Benarkah Parameswara seorang Islam?
Prof Solehah menyebut Parameswara seorang Islam, namun tiada sebarang catatan yang meyakinkan mengatakan Parameswara seorang Islam. Beliau mendakwa nama Parameswara adalah gelaran/panggilan yang ditulis oleh Tome Pires sebagai Pamitrah. Sebenarnya dalam Suma Oriental, karya Tome Pires, nama Parameswara bukan disebut “Pamitrah” tetapi dituliskan sebagai “Paramicura”.
Prof Solehah menyandarkan alasannya yang Parameswara berugama Islam dengan menyebut pada tahun 1262 telah wujud kerajaan Islam Samudera Pasai. Maka Parameswara juga tentulah berugama Islam. Hujahan ini tidak cukup meyakinkan, ini kerana Samudera Pasai bukannya Melaka.
Dalam kajian saya terhadap Srivijaya dan Melaka membuat kesimpulan bahawa Parameswara adalah anakanda kepada Adityawarman. Dalam 明史 (Míngshǐ), Buku Sejarah Dinasti Ming menyebut, “明太祖洪武二年 (1369) 明太祖派赵述出使三佛齐,王坦麻沙那阿遣使随赵述进贡. Pada tahun ke-2 era 洪武 (Hóngwǔ) semasa pemerintahan Maharaja 明太祖 (Míngtài zǔ) (1369), baginda telah menghantar utusan bernama 赵述 (Zhào shù) ke Sān fó qí. Raja Sān fó qí, 坦麻沙那阿 (Tǎn máshā nà ā) telah menghantar utusan mengikut Zhào shù menghadap ke istana.”
Tentang kemangkatannya dituliskan, "洪武九年 (1376), 坦麻沙那阿死." Di tahun ke-9 era Hóngwǔ semasa pemerintahan Maharaja Míngtài zǔ (1376), Tǎn máshā nà ā telah meninggal dunia. Dipercayai bagindalah yang disebut sebagai Adityawarman dari Dinasti Mauli berdasarkan tarikh kemangkatannya bertepatan dengan catatan China yang menyebut tahun 1376 manakala catatan Indonesia menyebut tahun 1375.
Dalam catatan Dinasti Ming menyebut, "子麻那者巫里請紹封,獲封為三佛齊國王. Puteranya 麻那者巫里 (Mánà zhě wū lǐ) telah menghantar warkah ke istana dan beroleh watikah menjadi raja Sān fó qí.” Baginda merupakan raja terakhir Sān fó qí atau Srivijaya. Dalam prasasti Saruaso II menyebutnya sebagai Ananggawarman. Dipercayai Parameswara adalah adinda kepada Ananggawarman yang melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu setelah Palembang diserang oleh Majapahit yang akhirnya membuka Melaka.
Srivijaya ditewaskan oleh Majapahit seperti yang dicatatkan dalam Míngshǐ, "明洪武三十年 (1397), 满者伯夷国海军攻占旧港,灭三佛齐. Pada tahun ke-30 era 洪武 (Hóngwǔ) semasa pemerintahan 明太祖 (Míngtài zǔ) (1397), angkatan laut Majapahit telah menyerang dan menduduki Palembang maka berakhirlah kerajaan Sān fó qí iaitu Srivijaya.” Inilah catatan China yang menyebut Srivijaya lenyap pada tahun 1397.
Dari sumber China hanya menyebut Parameswara meninggal dunia pada tahun 1414 yang bermakna jarak masa antara tahun 1376 ke 1414 ialah 38 tahun, yakni jarak kemangkatan antara seorang bapa dengan kemangkatan anaknya cuma 38 tahun dan ia adalah angka yang sangat wajar. Manakala Melaka didirikan sekitar tahun 1400 iaitu 24 tahun selepas kemangkatan Adityawarman dan 3 tahun selepas kejatuhan Srivijaya di tangan Majapahit pada tahun 1397.
Disebabkan Ananggawarman telahpun mewarisi takhta kerajaan Palembang maka Parameswara mencari untung nasib ke Semenanjung Tanah Melayu setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya. Oleh itu adalah wajar mengatakan bahawa Parameswara adalah anakanda kepada Adityawarman yang secara tidak langsung pewaris kepada kerajaan Melayu Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu.
Tome Pires yang menulis Suma Oriental mengejakan "Paramicura" yang bersumberkan dari catatan China 拜里迷蘇剌 (Bài lǐ mí sū lá, dibacakan Pai li mi su la). Lalu kemudiannya ahli-ahli sejarah mengaitkan perkataan "Paramicura" dengan perkataan Sanskrit Parameśvara (परमेश्वर) iaitu imej lain bagi Śiva atau Mahadewa maka lahirlah nama "Parameswara". Sedangkan sumber primer dalam bahasa Cina yang menyebut "Pai li mi su la" tidak ada kaitan langsung dengan konsep ketuhanan "Parameśvara". Oleh itu sah bahawa Parameswara bukan berugama Hindu.
Adakah Parameswara berugama Islam?
Jika dilihat kembali pada tahun 1347, Adityawarman telah menambah pahatan aksara pada bahagian belakang arca Amoghapasa yakni bahagian tambahan alas berbentuk empat segi di bawah arca tersebut yang diberikan oleh Kertanegara, raja Singhasari kepada Tribhuwanaraja, raja Malayu di Dharmasraya pada tahun 1208 Saka atau 1286 Masehi yang dijumpai di Padang Roco, Dharmasraya. Sebahagian besar isinya merupakan puji-pujian kepada Adityawarman.
Dituliskan, "Dia yang memiliki pengetahuan mendalam tentang Mahayana yang tiada terbatas, Dia yang telah menaklukan bahaya dan mengumpulkan seluruh permata dari jari-jari musuhnya, Dia di antara para penguasa di dunia ini, Dia yang telah mencapai keagungan. Maharājādhirāja Śrīmat Śrī-Udayādityavarmma Pratāpaparākrama Rājendra Maulimāli Varrmmadeva, Dia yang berkuasa untuk diketahui semua."
Dengan ini jelas menunjukkan yang Adityawarman berugama Buddha dari aliran Mahayana, maka tentulah Parameswara juga berugama Buddha. Selain daripada itu, Srivijaya yang menguasai 15 buah negara-negara naungan semuanya menganut ugama Buddha. Palembang pula adalah pusat pengajian ugama Buddha yang terbesar di luar India ketika itu.
Semasa Srivijaya, negara-negara naungan Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu yang kekal sehingga pembentukan negara kita sekarang ialah Fo luo an yakni Kedah Tua, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pusat pemerintahannya terletak di Kedah Tua, ini kerana Srivijaya mengamalkan bentuk pemerintahan “以二國分總 (yǐ èr guó fèn zǒng) yang jelas bahawa dari segi pentadbiran ia dibahagikan kepada dua pusat pemerintahan negara yakni di selatan dan utara.” Manakala Johor dan Temasik ditadbir secara terus dari Jambi yang merupakan ibu kota Srivijaya ketika itu. Ia berpindah dari Palembang pada tahun 992 setelah Palembang diserang oleh Jawa Timur pimpinan Dharmawangsa.
Benarkah Samudera Pasai telah wujud sejak tahun 1262?
Saya tidak mempunyai catatan dari sumber Arab, minta tanya Prof Solehah dari mana sumber primernya. Namun demikian saya mempunyai sumber yang boleh dikaitkan bahawa sebahagian daripaada 15 buah negara naungan Srivijaya telahpun merdeka seawal tahun 1225. Ia berpandukan buku 诸蕃志 (Zhū fān zhì) karya Chau ju-kua yang diterbitkan dalam tahun 1225.
Dicatatkan, "旧属三佛齐,后因争战,遂自立为王. Jambi adalah bekas negara naungan Sān fó qí, kemudiannya disebabkan berperang (dengan Sān fó qí) dan beroleh kerajaan sendiri dan menjadi raja.” Ini bermakna hanya Jambi adalah negara naungan Srivijaya yang terawal memperolehi kemerdekaan dari Srivijaya pada awal abad ke-13.
Catatan kedua diperolehi dari 元史 (Yuánshǐ), Buku Sejarah Yuan yang menyebut pada tahun 1284 seorang ahli pelayaran dan diplomat berbangsa Uyghur, 亦黑迷失 (Yì hēi míshī) menjunjung titah Kublai Khan telah menemui ketua-ketua negara di Asia Tenggara. Hingga tahun 1286, Dinasti Yuan telah menerima perakuan tunduk daripada 10 buah negara Nanyang (negara-negara di selatan China amnya) termasuklah Samudera Pasai. Sebenarnya Samudera Pasai adalah sebahagian daripada negara naungan Srivijaya yang disebut Lamri atau Lamuri iaitu Aceh kemudiannya.
Berdasarkan catatan ini pada tahun 1286 Samudera Pasai telahpun menjadi sebuah kerajaan yang berasingan daripada Lamuri setelah Lamuri memperolehi kemerdekaan dari Srivijaya. Maka dengan itu adalah logik Samudera Pasai didirikan pada tahun 1262.
Dengan sumber-sumber ini mengesahkan bahawa Islam hanya disampaikan kepada pemerintah Jambi dan Samudera Pasai pada awal abad ke-13. Namun ketika itu Palembang yang merupakan pusat pemerintahan utama Srivijaya masih lagi mengamalkan ugama Buddha. Jika dikatakan Parameswara adalah berketurunan anak raja Palembang setelah Srivijaya ditewaskan oleh Majapahit pada tahun 1397, maka tentulah Parameswara juga berugama Buddha.

No comments:
Post a Comment
Your comment will be atttend by admin soon, thank you.