Sunday, 29 June 2025

YAMAHA PSR-500 portable keyboard repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki keyboard dan anda boleh rujuk di sini.

YAMAHA PSR-500 portable keyboard

Kali ini keyboard yang dirujuk berjenama YAMAHA, model PSR-500 dengan masalah gagal dihidupkan.

Model: PSR-500

Pemeriksaan awal pada adapter yang digunakan elok dan keyboard ini juga boleh berfungsi dengan menggunakan 6 biji bateri saiz D.

Made in Japan...

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya dan setelah butang power ditekan berulang kali ia ada mengeluarkan suara namun lampu indikator tidak menyala

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, semuanya kelihatan elok serta bersih seperti baru.

Setelah penutup bawah dibuka... 

Gambar di bawah ialah papan litar utama (mainboard) dan tiada sebarang kerosakkan boleh ditemui dengan pandangan mata kasar.

Mainboard PSR-500

Menurut pemilik, keyboard ini dibeli pada tahun 90an dan telah lama tidak digunakan serta disimpan dalam stor.

High ESR capacitors...

Masalah barangan elektronik yang gagal berfungsi setelah lama tidak digunakan biasanya adalah disebabkan microprocessor gagal dihidupkan. Komponen yang perlu diganti ialah kapasitor sebab nilai ESR sangat tinggi.

Pemeriksaan menyeluruh menggunakan multimeter ESR pada kesemua kapasitor menemui dua biji  kapasitor dengan nilai 47uf, 16v rosak dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

47uf, 16v

Gambar di atas dan di bawah ialah kedua-dua kapasitor yang telah saya gantikan dengan yang baru.

47uf, 16v

Masalah gagal dihidupkan selesai dengan hanya menggantikan kedua-dua kapasitor kecil yang saya nyatakan di atas sahaja.

Kapasitor rosak (high ESR)

Ujian seterusnya pada setiap 'key' mendapati satu 'key' gagal menghasilkan suara bila ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Masalah 'key' yang gagal berfungsi adalah disebabkan suisnya kotor seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Butang suis kotor...

Masalah 'key' yang tidak menghasilkan bunyi bila ditekan selesai dengan membersihkan kotoran pada butang suis sahaja.

Butang suis telah dibersihkan...

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya dan kesemua 'key' berfungsi setelah butang suis telah dibersihkan.

Keterangan lanjut keseluruhan pengalaman membaiki keyboard kali ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Thursday, 26 June 2025

Kidario KTR-8800 time recorder machine

Sebelum ini saya pernah dirujuk mesin seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kidario KTR-8800

Jenama mesin ini ialah Kidario, model KTR-8800 dengan masalah kad waktu kerja boleh ditarik masuk ke dalam mesin namun gagal mencetak.

Model: KTR-8800

Masalah gagal mencetak yang saya maksudkan boleh ditonton pada klip video di bawah.

Sewaku saya bekerja dahulu, saya juga pernah melalui masalah sedemikian dan ianya disebabkan ada bendasing yang tersangkut pada bahagian pencetak (printer).

Setelah dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya menemui cebisan kertas tersangkut pada bahagian pencetak seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Cebisan kertas tersangkut pada 'printer head'...

Gambar di bawah menunjukkan cebisan kertas telah saya keluarkan dan ianya adalah cebisan dari kad kehadiran.

Keluarkan cebisan kertas yang tersangkut...

Masalah sedemikian boleh diselesaikan dengan mudah oleh anda sendiri tanpa perlu merujuk atau dirujuk kepada pakar.

Mesin yang elok seharusnya berfungsi seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Monday, 23 June 2025

Auto gate remote control repair

Hari ini saya dirujuk sebuah alat kawalan jauh untuk pagar automatik (auto gate) seperti boleh dilihat pada gambar di bawah dengan masalah butang merah rosak.

Auto gate remote control...

Menurut pemilik, ianya telah lama bermasalah dan apa yang berlaku akhir-akhir ini ialah bateri yang baru ditukar hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati 'tact switch' untuk butang merah tidak elastik lagi dan kadang-kadang lampu merah masih menyala walaupun tidak ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

'Tact switch' yang rosak biasanya tidak menghasilkan bunyi 'tact' sewaktu ditekan serta dilepaskan.

Bateri A23 - 12v

Bateri yang digunakan ialah A23 dengan voltan 12v namun cuma 5v sahaja bila diukur menggunakan multimeter seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

5v sahaja...

Saiz 'tact switch' yang digunakan ialah 3x6x4.3 dan masalah selesai setelah suis telah diganti dengan yang baru. Kerosakkan suis pada alat kawalan jauh tidak dapat dielakkan dan ianya pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Gantikan tact switch yang baru ..

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Friday, 20 June 2025

Sony CFD-V8 CD radio cassette-corder repair

Radio merupakan medium penyiaran yang sangat popular suatu ketika dahulu sebelum wujudnya TV.

Sony CFD-V8 CD radio cassette-corder

Sewaktu zaman penjajahan jepun, memiliki radio adalah satu kesalahan besar. Pemilik radio dan TV perlu membayar lesen tahunan namun telah dimansuhkan pada tahun 1999.

Model: CFD-V8

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah radio berjenama SONY, model CFD-V8 dengan masalah suaranya nyaring sewaktu baru dihidupkan namun semakin lemah selepas itu seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Saya pernah membaiki TV CRT dengan masalah tiada suara langsung dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah bahagian hadapan dibuka...

Sewaktu mengujinya, saya dapati tiada masalah suara menjadi lemah jika memainkan kaset serta CD. Masalah suara di atas hanya berlaku jika mendengar siaran radio.

Keluarkan bahagian papan litar...    

Jadi, masalahnya ialah pada audio bahagian radio sebelum dihantar ke bahagian amplifier.

Bahagian atas papan litar...

Pemeriksaan pada bahagian radio menemui sebiji kapasitor kecil dengan nilai 0.47uf, 50v mempunyai bacaan ESR tinggi.

C13 rosak 

Gambar di atas adalah kapasitor yang saya maksudkan dan gambar di bawah pula ialah bacaan ESR sewaktu diperiksa.

C13 (0.47uf, 50v) - High ESR

Percaya atau tidak, masalah suara radio di atas selesai hanya dengan menggantikan sebiji kapasitor kecil tersebut sahaja.

Gantikan kapasitor baru...

Gambar di bawah ialah label pada transformer 12v yang digunakan dan ianya buatan China.

Made in China

Saya menemui label pada gambar di bawah di bahagian bawah radio dan saya yakin ianya merupakan tarikh dibeli.

Mac 28, 2015

Keterangan lanjut pengalaman membaiki radio kali ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY... 

Tuesday, 17 June 2025

SHANBEN SY-MD05D multi-function electric stew cup

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah 'electric stew cup' berjenama SHANBEN model SY-MD05D dengan masalah gagal berfungsi.

SHABEN multi-function electric stew cup

Fungsinya serupa periuk nasi elektrik moden dengan pelbagai kegunaan memasak cuma saiznya jauh lebih kecil.

Model: SY-MD05D

Maklumat dari label, ianya dikilangkan pada 20.12.2024 dan hanya beberapa bulan dipasarkan.

Date of manufacture: 20.12.2024

Setelah dibuka dan diperiksa, tiada kerosakkan komponen pada bahagian atas papan litar. Fius keselamatan juga tidak putus serta elok.

Setelah penutup bahagian bawah dibuka...

Ianya gagal berfungsi disebabkan tiada bekalan 5v pada terminal VCC seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Tiada bacaan voltan pada GND & VCC

Terminal VCC disambung kepada sebiji IC yang dilabel KP303 pada bahagian bawah papan litar.

Bahagian bawah papan litar...

Label pada papan litar pula ialah KP311 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

KP303 or KP311?

Saya tidak menemui komponen KP303 namun KP311 ada ditemui dijual dalam talian dan mengikut datasheet ia merupakan 'PWM controller'.

Gantikan KP303 dengan KP311

Saya telah gantikan KP303 dengan KP311 dan masalah selesai serta berjaya diselamatkan.

VCC = 5v

Sehingga blog ini ditulis, 'electric stew cup' ini telah sebulan dikembalikan kepada pemilik dan ianya berfungsi tanpa masalah.

Tested - ok

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Gambar di bawah ialah komponen yang terlibat dalam kerja baiki membaiki kali ini. Untuk pengetahuan semua, saya tidak menemui sebarang perbezaan di antara kedua-dua komponen tersebut sewaktu memeriksa dengan menggunakan multimeter.

KP311 vs KP303

Untuk pengetahuan semua, IC tersebut tidak mampu dibuka menggunakan alat pateri (soldering iron) dan harus dipanaskan menggunakan 'rework station' sebelum dikeluarkan serta diganti.

Klip video di atas dan di bawah saya rakam menggunakan mode MACRO pada telefon bimbit. Apa yang jelas kelihatan pada KP303 ialah secebis permukaan sebelah kiri telah pecah.

Selamat berDIY...

Saturday, 14 June 2025

45° anti-spy/anti-peeping screen protector

Telefon REDMI note 11 saya dibeli pada 23/12/2022 dan setakat ini berfungsi dengan cemerlang.

Screen protector rosak...

Benda yang mula sekali reput ialah casing lutsinar dan kini 'skrin protector' pula lusuh dengan lapisan atasnya tanggal sedikit demi sedikit seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

45° anti-spy screen protector...

Untuk menggantinya, saya beli '45° anti peeping tempered glass' melalui dalam talian dengan harga RM4.39 sekeping

Pelekat & kain pembersih di bekal oleh penjual...

Untuk pengetahuan semua, saya beli 'screen protector' sahaja namun penjual bekalkan 2 kain pembersih (basah & kering) serta pelekat seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan screen protector baru...

Kerja menggantikan 'screen protector' ini sangat mudah sebab 'screen protector' asal masih melekat dengan elok dan bila dibuka, 100% bersih tanpa habuk.

Siap...

Saya cuma perlu buka pelekat asal dan gantikan dengan 'tempered glass' baru sahaja tanpa perlu melakukan kerja pembersihan pada skrin.

Jangan lap permukaan skrin dengan kain biasa selepas dibuka sebab pasti ada habuk dari kain. Jika perlu dibersihkan, gunakan kain yang dibekalkan khas agar betul-betul bersih tanpa habuk.

Klip video di atas saya rakam setelah 'screen protector' telah diganti dan anda boleh lihat bagaimana '45° anti-spy berfungsi dari pandangan sudut kiri dan kanan skrin.

Casing asal lutsinar telah reput...

Gambar di atas ialah keadaan casing lutsinar asal yang telah reput dan saya gantikan dengan casing 'soft liquid silicone' dengan harga RM5.37.

Casing baru tidak sebaik casing lutsinar asal sebab licin dan cengkaman jari/tangan tidak baik.

Gantikan dengan casing silikon yang baru...

 Selamat berDIY...