmaqdis, Muhammad bersolat jemaah
sebagai imam, mengimami roh-roh nabi-nabi sebelumnya yang turut sama
bersolat dengannya di Masjidil Aqsa. Kemudian dia naik ke langit dengan
menaiki tangga dan melalui langit pertama sehingga langit ketujuh. Di
setiap langit dia bertemu dengan nabi-nabi tertentu.
Akhirnya
Muhammad bertemu dengan Allah taala di sidratul muntaha. Allah telah
memberikan perintah kewajipan untuk solat lima waktu. Setelah itu dia
turun semula ke bumi, dan dibawa semula ke Mekah. Tiba waktu pagi di
Mekah, Muhammad telah menceritakan bahawa dia telah pergi dalam satu
malam ke Baitulmaqdis dan kembali, dan ini telah disangkal oleh orang
ramai.
Jika diikut riwayat, untuk membuktikan bahawa dia telah
pergi ke Baitulmaqdis, dia telah menceritakan apa yang dilihatnya di
Baitulmaqdis, dan juga menceritakan tentang kafilah dagang yang
dilihatnya dalam perjalanan ke Mekah. Apabila kafilah dagang itu tiba,
adalah dilihat mereka itu sama seperti apa yang diceritakan Muhammad.
Mereka yang pernah ke Baitulmaqdis sebelum itu, dikatakan bersetuju
dengan gambaran Muhammad tentang rupa bentuk Baitulmaqdis seperti yang
diceritakan Muhammad.
Begitulah ringkasan ceritanya.
Ada
banyak percanggahan berkenaan cerita isra' mi'raj ini, disebabkan
banyaknya hadith yang diriwayatkan tetapi saling bercanggahan dan tidak
memberi urutan cerita yang sama. Lebih buruk, banyak hadith-hadith yang
diriwayatkan tentang isra' mi'raj ini lemah dan telah dicela
periwayatannya oleh ramai ulama-ulama hadith sendiri. Menyebabkan kita
mula bertanya, apa yang menyebabkan orang Islam dahulu begitu suka
mencipta hadith berkenaan isra' mi'raj ini? Apakah kerana ia satu kisah
ajaib yang cukup hebat dan menarik sehingga perbuatan menokok tambah
cerita begitu sukar untuk dilawan?
Percanggahan pendapat juga berlaku dalam beberapa perkara, seperti berikut:
1)
Adakah peristiwa mi'raj berlaku dalam keadaan Muhammad tidur atau
terjaga? Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa perbezaan pendapat
ulama adalah berkenaan mi'raj, tetapi peristiwa isra' tidak
diperselisihkan. Pun begitu, majoriti ulama percaya ia berlaku dalam
keadaan Muhammad terjaga kerana jika Surah al-Isra' ayat 17:1 mengatakan
Allah memperjalankan "hambanya" yang bermaksud roh dan jasad.
2)
Berapa kali peristiwa mi'raj berlaku? Walaupun pendapat masyur adalah
ia berlaku cuma sekali, tetapi ada yang mengatakan ia berlaku dua kali.
Satu dalam keadaan Muhammad tidur, dan satu dalam keadaan Muhammad
terjaga. Ada juga yang mengatakan ia berlaku berkali-kali, seperti
pendapat al-Imam Abu Syamah.
Ada yang mengatakan ia berlaku
berkali-kali kerana perbezaan-perbezaan dalam hadith dan juga kerana
tidak ada satu hadith yang menyusun kesemua peristiwa-peristiwa yang
berlaku dalam satu riwayat saja. Riwayat-riwayat tentang isra’ mikraj
ini, jika dilihat, sangat banyak dan ada hadith-hadith yang cukup
panjang. Yang anehnya, setiap kali diceritakan tentang peristiwa ini,
pasti ada perbezaan. Peristiwa pembelahan dada juga diceritakan berlaku
pada tempat dan masa berbeza, yang menyebabkan adanya ulama yang
mengatakan ia berlaku berkali-kali.
Banyak peristiwa yang ada
diceritakan di dalam satu hadith, tetapi tidak diceritakan pula di
hadith lain, bahkan ada yang bercanggahan, seperti contoh nabi apa yang
ditemui oleh Muhammad pada langit-langit tertentu.
3) Adakah
Muhammad melihat Allah di Sidratul Muntaha? Aisyah dan Ibn Mas'ud
mengatakan Muhammad tidak melihat Allah, manakala Abu Zar dan lainnya
menyebut Muhammad melihat Allah dengan mata kepala sendiri.
Tarikh bila berlakunya Isra' Mi'raj
Seperti
disebut di atas, tidak ada tarikh disebut dalam hadith tentang bila
berlakunya peristiwa ini, tetapi ia berlaku selepas Muhammad mendakwa
dirinya dilantik sebagai nabi dan rasul. Ketika itu, Baitul Maqdis masih
di bawah pemerintah kerajaan Byzantine, Heraklius.
Status Masjidil Aqsa ketika itu
Walaupun
tidak disebut secara spesifik di manakah Baitul Maqdis, tetapi
sepanjang sejarah memang lokasi itu disebut dan diterima orang Islam
sebagai kota Jerusalem. Masjid al-Aqsa berada di kota Baitul Maqdis
(Jerusalem). Ketika peristiwa isra' mi'raj ini, tidak ada bangunan di
lokasi al-Aqsa, kerana masjid al-Aqsa belum dibina, manakala kuil
Sulaiman pula telah dihapuskan ketika tahun 70 Masihi.
Tetapi
perkataan masjid itu sebenarnya boleh merujuk kepada satu kawasan untuk
bersembahyang, walaupun tidak ada dinding atau bangunan di situ.
Maka
apabila dikatakan Muhammad diisra'kan ke Masjid al-Aqsa, ia sebenarnya
tidak mendatangkan masalah walaupun bangunan masjid al-Aqsa itu belum
dibina waktu itu ataupun tiada bangunan di situ. Yang penting ada
sempadan, dan kawasan Temple Mount atau bekas lokasi kuil Sulaiman
itulah yang disebut sebagai masjid al-Aqsa oleh orang Islam.
Ketika
Muhammad dikatakan pulang dari Baitul Maqdis, hadith mengatakan ketika
dia dipersoal oleh warga Mekah untuk membuktikan dakwaannya, dia telah
menjelaskan bagaimana rupa masjid. Kita hanya boleh membayangkan yang
Muhammad sedang menggambarkan kawasan terbuka tanpa bangunan.
Ringkasan tentang hadith Isra' dan Mi'raj
Saya
ringkaskan beberapa hadith yang berkaitan dengan peristiwa isra' mi'raj
ini di bawah untuk kita melihat tema-tema utama yang disebutkan.
Hadith-hadith ini telah dikumpulkan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti di
dalam kitabnya al-Ayah al Kubra fi Syarh Qishah al-Isra'. Mari kita lihat.
Hadith riwayat Muslim (Sahih Muslim, Kitab al-Iman):
Menceritakan Muhammad menaiki buraq ke Baitul maqdis, dan di situ dia
telah diberikan pilihan susu dan arak, dan dia memilih susu. Tidak ada
apa yang diceritakan berlaku dalam perjalanan antara Mekah dan
Baitulmaqdis. Kemudian dia naik ke langit dan melalui tujuh langit dan
bertemu dengan nabi-nabi berbeza di setiap langit. Berlakunya perintah
solat lima waktu.
Status hadith: Sahih.
Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari Kitab al-Tauhid):
Menceritakan atap rumah Muhammad dipecahkan dan Malaikat masuk serta
membelah dan membersihkan dada Muhammad. Riwayat ini tidak menyebut
tentang isra', kerana setelah dada Muhammad ditutup, dia terus dibawa ke
langit.
Dalam perjalanan di langit, dia bertemu dengan beberapa Nabi, akhirnya disebut tentang perintah solat lima waktu.
Status hadith: Sahih
Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tauhid):
Bermula dengan Muhammad tidur di Masjidil Haram, kemudian datangnya
malaikat dan membelah dadanya di masjid itu (berbeza dengan hadith kedua
di atas yang mengatakan dada dibelah di rumahnya). Hadith ini juga
tidak menyebut tentang peristiwa isra', tetapi terus menceritakan
Muhammad dimi'raj ke langit dan bertemu para nabi di setiap langit.
Status
hadith: Walaupun disebut oleh al-Bukhari sebagai sahih, tetapi hadith
ini mempunyai seorang bernama Syarik dalam perawinya, dan Ibn Kathir
berkata Syarik mempunyai hafalan lemah (tafsir ibn kathir), Imam Muslim
mengatakan Syarik selalu menambah dan mengurangkan riwayat, Imam Nawawi
pula berkata riwayat syarik di atas mempunyai keraguan yang diingkari
ulama.
Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Menyebutkan
Muhammad diisra' ke Baitul maqdis, dan sementara dalam perjalanan telah
ternampak orang tua uzur, dan juga beberapa nabi yang memberinya salam.
Setibanya dia Baitul Maqdis, Muhammad telah diberikan pilihan air susu
dan air arak.
Status hadith: Sahih
Hadith riwayat Ibn Abi Hatim (dikutip dalam Tafsir Ibn Kathir):
Menceritakan Muhammad telah diisra'kan ke Baitulmaqdis. Hadith ini
menyebutkan Muhammad terus sampai ke Baitul Maqdis tanpa dia melihat
apa-apa peristiwa menarik dalam perjalanan. Tidak ada orang tua uzur
seperti mana disebut hadith di atas. Setibanya di Baitulmaqdis, dia
telah terlihat para bidadari sedang duduk di perkarangan masjid, dan dia
bercakap-cakap dengan bidadari.
Muhammad kemudian mengimami solat
para nabi dan kemudian dia naik ke langit. Sama seperti riwayat lain,
dia telah menembusi tujuh langit dan bertemu dengan nabi-nabi yang
berbeza di setiap langit. Akhirnya dia menerima perintah solat lima
waktu di sidratul muntaha. Kemudian Muhammad turun semula dan kembali ke
Mekah.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Muhammad terlihat
adanya kafilah dagang dalam perjalanan ke Mekah, yang mana ada seekor
unta membawa kantong hitam dan putih, yang mana unta ini berlari dan
berpusing-pusing dan menyerang unta lain. Apabila Muhammad sampai di
Mekah, Muhammad menceritakan tentang peristiwa isra' mi'raj, termasuk
kejadian unta. Penduduk Mekah menafikan cerita Muhammad, tetapi apabila
kafilah dagang itu tiba di Mekah, penduduk Mekah bertanya apa yang
berlaku, dan kafilah dagang itu menceritakan sama seperti apa yang
diceritakan Muhammad.
Status hadith: Ibn Kathir kata hadith ini mempunyai kandungan yang "gharib yang mengagumkan". Sebahagian ahli hadith menganggap ia lemah termasuk Ibn Mu'in, Imam Ahmad ibn Hanbal, an-Nasa'i, ad-daruqutni.
Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad):
Malaikat tiba ketika Muhammad sedang tidur, dan dadanya dibelah.
Muhammad kemudian menaiki buraq, tetapi riwayat ini menyebutkan Muhammad
terus pergi ke langit, tanpa menyebutkan tentang isra' ke baitulmaqdis.
Seperti biasa, hadith ini menyebutkan Muhammad pergi ke langit yang
berbeza sehingga sampai ke Sidratul Muntaha.
Kemudian
menyebutkan Muhammad pergi ke Baitul Ma'mur di langit, dan di kemudian
dia diberikan pilihan susu dan madu. Jadi hadith ini berbeza dengan
hadith lain, kerana hadith lain menyebutkan Muhammad diberi pilihan
susu/madu ketika di Masjid al-Aqsa, manakala hadith ini menyebutkan
ketika Muhammad sudah di langit barulah diberi pilihan.
Status hadith: Sahih, dan diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim.
Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah):
Ketika Muhammad sedang tidur, ada yang mengejutkannya dan dia tidak
melihat sesiapa, tetapi dia dengar suara. Dia kemudian keluar dari
masjid mengikut arahan suara itu dan melihat ada buraq. Dia naik buraq
dan ketika dalam perjalanan, dia terdengar suara memanggil dari sebelah
kanan dan sebelah kiri, tetapi dia tidak menjawab. Dia juga terlihat ada
seorang perempuan yang terbuka betisnya memanggilnya, tetapi dia juga
tidak menjawab.
Setelah tiba di al-Aqsa, malaikat jibril datang
dan memberinya pilihan susu dan arak. Kemudian Muhammad bertanya tentang
apa yang dilihatnya, dan Jibril berkata suara yang didengarnya adalah
sebenarnya adalah suara Yahudi dan Nasrani, dan jika Muhammad menjawab
maka umatnya akan menjadi Yahudi dan Nasrani. Perempuan yang dilihatnya
adalah harta benda dunia, dan jika Muhammad menjawab, maka umat Muhammad
akan memilih harta benda dunia mengalahkan Akhirat.
Muhammad
kemudian solat di Masjidil Aqsa, dan kemudian naik ke langit. Dalam
perjalanan ke langit, dia melihat beberapa perkara, termasuk beberapa
kejadian ajaib termasuk:
1) Ada daging di atas meja, tetapi tiada
siapa yang makan. Di satu meja lain ada pula daging busuk tetapi ramai
orang yang berebut memakannya. Jibril menyebut ini kelompok umat
Muhammad yang memilih harta haram dan meninggalkan yang halal.
2)
Melihat satu kaum yang perutnya sebesar rumah sehingga tidak dapat
berjalan kerana terlalu besar. Jibril mengatakan ini orang yang memakan
riba
3) Suatu kaum yang bibirnya dibuka untuk menelan bara api,
dan keluar melalui dubur. Jibril berkata ini orang yang memakan harta
anak yatim.
Hadith ini bersambung dengan beberapa peristiwa lagi.
Muhammad kemudian bertemu beberapa nabi di setiap langit. Ketika di
sidratul muntaha, Muhammad melihat syurga dan melihat bidadari dan
sungai-sungai. Akhirnya Muhammad kembali ke bumi dan pulang ke Mekah.
Hadith
in berakhir dengan Muhammad berhadapan dengan kaum Quraisy dan kaum
Quraisy mempersoal apa yang berlaku setelah Muhammad mendakwa dia isra
dan mi'raj. Muhammad menyebutkan dia melihat ada unta yang berlari-lari,
kemudian dia juga menggambarkan gambaran baitul Maqdis.
Status
hadith: Ibn Kathir menyebut hadith ini diriwayatkan oleh Abu Harun
al-Abdi, dan dia dianggap lemah oleh para imam lain. Syu'bah pernah
berkata: Sesungguhnya aku lebih senang dipukul leherku daripada aku
harus meriwayatkan hadith daripada Abu Harun.
Dilihat hadith ini
mempunyai banyak tambahan cerita yang tidak ada di hadith lain, termasuk
gambaran-gambaran yang dilihat Muhammad ketika dalam perjalanan ke
Baitulmaqdis dan juga dalam perjalanan ke langit.
Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Jibrail
datang bersama Mika'il kepada Muhammad dan membelah dadanya. Kemudian
dia menaiki buraq dan berlepas ke al-Aqsa. Dalam perjalanan ini dia
melihat beberapa peristiwa yang tidak disebut dalam hadith-hadith yang
lain, termasuk kaum yang bercucuk tanam, kaum yang kepalanya dihentak
batu, kaum yang memakan batu api dan lain-lain. Untuk setiap kaum ini
ada pengajarannya masing-masing.
Dalam hadith ini,
peristiwa-peristiwa yang dilihat dalam perjalanan adalah amat banyak,
berbeza dengan hadith lain yang ada tidak menyebut apa-apa pun. Muhammad
kemudian diberi pilihan susu dan arak, dan kemudian naik ke langit.
Muhammad bertemu dengan nabi di setiap langit.
Ketika di
sidratul muntaha, dia melihat beberapa perkara ajaib termasuk pokok
gergasi yang untuk mengelilinginya perlukan tujuh puluh tahun.
Status
hadith: Az-Zahabi mengatakan hadith ini mempunyai lafaz yang sangat
mungkar. As-Suyuti mengatakan hadith ini mempunyai perawi bernama Abu
Ja'far al-Razi yang mana adanya perselisihan ulama tentang sama ada dia
boleh dipercayai atau tidak. Ibn Kathir menyebutnya hadith yang mungkar
dan Abu Ja'far ar-Razi mempunyai hafalan yang lemah.
Hadith riwayat Abu al-Fadl bin Umar (Al-Khasa'il al-Kubra): Jibrail
datang kepada Muhammad dan mereka bertolak di atas Buraq. Dalam
perjalan, dia bertemu dengan lagi perkara yang tidak disebut di dalam
hadith lain. Ini termasuk bertemu dengan Musa dan Ibrahim dan
bercakap-cakap dengan mereka.
Ketika tiba di Masjidil Aqsa, dia masuk ke masjid dan diberi susu/arak. Dia kemudian bersolat dan hadith ini tamat.
Status
hadith: Di dalam tafsirnya Ibn Kathir mengatakan ada perkara ganjil
dalam hadith ini kerana menyebutkan Muhammad bertemu dengan para nabi
sebelum sampai ke masjidil Aqsa, walhal hadith lain menyebut dia bertemu
nabi di langit.
Hadith riwayat Ibn Ishaq (al-Sirah an-Nabawiyah):
Hadith pendek ini menyebut Muhammad tidur di rumah sepupu perempuannya,
Ummu Hani dan kemudian telah diisra'kan ke Baitul maqdis.
Status
hadith: Hadith ini mempunyai perawi bernama al-Kilabi al-Kufi, yang mana
dia dikatakan pernah mereka-reka hadith. Rujuk kitab Dhu'afa al-Bukhari
(no. 332).
Hadith riwayat at-Tabrani (Mujam al-Kabir): Hadith pendek yang menyebutkan Muhammad di bawa ke langit dan melihat pokok syurga dan dia telah memakan dari buah itu.
Status hadith: Hadith maudhu'.
Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad):
Muhammad diisra' ke Masjidil aqsa, tetapi disebutkan bahawa dia tidak
bersolat di situ tetapi telah pergi ke langit. Hadith ini ganjil kerana
berbeza dengan hadith lain kerana ia menyebutkan Muhammad tidak bersolat
di masjidil aqsa.
Status hadith: Imam Tirmizi menyebutkan ia sahih.
Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Hadith
ini ringkas dan menyebutkan Muhammad di isra' ke Baitul Maqdis dan
kemudian kembali. Tidak menyebutkan langsung tentang mi'raj. Kemudian
hadith ini memberi dialog antara Abu Jahal dan Muhammad ketika Muhammad
cuba mempertahankan dakwaannya bahawa dia melengkapi perjalanan ke
Baitul Maqdis dan kembali semula dalam satu malam.
Disebutkan
Muhammad menggambarkan sifat masjid, tetapi hadith tidak menyebutkan
apakah sifat masjid itu. Sebenarnya hadith ini aneh kerana seperti
disebut, tidak ada bangunan masjid di situ, jadi apakah dia cuma
menggambarkan kawasan lapang? Jika diikut pada hadith itu, Muhammad
dikatakan tidak ingat rupa masjid itu sehingga kononnya dia diberi
gambaran di depannya, dan dia menggambarkan apa yang dilihatnya. Jika
kawasan lapang, apa yang susah sangat hendak diingat?
Status hadith: Perawi hadith ini thiqah, menurut al-Haithami dalam al-Majma'.
Perbincangan
Kita
dapat melihat bahawa ada banyaknya perbezaan di dalam kandungan hadith
antara satu sama lain. Ada tema yang sama diulang dalam beberapa hadith,
seperti Muhammad isra' ke Al-Aqsa, bersolat di situ, naik ke langit,
bertemu beberapa nabi di setiap langit, menerima perintah lima waktu dan
akhirnya pulang ke bumi, kemudian dia berkongsi kisahnya dengan
penduduk Mekah, dan apabila mereka tidak mempercayainya, dia telah
memberi dua bukti; menggambarkan baitulmaqdis, dan menceritakan kisah
unta. Ini tema utama.
Pun begitu, seperti dilihat, ada banyak
maklumat yang tidak diceritakan di dalam satu hadith, tetapi diceritakan
di dalam hadith yang lain. Jika peristiwa ini menarik dan ajaib, kenapa
tidak menceritakan secara penuh? Bayangkan, dalam satu hadith,
diceritakan peristiwa A, B dan C berlaku,manakala dalam hadith lain,
dikatakan peristiwa D, E, F,G dan H berlaku, dan hadith lain pula
menyebut P, Q dan R, tetapi tidak pula disebut tentang peristiwa A, B
dan C. Kenapa begitu?
Adakah ini bermaksud cerita-cerita ini
ditokok tambah oleh perawi berbeza, seiring berlalunya waktu, dan cerita
asalnya tidak begitu menarik dan tidak mempunyai peristiwa-peristiwa
itu? Juga kita boleh melihat ada banyak daripada hadith -hadith di atas
dianggap lemah. Kenapa begitu banyak yang dianggap lemah? Dan berapa
banyak kandungan hadith itu yang perlu dianggap benar-benar terjadi,
kalaupun tidak mahu ditolak keseluruhan ceritanya?
Sudah
pasti kalau ditanya saya, saya katakan ia tidak pernah berlaku, tetapi
kalau para Muslim ingin menganggap ia berlaku, manakah kandungan hadith
lemah ini yang boleh diterima?
Analisa hadith
Hadith Imam Muslim yang pertama
di atas tidak menyebutkan Muhammad mengimami solat di masjidil aqsa,
manakala hadith lain menyebutkan secara spesifik bahawa Muhammad
mengimami para nabi di situ. Hadith kedua dari al-Bukhari pula
langsung tidak menyebutkan peristiwa Mi'raj, tetapi mengatakan Muhammad
terus naik ke langit, seolah-olah isra' tidak berlaku.
Hadith ketiga
pula statusya dianggap lemah dan boleh ditolak, kandungannya juga
berbeza kerana menyebutkan ada tiga orang yang datang bertemu Muhammad
bukan cuma Jibrail, dan Muhammad juga tidak isra' tetapi terus mi'raj. Hadith keempat pula
cuma menyebutkan tentang peristiwa isra', tetapi menambah peristiwa
penampakan orang tua uzur dan juga kelibat dua malaikat. Hanya hadith
ini yang menyebut peristiwa ini.
Hadith kelima dikatakan lemah, dan mempunyai tambahan maklumat, bahawa Muhammad melihat bidadari di masjidil aqsa. Hadith keenam tidak menyebut tentang peristiwa isra' langsung, tetapi terus menyebutkan bahawa Muhammad diangkat ke langit (mi'raj). Hadith ketujuh
pula menambahkan lagi peristiwa-peristiwa yang dilihat ketika dalam
perjalanan isra' (suara yahudi dan nasrani, dan wanita terbuka betis)
dan juga ketika mi'raj.
Hadith kelapan menambahkan lagi
peristiwa-peristiwa yang dilihat Muhammad ketika Isra' (lelaki yang
kepala dihentak batu, memakan batu api, dipotong lidah dsb), dan
menambah lagi cerita ketika di sidaratul muntaha. Malangnya hadith ini
dipersoal statusnya.
Hadith kesembilan dikatakan sahih,
tetapi kandungannya menyebutkan Muhammad telah bertemu Ibrahim dan Musa
ketika isra', yang mana ia berbeza dengan hadith-hadith lain yang
mengatakan Muhammad bertemu dengan para nabi di langit, bukan ketika di
isra'kan.
Daripada kesemua ini, kita boleh buat beberapa kesimpulan:
1)
Jika benar peristiwa ini berlaku, kenapa setiap hadith menceritakan
perkara yang berbeza tentang apa yang dilihat oleh Muhammad pada malam
itu? Selain daripada tema utama iaitu pergi ke tujuh lapisan langit, detail di
dalam hadith-hadith ini berbeza antara satu sama lain (Bahkan ada juga
hadith yang berbeza tentang siapa nabi yang ditemui pada langit ke
berapa).
Sebenarnya, jika betul Muhammad melalui peristiwa ini,
bukankah lebih masuk akal jika ada lebih banyak persamaan berbanding
perbezaan ketika meriwayatkan peristiwa ini?
Akibat
perbezaan-perbezaan dan tokok tambah ini, ia lebih menjurus kepada
kesimpulan bahawa setiap perawi yang merawi cuma menokok tambah cerita
apa yang dirasakan mereka telah berlaku pada malam itu.
2) Ada
tidak kurang lima hadith yang dianggap lemah atau palsu di dalam
riwayat-riwayat tentang isra' mi'raj. Dan dikalangan hadith sahih pula
adanya perbezaan kandungan. Kenapa ada banyak hadith yang lemah dalam
kisah isra' mi'raj ini?
3) Muhammad dikatakan menggambarkan Baitul
Maqdis, tetapi tidak ada satu pun hadith yang menyebutkan apa yang
digambarkan oleh Muhammad itu. Kenapa tidak disebutkan? Adakah kerana
perawi hadith itu sendiri pun tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan
Muhammad, ataukah adakah Muhammad telah menyebut sesuatu yang
jelas-jelas tidak tepat, memandangkan waktu itu masjid al-Aqsa belum
dibina pun lagi, dan perawi hadith tidak ingin mengulangi apa yang
diperkatakan Muhammad?
Ada satu hadith yang menyebutkan Muhammad
menggambarkan bangunan masjid dan dikatakan dia menghadapi kesukaran
untuk menggambarkan kerana tidak ingat rupa bentuk masjid itu, walaupun
padahal tiada bangunan masjid ketika itu kerana belum dibina.
4)
Beberapa hadith menyebutkan Muhammad didatangi ketika dia sedang tidur,
dan dikejutkan oleh Jibrail, dan ini dijadikan sandaran oleh beberapa
ulama yang berpendapat bahawa isra' dan mi'raj itu berlaku dalam keadaan
mimpi.
Yakni, Muhammad setelah tidur tidak bangun dan apa
yang dilihatnya masih dalam keadaan bermimpi. Menurut logiknya, ini
lebih logik, iaitu segala apa yang dilihatnya hanya berlaku dalam mimpi.
Jika ingin dianggap memang Muhammad pernah menceritakan
peristiwa-peristiwa ini, Muhammad sebenarnya tidur pada suatu malam dan
bermimpi kesemua ini.
Untuk membuktikan bahawa Muhammad pernah ke Baitul maqdis, dikatakan Muhammad telah buat seperti berikut:
1)
Hadith riwayat Ibn Abi Hatim menyebut Muhammad menceritakan kisah unta
yang membawa beg hitam dan putih. Tidak menyebut apa-apa tentang
gambaran Baitulmaqdis. Malangnya hadith ini dikatakan lemah.
2)
Hadith riwayat al-Baihaqi mengatakan Muhammad cuba menggambarkan
"bangunan" Baitulmaqdis, tetapi tidak diketahui apakah yang dirujuknya,
adakah masjid itu sendiri atau bangunan-bangunan di sekitarnya.
Disebabkan tidak wujud bangunan masjid ketika itu, maka mungkin yang
cuba digambarkan adalah bangunan di sekitarnya, tetapi perawi langsung
tidak menyebutkan apakah yang digambarkan. Hadith ini juga dikatakan
lemah.
3) Hadith riwayat Ahmad mengatakan Muhammad menceritakan
sifat masjid, tetapi perawi tidak menyebutkan apa sifat masjid yang
dimaksudkan. Memandangkan tidak ada bangunan di situ, dan ia hanya
kawasan lapang, adalah aneh kenapa Muhammad tidak boleh mengingati apa
yang konon dilihatnya baru beberapa jam sebelumnya pada malam itu,
sehingga perlu "diperlihatkan" kepadanya imej masjid, walaupun yang
sepatutnya dilihat hanyalah kawasan lapang tanpa bangunan. Jika hanya
kawasan lapang, apa sebenarnya yang susah sangat hendak ingat? Ini semua
menyebabkan cerita ini nampak ditokok tambah kemudian.
Akhir
kalam, untuk mengatakan bahawa seorang lelaki pernah pergi dari Mekah ke
Baitulmaqdis menaiki kuda terbang dalam satu malam, dan naik pula tujuh
lapisan langit dalam satu malam dan kembali semula semuanya dalam satu
malam, ianya jelas bertentangan dengan akal. Jika cerita ini diceritakan
oleh pengikut Ayah Pin, orang Muslim mentertawakannya, tetapi apabila
nabi mereka sendiri yang menceritakan cerita ini, mereka telan
bulat-bulat.