Friday, 5 August 1988

Riba di dalam Islam - Penerangan

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Riba di dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu riba al-Buyu' dan Riba al-Duyun. Kedua-dua riba ini boleh dibahagikan kepada dua lagi kategori. 

1) Riba al-Buyu'

Merujuk kepada aktiviti transaksi jual beli. Mempunyai dua kategori iaitu:

a) Riba al-Fadl

Riba ini adalah apabila ada pertukaran barang tetapi berlainan berat. Contohnya ada dua orang yang ingin menukar emas melalui sistem barter, satu pihak mempunyai 5 gram (emas 20 karat) dan seorang lagi 6 gram (emas 18 karat) dan masing-masing bersetuju melalui akad untuk menukar hak milik. Ini dianggap riba kerana sepatutnya kedua-dua menukar 5 gram, atau kedua-dua menukar 6 gram, bukan menukar 5 gram dengan 6 gram. Maka untuk transaksi begini, timbangan berat perlulah sama jika ingin mengelak dari berlaku riba.

b) Riba al-Nasi'ah

Riba jenis ini berlaku apabila ada penangguhan dalam pembayaran. Misalnya, Ali dan Abu ingin bertukar beras, Ali memiliki beras basmathi dan Abu memiliki beras biasa. Mereka bersetuju bahawa Ali akan memberikan 5 kg beras Basmathi kepada Abu tetapi Abu akan memberikan 5 kg beras biasa pada minggu depan. Ini dikira sebagai riba kerana ia tidak berlaku pada masa yang sama, atau spot payment.

Dalil untuk kedua-dua riba ini adalah berikut:

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi berkata: "Pertukaran gandum dengan gandum adalah riba, kecuali berlaku pertukaran pada waktu sama dan pada jumlah yang sama.. (Riwayat al Bukhari 2170)

Pun begitu, hukum spot payment ini hanya melibatkan barang yang tukarannya juga barang yang sama. Dalam hal pertukaran barang yang berbeza, misalnya emas ditukar dengan gandum, atau duit untuk membeli kurma, tangguhan untuk pertukaran itu dibenarkan. 

2) Riba al-Duyun

Riba al-Duyn berlaku dalam hal berhutang dan terbahagi kepada dua jenis

a) Riba al-Qardh

Riba ini berlaku apabila satu pihak meminjamkan duit kepada pihak lain dan kedua-duanya bersetuju bahawa pembayaran balik itu akan mempunyai faedah. Misalnya, Ali meminjamkan duitnya kepada Abu sebanyak RM1000 dengan syarat Abu perlu memulangkan RM1200. 

b) Riba al-Jahiliyyah

Riba jenis ini berlaku apabila terdapat denda bayaran lebih jika terlewat bayar. Misalnya Ali meminjamkan kepada Ahmad sebanyak RM5000 dan perlu membayar semula dalam tempoh dua bulan. Jika lewat, Ahmad misalnya perlu membayar sebanyak RM6000 misalnya. 

Konsep riba dan pengamalannya

Melihat kepada konsep riba di atas, kita faham bahawa Muhammad mempunyai niat yang baik untuk mengajarkan keadilan serta mengelakkan penindasan di dalam transaksi jual beli atau berhutang. Tetapi niat murni Muhammad ini bersifat simplistik dan ajarannya tentang pengharaman riba ini tidak sesuai diamalkan untuk sepanjang zaman. 

Konsep riba' yang diajar di dalam Qur'an sendiri sebenarnya hanya disebut di dalam beberapa ayat tentang pengharamannya tetapi bersifat umum dan alternatif yang baik kepada riba tidak diperincikan. Alternatif yang diberikan hanyalah "jual beli", yakni "Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba"(Surah al-Baqarah: 275), tetapi perincian tidak diberikan. 

Beberapa perincian diberikan di dalam hadith seperti memperincikan bagaimana urusan jual beli seharusnya dilakukan tanpa riba, seperti pertukaran serentak atau spot payment serta pertukaran yang melibatkan berat yang sama. Konsep ini boleh diamalkan 1,400 tahun lalu tanpa masalah, tetapi sekarang proses jual beli telah berkembang dan konsep pengharaman riba secara total ini hanya kedengaran baik, tetapi pengaplikasiannya sangat sukar.

Jika ditanya saya tentang riba, sudah tentu jika ada cara untuk mengelakkan riba ini ia adalah bagus, kerana konsep yang menindas sepatutnyalah dihapuskan. Tetapi ini bersifat utopia, dan bukanlah praktikal. Hakikatnya riba ini mendatangkan keuntungan buat peminjam. Apa yang lebih realistik, bukanlah untuk mengatakan riba ini diharamkan sama sekali, tetapi seharusnya diletakkan kadar maksimum yakni dalam erti kata lain, janganlah terlalu tinggi kadar faedahnya sehingga terlalu membebankan. Sebaiknya kadar itu serendah yang mungkin.

Bagaimana sesuatu bank itu boleh buat untung jika mereka meminjamkan duit dan kemudian penghutang cuma membayar jumlah yang sama, tanpa kadar faedah? Meminjam RM10,000 dan kemudian dipulangkan RM10,000 tidak memberi apa-apa keuntungan, lebih-lebih lagi jika dibayar dalam ansuran, dan mengambil kira kadar inflasi, yakni kenaikan harga barang. Bank boleh meletakkan caj servis, tetapi itu hanya sebahagian kecil. Bank Islam sebenarnya menggunakan konsep murabahah untuk mendapat untung, yakni konsep membeli dan jual balik dengan harga yang lebih mahal, dalam cubaan untuk mengelak daripada riba. 

Untuk tulisan ini saya sebenarnya ingin mengelakkan daripada pergi terlalu terperinci sehingga perlu terlalu teknikal, mungkin itu boleh saya lakukan di dalam tulisan yang lain. Cuma saya ingin katakan bahawa konsep murabahah yang diamalkan bank-bank Islam kini terutamanya di Malaysia tidaklah terlalu jauh bezanya dengan konsep riba, cuma bezanya adanya melibatkan jual-beli dalam matlamat memberikan pinjaman kepada peminjam. 

Misalnya, Ali mahu meminjam duit dari bank untuk membeli kereta Perodua Myvi. Bank akan membeli kereta itu dari pasaran misalnya RM42,000 , dan akan menjual kereta itu kepada Ali dengan harga yang lebih mahal, misalnya RM49,000 dan Ali perlu membayar ansuran kepada bank secara bulanan. 

Ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan riba, yakni dalam konsep riba, bank akan meminjamkan RM42,000 kepada Ali dan Ali perlu membayar RM49,000 kepada bank secara ansuran bulanan. Yang akhirnya tetap sama, Ali perlu membayar harga yang lebih mahal kepada bank berbanding jumlah asal harga kereta itu. Ini hanyalah contoh asas, sudah tentu ada perbahasan yang panjang lagi untuk perbankan Islam dan kaitannya dengan riba.

Cuma poin saya, dari segi pengaplikasian, bank Islam dan sistem konvensional tidaklah jauh bezanya, dan secara praktikalnya ia sebenarnya hampir sama.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.