Thursday 20 June 2024

Bersara awal (Early retirement)

Hari ini genap setahun saya telah bersara awal di usia 51 tahun dan tarikh terakhir saya bekerja ialah pada 19/06/2023.

Saya mula bekerja setelah tamat pendidikan sekolah menengah tingkatan 6 atas pada tahun 1991 dan berusia 19 tahun.

Kerja pertama saya ialah sebagai guru sandaran sementara menunggu keputusan ujian STPM.

Selepas setahun berkhidmat sebagai guru sandaran saya beralih ke perkhidmatan perbankan bermula sebagai juruwang (cashier) di sebuah syarikat kewangan, Hock Thai Finance Corpn Bhd.

Saya berkhidmat selama 12 tahun sebagai 'banker' dan pada tahun 2004 saya berkhidmat di pusat dialisis bulan sabit merah bermula sebagai pegawai kebajikan selama 6 tahun.

Seterusnya saya berkhidmat di sektor perhotelan mulai 2010 sehingga bersara pada tahun lepas, Jun 2023.

Kehidupan sebagai pesara tidak jauh bezanya dengan sewaktu bekerja, cuma rutin harian kini sangat bebas tanpa sebarang tekanan dan boleh buat apa sahaja yang diingini.

Kerja sambilan yang saya buat sekarang ialah membaiki barangan elektronik/elektrik sebagai hobi dan saya lebih tumpukan kepada membaiki dekoder astro NJOI.

Antara peralatan elektrik yang biasa dirujuk untuk dibaiki ialah seperti penyedut hampagas (vacuum cleaner), oven, microwave, sistem suara (sound system), pengisar, mesin basuh, radio, kipas angin, cerek elektrik, alat kawalan jauh (remote control) serta banyak lagi.

Saya juga boleh membaiki TV namun masalah yang sering dihadapi ialah susah mendapatkan alat ganti terutamanya module papan litar berikutan pengilang hanya membekalkan alat ganti kepada agen yang dilantik oleh mereka sahaja. Jadi kebarangkalian TV berjaya saya baiki sangat rendah.

Semua perkongsian membaiki peralatan elektrik/elektronik yang ada pada blog saya adalah hasil daripada pengalaman sendiri.

Suatu hari kelak saya akan bersara sepenuhnya bila kesihatan tidak mengizinkan terutamanya masalah pengelihatan sebab komponen elektronik kini semakin kecil serta sangat halus.

Sudahkah anda bersedia untuk bersara? Usia persaraan wajib di negara kita buat masa ini ialah 60 tahun dan telah ada ura-ura mengatakan akan dinaikkan ke 65 tahun. Pernahkan anda terfikir untuk bersara awal?

Pastikan anda ada simpanan yang mencukupi atau ada pendapatan pasif setelah bersara agar tidak berhadapan dengan masalah kewangan. Berapakah simpanan yang kita harus ada untuk bersara dengan selesa sehingga ke hujung nyawa?

Renung-renungkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.