Monday 5 August 1985

Alam ini diciptakan dalam masa enam hari (Bahagian dua)

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Saya pernah menulis bahagian satu sebelum ini di sini. Di bahagian ini, saya ingin melebarkan lagi perbahasan untuk memasukkan pendapat para ahli tafsir berkenaan isu ini. 

Telah saya sebutkan sebelumnya, Qur'an mengajarkan Allah telah mencipta langit dan bumi dalam masa enam hari. Al-Qur'an hanya menyebutkan alam ini dalam konteks langit dan bumi, kerana Muhammad tidak tahu-menahu tentang konsep planet yang berbeza, galaksi, jarak bintang-bintang dan sebagainya. Jadi apabila Qur'an menyebut langit dan bumi, adalah difahami bahawa ia meliputi alam semesta. Qur'an tidak menyebutkan apakah yang dimaksudkan dengan enam hari.

Konsep alam di dalam Islam adalah mudah. Bumi disebut sebagai hamparan leper, langit sebagai bumbung. Langit pula mempunyai tujuh lapis. Langit terendah iaitu langit pertama dihiasi dengan bintang-bintang, dan matahari dan bulan mengelilingi bumi di langit pertama.

Konsep penciptaan enam hari ini diambil dari kitab Bible, dan Bible menyebut bahawa enam hari ini adalah enam hari yang sesungguhnya, yakni siang dan malam melibatkan satu hari (al-Kitab Genesis bab satu). Apabila Qur'an tidak menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan enam hari ini, dan cuma mengulangi cerita Bible serta menggunakan bahasa yang digunakan oleh manusia biasa iaitu "hari" (Ayyam), maka ia menjurus kepada maksud yang cukup jelas. Iaitu enam hari yang disebut di dalam Qur'an itu adalah enam hari yang sesungguhnya, iaitu isnin, selasa, rabu dan sebagainya. 

Jika ada maksud yang lain, maka wajiblah bagi al-Qur'an untuk menjelaskan maksudnya, kerana jika tidak, ia tidak mempunyai maksud yang jelas. Jika satu hari yang dimaksudkan dengan al-Qur'an itu bukanlah hari seperti mana yang difahami orang ramai, tetapi mebawa maksud "satu tempoh yang lama" (seperti yang didakwa Dr Zakir Naik misalnya), maka perlulah al-Qur'an menjelaskan. Dengan tidak menjelaskan maksudnya, Al-Qur'an seperti sengaja mengelirukan para pembaca dengan mengunakan perkataan yang membawa satu maksud yang difahami umum, walhal sebenarnya ingin memberi maksud yang lain. 

Enam hari menurut ulama tafsir

Ulama tafsir rata-rata menyebutkan ulama berbeza pendapat mengenai definisi perkataan "hari" yang disebutkan di dalam al-Qur'an, apakah ia merujuk kepada hari di dunia, atau hari di Akhirat, yakni satu hari disebut sebagai seribu tahun (seperti mana disebut dalam surah al Haj 22:47). Berikut di bawah apa yang disebut ulama-ulama tafsir.

At-Tabari menyebutkan ulama berbeza pendapat, tetapi dia mentafsirkan kata enam hari ini sebagai enam hari yang sesungguhnya, iaitu hari isnin, selasa, rabu, khamis, jumaat dan sabtu, tetapi menyebutkan satu hari ini mengikut perkiraan manusia adalah seribu tahun (Tafsir at-Tabari). Maksudnya, hari ahad, isnin, selasa, rabu sehingga jumaat ini berlalu dengan cukup lama, tetapi ia tetap hari-hari ini yang dimaksudkan.

Ar-Razi menyebut di dalam tafsirnya Tafsir al-Kabir, bahawa enam hari ini adalah enam hari seperti perkiraan manusia, yakni 24 jam setiap hari. Ar-Razi berhujah bahawa apabila ayat Qur'an menyebutkan enam hari tanpa menerangkan maknanya, maka ia bermaksud pendengar al-Qur'an sudahpun memahami apa maksudnya, yakni enam hari seperti yang difahami umum. Bagi mereka yang mengatakan matahari dan bulan belum diciptakan, maka bagaimana boleh dikatakan 24 jam itu wujud, ar-Razi menjawab selagi mana tempohnya 24 jam seperti kiraan manusia, maka biarpun matahari dan bulan tiada pun, tempoh 24 jam itulah yang dimaksudkan dengan satu hari. (Tafsir ar-Razi)

Al-Qurtubi menyebutkan ada ulama yang mengatakan satu hari bersamaan satu hari Akhirat, yakni seperti seribu tahun, dan ada pula yang menyebutkan hari seperti hari di dunia.  Dia menyebutkan pendapat Mujahid dan lainnya yang menyebutkan hari pertama ialah hari Ahad, dan hari keenam ialah hari Jumaat (Tafsir al-Qurtubi)

Ibn Kathir mengulangi saja pendapat ulama yang berbeza, ada yang menyebutkan satu hari adalah seribu tahun pada pandangan manusia, dan ada para ulama yang menyebutkan satu hari adalah seperti satu hari di dunia. Dia juga menyebutkan bahawa hari-hari penciptaan itu adalah dari hari Ahad sehingga hari Jumaat, manakala hari Sabtu adalah hari terhentinya penciptaan, kerana perkataan Sabtu itu bermaksud "terhenti". (Tafsir Ibn Kathir). Kepercayaan tentang hari Sabtu adalah hari di mana tuhan berhenti dari mencipta adalah diambil dari agama Yahudi secara langsung dari Taurat, walaupun ini dinafikan oleh orang Islam tentunya.

Tafsir As-Suyuti menyebutkan bahawa enam hari ini adalah enam hari dunia (yakni 24 jam) (Tafsir as-Suyuti)

Tafsir ash-Shaukani menyebutkan satu hari adalah seribu tahun dan ini yang tafsiran yang dipilihnya (Tafsir asy-Shaukani).

Dapatlah dilihat bahawa ulama berbeza pendapat berkenaan ayat ini, tetapi punca ulama berbeza pendapat adalah kerana al-Qur'an sendiri tidak menjelaskan. Sudah tentu, jika pendengar mendengar ayat Qur'an yang menyebutkan "Bumi dan langit diciptakan dalam enam hari", sudah pasti perkara pertama yang difahami adalah enam hari yang difahami sedia maklum, kerana itu yang disebut ayat itu, tanpa ada apa-apa usaha untuk menjelaskan yang sebaliknya. Maka atas dasar itu saya juga menyebut itulah yang dimaksudkan oleh al-Qur'an, yakni hari dua puluh empat jam yang difahami manusia. 

Ini konsisten dengan ajaran Bible yang turut menyebutkan enam hari itu adalah hari di mana adanya siang dan malam, tanpa ada apa-apa usaha untuk menjelaskan siang dan malam itu berapa lama tempohnya. Pemahaman primitif masyarakat pada waktu itu menggambarkan bahawa siang dan malam itu sudah ada sejak dahulu dan siang dan malam itu seperti mana yang mereka lihat pada zaman mereka. Jika al-Qur'an ingin memisahkan pemahaman enam hari penciptaan ini dengan cuba membawa maksud enam hari itu bukan enam hari yang biasa kita fahami, saya mengulangi dakwaan ar-Razi dalam tafsirnya, yakni Qur'an sepatutnya menjelaskan apa yang dimaksudkan. Oleh kerana Qur'an tidak berbuat demikian, maka tidak dapat tidak, itulah kesimpulan yang kita dapati, iaitu enam hari itu enam hari yang sedia maklum dan terzahir, dan tiada maksud lain. 

Ramai pentafsir menyebutkan enam hari ini melibatkan hari ahad, isnin, selasa dan seterusnya, tetapi mereka tidak tahu bahawa konsep hari-hari ini hanya terpakai di bumi ini, kerana terikat dengan fenomena bulan mengelilingi matahari yang membawa konsep tahun yang berbeza, serta musim berbeza. Konsep tujuh hari seminggu ini hanya terpakai di dunia ini, di planet lain, bahkan di bulan sekali pun, konsep tujuh hari ini sudah tidak relevan. 

Maka dakwaan al-Qur’an tentang enam hari serta penjelasan hadith yang memperincikan penciptaan pada hari-hari tersebut cuma membawa fahaman ganjil yang cukup menyimpang dari realiti. Ia juga membawa kepada pemahaman para ulama yang tidak terpakai dalam dunia hari ini, yakni pemahaman mereka bahawa alam ini tercipta pada hari ahad hingga jumaat.