*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih
Al-Qur'an mengajar kita sesuatu yang berbeza malah bertentangan
dengan fakta sains berkaitan dengan penciptaan alam semesta kita ini,
mana satu yang perlu kita percaya, Qur'an atau penemuan sains? Saya
sendiri memilih penemuan sains.
Mana-mana ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan fakta sains perlulah ditolak. Sesungguhnya al-Qur'an itu rekaan manusia.
Al-Qur'an dengan jelas mengajar kita bahawa Allah telah mencipta alam semesta ini dalam masa hanya enam hari.
Sesungguhnya Tuhan adalah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy (7:54)
Banyak lagi ayat yang menerangkan 6 hari penciptaan. Surah Yunus 10:3,
Hud 11:7, Surah al-Furqan 25:59, surah as Sajdah 32:4, Surah al-Fussilat
41:9-11, Surah Qaf 50:38 dan Surah al-Hadid 57:4.
Di dalam tulisan kali ni, saya akan cuba untuk menjelaskan apa sebenarnya maksud enam hari ini.
Seperti yang kita semua sedia maklum, alam semesta ini sudah berbillion
tahun lamanya, lebih tepat, ia sudah berusia 13.8 billion tahun selepas
terjadinya peristiwa Big Bang. Bumi kita pula sudah berusia 4.5 billion
tahun. Selepas Big Bang, pelbagai tindakbalas kimia telah berlaku untuk
menghasilkan bintang-bintang, galaksi, planet dan segala apa yang ada di
alam semesta ini untuk menjadi seperti apa yang kita lihat sekarang,
dan proses ini mengambil masa yang sangat lama.
Bagaimana urutan penciptaan Allah?
Dalam Surah Fussilat 41:9-12, Allah menerangkan apa yang diciptakannya dalam tempoh tersebut.
Surah 41:9 - Bumi dicipta dalam masa dua hari
Surah 41:10 - Gunung-ganang dan "keperluan hidup" dalam masa empat hari
Surah 41:11-12 - Tujuh petala langit berserta bintang-bintang dalam dua hari
Inilah apa yang Allah cipta. Kalau dikira ia menunjukkan lapan hari,
tapi ulama mentafsirkan langit dicipta seiring dengan penciptaan bumi,
seperti yang disebut dalam ayat sebelumnya. Jadi ia tetap enam hari.
Sama
ada penjelasan ini memuaskan atau tidak, terpulang, bagi saya ia tidak
memuaskan dan sebenarnya ia memang menyebut lapan hari walaupun
ulama-ulama cuba spin untuk ubah maksudnya kepada enam.
Baik, apa pula yang dimaksudkan apabila Allah kata Dia mencipta
segalanya dalam masa enam hari? Enam hari literal ke? Saya akan membuat
kesimpulan nanti bahawa ajaran ini bertentangan dengan fakta sains.
Para pendakwah Islam, terutamanya pendakwah masa kini, berhujah
mengatakan bahawa enam "hari" sebenarnya bermaksud enam "masa".
Perkataan Arab "Ayyaam" iaitu jamak bagi "yaum", tidak hanya membawa
maksud "hari" tetapi juga boleh membawa maksud "tempoh masa yang lama".
Jadi enam hari yang dimaksudkan adalah enam tempoh yang tidak diketahui
berapa lamanya.
Penjelasan ini adalah untuk menyelamatkan al-Qur'an dari dikritik
sebagai bertentangan dengan fakta sains. Kerana kalaulah enam hari itu
enam tempoh 'dua puluh empat jam', maka sudah tentu ia sangat
memeningkan, bagaimana mungkin alam semesta ini tercipta dalam tempoh
yang begitu singkat, terutamanya setelah fakta sains menjelaskan sesuatu
yang jauh berbeza.
Memang perkataan "Ayyaam" itu boleh merujuk kepada "tempoh waktu yang
lama", tetapi betulkah tafsiran ini? Nampaknya tafsiran ini mempunyai
sedikit masalah. Pertama, ada hadith yang jelas yang menunjukkan bahawa
alam ini memang tercipta dalam enam hari yang sesungguhnya. Mari kita
lihat sebuah hadith:
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Allah s.w.t
mencipta tanah pada hari Sabtu, dan menciptakan gunung pada hari Ahad,
dan mencipta pokok pada hari Isnin, dan mencipta yang makruh pada hari
Selasa, dan mencipta cahaya pada hari Rabu, dan Dia menyebarkan
makhluknya pada hari Khamis, dan mencipta Adam selepas Asar pada hari
Jumaat, ciptaan terakhir pada waktu-waktu terakhir hari Jumaat. (Sahih
Muslim)
Hadith di atas juga direkodkan oleh banyak lagi kitab hadith termasuk
Sunan Abu Daud, Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaimah dan
seterusnya.
Satu poin yang ingin saya bangkitkan adalah hadith ini bertentangan
dengan ayat al-Qur'an, kerana ia menyebut alam ini dicipta dalam masa 7
hari (termasuk hari Sabtu). Ini satu pertentangan yang saya masih tidak
tahu apa jawapannya. Ada laman sesawang yang mengatakan bahawa hadith di
atas merujuk kepada penciptaan SELEPAS enam hari yang disebut di dalam
al-Qur'an. Bagaimanapun tafsiran ini jelas salah kerana menurut Surah
41:9, gunung-ganang dicipta pada enam hari penciptaan, dan dalam hadith
di atas, juga disebut mengenai penciptaan gunung-ganang.
Ada yang kata perawi hadith ini tersilap dalam periwayatannya. Terserah,
mungkin dia telah tersilap menambah satu hari, tapi ia tidak bermaksud
hadith itu sendiri palsu.
Ibn Kathir sendiri di dalam tafsirnya telah menggunakan hadith ini untuk
menjelaskan ayat al-Quran 7:54, menunjukkan bahawa dia selaku ulama
tafsir agung juga memahami hadith ini merujuk kepada peristiwa
Pnciptaan. Adam dikatakan dicipta pada waktu-waktu terakhir hari Jumaat,
iaitu selepas Asar.
Hadith ini langsung tidak mencuba menerangkan hari-hari yang disebut itu
bukanlah literal, tetapi beribu-ribu tahun, misalnya. Muhammad dalam
hadith itu dengan sengaja menggunakan hari-hari tradisional yang biasa
kita fahami tanpa menjelaskannya dengan lebih lanjut. Perbuatan ini oleh
Muhammad menunjukkan bahawa Nabi sendiri memahami bahawa alam ini
dicipta dalam masa enam hari yang TERDIRI daripada waktu 24 jam setiap
satu.
Al-Qur'an datang setelah ajaran-ajaran langit lain seperti Kristian dan
Yahudi, dan kedua-dua agama itu mempercayai bahawa Allah (mereka
memanggilnya dengan God the Father, atau Yahweh, tapi kita merujuk
kepada Pencipta yang sama) telah mencipta alam semesta dalam masa enam
hari yang terdiri dari 24jam setiap hari (Rujuk sini).
Agama Islam yang datang kemudian telah menngakuinya dan memberitahu
perkara yang sama. Jika hendak berhujah bahawa hari di sini bukan
bermaksud literal, perlu ada hadith dari Nabi sendiri yang menjelaskan
secara jelas bahawa "Enam hari yang dimaksudkan sebenarnya adalah enam
tempoh, BUKAN ENAM HARI (24 Jam setiap hari)".
Tapi Muhammad tak buat begitu, melainkan cuma mengulangi saja apa yang
kitab Bible sebutkan. Disebabkan ini, dapat dilihat bahawa, menurut
Muhammad sendiri, "sittatu ayyam" atau enam hari itu, adalah literal.
Kalau tidak, apa pula maksud Adam diciptakan pada hari Jumaat, "selepas
Asar"?
Tafsiran lain
Pun begitu, ulama sebenarnya tetap berbeza pendapat apakah maksud "hari"
seperti yang dijelaskan di atas itu literal, atau apakah mungkin ia
terdiri daripada 1000 tahun (Sumber). Ini berdasarkan kepada ayat al-Qur'an:
Sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung (22:47)
Ini bermaksud enam hari penciptaan itu adalah dari perspektif Allah bukan manusia.
Tetapi, kalaupun kita ambil kira bahawa satu hari=1000 tahun, dan enam
hari=6000 tahun, ia masih bertentangan dengan fakta sains. Apakah
mungkin alam semesta ini tercipta dalam masa 6000 tahun? Bumi ini baru
berusia 4.5 billion tahun, bererti ia mengambil masa 10 billion tahun
selepas Big Bang untuk mendapatkan planet Bumi kita ini, bukan 6000
tahun.
Jadi bagaimana nak selarikan ayat ni dengan fakta sains, kedua-dua interpretasi ini adalah bertentangan dengannya!
Bagaimana pula dengan bumi yang dicipta selama 4 hari, dan langit
dicipta dalam 2 hari? Saya ada menyentuh mengenai perkara ini di suatu
lagi artikel saya dan pautannya ada di bawah. Tapi mari kita renung
sejenak, ini juga satu fakta yang aneh. Kenapa pula bumi yang kecil ini
mengambil masa yang lama untuk dicipta berbanding langit yang tidak
terkata luasnya, dengan bintang-bintang yang tak terhitung banyaknya di
dalamnya?
Saya sering mendapat jawapan balas yang mengatakan "Penemuan sains itu
berubah-ubah, tak semuanya benar, al-Qur'an saja yang benar, kita kena
dahulukan al-Qur'an". Tapi ini kalau dah menganggap bahawa kitab itu
benar, bagaimana kalau kita lihat dari sudut luar, sudut neutral,
sememangnya al-Qur'an itu nampak palsu.
Juga kalau betul berani
dan yakin, tolonglah jawab dalam peperiksaan anda, ataupun saat ditanya
mengenai bumi dan bintang-bintang, jawab bahawa bumi ini dicipta dalam
tempoh 4000 tahun dan langit pula 2000 tahun, kalau lebih berani, beri
jawapan yang lebih mendekati Muhammad sendiri iaitu alam ini dicipta
dalam tempoh enam hari (24 jam).
Kalau anda tak berani menjawab sedemikian, maka jadi munafiklah pula,
kerana tak buat sesuatu yang anda sendiri kononnya percaya dan seru
orang lain buat. Bermakna anda juga seperti saya, yakni memilih
penjelasan sains daripada penjelasan al-Qur'an.
Saya minta kalau ada yang ingin memberi komen untuk menjelaskan masalah ini, sila tulis di bawah.
Lihat lagi artikel-artikel lain berkenaan keganjilan fakta sains di dalam al-Qur'an:
Kontradiksi mengenai penciptaan alam semesta di dalam al-Qur'an
Bentuk bumi menurut al-Qur'an, leper atau bulat?
Al-Qur'an tidak menyatakan bumi bergerak, sebaliknya matahari yang bergerak mengelilingi bumi
Gunung-ganang tidak menghalang kejadian gempa, tetapi al-Qur'an mengatakan sebaliknya
Saya ingin menjemput para pembaca menekan pautan-pautan di atas dan
baca. Kalau ada jawapan atau komen, tolong berikan, saya berminat untuk
membacanya. Saya tidak ingin terlalu cepat mengatakan al-Qur'an itu ada
kesalahannya, jadi penjelasan yang rasional dan relevan dari anda
amatlah dialu-alukan.
No comments:
Post a Comment
Your comment will be atttend by admin soon, thank you.