Friday, 5 August 1983

Isra' dan Mi'raj: Analisa dari perspektif Islam dan bukan Islam

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Isra' dan Mi'raj merupakan satu peristiwa yang dikatakan pernah berlaku ketika hayat Muhammad, di mana dia telah pergi dari Mekah ke Baitulmaqdis, dan kemudian diangkat ke langit, dalam satu malam.

Isra' berasal dari perkataan سرى (sara) yang bermaksud mengembara di tengah malam, dan mi'raj dari kata عرج (araja) yang bermaksud menaiki. Isra' merujuk kepada perjalanan pertama Muhammad di mana dia dikatakan telah dibawa seekor haiwan berkepak yang telah menerbangkannya dari Mekah ke Baitulmaqdis dalam satu malam, dan setibanya di sana, dia telah naik pula (mi'raj) ke langit tertinggi dan telah bercakap-cakap dengan Allah. 

Sejujurnya, jika cerita ini diucapkan oleh seseorang pada zaman ini, kita akan melabelnya sama ada seorang yang gila, atau seorang penipu. Inilah label yang telah dilemparkan kepada Ayah Pin dan pengikutnya.


Walaupun dulu saya seorang Muslim, tetapi ketahuilah, sekarang ini apabila dihidangkan dengan cerita Isra' Mi'raj, gambar di atas itulah yang saya bayangkan tentang Muhammad. Seandainya orang Islam boleh melihat kekarutan dalam perkara ini, ia akan lebih menguntungkan mereka. Mereka gemar menghina Ayah Pin dan pengikutnya, tetapi ketahuilah satu jari yang dituding kepada Ayah Pin, sebenarnya lagi empat jari menunjuk ke arah mereka sendiri. 

Peristiwa Isra' Mi'raj.

Tarikh berlakunya isra' mi'raj tidak dipersetujui di kalangan para pendeta Muslim, dan mereka memberikan pelbagai macam pendapat, ini kerana tidak adanya satu hadith sahih yang menyebutkan secara tepat tarikh bila ia berlaku. Ada yang mengatakan ia berlaku setahun sebelum hijrah (Ibn Sa'd), berlaku pada tahun Muhammad dilantik sebagai nabi (at-Tabari), tiga tahun sebelum hijrah (Ibn al-Athir) atau lima tahun sebelum hijrah (an-Nawawi). 

Berkenaan bulan juga sama tidak disepekati, ada pendapat yang menyebut ia berlaku pada bulan Rabi'ul Awal, ada yang meyebut Rabi'ul Akhir dan pendapat yang paling diterima sekarang ialah 27 Rejab. 

Peristiwa ini dikatakan berlaku pada satu malam yang sama dan telah diriwayatkan oleh sekian banyak hadith, dengan periwayatan yang cukup panjang lebar dan terperinci. Agak sukar untuk kita lihat kesemuanya, maka cukup untuk kita pergi kepada beberapa poin penting. Jadi saya ringkaskan peristiwa yang berlaku. 

Pada suatu malam, dikatakan atap rumah Muhammad telah dipecahkan dan malaikat Jibril turun masuk. Jibril kemudian telah membelah dada Muhammad dan membasuh dadanya dengan air zam-zam dan memasukkan dadanya dengan "hikmah" dan "iman" dari sekeping pinggan emas. Setelah itu, kemudian dadanya ditutup semula oleh Jibril. Dari babak pertama cerita ini saja sudah membuatkan kita berfikir, apakah benar ini berlaku, ceritanya cukup kedengaran seperti lagenda, tetapi itulah yang didakwa berlaku seperti diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan lainnya. Bahkan saya pernah mendengar adanya ustaz yang pernah mengatakan inilah kali pertama dalam sejarah operasi pembedahan telah berjaya dilakukan ke atas manusia! 

Terdapat perbezaan riwayat tentang dari mana sebenarnya Muhammad memulakan isra'nya, hadith Bukhari menyebutkan dari rumahnya (hadith 349), al-Baihaqi menyebutkan dari Masjidil Haram (Dalaa'il An-Nubuwah 2/36-142), manakala Ibn Hisyam menyebutkan dari rumah sepupu Muhammad, Hind bint Abu Talib (Ummu Hani) (2: 52-53). Pun begitu kisah berkenaan isra' dari rumah Ummu Hani telah dikritik sebagai riwayat yang lemah. 

Untuk mengelakkan percanggahan dengan ayat al-Qur'an yang menyebutkan Muhammad diisra' dari Masjidil Haram, ada ulama menyebutkan Muhammad telah dibawa dari rumahnya ke depan Kaabah dahulu, kemudian barulah dia dibawa ke Baitulmaqdis. Dia isra' menaiki buraq, iaitu seekor makhluk semacam kuda atau keldai (ia dikatakan lebih kecil daripada kuda, tetapi lebih besar daripada keldai).

Ketika Muhammad di isra’ kan dari mekah ke baitulmaqdis, dia telah diperlihatkan beberapa perkara ajaib yang memberinya pengajaran, termasuk imej beberapa orang diseksa untuk pelbagai macam dosa. Setiap apa yang dilihatnya, Jibrail menceritakan apa yang berlaku. Setelah tiba di baitulmaqdis, Muhammad bersolat jemaah sebagai imam, mengimami roh-roh nabi-nabi sebelumnya yang turut sama bersolat dengannya di Masjidil Aqsa. Kemudian dia naik ke langit dengan menaiki tangga dan melalui langit pertama sehingga langit ketujuh. Di setiap langit dia bertemu dengan nabi-nabi tertentu. 

Akhirnya Muhammad bertemu dengan Allah taala di sidratul muntaha. Allah telah memberikan perintah kewajipan untuk solat lima waktu. Setelah itu dia turun semula ke bumi, dan dibawa semula ke Mekah. Tiba waktu pagi di Mekah, Muhammad telah menceritakan bahawa dia telah pergi dalam satu malam ke Baitulmaqdis dan kembali, dan ini telah disangkal oleh orang ramai. 

Jika diikut riwayat, untuk membuktikan bahawa dia telah pergi ke Baitulmaqdis, dia telah menceritakan apa yang dilihatnya di Baitulmaqdis, dan juga menceritakan tentang kafilah dagang yang dilihatnya dalam perjalanan ke Mekah. Apabila kafilah dagang itu tiba, adalah dilihat mereka itu sama seperti apa yang diceritakan Muhammad. Mereka yang pernah ke Baitulmaqdis sebelum itu, dikatakan bersetuju dengan gambaran Muhammad tentang rupa bentuk Baitulmaqdis seperti yang diceritakan Muhammad. 

Begitulah ringkasan ceritanya. 

Ada banyak percanggahan berkenaan cerita isra' mi'raj ini, disebabkan banyaknya hadith yang diriwayatkan tetapi saling bercanggahan dan tidak memberi urutan cerita yang sama. Lebih buruk, banyak hadith-hadith yang diriwayatkan tentang isra' mi'raj ini lemah dan telah dicela periwayatannya oleh ramai ulama-ulama hadith sendiri. Menyebabkan kita mula bertanya, apa yang menyebabkan orang Islam dahulu begitu suka mencipta hadith berkenaan isra' mi'raj ini? Apakah kerana ia satu kisah ajaib yang cukup hebat dan menarik sehingga perbuatan menokok tambah cerita begitu sukar untuk dilawan?

Percanggahan pendapat juga berlaku dalam beberapa perkara,  seperti berikut: 

1) Adakah peristiwa mi'raj berlaku dalam keadaan Muhammad tidur atau terjaga? Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa perbezaan pendapat ulama adalah berkenaan mi'raj, tetapi peristiwa isra' tidak diperselisihkan. Pun begitu, majoriti ulama percaya ia berlaku dalam keadaan Muhammad terjaga kerana jika Surah al-Isra' ayat 17:1 mengatakan Allah memperjalankan "hambanya" yang bermaksud roh dan jasad. 

2) Berapa kali peristiwa mi'raj berlaku? Walaupun pendapat masyur adalah ia berlaku cuma sekali, tetapi ada yang mengatakan ia berlaku dua kali. Satu dalam keadaan Muhammad tidur, dan satu dalam keadaan Muhammad terjaga. Ada juga yang mengatakan ia berlaku berkali-kali, seperti pendapat al-Imam Abu Syamah.

Ada yang mengatakan ia berlaku berkali-kali kerana perbezaan-perbezaan dalam hadith dan juga kerana tidak ada satu hadith yang menyusun kesemua peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam satu riwayat saja. Riwayat-riwayat tentang isra’ mikraj ini, jika dilihat, sangat banyak dan ada hadith-hadith yang cukup panjang. Yang anehnya, setiap kali diceritakan tentang peristiwa ini, pasti ada perbezaan. Peristiwa pembelahan dada juga diceritakan berlaku pada tempat dan masa berbeza, yang menyebabkan adanya ulama yang mengatakan ia berlaku berkali-kali. 

Banyak peristiwa yang ada diceritakan di dalam satu hadith, tetapi tidak diceritakan pula di hadith lain, bahkan ada yang bercanggahan, seperti contoh nabi apa yang ditemui oleh Muhammad pada langit-langit tertentu. 

3) Adakah Muhammad melihat Allah di Sidratul Muntaha? Aisyah dan Ibn Mas'ud mengatakan Muhammad tidak melihat Allah, manakala Abu Zar dan lainnya menyebut Muhammad melihat Allah dengan mata kepala sendiri.

Tarikh bila berlakunya Isra' Mi'raj

Seperti disebut di atas, tidak ada tarikh disebut dalam hadith tentang bila berlakunya peristiwa ini, tetapi ia berlaku selepas Muhammad mendakwa dirinya dilantik sebagai nabi dan rasul. Ketika itu, Baitul Maqdis masih di bawah pemerintah kerajaan Byzantine, Heraklius.

Status Masjidil Aqsa ketika itu

Walaupun tidak disebut secara spesifik di manakah Baitul Maqdis, tetapi sepanjang sejarah memang lokasi itu disebut dan diterima orang Islam sebagai kota Jerusalem. Masjid al-Aqsa berada di kota Baitul Maqdis (Jerusalem). Ketika peristiwa isra' mi'raj ini, tidak ada bangunan di lokasi al-Aqsa, kerana masjid al-Aqsa belum dibina, manakala kuil Sulaiman pula telah dihapuskan ketika tahun 70 Masihi.

Tetapi perkataan masjid itu sebenarnya boleh merujuk kepada satu kawasan untuk bersembahyang, walaupun tidak ada dinding atau bangunan di situ. 

Maka apabila dikatakan Muhammad diisra'kan ke Masjid al-Aqsa, ia sebenarnya tidak mendatangkan masalah walaupun bangunan masjid al-Aqsa itu belum dibina waktu itu ataupun tiada bangunan di situ. Yang penting ada sempadan, dan kawasan Temple Mount atau bekas lokasi kuil Sulaiman itulah yang disebut sebagai masjid al-Aqsa oleh orang Islam. 

Ketika Muhammad dikatakan pulang dari Baitul Maqdis, hadith mengatakan ketika dia dipersoal oleh warga Mekah untuk membuktikan dakwaannya, dia telah menjelaskan bagaimana rupa masjid. Kita hanya boleh membayangkan yang Muhammad sedang menggambarkan kawasan terbuka tanpa bangunan. 

Ringkasan tentang hadith Isra' dan Mi'raj

Saya ringkaskan beberapa hadith yang berkaitan dengan peristiwa isra' mi'raj ini di bawah untuk kita melihat tema-tema utama yang disebutkan. Hadith-hadith ini telah dikumpulkan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti di dalam kitabnya al-Ayah al Kubra fi Syarh Qishah al-Isra'. Mari kita lihat. 

Hadith riwayat Muslim (Sahih Muslim, Kitab al-Iman): Menceritakan Muhammad menaiki buraq ke Baitul maqdis, dan di situ dia telah diberikan pilihan susu dan arak, dan dia memilih susu. Tidak ada apa yang diceritakan berlaku dalam perjalanan antara Mekah dan Baitulmaqdis. Kemudian dia naik ke langit dan melalui tujuh langit dan bertemu dengan nabi-nabi berbeza di setiap langit. Berlakunya perintah solat lima waktu. 

Status hadith: Sahih.

Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari Kitab al-Tauhid): Menceritakan atap rumah Muhammad dipecahkan dan Malaikat masuk serta membelah dan membersihkan dada Muhammad. Riwayat ini tidak menyebut tentang isra', kerana setelah dada Muhammad ditutup, dia terus dibawa ke langit. 

Dalam perjalanan di langit, dia bertemu dengan beberapa Nabi, akhirnya disebut tentang perintah solat lima waktu.

Status hadith: Sahih

Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tauhid): Bermula dengan Muhammad tidur di Masjidil Haram, kemudian datangnya malaikat dan membelah dadanya di masjid itu (berbeza dengan hadith kedua di atas yang mengatakan dada dibelah di rumahnya). Hadith ini juga tidak menyebut tentang peristiwa isra', tetapi terus menceritakan Muhammad dimi'raj ke langit dan bertemu para nabi di setiap langit. 

Status hadith: Walaupun disebut oleh al-Bukhari sebagai sahih, tetapi hadith ini mempunyai seorang bernama Syarik dalam perawinya, dan Ibn Kathir berkata Syarik mempunyai hafalan lemah (tafsir ibn kathir), Imam Muslim mengatakan Syarik selalu menambah dan mengurangkan riwayat, Imam Nawawi pula berkata riwayat syarik di atas mempunyai keraguan yang diingkari ulama. 

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Menyebutkan Muhammad diisra' ke Baitul maqdis, dan sementara dalam perjalanan telah ternampak orang tua uzur, dan juga beberapa nabi yang memberinya salam. Setibanya dia Baitul Maqdis, Muhammad telah diberikan pilihan air susu dan air arak. 

Status hadith: Sahih

Hadith riwayat Ibn Abi Hatim (dikutip dalam Tafsir Ibn Kathir): Menceritakan Muhammad telah diisra'kan ke Baitulmaqdis. Hadith ini menyebutkan Muhammad terus sampai ke Baitul Maqdis tanpa dia melihat apa-apa peristiwa menarik dalam perjalanan. Tidak ada orang tua uzur seperti mana disebut hadith di atas. Setibanya di Baitulmaqdis, dia telah terlihat para bidadari sedang duduk di perkarangan masjid, dan dia bercakap-cakap dengan bidadari.

Muhammad kemudian mengimami solat para nabi dan kemudian dia naik ke langit. Sama seperti riwayat lain, dia telah menembusi tujuh langit dan bertemu dengan nabi-nabi yang berbeza di setiap langit. Akhirnya dia menerima perintah solat lima waktu di sidratul muntaha. Kemudian Muhammad turun semula dan kembali ke Mekah. 

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Muhammad terlihat adanya kafilah dagang dalam perjalanan ke Mekah, yang mana ada seekor unta membawa kantong hitam dan putih, yang mana unta ini berlari dan berpusing-pusing dan menyerang unta lain. Apabila Muhammad sampai di Mekah, Muhammad menceritakan tentang peristiwa isra' mi'raj, termasuk kejadian unta. Penduduk Mekah menafikan cerita Muhammad, tetapi apabila kafilah dagang itu tiba di Mekah, penduduk Mekah bertanya apa yang berlaku, dan kafilah dagang itu menceritakan sama seperti apa yang diceritakan Muhammad. 

Status hadith: Ibn Kathir kata hadith ini mempunyai kandungan yang "gharib yang mengagumkan". Sebahagian ahli hadith menganggap ia lemah termasuk Ibn Mu'in, Imam Ahmad ibn Hanbal, an-Nasa'i, ad-daruqutni. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Malaikat tiba ketika Muhammad sedang tidur, dan dadanya dibelah. Muhammad kemudian menaiki buraq, tetapi riwayat ini menyebutkan Muhammad terus pergi ke langit, tanpa menyebutkan tentang isra' ke baitulmaqdis. Seperti biasa, hadith ini menyebutkan Muhammad pergi ke langit yang berbeza sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. 

Kemudian menyebutkan Muhammad pergi ke Baitul Ma'mur di langit, dan di kemudian dia diberikan pilihan susu dan madu. Jadi hadith ini berbeza dengan hadith lain, kerana hadith lain menyebutkan Muhammad diberi pilihan susu/madu ketika di Masjid al-Aqsa, manakala hadith ini menyebutkan ketika Muhammad sudah di langit barulah diberi pilihan. 

Status hadith: Sahih, dan diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim.

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Ketika Muhammad sedang tidur, ada yang mengejutkannya dan dia tidak melihat sesiapa, tetapi dia dengar suara. Dia kemudian keluar dari masjid mengikut arahan suara itu dan melihat ada buraq. Dia naik buraq dan ketika dalam perjalanan, dia terdengar suara memanggil dari sebelah kanan dan sebelah kiri, tetapi dia tidak menjawab. Dia juga terlihat ada seorang perempuan yang terbuka betisnya memanggilnya, tetapi dia juga tidak menjawab. 

Setelah tiba di al-Aqsa, malaikat jibril datang dan memberinya pilihan susu dan arak. Kemudian Muhammad bertanya tentang apa yang dilihatnya, dan Jibril berkata suara yang didengarnya adalah sebenarnya adalah suara Yahudi dan Nasrani, dan jika Muhammad menjawab maka umatnya akan menjadi Yahudi dan Nasrani. Perempuan yang dilihatnya adalah harta benda dunia, dan jika Muhammad menjawab, maka umat Muhammad akan memilih harta benda dunia mengalahkan Akhirat. 

Muhammad kemudian solat di Masjidil Aqsa, dan kemudian naik ke langit. Dalam perjalanan ke langit, dia melihat beberapa perkara, termasuk beberapa kejadian ajaib termasuk:

1) Ada daging di atas meja, tetapi tiada siapa yang makan. Di satu meja lain ada pula daging busuk tetapi ramai orang yang berebut memakannya. Jibril menyebut ini kelompok umat Muhammad yang memilih harta haram dan meninggalkan yang halal. 

2) Melihat satu kaum yang perutnya sebesar rumah sehingga tidak dapat berjalan kerana terlalu besar. Jibril mengatakan ini orang yang memakan riba

3) Suatu kaum yang bibirnya dibuka untuk menelan bara api, dan keluar melalui dubur. Jibril berkata ini orang yang memakan harta anak yatim. 

Hadith ini bersambung dengan beberapa peristiwa lagi. Muhammad kemudian bertemu beberapa nabi di setiap langit. Ketika di sidratul muntaha, Muhammad melihat syurga dan melihat bidadari dan sungai-sungai. Akhirnya Muhammad kembali ke bumi dan pulang ke Mekah. 

Hadith in berakhir dengan Muhammad berhadapan dengan kaum Quraisy dan kaum Quraisy mempersoal apa yang berlaku setelah Muhammad mendakwa dia isra dan mi'raj. Muhammad menyebutkan dia melihat ada unta yang berlari-lari, kemudian dia juga menggambarkan gambaran baitul Maqdis. 

Status hadith: Ibn Kathir menyebut hadith ini diriwayatkan oleh Abu Harun al-Abdi, dan dia dianggap lemah oleh para imam lain. Syu'bah pernah berkata: Sesungguhnya aku lebih senang dipukul leherku daripada aku harus meriwayatkan hadith daripada Abu Harun. 

Dilihat hadith ini mempunyai banyak tambahan cerita yang tidak ada di hadith lain, termasuk gambaran-gambaran yang dilihat Muhammad ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis dan juga dalam perjalanan ke langit. 

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Jibrail datang bersama Mika'il kepada Muhammad dan membelah dadanya. Kemudian dia menaiki buraq dan berlepas ke al-Aqsa. Dalam perjalanan ini dia melihat beberapa peristiwa yang tidak disebut dalam hadith-hadith yang lain, termasuk kaum yang bercucuk tanam, kaum yang kepalanya dihentak batu, kaum yang memakan batu api dan lain-lain. Untuk setiap kaum ini ada pengajarannya masing-masing. 

Dalam hadith ini, peristiwa-peristiwa yang dilihat dalam perjalanan adalah amat banyak, berbeza dengan hadith lain yang ada tidak menyebut apa-apa pun. Muhammad kemudian diberi pilihan susu dan arak, dan kemudian naik ke langit. Muhammad bertemu dengan nabi di setiap langit. 

Ketika di sidratul muntaha, dia melihat beberapa perkara ajaib termasuk pokok gergasi yang untuk mengelilinginya perlukan tujuh puluh tahun. 

Status hadith: Az-Zahabi mengatakan hadith ini mempunyai lafaz yang sangat mungkar. As-Suyuti mengatakan hadith ini mempunyai perawi bernama Abu Ja'far al-Razi yang mana adanya perselisihan ulama tentang sama ada dia boleh dipercayai atau tidak.  Ibn Kathir menyebutnya hadith yang mungkar dan Abu Ja'far ar-Razi mempunyai hafalan yang lemah.

Hadith riwayat Abu al-Fadl bin Umar (Al-Khasa'il al-Kubra): Jibrail datang kepada Muhammad dan mereka bertolak di atas Buraq. Dalam perjalan, dia bertemu dengan lagi perkara yang tidak disebut di dalam hadith lain. Ini termasuk bertemu dengan Musa dan Ibrahim dan bercakap-cakap dengan mereka. 

Ketika tiba di Masjidil Aqsa, dia masuk ke masjid dan diberi susu/arak. Dia kemudian bersolat dan hadith ini tamat. 

Status hadith: Di dalam tafsirnya Ibn Kathir mengatakan ada perkara ganjil dalam hadith ini kerana menyebutkan Muhammad bertemu dengan para nabi sebelum sampai ke masjidil Aqsa, walhal hadith lain menyebut dia bertemu nabi di langit. 

Hadith riwayat Ibn Ishaq (al-Sirah an-Nabawiyah): Hadith pendek ini menyebut Muhammad tidur di rumah sepupu perempuannya, Ummu Hani dan kemudian telah diisra'kan ke Baitul maqdis.

Status hadith: Hadith ini mempunyai perawi bernama al-Kilabi al-Kufi, yang mana dia dikatakan pernah mereka-reka hadith. Rujuk kitab Dhu'afa al-Bukhari (no. 332).

Hadith riwayat at-Tabrani (Mujam al-Kabir): Hadith pendek yang menyebutkan Muhammad di bawa ke langit dan melihat pokok syurga dan dia telah memakan dari buah itu. 

Status hadith: Hadith maudhu'. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Muhammad diisra' ke Masjidil aqsa, tetapi disebutkan bahawa dia tidak bersolat di situ tetapi telah pergi ke langit. Hadith ini ganjil kerana berbeza dengan hadith lain kerana ia menyebutkan Muhammad tidak bersolat di masjidil aqsa. 

Status hadith: Imam Tirmizi menyebutkan ia sahih. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Hadith ini ringkas dan menyebutkan Muhammad di isra' ke Baitul Maqdis dan kemudian kembali. Tidak menyebutkan langsung tentang mi'raj. Kemudian hadith ini memberi dialog antara Abu Jahal dan Muhammad ketika Muhammad cuba mempertahankan dakwaannya bahawa dia melengkapi perjalanan ke Baitul Maqdis dan kembali semula dalam satu malam. 

Disebutkan Muhammad menggambarkan sifat masjid, tetapi hadith tidak menyebutkan apakah sifat masjid itu. Sebenarnya hadith ini aneh kerana seperti disebut, tidak ada bangunan masjid di situ, jadi apakah dia cuma menggambarkan kawasan lapang? Jika diikut pada hadith itu, Muhammad dikatakan tidak ingat rupa masjid itu sehingga kononnya dia diberi gambaran di depannya, dan dia menggambarkan apa yang dilihatnya. Jika kawasan lapang, apa yang susah sangat hendak diingat?

Status hadith: Perawi hadith ini thiqah, menurut al-Haithami dalam al-Majma'.

Perbincangan 

Kita dapat melihat bahawa ada banyaknya perbezaan di dalam kandungan hadith antara satu sama lain. Ada tema yang sama diulang dalam beberapa hadith, seperti Muhammad isra' ke Al-Aqsa, bersolat di situ, naik ke langit, bertemu beberapa nabi di setiap langit, menerima perintah lima waktu dan akhirnya pulang ke bumi, kemudian dia berkongsi kisahnya dengan penduduk Mekah, dan apabila mereka tidak mempercayainya, dia telah memberi dua bukti; menggambarkan baitulmaqdis, dan menceritakan kisah unta. Ini tema utama.

Pun begitu, seperti dilihat, ada banyak maklumat yang tidak diceritakan di dalam satu hadith, tetapi diceritakan di dalam hadith yang lain. Jika peristiwa ini menarik dan ajaib, kenapa tidak menceritakan secara penuh? Bayangkan, dalam satu hadith, diceritakan peristiwa A, B dan C berlaku,manakala dalam hadith lain, dikatakan peristiwa D, E, F,G dan H berlaku, dan hadith lain pula menyebut P, Q dan R,  tetapi tidak pula disebut tentang peristiwa A, B dan C. Kenapa begitu?

Adakah ini bermaksud cerita-cerita ini ditokok tambah oleh perawi berbeza, seiring berlalunya waktu, dan cerita asalnya tidak begitu menarik dan tidak mempunyai peristiwa-peristiwa itu? Juga kita boleh melihat ada banyak daripada hadith -hadith di atas dianggap lemah. Kenapa begitu banyak yang dianggap lemah? Dan berapa banyak kandungan hadith itu yang perlu dianggap benar-benar terjadi, kalaupun tidak mahu ditolak keseluruhan ceritanya? 

Sudah pasti kalau ditanya saya, saya katakan ia tidak pernah berlaku, tetapi kalau para Muslim ingin menganggap ia berlaku, manakah kandungan hadith lemah ini yang boleh diterima?

Analisa hadith 

Hadith Imam Muslim yang pertama di atas tidak menyebutkan Muhammad mengimami solat di masjidil aqsa, manakala hadith lain menyebutkan secara spesifik bahawa Muhammad mengimami para nabi di situ. Hadith kedua dari al-Bukhari pula langsung tidak menyebutkan peristiwa Mi'raj, tetapi mengatakan Muhammad terus naik ke langit, seolah-olah isra' tidak berlaku.  

Hadith ketiga pula statusya dianggap lemah dan boleh ditolak, kandungannya juga berbeza kerana menyebutkan ada tiga orang yang datang bertemu Muhammad bukan cuma Jibrail, dan Muhammad juga tidak isra' tetapi terus mi'raj. Hadith keempat pula cuma menyebutkan tentang peristiwa isra', tetapi menambah peristiwa penampakan orang tua uzur dan juga kelibat dua malaikat. Hanya hadith ini yang menyebut peristiwa ini.

Hadith kelima dikatakan lemah, dan mempunyai tambahan maklumat, bahawa Muhammad melihat bidadari di masjidil aqsa. Hadith keenam tidak menyebut tentang peristiwa isra' langsung, tetapi terus menyebutkan bahawa Muhammad diangkat ke langit (mi'raj). Hadith ketujuh pula menambahkan lagi peristiwa-peristiwa yang dilihat ketika dalam perjalanan isra' (suara yahudi dan nasrani, dan wanita terbuka betis) dan juga ketika mi'raj.

Hadith kelapan menambahkan lagi peristiwa-peristiwa yang dilihat Muhammad ketika Isra' (lelaki yang kepala dihentak batu, memakan batu api, dipotong lidah dsb), dan menambah lagi cerita ketika di sidaratul muntaha. Malangnya hadith ini dipersoal statusnya. 

Hadith kesembilan dikatakan sahih, tetapi kandungannya menyebutkan Muhammad telah bertemu Ibrahim dan Musa ketika isra', yang mana ia berbeza dengan hadith-hadith lain yang mengatakan Muhammad bertemu dengan para nabi di langit, bukan ketika di isra'kan.

Daripada kesemua ini, kita boleh buat beberapa kesimpulan:

1) Jika benar peristiwa ini berlaku, kenapa setiap hadith menceritakan perkara yang berbeza tentang apa yang dilihat oleh Muhammad pada malam itu? Selain daripada tema utama iaitu pergi ke tujuh lapisan langit, detail di dalam hadith-hadith ini berbeza antara satu sama lain (Bahkan ada juga hadith yang berbeza tentang siapa nabi yang ditemui pada langit ke berapa).

Sebenarnya, jika betul Muhammad melalui peristiwa ini, bukankah lebih masuk akal jika ada lebih banyak persamaan berbanding perbezaan ketika meriwayatkan peristiwa ini? 

Akibat perbezaan-perbezaan dan tokok tambah ini, ia lebih menjurus kepada kesimpulan bahawa setiap perawi yang merawi cuma menokok tambah cerita apa yang dirasakan mereka telah berlaku pada malam itu. 

2) Ada tidak kurang lima hadith yang dianggap lemah atau palsu di dalam riwayat-riwayat tentang isra' mi'raj. Dan dikalangan hadith sahih pula adanya perbezaan kandungan. Kenapa ada banyak hadith yang lemah dalam kisah isra' mi'raj ini?

3) Muhammad dikatakan menggambarkan Baitul Maqdis, tetapi tidak ada satu pun hadith yang menyebutkan apa yang digambarkan oleh Muhammad itu. Kenapa tidak disebutkan? Adakah kerana perawi hadith itu sendiri pun tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan Muhammad, ataukah adakah Muhammad telah menyebut sesuatu yang jelas-jelas tidak tepat, memandangkan waktu itu masjid al-Aqsa belum dibina pun lagi, dan perawi hadith tidak ingin mengulangi apa yang diperkatakan Muhammad?

Ada satu hadith yang menyebutkan Muhammad menggambarkan bangunan masjid dan dikatakan dia menghadapi kesukaran untuk menggambarkan kerana tidak ingat rupa bentuk masjid itu, walaupun padahal tiada bangunan masjid ketika itu kerana belum dibina. 

4) Beberapa hadith menyebutkan Muhammad didatangi ketika dia sedang tidur, dan dikejutkan oleh Jibrail, dan ini dijadikan sandaran oleh beberapa ulama yang berpendapat bahawa isra' dan mi'raj itu berlaku dalam keadaan mimpi. 

Yakni, Muhammad setelah tidur tidak bangun dan apa yang dilihatnya masih dalam keadaan bermimpi. Menurut logiknya, ini lebih logik, iaitu segala apa yang dilihatnya hanya berlaku dalam mimpi. Jika ingin dianggap memang Muhammad pernah menceritakan peristiwa-peristiwa ini, Muhammad sebenarnya tidur pada suatu malam dan bermimpi kesemua ini. 

Untuk membuktikan bahawa Muhammad pernah ke Baitul maqdis, dikatakan Muhammad telah buat seperti berikut:

1) Hadith riwayat Ibn Abi Hatim menyebut Muhammad menceritakan kisah unta yang membawa beg hitam dan putih. Tidak menyebut apa-apa tentang gambaran Baitulmaqdis. Malangnya hadith ini dikatakan lemah. 

2) Hadith riwayat al-Baihaqi mengatakan Muhammad cuba menggambarkan "bangunan" Baitulmaqdis, tetapi tidak diketahui apakah yang dirujuknya, adakah masjid itu sendiri atau bangunan-bangunan di sekitarnya. Disebabkan tidak wujud bangunan masjid ketika itu, maka mungkin yang cuba digambarkan adalah bangunan di sekitarnya, tetapi perawi langsung tidak menyebutkan apakah yang digambarkan. Hadith ini juga dikatakan lemah.

3) Hadith riwayat Ahmad mengatakan Muhammad menceritakan sifat masjid, tetapi perawi tidak menyebutkan apa sifat masjid yang dimaksudkan. Memandangkan tidak ada bangunan di situ, dan ia hanya kawasan lapang, adalah aneh kenapa Muhammad tidak boleh mengingati apa yang konon dilihatnya baru beberapa jam sebelumnya pada malam itu, sehingga perlu "diperlihatkan" kepadanya imej masjid, walaupun yang sepatutnya dilihat hanyalah kawasan lapang tanpa bangunan. Jika hanya kawasan lapang, apa sebenarnya yang susah sangat hendak ingat? Ini semua menyebabkan cerita ini nampak ditokok tambah kemudian. 

Akhir kalam, untuk mengatakan bahawa seorang lelaki pernah pergi dari Mekah ke Baitulmaqdis menaiki kuda terbang dalam satu malam, dan naik pula tujuh lapisan langit dalam satu malam dan kembali semula semuanya dalam satu malam, ianya jelas bertentangan dengan akal. Jika cerita ini diceritakan oleh pengikut Ayah Pin, orang Muslim mentertawakannya, tetapi apabila nabi mereka sendiri yang menceritakan cerita ini, mereka telan bulat-bulat. 

Thursday, 5 August 1982

Syurga di dalam Islam: Pusat hiburan dan seks yang berkali ganda lebih teruk dari di dunia ini

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Syurga di dalam Islam digambarkan sebagai pusat seks agung, di mana terhidangnya bekalan wanita dan arak tanpa henti. Untuk mengurangkan impak imej hidangan arak di syurga ini, dikatakan arak ini tidak akan memabukkan. Jadi seakan-akan air bir 0% alkohol seperti yang diperkenalkan oleh Heineken. Tetapi Heineken 0% alkohol ini tetap diharamkan oleh para pendeta Islam di bumi ini.

Di syurga, para lelaki akan mendapat bekalan wanita bidadari tanpa henti. Paling kurang seorang lelaki akan dipayungi 70 orang wanita, yang bermata hitam seperti jeli,berdada besar dan mempunyai dara. Setiap kali dara mereka dirobek, ia akan kembali dara seperti sediakala. Inilah keseronokan yang ditawarkan kepada manusia seperti yang digambarkan di dalam agama Islam.

Bagi mereka yang lebih banyak bekalan pahala akan mendapat bekalan wanita yang lebih ramai. Sebenarnya ini tidak ubah seperti kelab malam di bumi ini, yang mana wanita-wanita boleh beratur dan lelaki cuma memilih siapa yang mereka hendak jimak. Bidadari itu dicipta hanya sebagai pemuas nafsu lelaki. 

Mesej yang diterima daripada gambaran syurga ini adalah, jangan melakukan seks secara bebas di bumi ini, kerana anda sebenarnya boleh melakukan seks bebas di syurga. Jangan minum arak di bumi ini, kerana anda bakal meminum arak tanpa henti di syurga. Ini bermaksud, Islam tidaklah betul-betul melarang melakukan dua perkara ini, kerana dua perkara ini kotor, tetapi hanya menghalang orang Islam melakukannya di dunia ini, tetapi mereka sendiri akan bebas sebebas-bebasnya melakukan seks bebas dan meminum arak di akhirat sana. 

Tahan nafsu sedikit di bumi, kerana di sana nanti anda boleh puaskan nafsu sepuas-puasnya, itulah mesej Islam.

Bagaimana dengan wanita muslimah?

Al-Qur'an dan sunnah kerap menekankan konsep bidadari tetapi senyap berkenaan apakah wanita akan mendapat lelaki sebagai pemuas nafsu. Ini terjadi kerana al-Qur'an itu ditulis oleh tangan lelaki, di sebuah tempat dan zaman yang mana lelaki mendominasi masyarakat, maka cerminan minda lelaki pada waktu itu lebih tergambar di dalam al-Qur'an. Jika ia ditulis oleh tangan wanita, pasti gambaran syurga itu akan lebih cenderung kepada keinginan wanita. 

Wanita muslimah tidak akan mendapat lelaki bidadara, tetapi hanya akan menjadi salah satu daripada bidadari syurga sebagai pemuas nafsu lelaki. Bermakna, wanita muslimah di syurga perlu berkongsi suami dengan deretan lagi bidadari-bidadari lain dan hanya sebagai pemuas nafsu. Hanya seorang lelaki yang boleh menulis dan berfikir begini, kerana penulis al-Qur'an itu seorang lelaki. 

Al-Qur'an berkali-kali menggambarkan bagaimana rupa bidadari itu, yakni bermata besar sambil menumpukan pandangan pada suaminya saja (Qur'an 37:48), kulit putih (37:48) bahkan tampak putih seperti permata (56:22). Hadith pula menyebut kulit mereka sangat putih sehingga tulang kakinya boleh ternampak (sahih bukhari 3014). 

Sebenarnya cara al-Qur'an menggambarkan bidadari ini seperti menolak bahawasanya wanita kulit gelap itu ada yang cantik, kerana al-Qur'an dan hadith meletakkan keputihan dan kecerahan kulit itu sebagai gambaran kecantikan ideal, bahkan kecantikan ideal di syurga. Ini sekaligus menanamkan di dalam minda ramai lelaki (dan wanita) bahawa untuk menjadi putih itu sangat penting. Iklan-iklan pemutihan wajah yang semakin menjadi dambaan ramai tidak pula membantu mengurangkan fenomena mengagungkan kulit putih ini. Antara sebab keobsesan wanita untuk berkulit putih ini datangnya dari al-Qur'an juga.

Ditulis oleh tangan lelaki dari padang pasir

Sememangnya ia ditulis tangan lelaki. Penekanan berkali-kali diberikan tentang status bidadari ini, yakni dara yang merupakan dambaan ramai lelaki, terutamanya pada waktu itu. Bidadari ini akan sentiasa menemani dan menjadi pemuas nafsu lelaki, siang dan malam tanpa henti. Setiap kali berjimak, dara mereka akan kembali, yakni ketat dan rapat. 

Jika pusat hiburan ada waktu tutupnya, syurga itu tiada waktu tutup. Ia sentiasa dibuka selama-lamanya, aktiviti seks dengan bergilir-gilir wanita tanpa henti, sambil dihidangkan arak oleh para pelayan. Inilah kehidupan tanpa motif dan matlamat, tetapi hanya hiburan semata-mata, suatu kehidupan yang kononnya ditentang oleh Islam di dunia ini:

"Mereka di dalam Syurga itu berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan dosa." (Surah 52:23)

Siapa yang memberikan arak-arak ini?

"Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka, (yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya." (Surah 52:24)

Lihatlah gambaran duniawi ini! Maka lelaki di syurga dihidangkan arak-arak oleh anak-anak muda lelaki, ibarat pelayan pelanggan di kelab malam, sambil pelanggannya melakukan seks tanpa henti dengan ratusan perempuan. 

Jika dikatakan Islam itu menolak budaya hedonism, yakni fahaman bahawa hidup ini semata-mata untuk berseronok, maka saya katakan itu salah. Islam itu sebenarnya adalah semata-mata menuju kepada kehidupan hedonism, dan larangan-larangan yang diletakkan di dunia ini hanyalah sementara yang bersifat palsu, yakni menahan sebentar saja nafsu, tetapi di syurga kelak, hidup itu sudah tidak ada makna kecuali bertunjangkan hedonisme.

Adakah ini rupa syurga kelak?



Wednesday, 5 August 1981

Sangkakala di dalam Islam - pengaruh Yahudi/Kristian?

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Sangkakala didefinisikan sebagai sebuah sejenis trumpet. Tiupan sangkakala oleh malaikat dikatakan merupakan petanda bahawa Hari Kiamat sudah tiba. 

Muhammad pernah ditanya seperti apakah sangkakala itu, dan dia berkata ia adalah sebuah hon yang mana ditiup kedalamnya. Kalau mengikut sejarah, pada zaman dahulu manusia menggunakan tanduk haiwan sebagai hon atau trumpet untuk ditiup. Tradisi meniup hon ini diteruskan sehingga kini oleh masyarakat Yahudi, kerana ia memang merupakan sebahagian daripada tradisi mereka sejak dahulu kala, untuk meniup sangkakala, atau shofar, pada upacara keagamaan mereka. 

Tiupan hon atau sangkakala ini dikatakan memberikan perasaan spiritual kepada sang pendengar, maka kerana itu kita melihat di ruangan komen video tiupan shofar di Youtube, ramai yang mengatakan mereka rasa sangat terbuai dengan alunan bunyi tiupan shofar. Di dalam Perjanjian Baru Kristian juga ada ditulis tentang sangkakala. Di dalam buku Revelation, dikatakan ketika Hari Kiamat muncul, malaikat akan meniup sangkakala sebanyak tujuh kali. 

Di dalam Islam pula, juga dikatakan malaikat akan meniup sangkakala sebanyak dua atau tiga kali. Ada pendapat yang mengatakan dua kali, ada yang berkata tiga kali. Bagi pandangan pertama, tiupan pertama akan menyebabkan kesemua manusia mati, dan tiupan kedua akan menyebabkan mereka dibangkitkan semula untuk pengadilan. Bagi pandangan kedua, mereka mengatakan tiupan pertama adalah sebagai amaran dan akan mengejutkan semua manusia, tiupan kedua akan mematikan mereka, manakala tiupan ketiga akan membangkitkan mereka semula. 

Kita tertanya-tanya, kenapa malaikat juga perlu meniup trumpet? Dan apa signifikannya?

Sebenarnya, seperti yang kita lihat, ini semua datangnya dari pengaruh Yahudi, yang meresap ke dalam Kristian, dan akhirnya meresap pula ke dalam Islam. Tiupan sangkakala ini sebenarnya hanyalah ilusi minda, ia tidak akan berlaku. Apa perlunya malaikat meniup ke dalam hon untuk membunuh orang ramai, kenapa tidak dibunuh saja dengan sekelip mata oleh Allah? Adakah kerana ingin menjadikan ia lebih dramatik? Dan memandangkan sangkakala ini satu objek yang sangat dipuja di dalam agama Yahudi, maka ia lebih menunjukkan bahawa tradisi malaikat meniup sangkakala di dalam Kristian dan Islam ini hanyalah pengaruh mitos dari agama Yahudi. 

Barangkali kalau zaman dahulu ada biola, atau piano organ, maka malaikat akan memainkan biola atau piano organ pula. 

Tuesday, 5 August 1980

Pengharaman babi di dalam Islam

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Pengharaman babi sebenarnya disebut beberapa kali di dalam al-Qur'an, pun begitu tidak sekalipun disebut kenapa ia diharamkan. Babi juga adalah diharamkan dari memakannya di dalam agama Yahudi, dan seringkali kita mendengar orang-orang Islam yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang Bible akan mengatakan bahawa agama Yahudi pun mengharamkan babi, maka Islam tidak unik dan hanya meneruskan syariat nabi-nabi terdahulu katanya. 

Apa yang mereka sering tidak sebut adalah, agama Yahudi juga mengharamkan memakan unta, kerang dan juga arnab, tetapi Islam langsung tidak ada pengharaman tentang tiga makanan ini. Jadi kenapa? Jika ingin dikatakan Muhammad meniru tradisi orang Yahudi untuk mengharamkan babi, itu satu kemungkinan, memandangkan Islam memang banyak mencedok dan meniru tradisi daripada agama Yahudi. Agak ironi, agama yang kononnya sangat anti-agama-Yahudi, sebenarnya bertunjangkan dan cukup banyak dipengaruhi agama Yahudi sendiri. Bahkan, segala kewujudan Islam itu sendiri sebenarnya disebabkan agama Yahudi wujud. 

Tanpa Yahudi, Islam tidak ada sebab untuk wujud. Begitulah besarnya pengaruh agama Yahudi, sehingga berjaya mempengaruhi seseorang untuk mendatangkan sebuah agama yang dipanggil Islam. 

Pun begitu, Muhammad membuat agama barunya dengan acuannya yang tersendiri, berdasarkan pengalaman hidupnya dan pengetahuannya sendiri serta perseptinya tentang agama Yahudi, dan dia  tidaklah mengambil bulat-bulat dari Yahudi. Untuk perintah pengharaman babi ini contohnya, jika benarpun dia dipengaruhi Yahudi, dia cuma mengharamkan babi sahaja, tetapi tidak unta. Kerana iyalah, unta ni memang cukup banyak manfaatnya, termasuk dari segi pengangkutan, dan orang Arab memang sudah terbiasa memakan daging unta. Muhammad juga lahir dalam persekitaran orang yang majoritinya cinta kepada unta, sehingga ke tahap dia sendiri mengesyorkan meminum air kencing unta, seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab hadith.

Jikalau ingin dikatakan Muhammad tidak mengharamkan babi atas sebab terpengaruh dengan agama Yahudi, tetapi hanya kerana sebab peribadi, itu mungkin juga. Muhammad dan kaum kerabatnya mungkin memang tidak suka babi, dan melihatnya sebagai satu binatang yang kotor, kerana ia memang binatang kotor pun. Jadi dia cuma mengharamkan babi atas sebab persepsi dan kepercayaannya itu saja. Pun begitu dia tidak menyebutkan sebab di sebaliknya, kerana mungkin rakan-rakannya di waktu itu memang tidak memakan babi. 

Biasa orang Islam akan mengatakan babi itu haram kerana ia binatang kotor, seperti ia memakan najisnya sendiri, atau suka bergolek di dalam lumpur. Memang betul, babi akan melakukan ini, tetapi ayam dan arnab juga memakan najis sendiri, dan ini dianggap normal. Orang Islam akan memakan daging ayam dan arnab walaupun binatang-binatang tersebut memang memakan najis sendiri. 

Babi sebenarnya akan memakan najis sendiri jika mereka terlalu lapar dan tidak diberi makan yang cukup, dan jika makanan cukup diberikan, mereka memang tidak akan makan pun najis mereka. Masih ada segelintir babi yang tetap akan makan, tetapi kebiasaannya tidak begitu. 

Umat Islam yang memang tidak memakan babi, selalunya selain mengatakan babi itu kotor, juga akan mengatakan babi ini boleh mengakibatkan penyakit kepada manusia. Di atas muka bumi ini, sebenarnya dianggarkan ada sekitar 784 juta babi, dan babi-babi ini dijadikan bahan konsumsi oleh sebahagian besar penduduk dunia, dan ia telah dijadikan bahan makanan oleh sebahagian besar manusia sepanjang sejarah. Jika dimakan berlebihan, memang ia boleh menyebabkan penyakit, tetapi ia sama juga jika makan apa-apa secara berlebihan. Untuk mengatakan babi boleh menyebabkan penyakit, itu tidaklah begitu adil, kerana apa saja makanan boleh menyebabkan penyakit jika dimakan berlebihan. Bahkan meminum teh tarik secara berlebihan pun boleh menyebabkan kencing manis. 

Majoriti besar penduduk dunia memakan babi, dan tidak ada apa pun yang terjadi kepada mereka. Babi dijual secara besar-besaran, dan di Malaysia pun, babi boleh dilihat dijual di kesemua pasaraya besar. Orang yang memakan babi-babi ini pun kebanyakannya berjaya dalam hidup juga, dan sihat-sihat juga. 
Jadi apa masalahnya untuk makan babi ni?

Kebanyakan orang yang merasa jijik untuk makan babi ini, kerana telah diberitahu dari kecil bahawa babi ini haram, dan binatang kotor. Saya juga akui, setelah saya meninggalkan Islam tahun 2013, saya hanya mula memakan babi tiga tahun setelah itu. Itupun hanya mencuba, dan memang merasa jijik sangat. Tetapi lambat-laun, saya mulalah makan sedikit demi sedikit, itupun kerana makan bersama-sama dengan rakan-rakan cina di restoran cina. Memang betul, jika sudah dicuci otak bertahun-tahun lamanya, sangat sukar untuk mengubah persepsi itu. Tetapi tidak ada siapa pun yang memaksa saya untuk makan babi, saya memilih sendiri. 

Dan saya pun tidak memaksa sesiapa untuk memakan babi. Tetapi untuk mengatakan tuhan yang melarang bahkan marah jika ada orang makan babi, itu sudah mengarut. Bayangkan, tuhan marah jika orang makan babi. Bunyinya saja sudah cukup lucu. Jika manusia benci babi, dan kemudian dia kata babi itu haram, kemudian menisbahkan itu kepada agamanya dan mengatakan tuhan larang makan babi, itu kita boleh nampak logiknya. Tapi tuhan sendiri yang marah? Kisah pula dia. 

Benar, agama ini melucukan. Tetapi biasanya dah keluar baru boleh nampak betapa lucu dan mengarutnya agama itu. Kalau masih di dalam, orang itu boleh percaya kepada segala cerita karut-marut tanpa masalah.

Sunday, 5 August 1979

Dilarang keluar Islam.... - Kerajaan Muslim Malaysia

Copy & Paste 

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Seperti yang kita semua sudah tahu, keluar Islam di Malaysia bukanlah hal peribadi, tetapi hal masyarakat bahkan hal kerajaan. Adalah dilarang sama sekali untuk seseorang itu mengubah agamanya kepada agama lain, atau kepada tiada agama, jika dia seorang beragama Islam. Jika dia dulunya beragama lain, dan masuk Islam, dan selepas itu ingin keluar Islam, dia akan menghadapi cabaran yang cukup sukar bahkan berisiko dikenakan tindakan undang-undang. Peluang itu ada, tetapi sangat tipis. Jika orang itu memang dibesarkan dalam keluarga Islam pula, terutamanya jika dia seorang Melayu, maka adalah mustahil sama sekali untuk keluar Islam, dan risiko dikenakan tindakan undang-undang adalah jauh lebih tinggi. 

Baru-baru ini, ada beberapa kes dilaporkan di media tentang orang yang memohon untuk keluar Islam di mahkamah.  Rata-rata adalah daripada mereka yang asalnya bukan Islam dan masuk Islam sama ada untuk berkahwin atau tujuan lain, atau mereka yang dikatakan salah seorang orang tuanya adalah mualaf, dan dia tidak dibesarkan dengan mengamalkan Islam. Pun begitu, mahkamah seperti yang dijangkakan, telah menolak permohonan mereka.

Lihat kes di bawah misalnya:

Berita ini keluar pada 29/7 baru-baru ini. Ia berkaitan permohonan mualaf yang pernah masuk Islam kerana berkahwin dengan seorang wanita Muslim, tetapi telah bercerai, dan sekarang dia ingin kembali kepada agama asalnya. Dia kata dia asalnya seorang Kristian, bahkan masih percaya kepada agama itu, dan sekarang berminat kepada Buddhisme. Jika diikutkan dari soal akidah, dia memang sudah murtad dan terbatal akidahnya dan Islamnya, kerana dia tidak percaya kepada Islam dan beriman kepada agama Kristian. 

Ini mudah, kerana kepercayaan agama itu berdasarkan iman di hati, bukannya apa yang tertulis di atas IC. Pun begitu, di Malaysia, sistemnya karut, dan Islamnya juga karut. Boleh pula dikatakan "keterangan sendiri tak cukup untuk buktikan keluar Islam". Apakah ini?!

Sedangkan jika dikatakan Allah itu manusia, atau Qur'an itu tulisan Muhammad sendiri, itu saja sudah boleh buatkan orang itu murtad, jika disertai dengan kepercayaan, maka orang ini, yang sudah berkata dia bukan Islam dan percaya kepada agama lain, tidak diterima sebagai murtad? Apakah dia perlu pijak al-Qur'an baru orang percaya?

Mahkamah kata dakwaannya perlu disokong oleh "keterangan pihak lain". Pihak siapa? Dia membawa peguamnya untuk menyokong dakwaannya, itu bukan keterangan pihak lain? Hakikat bahawa dia sanggup pergi ke mahkamah menghabiskan masa berjam-jam, untuk membuang status Islamnya , itu saja sudah menunjukkan dia memang bukan Islam. Jadi kekarutan apa yang ditimbulkan oleh mahkamah ini?

Untuk makluman, kes ini adalah antara pemuda tersebut, lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah, dan kerajaan Malaysia. Masing-masing diwakili peguam. Bayangkan betapa bodohnya kes ini, seorang yang ingin memilih agama lain pun perlu berhadapan dengan kerajaan di mahkamah. Entah berapa duit yang perlu dikeluarkan untuk biaya peguam. Mujur lelaki ini ada duit dan bersedia untuk keluarkan duit untuk tujuan ini, jika orang itu tidak mampu? Maka matilah orang itu dalam "Islam", seperti kami yang lain ini. 

Dalam masa sama, bayangkan duit dan tenaga yang dikeluarkan oleh kerajaan juga untuk mempertahankan "keislaman" orang ini dan melarangnya untuk keluar Islam. Berapa banyak duit rakyat dihabiskan untuk menentang hak pemuda ini? Sungguh mengarut!

Tetapi dalam masa sama, mereka juga cukup mudah kata orang boleh murtad jika melakukan perkara itu atau perkara ini, misalnya:





Mereka akan mudah mengatakan, boleh murtad kalau cakap ini, atau boleh murtad kalau tak percaya itu, atau kalau buat ini dan itu. Itu betul, sebab memang itu yang dikatakan oleh agama mereka. Tetapi bilamana seseorang itu hendak isytihar dia murtad dan ubah rekod di pendaftaran, terus mereka menggelabah dan berkata "Oh, keterangan sendiri tak cukup untuk buktikan keluar Islam". 

Untuk kes kedua pula, yang dilaporkan di media pada 15 Julai, menyebut bahawa mahkamah "tidak melayan" kes seorang wanita yang ingin keluar Islam


Wanita ini dikatakan mempunyai seorang ayah yang mualaf, manakalanya ibunya seorang memang dibesarkan dalam keluarga Muslim. Wanita itu mendakwa dia tidak pernah dibesarkan dalam keadaan Islam, walaupun kedua ibubapanya Muslim. Ibubapanya kemudian bercerai, dan dia dibesarkan oleh ibunya, pun begitu ibunya tidak pernah memaksa dia mengamalkan Islam. Dia memilih untuk menganut agama Konfucianisme, agama ramai orang Cina Malaysia, selain agama Buddha. 

Laporan menyebutkan:

"Mahkamah Tinggi Syariah pada Disember 2018, sebelum mendengar permohonan wanita tersebut, telah memerintahkan beliau untuk menghadiri sesi kaunseling selama enam bulan. Beliau yang akur dengan perintah tersebut telah menjalani sesi tersebut yang berlangsung pada Januari 2019."

Seperti kebanyakan kes begini, pemohon akan diperintahkan (baca dipaksa) untuk menghadiri kaunseling selama enam bulan, dan tidak disebut di mana ia perlu hadir, tetapi banyak kes sebegini akan menyebabkan pemohon ditahan di pusat pemulihan akidah selama enam bulan. 

Laporan menyebutkan lagi

"Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan beliau untuk diisytiharkan bukan lagi beragama Islam dan memerintahkan beliau untuk menjalani ‘istitabah’ atau taubat dan kelas Islam serta kaunseling akidah. Pada Ogos 2020, dia merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Lumpur, yang kemudiannya pada 8 Disember 2021 menolak rayuannya."

Selepas habis enam bulan, mahkamah berhak memerintahkan pemohon untuk menyambung lagi enam bulan, dan lagi enam bulan sehingga berpuas hati. Dalam kes dia, tidak disebut di tambah lagi enam bulan, tetapi disebut dia perlu memasuki kaunseling lagi, jadi nampaknya disuruh sambung lagi enam bulan. Dia mengemukakan rayuan tetapi mahkamah menolak. 

Dia telah membawa kes ini kepada mahkamah tinggi, tetapi mahkamah tinggi juga menolak serta "tidak melayan" permohonan yang dianggap "remeh" itu. Laporan menyebut:

"Bagaimanapun, menurut Malay Mail, tuntutan yang beliau bawa telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi semalam dan ini bermakna Mahkamah Tinggi tidak akan mendengar kes yang dibawa oleh beliau...Mahkamah Tinggi (boleh) menapis sebarang permohonan yang ‘remeh’. "

Lihatlah betapa jahatnya pihak agamawan Muslim ini. Seperti yang kita semua sudah tahu, ini semua memang perancangan mereka, menyusahkan orang untuk keluar Islam, supaya jumlah bilangan penganut Islam akan terus ramai dan bertambah. Sifirnya mudah, orang boleh masuk, tetapi tidak boleh keluar. Dalam kes kedua ini, walaupun mangsa boleh mendakwa dia tidak dibesarkan secara Islam kerana ayahnya tidak mengamalkan Islam selepas memeluk Islam dan tidak mengajarnya Islam, dia tetap mempunyai peluang yang hampir sifar. Kerana hakikatnya, dia dilahirkan dalam keluarga yang status kedua ibubapanya adalah Muslim. Ini menjadikannya sama seperti orang-orang Melayu lain, yakni mustahil sama sekali untuk isytihar keluar Islam di dalam rekod pendaftaran.

Sebenarnya, kes-kes begini, walaupun mempunyai peluang yang tipis ke hampir sifar untuk berjaya, sebenarnya bagus juga dilaporkan di media-media. Semakin banyak kes begini, semakin orang akan nampak betapa menindasnya sifat agama Islam ini. Tekanan juga akan mula diberikan terhadap institusi kehakiman dan perundangan negara yang jelas-jelas berat sebelah terhadap penganut Islam dan bersifat menindas terhadap orang-orang yang ingin pindah ke agama lain. Islam itu memanglah secara semulajadinya bersifat menindas, tetapi jika lebih ramai orang yang sedar dan faham akan perkara itu, maka diharapkan akan ramai juga yang akan melawan penindasan ini dan menunjukkan betapa jahatnya sifat agama itu.

Usah dipercaya segala propaganda yang menyebutkan Islam itu bersifat memperjuangkan keadilan sejagat, hak kebeasan beragama atau hak wanita dan sebagainya. Itu semua hanya tipu helah dan propaganda semata-mata. Tujuannya satu, untuk menambah angka penganut Islam, dan meletakkan sistem Islam itu sebagai teratas, dan setelah itu, menindas segala hak minoriti termasuk orang yang ingin keluar daripada ideologinya. Ia ideologi yang cukup-cukup merbahaya. 

Mereka tahu mereka kalah di medan hujah, kerana Islam agama yang cukup rapuh. Jadi sepertimana biasa, mereka menggunakan undang-undang berat sebelah untuk menghalang dan menindas orang daripada menggunakan hak mereka. 

Tetapi jika ada orang lain yang melarang orang untuk masuk kepada agama mereka pula, dengan pantas mereka akan menjerit "Islamofobia!" "Musuh Islam!". 

Saturday, 5 August 1978

Isu Salman Rusdie

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

The Satanic Verses

Begitu banyak orang-orang Islam di media sosial yang bersorak dan menyokong serangan ini. Bahkan jika Salman Rushdie mati sekalipun, mereka tidak akan kisah bahkan lebih bersorak dan memanjat kesyukuran kepada tuhan mereka. 

Itu sahaja sudah menunjukkan betapa bahayanya ideologi Islam ini, kerana ia menjadikan pengikut-pengikut mereka tidak kisah tentang pembunuhan, dan mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang di luar undang-undang. Jika mereka rasakan undang-undang itu tidak melindungi Islam, maka mereka akan mengajak kepada pembunuhan, dan walaupun sebahagian besar dari mereka tidak akan sendiri melakukan perkara tersebut, tetapi akan ada kelompok kecil yang akan melakukannya, dan kelompok majoriti hanya akan bersorak. 

Jika ada undang-undang yang menyokong Islam pula, dan digunakan untuk menindas orang-orang bukan Islam, termasuk yang sudah keluar Islam dan sudah menjadi bukan Islam juga, mereka akan memaksa orang ramai untuk jangan langgar undang-undang, kerana itu undang-undang, maka wajib dipatuhi. Nampak tidak, betapa mereka ini bukannya kisah sangat tentang undang-undang pun, mereka cuma kisah tentang agama mereka. Undang-undang yang adil bagi mereka adalah hukum agama mereka, yakni undang-undang syariah, yang pada hakikatnya tidak adil langsung, tetapi bagi mereka ia adil. 

Ideologi begini perlulah diperangi habis-habisan. 

Dan yang lebih teruk, mereka tiada masalah untuk hina agama lain. Bible menurut mereka adalah korup yang sudah dipesongkan oleh manusia, nah itu satu penghinaan terhadap penganut Kristian. Setiap hari orang Islam kata begini, bahkan ia sebahagian tunjang utama kepercayaan mereka, yakni untuk menghina agama Kristian. Tetapi orang Kristian matang dan tidak sensitif sehingga mahu membunuh orang-orang Islam yang mengucapkan perkara ini. Tetapi apabila dikatakan al-Qur'an kitab yang direka manusia, nah terus orang-orang Islam melenting dan sehingga mahu membunuh orang. Bahkan itulah yang berlaku di sini, kerana Salman Rushdie dikatakan telah menghina agama Islam dengan bukunya the Satanic Verses, dan atas sebab itu darahnya halal. 

Sungguh Islam suatu agama yang cukup berbahaya. Dan ia menjadi lebih bahaya apabila ia dihidangkan sebagai agama yang toleran walaupun hakikatnya cukup berbeza sekali. Itu hanyalah satu penipuan untuk mengabui mata masyarakat, dan itulah taktik mereka sejak dahulu. Bezanya, sekarang ini ada internet dan adanya ledakan maklumat, maka ramai orang boleh mengkaji sendiri. Bahkan blog ini juga saya tulis atas dasar anonim, dan andaikata ada yang mengenali saya di luar, nyawa saya juga bakal terancam dan mungkin saja melayang. Inilah yang kita perlu berhadapan, yakni penganut fanatik dari agama rekaan manusia.

Friday, 5 August 1977

Mitos Lailatul Qadar

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Malam tadi adalah malam ke 24 Ramadan, yakni 10 malam terakhir pada bulan Ramadan. Inilah waktunya dikatakan salah satu malamnya merupakan malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam di mana malaikat dan roh-roh turun ke bumi, dan ia merupakan malam yang lebih baik daripada seribu malam. 

Sewaktu saya Muslim dulu, sama seperti orang lain, saya juga begitu teruja untuk mendapatkan malam ini, dan mengharapkan ibadat kita pada malam itu akan diterima Allah. Malam yang mana dikaitkan pelbagai perkara ajaib, masa kecil kita diberitahu bahawa pada malam ini, jika beruntung, kita akan melihat air menjadi beku seketika. Seringkali saya membayangkan apabila membasuh tangan pada malam ini, dengan waktu dan ketika yang tepat, kita boleh melihat air yang keluar di sink itu menjadi keras seketika, sebelum mengalir semula. Begitulah keajaiban yang sering saya bayangkan masa kecil, dan juga apa yang dipercayai ramai di kalangan masyarakat. 

Menurut hadith-hadith yang sahih, sebenarnya hanya satu tanda lailatul qadar yang betul-betul tsabit dari Muhammad, yakni keesokan paginya selepas berlaku lailatul qadar, pancaran matahari tidak terasa terlalu panas, dan cuaca dingin saja. Selain daripada ini, yakni cerita-cerita ajaib seperti air beku, pokok bersujud, air laut menjadi tawar dan sebagainya, tidak ada asasnya di dalam hadith-hadith sahih, tetapi hanyalah kata-kata yang dinukilkan dari ulama terdahulu, yang mendakwa kononnya menyaksikan sendiri perkara-perkara ini, dan ini diperturunkan dari generasi ke generasi. 

Begitulah hakikatnya. Tetapi tidak cukup untuk kita mengatakan bahawa malam lailatul qadar ini banyak diselubungi mitos yang tidak ada asasnya dari al-Qur'an dan hadith sahih, kita juga sebenarnya wajar melihat fenomena malam lailatul qadar itu sendiri dengan pandangan yang sedikit kritis. 

Benarkah ia wujud, atau semuanya hanyalah mitos? Ini yang saya ingin jemput para pembaca beragama Islam untuk berfikir. Bagi mereka yang tidak percaya kepada malam ini, sudah pasti kita sudah boleh lihat bahawa tidak ada apa bukti yang boleh dijadikan batu asas kepada peristiwa lailatul qadar ini. 

Lailatul Qadar itu suatu mitos

Pertama sekali, perlulah saya katakan bahawa fenomena suatu malam yang mana malaikat dan roh turun ke bumi beramai-ramai untuk menyelesaikan urusan tertentu di bumi, adalah satu dakwaan yang langsung tidak boleh dibuktikan kebenarannya. Ia hanya dakwaan, dan selagi tidak dibuktikan, kita tidak wajar pun untuk percaya kepadanya. Ini mudah dan jelas.

Bahkan jika ditanya kepada mereka, apakah maksud "roh" yang turun itu, roh manusia atau roh apa sebenarnya, mereka akan berbeza pendapat. Ulama mereka sendiri mempunyai pandangan yang berbeza, ada yang kata ia merujuk kepada Jibril (seperti dalam terjemahan di atas), ada yang kata malaikat penjaga, ada yang kata malaikat paling mulia dan paling dekat dengan Allah, ada yang kata ia tentera Allah yang bukan manusia dan  bukan juga malaikat, dan ada yang kata roh di sini bermaksud "rahmat". Seperti banyak ayat Qur'an lain, yang pakar menafsirkan pun tidak boleh bersetuju apa maksud sesuatu ayat itu, dan sering berbeza pendapat. Ini kerana sifat al-Qur'an yang tidak jelas itu dalam terlampau banyak perkara.

Manakala dakwaan berkenaan lebih baik dari seribu bulan itu hanyalah dakwaan semata-mata. Bahkan ada yang mengatakan seribu bulan itu bukanlah seribu bulan yang sesungguhnya pun, tetapi hanya merujuk kepada tempoh yang lama, kerana kebiasaan orang Arab menyebutkan bahawa seribu itu adalah tempoh yang lama. Sekali lagi, terikat dengan budaya Arab. Inilah yang disebut oleh pejabat mufti wilayah persekutuan, yakni "Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”. 

Perkara kedua, hakikatnya adalah, Muhammad pada zamannya tidak tahu-menahu tentang banyak perkara. Dia tidak tahu bahawa bumi ini sfera, dan tidak tahu bahawa bumi ini jauh lebih luas dari apa yang dibayangkannya. Dia juga tidak tahu bahawa bumi berputar dan mengelilingi matahari, dan tidak mengetahui hakikat perbezaan orbit bumi dengan bulan dan bumi dengan matahari. Dia hidup di zaman kuno, dan pemikirannya menggambarkan pemikiran masyarakat ketika itu. Jika ingin dikatakan Muhammad ini genius sekalipun, pengetahuan dan pemikirannya masih terhad kepada zaman itu. Apabila Muhammad mengajarkan tentang lailatul qadar, dia membayangkan suatu malam yang menyelubungi keseluruhan bumi pada masa yang sama. 

Inilah kelemahan Islam. 

Kita semua tahu, bahawa ketika suatu negara di rantau timur sudah malam, negara lain di kawasan barat kepada negara itu masih siang. Jadi, jika dikatakan malam lailatul qadar itu adalah malam malaikat dan roh turun, kita membayangkan bahawa malaikat turun di Jepun ketika waktu malam, kemudian, apabila Vietnam menjadi malam, mereka turun di Vietnam pula, kemudian apabila malam di Malaysia, mereka turun di Malaysia pula, kemudia malam di India, mereka turun di India pula, begitulah berterusan sehinga ke Mexico yang akhirnya melihat waktu malam 14 jam selepas Malaysia melihat malam, yakni Malaysia yang mana sudah menjadi pukul 10am keesokan harinya, barulah Mexico menjadi pukul 8pm, yang mana lailatul qadar baru hendak berlaku di sana, dan malaikat akan turun di sana pula. 

Jadi malaikat dan ruh turun mengikut putaran bumi, memilih negara-negara yang sudah mencapai waktu malam, dan mengelak untuk turun di kawasan yang masih waktu siang. Sudah ibarat Santa Claus, tetapi dalam versi berjemaah. Turun dan naik tanpa henti, sambil memilih kawasan yang masih gelap.

Perkara ini terjadi kerana Muhammad membayangkan waktu malam apabila turun di bumi, maka ia meliputi seluruh bumi. Inilah juga sebab kenapa apabila Muhammad menyebut bahawa Allah itu turun di langit paling dekat dengan bumi pada sepertiga malam untuk menjawab doa hamba-hambanya, dia tidak sedar bahawa ini menunjukkan Allah itu sering turun dan naik saja sepanjang masa, sebab ketika satu tempat mencapai sepertiga malam, tempat lain sudah menjadi tengah hari atau petang, maka Allah digambarkan sebagai seorang yang sentiasa naik dan turun sepanjang masa (Hadith di sini dan sini). 

Itu jugalah punca kenapa Islam tidak menggariskan panduan bagi mereka yang berpuasa di kawasan yang mendekati kutub utara walhal kawasan-kawasan itu apabila musim panas, matahari akan kekal di langit untuk tempoh yang lama, menyebabkan seseorang itu perlu berpuasa selama 19-21 jam, bahkan jika di kutub utara, boleh menjadi 24 jam. Ulama berbeza pendapat dalam menghadapi perkara ini, ada yang mengatakan tetap perlu berpuasa mengikut kawasan setempat, manakala ada yang kata perlu berpuasa mengikut waktu Mekah. Perbezaan pendapat ini kerana Qur'an dan hadith tidak menyebut tentang hal ini. 

Dan jelas, Muhammad membayangkan apabila waktu malam menjelma, ia menjelma di seluruh bumi. Tidak terlintas di fikirannya tentang hakikat saiz dan pergerakan bumi. Ilmu-ilmu ini terlalu advanced bagi mindanya. 

Ramadan juga berbeza mengikut negara, jadi bilanya lailatul qadar?

Seperkara lagi yang mengarut adalah perbezaan waktu Ramadan di negara-negara Islam menjadikan lailatul qadar ini juga bergerak tidak menentu. Disebabkan umat Islam disuruh oleh Muhammad untuk menentukan masuknya bulan baru dengan penampakan hilal (dan bukannya ketika berlaku konjungsi, yakni bulan memasuki fasa baru), ini menjadikan permulaan Ramadan itu berbeza-beza mengikut negara.

Kekuatan kuasa teleskop, faktor cuaca, kriteria ketinggian anak bulan dari ufuk, semuanya menjadi faktor dan memberikan kesan berbeza kepada kebolehnampakan anak bulan, dan menyebabkan negara-negara boleh mengisytiharkan hari yang berbeza untuk bulan Ramadan, ada yang awal sehari, ada yang lambat sehari. 

Ini sekaligus memberi kesan lagi kepada malam Lailatul Qadar. Saya beri contoh. 

Tahun lalu, 1443 Hijrah, Malaysia telah mengumumkan petang Sabtu 2 April, bahawa Ramadan bermula, yang bermaksud 3 April (Ahad) adalah hari pertama berpuasa. Ini sama seperti banyak negara lain di Asia Tenggara. Negara Oman (yang terletak di sebelah Arab Saudi) juga mengumumkan perkara yang sama seperti Malaysia, tetapi di negara Arab Saudi, Yaman, Kuwait dan banyak negara lain, Ramadan bermula pada 1 April (petang Jumaat), dan mereka mula berpuasa pada 2 April (yakni Sabtu). 

Ini bermakna, negara walaupun bersebelahan, untuk memasuki 10 malam terakhir di Ramadan, Arab Saudi akan masuk dulu, kemudian esoknya barulah Oman. Andaikata lailatul qadar turun pada 23 Ramadan di Saudi, malaikat tidak akan turun ke Oman, kerana Oman masih 22 Ramadan, dan hanya menunggu esoknya barulah turun di Oman. Inilah kekarutan yang boleh dilihat. 

Sama seperti tahun ini, walaupun kebanyakan negara pada tahun ini bermula puasa pada hari Khamis, yakni 23 Mac, ada negara-negara yang bermula pada 24 Mac. Ambil negara yang tidak terlalu jauh zon waktunya, iaitu Bangladesh dan Pakistan. Walaupun Bangladesh berada di timur Pakistan, yang bermaksud mereka lebih awal dari segi waktu melihat bulan dan matahari berbanding Pakistan, mereka menguumumkan puasa bermula pada hari Jumaat 24 Mac, kerana tidak melihat anak bulan, manakala Pakistan, mengumumkan puasa bermula pada Khamis 24 Mac, sama seperti Malaysia. 

Ini bermakna, ketika Malaysia sudah berpuasa, Bangladesh masih belum berpuasa, dan Pakistan pula berpuasa terlebih dahulu dari Bangladesh, walaupun Bangladesh dari segi zon waktu, terletak di antara Malaysia dan Pakistan. 

Maka sudah pasti para malaikat dan roh pun akan keliru, jika lailatul qadar terjadi, mereka perlu memilih zon-zon masa yang tepat untuk turun dan naik, dan bukannya suka-suka turun. 

Tanda-tanda lailatul qadar yang lucu

Hakikatnya, ia seperti malam-malam yang lain. Saya membaca di twitter tadi ada yang mengatakan malam tadi adalah lailatul qadar, kerana merasakan dingin pada pagi ini dan tenang semalam, walhal saya keluar di rumah saya dan melihat pancaran matahari terik dan terasa panasnya. Jika orang tersebut rasa dingin dan tenang pun, mungkin kerana ia hujan lebat semalam, di tempat saya pun hujan malam tadi.

Poin saya, hanya jika seseorang merasa dingin di suatu tempat, tidak bermaknya langsung tempat lain juga rasa dingin, kerana ia dipengaruh pelbagai faktor seperti pergerakan angin dan hujan. Inilah perkara subjektif. 

Sahabat dan orang kuat Muhammad, Ibn Mas’ud pernah berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Umdah al-Qari 11/134.

Orang-orang seperti ini yang nak dijadikan panduan? Orang-orang zaman kuno yang otak mereka dipenuhi dengan perkara tahyul dan mitos?

Ulama berbeza pendapat bila lailatul qadar

Kita sering diberitahu bahawa malam lailatul qadar itu adalah pada 10 malam terakhir, tetapi para ulama sudah berbincang mengenainya selama ratusan tahun, dan mereka mempunyai kecenderungan masing-masing tentang bila sebenarnya lailatul qadar itu, seolah-olah Muhammad pernah membocor rahsia kepada beberapa sahabat. Ramai ulama yang membuat kesimpulan ia jatuh pada malam ke 27, dan ini yang dipegang oleh jabatan mufti wilayah persekutuan, pun begitu, ramai ulama lagi berbeza pendapat, ada yang mengatakan ia pada 21, 23, 24 dan malam terakhir Ramadan. Yang melucukan, sebenarnya Muhammad sendiri tahu bila tarikh dia, tapi kononnya dia terlupa, atau mungkin benar-benar dia terlupa. 

Rujuk sahih al-bukhari, yang mana dia sebenarnya dalam perjalanan untuk memberitahu para sahabatnya tentang tarikh lailatul qadar, tetapi selepas menyaksikan dua orang Muslim bergaduh di depannya, dia terlupa. Aneh pula Allah tidak ingatkan dia balik, mungkin dia tidak lupa, tetapi ubah fikiran dan enggan beritahu, yang mana itu bermaksud dia menyembunyikan ilmu yang dia dapat, dan dia cuma menipu bahawa dia terlupa. 

Walaupun setelah 1,444 tahun berlalu, masih tiada siapa tahu bilakah Lailatul Qadar itu hadir, ini kerana jika ada pun ulama yang sudah beribadah sepanjang malam, dan melihat tanda-tanda lailatul qadar pada malam itu seperti malam yang terang dan tenang, dan esoknya pula matahari juga tidak memancar dengan terik, ulama di kawasan lain dan di rantau lain tidak akan merasa perkara yang sama, kerana faktor cuaca. 

Manakala ulama di rantau dan kawasan lain itu akan merasa suasana yang sama pada malam yang lain. Contoh pada malam ke-27, sekumpulan ulama di Madinah merasa tenang, sekumpulan ulama di Kuwait mungkin merasa panas pada malam itu, dan mengalami suasasana seperti itu pada malam ke-29 pula. Mungkin sekumpulan ulama di Malaysia, di Selangor merasa tanda-tanda seperti itu pada malam ke-21, tetapi sekumpulan ulama di Kelantan merasa malam ke-23 pula. Ini semua subjektif. 

Jika benar pada malam ke-27, sudah pasti sudah beratus-ratus tahun mereka merasa keajaiban pada malam ke 27, kerana ramadan sudah dilalui oleh umat Islam selama 1,444 tahun. Takkanlah masih tidak dapat mencapai kata putus? 

Mereka tidak mencapai kata putus kerana pengalaman mereka subjektif. Hakikatnya, malam lailatul qadar itu hanyalah mitos dan penipuan.

Thursday, 5 August 1976

Mengadakan hubungan seks dengan hamba wanita

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih


 Ini sebenarnya antara isu utama kenapa saya tinggalkan Islam dahulu, tetapi saya sebenarnya belum pernah lagi menulis tentang tajuk ini. Jadi saya fikir saya ingin meluangkan sedikit masa bercakap tentang isu ini pula. 

Islam membenarkan seorang lelaki melakukan hubungan seks dengan hanya dua golongan, yakni golongan pertama: Isteri-isteri mereka, dan golongan kedua: Hamba wanita mereka. Hamba wanita ini boleh dimiliki melalui tiga cara, sama ada dibeli, diberi oleh seseorang, atau dirampas melalui peperangan jihad. 

Qur'an menyebutkan secara jelas tentang hal ini, antaranya di dalam surah yang dijadikan dalil untuk berkahwin secara poligami, yakni Surah an-Nisa 4:3

"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah 4:3)

Hamba-hamba yang kamu miliki ini disebut di dalam al-Qur'an sebagai "Malakat aymanukum" yakni yang "dimiliki oleh tangan kananmu", ini bermaksud hamba wanita seseorang lelaki. Juga Surah al-Mu'minun 23:5-7 

"Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas" (Surah al-Mu'minun 5-7)

Ayat ini juga secara jelas membenarkan seorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan isteri DAN juga dengan hamba-hamba wanita yang mereka miliki. 

Saya pasti, para pembaca pasti pernah mendengar perkataan "sex slaves" yang mana perkataan ini sering dilontarkan kepada Islam atau disinonimkan dengan ajaran Islam? Yang dimaksudkan dengan ini adalah bahawa Islam membenarkan seorang lelaki berjimak dengan hamba wanita yang dimiliki. Islam tidak memberi angka terhad kepada jumlah hamba wanita ini, ini bermaksud seorang lelaki berhak menyimpan seberapa banyak hamba wanita yang ingin dimiliki, dengan tambahan empat orang isteri jika dia memilih untuk mempunyai isteri seramai itu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - HUKUM MELAKUKAN SEKS DENGAN HAMBA (muftiwp.gov.my)

Ini satu amalan yang cukup bermasalah dan menjijikkan sebenarnya. Sayangnya, sangat sedikit wanita beragama Islam (dan yang bukan Islam) yang tahu tentang perihal ajaran Islam yang ini dan betapa rendahnya pandangan Islam terhadap mereka. 

Surah 33:50 juga menyebutkan:

"Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang" (Surah al-Ahzab 33:50)

Allah amat-amat gembira melihat orang lelaki menjimaki wanita-wanita hamba, walaupun sudah beristeri. 

Perincian cara mendapatkan hamba wanita - kaedah perang

 

Di dalam Islam, apabila jihad dilancarkan, dan apabila tentera Muslim berjaya menguasai sesuatu kawasan dan mengambil tawanan perang di kalangan orang bukan Islam, maka kaum wanitanya adalah menjadi sebahagian harta rampasan perang, dan menjadi hak milik halal tentera Islam. Wanita-wanita yang boleh diperhambakan adalah dari kalangan mereka yang bukan Islam.

Inilah antara ajaran di dalam Islam yang menyebabkan seseorang itu memandang rendah kepada mereka yang bukan Islam, yakni mereka boleh diperhambakan dan dimiliki.

Apabila menjadi hak milik, ia bermaksud mereka itu menjadi hamba. Hamba yang boleh dijual beli, diberi dan dipindah hak milik. Mereka menjadi halal kepada tentera Muslim dan orang Islam lainnya, dan mereka boleh dijimak setelah tamat tempoh iddah. Bagaimana jika wanita yang ditawan itu sudah pun mempunyai suami, yakni seorang suami yang bukan Muslim?

Andaikata wanita yang ditawan itu sudah mempunyai suami pun, ikatan perkahwinan mereka menjadi putus sebaik mereka ditangkap oleh tentera Muslimin, dan mereka boleh dinikahi, atau boleh ditiduri saja sebagai hamba oleh tentera Muslimin tanpa perlu dinikahi! Inilah yang berlaku ketika hayat Muhammad. Ketika mana tentera Islam menang dalam pertarungan Autas, yakni selepas perang Hunayn, mereka berjaya menawan sejumlah wanita dan para Sahabat mula merasa tertarik dan terliur untuk berjimak dengan mereka. 

Masalahnya, ada di kalangan para wanita itu yang sudah mempunyai suami dan suami mereka masih lagi hidup. Jika tiada suami, itu jelas, tentera Islam boleh membawa wanita-wanita tersebut balik dan rogol saja mereka, tetapi yang dah ada suami ni bagaimana? Para Sahabat bertanya kepada Muhammad tentang apa yang perlu dilakukan dan adakah boleh untuk mereka masih lagi berjimak dengan wanita-wanita tawanan tersebut. Muhammad dengan mudah, membenarkannya. (rujuk Sahih Muslim).

Muhammad mendatangkan Surah 4:23 yang mana ayat itu membenarkan berjimak dengan isteri-isteri orang, selagi mana mereka itu merupakan hamba tawanan. Surah 4:22 memberikan senarai wanita yang dilarang untuk dikahwini, termasuklah isteri-isteri orang, tetapi, jika isteri-isteri orang tersebut sudah menjadi hamba tawanan, maka mereka boleh digauli, kerana ikatan perkahwinan terputus dengan suami asal sebaik saja wanita dijadikan hamba oleh tentera mujahidin.

Walaupun memang ada perbincangan ulama, kerana ada yang berbeza pendapat tentang apakah terputus atau tidak ikatan nikah seseorang wanita bukan Islam yang ditawan, tetapi pendapat yang mengatakan ikatan perkahwinan terputus adalah tetap saja satu pendapat di dalam Islam, dan umat Islam boleh saja berpegang kepada pendapat yang kejam ini. Ia jelas disebut di dalam al-Qur'an dan hadith seperti disebut di atas. Ajaran ini menggalakkan supaya umat Islam menawan seberapa banyak wanita dan mereka dengan mudah menjadi hak milik orang Islam. Pedulilah jika wanita itu mempunyai suami sekali pun, mereka dikira bercerai sebaik sahaja wanita itu menjadi hak milik tentera Islam. 

Hanya saja Muhammad melarang tentera Islam melakukan jimak dengan tawanan sebelum tempoh iddah tamat. Maka jika ada peperangan berlaku, dan kota atau kampung orang-orang yang bukan beragama Islam ditawan oleh tentera Islam, maka berita buruklah bagi kaum wanita mereka yang bakal dijadikan hamba oleh tentera Islam. Mereka menjadi milik manusia lain, dan boleh dirogol pun sesuka hati. Inilah jijiknya ajaran agama ini, dan bahawa ia jelas menunjukkan ia rekaan manusia.

Kaedah membeli dan pemberian

Muhammad sendiri pernah dihadiahkan seorang hamba Mariyah al-Qibtiyyah, seorang beragama Kristian dari Mesir. Mariyah digelar sebagai seorang gundik dan untuk pengetahuan, tiadalah beza antara gundik dan hamba di dalam Islam, yakni dia hanyalah seorang yang dimiliki oleh seorang lelaki, boleh dijimak, tetapi dia bukanlah berstatus isteri. Maka tiadalah tanggungjawab untuk memberi nafkah atau memberi layanan adil kepadanya seperti diberikan kepada isteri. 

Isu lelaki dibenarkan berjimak dengan hamba wanita ini merupakan antara isu pokok kenapa saya tinggalkan Islam, kerana saya tidak boleh terima konsep ini. Ia terlalu kejam, berat sebelah terhadap wanita, dan menjijikkan. Ia jelas ajaran lelaki rakus yang ingin memiliki wanita dan langsung tiada empati terhadap wanita yang sudah bersuami. Lagipula, hanya kaum lelaki yang dibenarkan berjimak dengan hamba wanita, tetapi wanita dilarang sama sekali untuk berjimak dengan hamba lelaki.