Copy & Paste
*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun
ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab
tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan
semata-mata. Terima kasih
Mari kita bercakap sedikit mengenai konsep alam semesta, serta
peredaran bulan, dan juga matahari seperti yang disebut di dalam Islam.
Berikut
ini yang diajar di dalam Islam mengenai alam ini, dan jika ada yang
bertanya apakah Islam ada atau tidak mengajar tentang asal-usul serta
keadaan pergerakan objek-objek di langit, jawapannya ada. Al-Qur'an
mempunyai cara tersendiri untuk memahami dan menerangkan fenomena alam
semesta dan pergerakan objek-objek di langit ini, yang mencerminkan
pemikiran masyarakat pada zaman Muhammad. Ia fahaman yang terhad dan
kuno, dan menunjukkan betapa manusiawinya al-Qur'an itu.
Ia tidak mencerminkan kepintaran dan keagungan pencipta alam yang sepatutnya lebih advanced dan genius itu.
Penciptaan alam
Kita
lihat pada mulanya, menurut al-Qur'an, apabila Allah ingin mencipta
alam ini, dia telah menciptakan bumi terlebih dahulu, kemudian dia telah
meletakkan gunung-ganang di atas muka bumi ini, dan kemudian barulah
dia menciptakan bulan, bintang dan matahari. Kesemua ini mengambil masa
enam hari untuk selesai. (Rujuk surah 2:29, 41:9-12).
Ayat-ayat yang menunjukkan bumi dicipta terlebih dahulu, kemudian baru langit adalah ayat seperti di bawah:
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia
menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu
dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Baqarah 2:29)
Dan juga ayat di bawah:
وَجَعَلَ
فِيهَا رَوَٰسِىَ مِن فَوْقِهَا وَبَـٰرَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَآ
أَقْوَٰتَهَا فِىٓ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍۢ سَوَآءًۭ لِّلسَّآئِلِينَ. ثُمَّ
ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌۭ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ
ٱئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًۭا قَالَتَآ أَتَيْنَا طَآئِعِينَ
Dan
Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetap di atasnya, serta Dia
melimpahkan berkat padanya, dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan
keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta
dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat hari. Kemudian Ia
menunjukkan kehendakNya ke arah langit sedang langit itu masih berupa
asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua
akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya
menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" (Surah
Fussilat 41:10-11)
Jadi yang disebut di sini adalah, bumi
merupakan perkara awal yang wujud, sebelum ciptaan-ciptaan lain, dan ia
bulat yang rata dan licin. Kemudian barulah Allah meletakkan
gunung-ganang di atasnya, untuk menjadikannya seperti sekarang, cuma
yang anehnya, proses meletakkan gunung-ganang ini saja, dan juga
meletakkan rezeki-rezeki lain di atas bumi ini, telah mengambil masa
selama empat hari untuk disiapkan oleh Allah. Dan selepas siap semuanya,
barulah Allah menjadikan bulan, matahari dan bintang-bintang, hanya
dalam masa dua hari.
Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam
dua hari; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan
keperluannya masing-masing. (Surah Fussilat 41:12)
Perhatikan,
proses mencipta satu bumi ini mengambil masa yang lebih lama daripada
proses mencipta bulan, bintang dan matahari, ini menunjukkan corak
pemikiran penulis al-Qur'an yang mempercayai bahawa bumi ini titik
tumpuan alam ini, dan menunjukkan kejahilannya tentang keluasan alam
semesta yang sebenar, dan juga saiz bumi ini jika dibandingkan dengan
galaksi dan alam semesta.
Kerana itu,walaupun dia percaya bahawa
alam semesta ini dicipta dalam masa enam hari, tetapi empat hari saja
sudah dihabiskan dengan menciptakan bumi ini sahaja.
Ada
percanggahan di dalam al-Qur'an di antara surah 41:9-12 dan surah
79:28-30, kerana menurut surah 79:28-30 pula, langit yang telah
diciptakan dahulu, kemudian barulah bumi. Satu percanggahan di situ.
رَفَعَ سَمْكَهَا فَسَوَّىٰهَا ٢٨وَأَغْطَشَ لَيْلَهَا وَأَخْرَجَ ضُحَىٰهَا ٢٩وَٱلْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَىٰهَآ ٣٠
Dia
telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, dan dia
menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya
terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan
penduduknya), - (Surah 78:28-30)
Di dalam ayat di atas, bumi
telah dihamparkan selepas Allah menyempurnakan langit, walhal di dalam
ayat sebelumnya, bumi telah disiapkan dahulu sebelum Allah fokus kepada
langit. Allah kemudiannya menambah matahari, bulan dan bintang di antara
langit-langit itu.
Manakala konsep enam hari di dalam al-Qur'an
ini pula, langsung tidak diberikan pencerahan tentang apakah maksudnya.
Jadi orang-orang yang membacanya, terutamanya orang yang hidup pada
zaman kuno di zaman Muhammad, akan terus mempercayai bahawa ia merujuk
kepada hari-hari sepertimana hari-hari yang kita lalui. Dan ini menyamai
konsep penciptaan alam seperti yang diajarkan di dalam Bible, yang
diimani orang-orang Kristian dan Yahudi. Mereka juga percaya bahawa
tuhan telah menciptakan alam ini dalam masa enam hari, dan pada hari
ketujuh iaitu hari Sabtu, tuhan telah berhenti kerja atau "berehat".
Al-Qur'an tidak cuba untuk mencabar kepercayaan ini, atau cuba
menjelaskan apa-apa.
Di dalam kitab-kitab tafsir,
adanya perbezaan pendapat tentang apakah hari-hari yang disebutkan ini
sama dengan hari-hari kita, yakni 24 jam, tetapi perhatikan, perbezaan
pendapat ini muncul hasil daripada perbincangan dan perdebatan di
kalangan masyarakat dalam memahami ayat-ayat ini. Di dalam terjemahan
Melayu pada hari ini, pembaca mungkin akan melihat perkataan "enam hari"
itu diterjemahkan menjadi "enam masa". Ini untuk mengurangkan persoalan
dan kritikan yang bakal datang ketikamana orang membaca ayat-ayat
itu.
Penulis al-Qur'an sendiri tidak menyebut apa-apa untuk
menjelaskannya, dan dia cuma menyebutkan hari, enam hari, dan yang lebih
memburukkan keadaan, hari yang sama ini dipercayai juga oleh
orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian sebagai hari 24 jam. Maka
jika ia bukan 24 jam, sepatutnya al-Qur'an sendiri yang perlu jelaskan
dan perbetulkan apa maksud sebenar "hari", bahkan lebih baik, jangan
guna langsung perkataan "enam hari" itu.
Adakah kita berani untuk
mengajar anak-anak kita di dalam subjek sains bahawa alam ini dicipta
dalam tempoh enam hari 24 jam? Sudah pasti tidak, bahkan perkara ini
tidak dimuatkan pun di dalam subjek sains sekolah. Ia terhad kepada
subjek agama saja, kenapa? Kerana ia karut. Konsep hari ini wujud kerana
pergerakan bumi dan kedudukan matahari. Ia relatif, dan bukannya
mutlak.
Dan oleh kerana hari Sabtu merupakan hari berehat Tuhan,
atau tuhan berhenti dari melakukan penciptaan selepas selesai
menciptakan alam, maka kerana itulah pada hari Sabtu, orang-orang Yahudi
tidak dibenarkan melakukan apa-apa kerja, kerana tuhan sendiri telah
berhenti bekerja pada hari itu. Ini kepercayaan Yahudi.
Al-Qur'an
juga turut terpengaruh dan mengiktiraf amalan cuti pada hari Sabtu ini,
kerana ia juga menyebutkan kisah di mana orang-orang Yahudi telah
ditukar menjadi kera kerana bekerja pada hari Sabtu (Surah 2:65,
7:163-166), lantas menimbulkan kemarahan Allah dengan perbuatan itu. Pun
begitu, perintah cuti pada hari Sabtu ini nampaknya telah dimansuhkan
dan tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, mahupun agama
Kristian.
Kemudian, setelah bumi disiapkan, dan langit juga
disiapkan, Allah meletakkan bintang-bintang, bulan dan matahari di
antaranya. Maksudnya bintang-bintang tercipta selepas bumi. Adakah
sesiapa yang berani mengajarkan ini kepada orang ramai sebagai sains?
Tujuh langit
Al-Qur'an menyebutkan bahawa ada tujuh langit di atas bumi, dan ini diulang-ulang di banyak tempat di dalam al-Qur'an, misalnya
ٱلَّذِى خَلَقَ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ طِبَاقًۭا
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis (Surah al-Mulk 67:3)
Konsep ini menyamai tujuh langit di dalam tradisi Yahudi, yang mana ia disebut di dalam kitab Talmud Babylon:
Reish Lakish menyebutkan: Adanya tujuh langit, dan ia adalah Vilon, Rakia, Shehakim, Zevul, Ma'on, Makhon dan Aravot (Sumber)
Ia juga disebut oleh Irenaus, seorang ulama Kristian awal, atau digelar sebagai Early Church Father, menulis di dalam Proof of the Apostolic Preaching:
Dan bumi ini diliputi oleh tujuh langit (Sumber).
Pun
begitu, kitab Bible sendiri tidak menyebut tentang langit mempunyai
tujuh lapis, ini merupakan konsep yang datang kemudian, yang didatangkan
oleh pendeta dan paderi yang datang kemudian yang memasukkan
fahaman-fahaman dari zaman mereka ke dalam tulisan-tulisan mereka, yang
mana ia hanya diulangi oleh al-Qur'an. Konsep tujuh langit ini dilihat
diinspirasi oleh tujuh objek langit yang dikenali oleh dunia kuno, yang
mana ia termasuk matahari, bulan, Zuhrah, Marikh, Zuhal, Merkuri dan
Jupiter.
Konsep tujuh langit inilah yang merangkumi seluruh alam
semesta bagi orang dulu-dulu, dan di atas tujuh langit itu, adalah Tuhan
sendiri. Ketujuh-tujuh langit ini adalah berlapis-lapis, tetapi ia
lansung tidak dijelaskan oleh al-Qur'an apakah maksud tujuh langit ini.
Ini yang mengelirukan. Apa yang dilakukan al-Qur'an adalah, hanyalah
mengulangi semula mitos yang turut disebut di dalam tradisi agama Yahudi
dan Kristian, dan dipercayai oleh masyarakat Timur Tengah ketika itu,
kerana nampaknya ini merupakan satu motif yang popular dan diterima
masyarakat, jadi ia disebut banyak kali.
Pun begitu, ia tidak
didasari realiti, dan "hakikat" tujuh langit berlapis-lapis ini juga
tidak diajar di sekolah, kecuali mungkin disebut di dalam subjek agama.
Al-Qur'an
juga menyebutkan tentang bumi juga ada tujuh, pun begitu ini hanya
disebutkan di dalam satu ayat, dan ia tidak dijelaskan maksudnya.
Allah
yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti
itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan
bumi. (Surah at-Talaq 65:12)
Pun begitu, para ahli tafsir dan
hadith-hadith menyebutkan bahawa tujuh bumi ini adalah tujuh lapisan
bumi yang sama seperti langit, ia berada berlapis-lapis, satu atas yang
lainnya. Satu contoh hadith adalah seperti berikut مَنْ أَخَذَ شَيْئًا
مِنَ الأَرْضِ بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى
سَبْعِ أَرَضِينَ, yakni sesiapa yang mengambil sebahagian tanah yang
bukan haknya, maka di hari Kiamat dia akan tenggelam ke dalam lapisan
bumi yang tujuh. (Sahih al-Bukhari).
Hanya
satu ayat yang menyebutkan tentang perkara ini, dan ia seperti sesuatu
yang tidak begitu penting di dalam al-Qur'an. Konsep tujuh langit ini
pula adalah mitos.
Saiz bintang
Al-Qur'an membezakan antara matahari dan bintang sebagai dua perkara
yang berlainan. Mungkin kerana terhadnya penggunaan terminologi bahasa
ketika itu, tetapi ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada para pembaca
sekarang, yang mana kita tahu bahawa matahari itu juga sejenis bintang.
Al-Qur'an juga langsung tidak membezakan bintang dengan planet-planet,
kerana sekali lagi, ilmu pada waktu itu sangat terhad, dan ia juga
cerminan kepercayaan penulis al-Qur'an itu.
Al-Qur'an juga
menggambarkan bintang-bintang ini sebagai bersaiz kecil. Kerana itulah
bintang-bintang ini digunakan sebagai bahan rejaman ke atas syaitan. Ini
cara al-Qur'an untuk menerangkan fenomena tahi bintang. Lihat ayat
berikut:
وَلَقَدْ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَـٰبِيحَ
وَجَعَلْنَـٰهَا رُجُومًۭا لِّلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ
عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ ٥
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan
bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami
sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang. (Surah al-Mulk
67:5)
Dan juga ayat di bawah
وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًۭا وَزَيَّنَّـٰهَا لِلنَّـٰظِرِينَ ١٦
وَحَفِظْنَـٰهَا مِن كُلِّ شَيْطَـٰنٍۢ رَّجِيمٍ ١٧
إِلَّا مَنِ ٱسْتَرَقَ ٱلسَّمْعَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌۭ مُّبِينٌۭ ١٨
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang
(yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi
orang-orang yang melihatnya.
Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
Kecuali
Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia
diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata
kelihatan. (Surah 15:16-18)
Perkara sama juga disebut di dalam
surah 37:6-10. Semuanya menyebutkan tentang langit yang dihiasi oleh
bintang-bintang, dan bintang-bintang ini merupakan alat rejaman syaitan.
Kecuali jika ingin dikatakan bahawa syaitan ini saiznya sama seperti
bintang (yang mana ini tidak disebut), kita boleh faham dari ayat-ayat
ini bahawa bintang-bintang itu adalah alat rejaman syaitan, seperti batu
yang kecil yang digunakan untuk merejam manusia.
Menurut
pandangan manusia yang hidup pada zaman kuno, sudah semestinya mereka
tidak tahu tentang saiz sebenar bintang-bintang atau planet-planet yang
dilihat dengan mata kasar dari sini. Al-Qur'an juga nampaknya tidak
mengetahui bahawa adanya beza antara tahi bintang, dan bintang yang
sebenar, kerana dari perspektif manusia, ia semuanya sama saiz saja.
Bulan dan matahari
Bumi
dan bulan diletakkan di atas satu paksi, dan mereka beredar
mengelilingi bumi. Tidak ada satu pun ayat di dalam al-Qur'an yang
menyebutkan tentang peredaran bumi, atau pusingan bumi, kerana memang
penulis al-Qur'an tidak tahu-menahu sama sekali tentang hakikat ini.
Baginya, bumi ini berada di tengah-tengah alam, dan segala bulan,
bintang dan matahari beredar mengelilinginya. Hakikat bahawa al-Qur'an
senyap sama sekali tentang pergerakan bumi atau putaran bumi, adalah
cukup menarik sekali.
Dan hakikat bahawa empat hari diperlukan
untuk menyiapkan bumi, manakala langit dan seisinya memerlukan hanya dua
hari menunjukkan ke arah kefahaman penulis al-Qur'an yang seperti
disebut, meletakkan bumi sebagai pusat alam, dan segala objek di langit
yang lebih kecil, mengelilinginya.
Al-Qur'an berkali-kali
menyebutkan tentang peredaran bulan dan matahari, dan juga peredaran
siang dan malam. Bagi al-Qur'an, siang dan malam itu seperti sesuatu
yang meliputi, dan tidak ada kaitan dengan matahari. Jika dilihat pada
surah asy-Syams 91:3-4 misalnya, dikatakan waktu siang itulah yang
menampakkan matahari, manakala waktu malam itu menyelubungi dan
menyembunyikan matahari, walhal ini perkara yang jelas salah. Bukannya
waktu malam yang menyelimuti matahari, tetapi seperti sedia maklum,
waktu malam itu adalah kerana bahagian bumi pada waktu itu tidak
disinari oleh cahaya matahari. Manakala waktu siang itu adalah hasil
dari cahaya matahari, kedua-duanya ini bukannlah sesuatu yang independent.
Lihatlah surah asy-Syams ayat 1-4 di bawah:
وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا
وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا
وَٱلنَّهَارِ إِذَا جَلَّىٰهَا
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰهَا
Surah al-Syams bermula dengan menyebutkan demi matahari dan waktu dhuhanya. Kemudian "demi bulan ketika ia mengikutinya (atau menurutinya)".
Bulan menuruti apa? Pastilah menuruti matahari, yang disebut di dalam
ayat pertama. Kemudian ayat ketiga menyebutkan "dan waktu siang, ketika
ia menampakkannya". Menampakkan apa? Menampakkan matahari, yakni
waktu siang itu yang menampakkan matahari, bukannya matahari yang
menyebabkan waktu siang.
Ayat keempat menyebut, "dan waktu malam, ketika ia menyembunyikannya".
Menyembunyikan apa? Menyembunyikan matahari. Nah, inilah kefahaman
penulis al-Qur'an, iaitu matahari itu dinampakkan oleh waktu siang, dan
waktu malam pula menutup atau melindungi matahari. Bagi penulis
al-Qur'an, waktu siang dan malam itu terjadi secara independent, daripada matahari, dan bukannya kerana cahaya matahari.
Demi
waktu siang yang menampakkan matahari, yang bermaksud siang ini
seolah-olah suatu yang meliputi dan bergerak mengelilingi bumi, dan
matahari hanya berada di tengah-tengah waktu siang itu sebagai objek.
Ketika malam menjelma, ia menyelubungi matahari dan menyembunyikannya.
Inilah fahaman yang jelas salah dan menyesatkan.
Pelbagai
ayat-ayat lain menyebutkan fenomena siang dan malam, yang seringkali ia
akan disertakan sekali dengan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi.
Siang dan malam digambarkan sebagai sesuatu yang sentiasa bergerak dan
mengelilingi bumi. Siang itu bukanlah cahaya daripada matahari, dan
malam itu bukanlah kerana matahari tidak menyinari sesuatu permukaan
bumi itu, jika menurut kitab ini.
Bahkan di dalam al-Qur'an
disebut bahawa siang dan malam ini saling kejar-mengejar dan melingkari.
Melingkari di sini tidaklah bermakna al-Qur'an sedang mengatakan bahawa
bumi ini berbentuk sfera, cuma ia memaksudkan siang dan malam ini
seperti melingkari bumi, tidak kiralah apa bentuknya bumi ini pun.
Bulan
juga disebut sebagai mengikuti atau menuruti matahari, seolah-olah ia
sama saiz dan berada di garis yang sama secara hakikat, dan mengikuti
antara satu sama lain.
Bulan dan matahari beredar
Di
dalam al-Qur'an, sentiasa disebut bahawa bulan dan matahari beredar pada
paksinya, seperti mana yang boleh dilihat dengan mata kasar. Al-Qur'an
mendakwa bahawa bumi dan bulan itu saling mengejar, dan tidak akan dapat
melepasi yang lainnya.
Dan matahari tidak mudah baginya
mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana
tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya
masing-masing. (Surah Yasin 36:40)
Perhatikan ayat di atas,
walaupun teks Arab menyebut لَا ٱلشَّمْسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدْرِكَ
ٱلْقَمَرَ, yakni tidak dibenarkan untuk matahari memotong bulan, tetapi
terjemahan Melayunya itu menyebutkan "tidak mudah", kerana untuk
menyebut "tidak dibenarkan" (atau lebih tepat, "tidak patut"), itu akan
mengelirukan orang, kerana jelas-jelas bulan juga boleh kelihatan pada
waktu siang, dan di kawasan yang mendekati kutub utara dan selatan,
waktu siang boleh jadi lebih panjang.
Menurut al-Qur'an, tidak
patut dan tidak boleh matahari itu mengejar, atau mendahului bulan.
Benarkah? Jika diikuti fenomena alam, matahari itu memang cukup jauh
jaraknya dari bulan, dan jauh lebih besar berbanding bulan, jadi tiada
persoalan mendahului antara kedua-duanya pun, kerana kedua-duanya tidak
terbanding.
Jika yang dimaksudkan adalah hanya dari perspektif
pandangan manusia, bagaimana pula ingin dijelaskan fenomena gerhana
matahari, yang mana kedua-duanya dilihat bersatu, dan bulan juga
mengejar matahari sehingga melintasinya? Yang anehnya, gerhana matahari
memang ada berlaku pada ketika hayat Muhammad, dan kita ada
hadith-hadith yang menyebutkan tentang kejadian ini, tetapi tetap saja
ada ayat al-Qur'an yang seperti ini. Mungkin penulis al-Qur'an ini
terlepas pandang tentang perkara ini, atau ia berlaku sebelum kejadian
gerhana itu berlaku di dalam hidupnya.
Selain itu, bulan dan
matahari jelas-jelas mendahului satu dengan yang lain di kawasan yang
berdekatan kutub utara dan kutub selatan. Ketika musim panas, matahari
akan lebih lama berada di langit, manakala pada waktu sejuk, bulan akan
berada lebih lama di langit. Bahkan, matahari akan berada di langit
selama enam bulan di kutub utara, yakni dipanggil midnight sun, yang
mana matahari akan turun dan naik di langit tetapi tidak terbenam.
Tetapi sudah pasti, fenomena ini adalah di luar kemampuan penulis
al-Qur'an untuk bayangkan.
Bagaimana pula jika matahari dan bulan
kelihatan sekali di langit? Atau adakah yang dimaksudkan matahari tidak
akan memotong bulan kerana matahari itu dilihat "bergerak" lebih
perlahan berbanding bulan? Ini juga menimbulkan kekeliruan kerana
hakikatnya pun bukan matahari yang bergerak mengelilingi bumi.
Pun
begitu, al-Qur'an memang menyebutkan bahawa matahari itu bergerak
mengelilingi bumi bahkan ia pergi ke suatu tempat untuk berhenti di
bawah bumi, sebelum terbit semula di timur. Ini disebut di dalam surah
Yasin 36:
وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّۢ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Dan
matahari itu beredar ke tempat yang telah ditetapkan baginya,
demikianlah takdir tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui (Surah
36:38)
Ayat di atas menyebutkan matahari itu beredar ke tempat yang ditetapkan. Perkataan limustaqarrilaha ini
bermaksud untuk tempatnya yang tetap. Ia berasal dari perkataan قرّ,
yang bermaksud tetap, tidak bergerak atau duduk diam. Adakah matahari
duduk diam?
Ayat ini menceritakan tentang pergerakan
matahari, dan setelah itu tentang pergerakan bulan pula, dan bagaimana
ingin menjelaskan bahawa matahari ini bergerak ke tempatnya yang tetap
dan tidak bergerak, kecuali ingin dikatakan bahawa penulis al-Qur'an
memang mempercayai bahawa matahari itu bergerak mengelilingi bumi?
Muncul juga hadith-hadith yang jelas menyebutkan bahawa matahari itu
ketika terbenam pergi ke bawah takhta Allah untuk bersujud kepada
Allah. Hadith-hadith seperti ini muncul dari pemahaman ayat ini yang
menyebutkan matahari itu selepas terbenam, telah duduk di suatu tempat
untuk bersujud.
Atas kefahaman ini jugalah, terhasilnya ayat di dalam Surah al-Kahf, yakni 18:86 yang menyebutkan tentang pergerakan matahari:
حَتَّىٰٓ
إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِى عَيْنٍ حَمِئَةٍۢ
وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًۭا ۗ قُلْنَا يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِمَّآ أَن
تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًۭا ٨٦
Sehingga
apabila dia (Zulkarnain) sampai ke daerah matahari terbenam, dia
mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan dia
dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan
mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau
hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap
mereka". (Surah al-Kah 18:86)
Zulkarnain telah sampai ke
daerah matahari terbenam, yang bermakna ia lokasi spesifik yang mana
matahari telah bergerak masuk ke dalam kawasan itu.
Ini jelas
bertentangan dengan akal dan fakta. Sekali lagi, anda tidak akan sama
sekali belajar tentang perkara-perkara ini di dalam kelas sains.
Kesimpulan
Jadi menurut al-Qur'an, ini yang kita boleh dapati perkara-perkara berikut:
1)
Tempoh untuk menghasilkan bumi adalah lebih lama berbanding alam
semesta, termasuk bintang-bintang dan planet-planet dan seluruh isinya,
kerana menurut pemikiran penulis al-Qur'an, bumi merupakan pusat tumpuan
alam. Penulis al-Qur'an tidak menyedari tentang saiz alam semesta.
Baginya, tujuh langit itu merupakan kesemua alam semesta, dan
objek-objek di langit itu bersaiz kecil.
2) Alam semesta diciptakan dalam masa enam hari. Tujuh langit dan bumi itulah alam semesta. Ia fahaman yang terhad.
3) Bulan dan matahari bergerak mengelilingi bumi, dan siang dan malam adalah fenomena yang bebas dari bulan dan matahari.
4) Matahari bergerak ke tempat tetap selepas terbenam.
Kesemua
ajaran di atas datang daripada pemahaman simplistik tentang alam yang
wujud pada kurun ke-7 masihi. Ia jelas salah dan tidak mungkin diajar di
dalam sekolah, kecuali di dalam konteks subjek agama.