Tuesday 5 August 1980

Pengharaman babi di dalam Islam

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Pengharaman babi sebenarnya disebut beberapa kali di dalam al-Qur'an, pun begitu tidak sekalipun disebut kenapa ia diharamkan. Babi juga adalah diharamkan dari memakannya di dalam agama Yahudi, dan seringkali kita mendengar orang-orang Islam yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang Bible akan mengatakan bahawa agama Yahudi pun mengharamkan babi, maka Islam tidak unik dan hanya meneruskan syariat nabi-nabi terdahulu katanya. 

Apa yang mereka sering tidak sebut adalah, agama Yahudi juga mengharamkan memakan unta, kerang dan juga arnab, tetapi Islam langsung tidak ada pengharaman tentang tiga makanan ini. Jadi kenapa? Jika ingin dikatakan Muhammad meniru tradisi orang Yahudi untuk mengharamkan babi, itu satu kemungkinan, memandangkan Islam memang banyak mencedok dan meniru tradisi daripada agama Yahudi. Agak ironi, agama yang kononnya sangat anti-agama-Yahudi, sebenarnya bertunjangkan dan cukup banyak dipengaruhi agama Yahudi sendiri. Bahkan, segala kewujudan Islam itu sendiri sebenarnya disebabkan agama Yahudi wujud. 

Tanpa Yahudi, Islam tidak ada sebab untuk wujud. Begitulah besarnya pengaruh agama Yahudi, sehingga berjaya mempengaruhi seseorang untuk mendatangkan sebuah agama yang dipanggil Islam. 

Pun begitu, Muhammad membuat agama barunya dengan acuannya yang tersendiri, berdasarkan pengalaman hidupnya dan pengetahuannya sendiri serta perseptinya tentang agama Yahudi, dan dia  tidaklah mengambil bulat-bulat dari Yahudi. Untuk perintah pengharaman babi ini contohnya, jika benarpun dia dipengaruhi Yahudi, dia cuma mengharamkan babi sahaja, tetapi tidak unta. Kerana iyalah, unta ni memang cukup banyak manfaatnya, termasuk dari segi pengangkutan, dan orang Arab memang sudah terbiasa memakan daging unta. Muhammad juga lahir dalam persekitaran orang yang majoritinya cinta kepada unta, sehingga ke tahap dia sendiri mengesyorkan meminum air kencing unta, seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab hadith.

Jikalau ingin dikatakan Muhammad tidak mengharamkan babi atas sebab terpengaruh dengan agama Yahudi, tetapi hanya kerana sebab peribadi, itu mungkin juga. Muhammad dan kaum kerabatnya mungkin memang tidak suka babi, dan melihatnya sebagai satu binatang yang kotor, kerana ia memang binatang kotor pun. Jadi dia cuma mengharamkan babi atas sebab persepsi dan kepercayaannya itu saja. Pun begitu dia tidak menyebutkan sebab di sebaliknya, kerana mungkin rakan-rakannya di waktu itu memang tidak memakan babi. 

Biasa orang Islam akan mengatakan babi itu haram kerana ia binatang kotor, seperti ia memakan najisnya sendiri, atau suka bergolek di dalam lumpur. Memang betul, babi akan melakukan ini, tetapi ayam dan arnab juga memakan najis sendiri, dan ini dianggap normal. Orang Islam akan memakan daging ayam dan arnab walaupun binatang-binatang tersebut memang memakan najis sendiri. 

Babi sebenarnya akan memakan najis sendiri jika mereka terlalu lapar dan tidak diberi makan yang cukup, dan jika makanan cukup diberikan, mereka memang tidak akan makan pun najis mereka. Masih ada segelintir babi yang tetap akan makan, tetapi kebiasaannya tidak begitu. 

Umat Islam yang memang tidak memakan babi, selalunya selain mengatakan babi itu kotor, juga akan mengatakan babi ini boleh mengakibatkan penyakit kepada manusia. Di atas muka bumi ini, sebenarnya dianggarkan ada sekitar 784 juta babi, dan babi-babi ini dijadikan bahan konsumsi oleh sebahagian besar penduduk dunia, dan ia telah dijadikan bahan makanan oleh sebahagian besar manusia sepanjang sejarah. Jika dimakan berlebihan, memang ia boleh menyebabkan penyakit, tetapi ia sama juga jika makan apa-apa secara berlebihan. Untuk mengatakan babi boleh menyebabkan penyakit, itu tidaklah begitu adil, kerana apa saja makanan boleh menyebabkan penyakit jika dimakan berlebihan. Bahkan meminum teh tarik secara berlebihan pun boleh menyebabkan kencing manis. 

Majoriti besar penduduk dunia memakan babi, dan tidak ada apa pun yang terjadi kepada mereka. Babi dijual secara besar-besaran, dan di Malaysia pun, babi boleh dilihat dijual di kesemua pasaraya besar. Orang yang memakan babi-babi ini pun kebanyakannya berjaya dalam hidup juga, dan sihat-sihat juga. 
Jadi apa masalahnya untuk makan babi ni?

Kebanyakan orang yang merasa jijik untuk makan babi ini, kerana telah diberitahu dari kecil bahawa babi ini haram, dan binatang kotor. Saya juga akui, setelah saya meninggalkan Islam tahun 2013, saya hanya mula memakan babi tiga tahun setelah itu. Itupun hanya mencuba, dan memang merasa jijik sangat. Tetapi lambat-laun, saya mulalah makan sedikit demi sedikit, itupun kerana makan bersama-sama dengan rakan-rakan cina di restoran cina. Memang betul, jika sudah dicuci otak bertahun-tahun lamanya, sangat sukar untuk mengubah persepsi itu. Tetapi tidak ada siapa pun yang memaksa saya untuk makan babi, saya memilih sendiri. 

Dan saya pun tidak memaksa sesiapa untuk memakan babi. Tetapi untuk mengatakan tuhan yang melarang bahkan marah jika ada orang makan babi, itu sudah mengarut. Bayangkan, tuhan marah jika orang makan babi. Bunyinya saja sudah cukup lucu. Jika manusia benci babi, dan kemudian dia kata babi itu haram, kemudian menisbahkan itu kepada agamanya dan mengatakan tuhan larang makan babi, itu kita boleh nampak logiknya. Tapi tuhan sendiri yang marah? Kisah pula dia. 

Benar, agama ini melucukan. Tetapi biasanya dah keluar baru boleh nampak betapa lucu dan mengarutnya agama itu. Kalau masih di dalam, orang itu boleh percaya kepada segala cerita karut-marut tanpa masalah.