Saturday, 31 December 2022

JACKPOT - Sports TOTO

Sejak Sports TOTO serta Magnum4D memperkenalkan produk JACKPOT, saya tidak lagi membeli nombor 4 angka (4D) sahaja dengan harapan menjadi jutawan suatu hari kelak.

Saya tahu kebarangkaliannya jauh lebih rendah berbanding membeli 4D sahaja namun dari masa ke semasa, saya beli juga dengan harapan merasa menjadi jutawan segera jika dimurahkan rezeki.

Hari ini saya kongsikan pengalaman membeli JACKPOT namun cuma satu nombor sahaja yang naik iaitu 1406 seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah.

Nombor tersebut saya dapat dari nombor siri treadmill yang saya baiki dan anda boleh rujuk di sini.

Tuah ayam nampak di kaki namun tuah untuk menang JACKPOT entah di mana. Jadi, jangan menaruh harapan yang tinggi dan beli JACKPOT jika ada duit lebihan atau mendapat ilham yang difikirkan tuah serta boleh menjana pulangan.

Kemungkinan seumur hidup ini saya tidak akan merasa menjadi jutawan dengan wang gaji serta simpanan namun tabiat membeli JACKPOT akan diteruskan dengan harapan ianya bakal termakbul suatu hari kelak.

29/12/2022

Kita semua boleh menjadi jutawan jika menukarkan wang yang kita ada kepada matawang rupiah.

Fikir-fikirkan...

Friday, 30 December 2022

Telur ayam harga kayangan

Baru-baru ini kerajaan telah mengimport telur ayam untuk menampung kekurangan bekalan telur ayam di pasaran tempatan.

Saya telah lama tidak membeli telur ayam sebab harganya kini tidak masuk akal. Harga paling murah ialah RM17.00 sepapan dan majoriti dijual RM20.00 sepapan untuk gred A, B & C. Hanya telur gred D sahaja yang dijual dengan harga kira-kira RM13 sepapan.

Ada peniaga yang bijak telah membungkus 10 biji sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan jika dikira penuh sepapan (30 biji) harganya di antara RM21 - RM24.

Apa yang menyedihkan ialah banyak peniaga telur yang tidak beroperasi mungkin disebabkan tiada bekalan telur atau gulung tikar. Gambar pertama di atas ialah lokasi saya membeli telur ayam selama ini dan saya tidak pasti apa yang telah berlaku kepadanya.


Seingat saya kali terakhir saya membeli telur ialah pada bulan ogos dengan harga RM14.10 sepapan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Ke mana perginya telur ayam yang diimport? Mungkinkah telur ayam yang diimport hanya untuk Malaya sahaja dan Sabah/Sarawak dipinggirkan atau mungkin telur yang diimport juga masih tidak mencukupi?

Sesuatu yang pelik berlaku ialah banyak pula gambar telur ayam yang dikongsikan oleh pihak KPDN dengan harga berpatutan. Mungkinkah gambar yang diambil telah dirancang atau sekadar hiasan bagi mengelak aduan orang ramai?

Thursday, 29 December 2022

Maybank official SMS number - 66628

Dua minggu yang lepas saya telah menerima sms dari Maybank menghantar kod MSOS untuk pengesahan seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Saya tidak pernah mempunyai sebarang akaun bank dengan Maybank melainkan insuran kereta suatu ketika dahulu sewaktu memperbaharui cukai jalan di pejabat pos.

Saya abaikan sahaja sms tersebut namun kira-kira 12 minit selepas itu satu lagi sms diterima memberitahu nombor telefon telah ditukar ke nombor lain.

Saya juga telah menghantar email untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan (reply) dari pihak Maybank ialah seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Sebelum ini saya juga pernah menerima beberapa panggilan yang juga memperkenalkan diri dari Maybank menawarkan perkhidmatan penstrukturan hutang kad kredit namun saya memilih untuk menamatkan perbualan sebab saya syak mereka adalah scammer.

Saya tidak pasti kenapa menerima sms seperti di atas namun yang pasti saya tidak mempunyai sebarang akaun atau transaksi dengan Maybank kebelakangan ini. 

Saya juga telah lama tidak memiliki kad kredit dan kini hanya mempunyai satu kad debit sahaja khas untuk urusan yang melibatkan atas talian (online) atau transaksi tanpa tunai.

Kita kini bukan setakat hidup bersama dengan virus CoVid-19 namun juga hidup bersama scammer yang semakin licik melakukan penipuan siber.

Mungkin saya perlu ke cawangan Maybank untuk penjelasan seterusnya...

Wednesday, 28 December 2022

SANYO EM-V3888W microwave repair

Semalam saya telah berjaya membantu seseorang yang mempunyai masalah microwave dan anda boleh rujuk di sini.

SANYO EM-V3888W

Menurut pemilik masalah microwave berjenama Sanyo model EM V3888W ialah fius utama putus sejurus selepas butang 'start' ditekan.

Baru-baru ini saya juga ada pengalaman baharu dengan masalah sedemikian dan anda boleh rujuk di sini.

HV diode & bi-directional diode...

Beliau juga memberitahu telah memeriksa suis pintu, magnetron, transformer, thermal fuse serta tukar kapasitor voltan tinggi yang baharu.

Ujian ke atas HV diode...

Pemilik juga memberitahu microwave boleh berfungsi tanpa menyambungkan bekalan ke HV transformer. Jadi masalahnya ialah pada bahagian voltan tinggi dan dalam banyak-banyak komponen yang telah diperiksa, hanya satu lagi yang tertinggal iaitu HV diode.

Ujian ke atas bi-directional diode (litar pintas)...

Saya telah menyuruh pemilik memeriksa HV diode dan gambar yang dibekalkan mendapati ianya menggunakan dua biji HV diode. Cara menguji HV diode pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Ujian ke atas HV diode menggunakan bateri 9v mendapati bi-directional diode mempunyai keterusan serta mengalami litar pintas seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Uji microwave tanpa bi-directional diode...

Untuk pengetahuan semua, fungsi bi-directional diode ialah seperti zener diode atau varistor (MOV) tetapi ianya direka khas untuk voltan tinggi.

Ujian seterusnya ialah uji microwave tersebut tanpa bi-directional diode dan fius utama tidak putus lagi serta kembali berfungsi semula.

HV diode & bi-directional diode baharu...

Majoriti microwave sekarang buatan China serta tidak dilengkapi dengan bi-directional diode dan anda boleh memilih untuk menukarnya jika rosak atau tanpa bi-directional diode.

Selamat berDIY...

Tuesday, 27 December 2022

Poly pipe bocor

Sebelum ini saya pernah kongsikan kebocoran saluran air tingkat atas rumah saya dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini kebocoran ialah pada paip 'poly' bekalan air ke rumah saya seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Kebocoran telah diketahui sebulan yang lalu namun tiada masa untuk membetulkannya.

Ini disebabkan ianya berada di atas siling tempat letak kereta dan perlu panjat serta buka atapnya. Kebocorannya hanya sedikit dan menitis perlahan-lahan sehingga membasahi siling namun tiada kulat/fungus yang tumbuh sebab air mengandungi klorin.

Gambar di atas adalah keadaan sambungan yang bocor namun gagal dihentikan kebocorannya walaupun saya telah cuba sedaya upaya ketatkan dengan tenaga yang ada.

Seterusnya saya buka semua sambungan yang ada untuk cuba betul mana yang difikirkan perlu.

Sambungan di antara poly pipe dengan paip PVC perlu di balut dengan 'thread seal tape' (PTFE tape) seperti boleh dilihat pada gambar di bawah sebelum dipasang kembali.

'PTFE tape' adalah benda wajib yang harus ada untuk semua sambungan paip air yang perlu dikunci agar tidak bocor.

Masalah kebocoran tidak selesai lagi setelah saya pasang kembali sebab 'O-ring' asalnya telah keras dan terpaksa menukarkannya dengan yang baharu.

Untuk pengetahuan semua, O-ring perlu disimpan di dalam penyambungnya dahulu sebelum poly pipe dimasukkan.

Setelah poly pipe dimasukkan, tekan dan tolak penahan berwarna putih sehingga O-ring betul-betul rapat sebelum menguncinya.

Masalah kebocoran selesai hanya dengan menukarkan O-ring pada penyambung poly pipe sahaja.

Untuk rekod, rumah saya dibeli pada tahun 2005 dan kebocoran berlaku setelah 17 tahun digunakan.

Selamat berDIY...

Monday, 26 December 2022

Kenapa telur ayam tidak mencukupi di pasaran?

1. Malaysia dikenali sebagai negara pengeksport telur. Pengeluaran telur Negara pada waktu dahulu telah melebihi 100% sehingga boleh dieksport.

2. Namun pandemik Covid dan PKP telah menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel, kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.

3. Akibatnya pengeluar telur terpaksa mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam penelur yang baru tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara asal mereka.

4. Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari luar negara. Anak ayam penelur perlukan 5 bulan untuk mula bertelur. Pada usia itu telurnya bersaiz kecil (Size C & D), pada usia 18 bulan ayam penelur akan mula dijual sebagai ayam pencen kerana produktivitinya telah menurun.

5. Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan Covid dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat. Waktu ini supply kurang, demand meningkat dan kesannya harga telur naik mendadak.

6. Rakyat mula merungut kerana harga telur semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan kenakan kawalan harga pada telur supaya harga telur tidak naik mendadak.

7. Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga sekarang.

8. 80% makanan ayam penelur adalah jagung dan ianya diimport. Sejak setahun lalu harga jagung dunia naik berlipat kali ganda dan penurunan nilai mata wang kita telah memburukkan lagi keadaan.

9. Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil telah ditutup kerana tidak mempunyai cash flow yang sihat. Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur Negara berkurangan dari 120% kepada 100%.

10. Untuk mengurangkan kerugian pengeluar telur, Kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka. Setahun Kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Suatu jumlah yang sangat banyak.

11. Harga makanan ayam terus meningkat sehingga kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian pengeluar telur. Jadi pengeluar telur terpaksa mengeksport telur mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat. Situasi inilah menyebabkan bekalan telur dalam negara berkurangan lagi 20%. Keuntungan dari aktiviti eksport ini diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun tetapi untung bersihnya hanya RM20 ribu.

12. Jika kerajaan menghentikan eksport, maka lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya bekalan telur dalam Negara akan jadi lebih meruncing.

13. Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh faham dengan mudah.

14. Jika Kerajaan menarik balik kawalan harga, harga telur akan naik mendadak - rakyat dah tentu akan marah.

15. Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, ketiadaan telur di pasaran sudahpun berlaku berbulan lamanya.

16. Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing, apa plan B negara?

17. Suka atau tidak suka, Kerajaan perlu ada SOP dan Pelan Kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka idea mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

18. 6 Disember 2022 - Kerajaan umum akan import telur dari beberapa negara  luar untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya bawa masuk telur dari sumber luar. Syarikat yang mengeksport telur ke Malaysia hari ini adalah syarikat yang sama membekalkan telur ke Fifa World Cup. Langkah import ini hanyalah langkah sementara.

19. Teorinya mudah. Apabila supply telur sudah melebihi demand, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, Kerajaan tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak usahawan telur ayam.

20. Kerajaan tidak menanggung apa-apa kos import telur. Kos dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang mengimport. Semua syarikat yang berminat mengimport telur boleh memohon kepada Kerajaan. Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya telus. Namun perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh 6 bulan akan datang mungkin Kerajaan tidak membenarkan lagi telur diimport.

21. Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam Negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan beberapa Kementerian.

22. Misalnya isu kekurangan pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan ladang penelur baru melibatkan MAFS dan isu subsidi bersasar untuk rakyat termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

23. Untuk makluman Negara kita sudah pun ada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun mula dilaksanakan satu persatu.

24. Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk memastikan keterjaminan makanan Negara dan nasib rakyat terus terbela tidak wajar dipertikaikan kerana keazaman itu sangat jelas apabila MAFI (Food Industry) ditukar ke MAFS (Food Security).

Moga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan pada semua.

Oleh: SU Akhbar YBM MAFS 

Sunday, 25 December 2022

Copyright strike - YouTube

Baru-baru ini saya telah menerima e-mail dari 'youtube team' memberitahu salah satu klip video yang telah saya muatnaik beberapa bulan lalu melanggar terma dan syarat hak cipta (copyright).

Untuk pengetahuan semua, klip video tersebut saya terima melalui aplikasi whatsapp dan telah diubahsuai dengan tajuk 'Tun Mahathir - Grandmaster of treachery'. Tujuan saya muatnaik klip video tersebut ialah untuk dimasukkan ke dalam salah satu artikel di sini.

Klip video yang dimuatnaik telah saya padam (delete) bagi mengelak akaun youtube saya daripada dikenakan 'copyright strike'.

Saya tahu klip video tersebut milik seseorang namun ketika dimuatnaik, pihak youtube memberitahu tiada issue hak cipta. Kemungkinan tuan punya klip video telah menemuinya dan melaporkan kepada youtube.

Saturday, 24 December 2022

Dapur elektrik lambat panas

Banyak dapur elektrik seperti ini pernah dirujuk kepada saya untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: TEKA

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi dapur elektrik yang serupa dengan masalah kurang panas atau lambat panas.

Saya uji dapur elektrik tersebut dengan memasak air dan klip video di atas serta di bawah saya rakam sewaktu air telah mendidih dimasak.

Ia mengambil masa kira-kira 5 minit untuk air tersebut mendidih dan dari pandangan mata kasar, salah satunya kurang panas.

2,500W

Menurut label, kuasa maksima dapur elektrik tersebut ialah 2,500w dan ianya paling panas apabila dilaras ke-6.

Label tombol pelaras...

Untuk kepastian saya ukur arus elektrik yang diperlukan pada kedua-duanya sewaktu digunakan secara berasingan.

258v

Voltan bekalan elektrik sewaktu saya mengujinya ialah 258v seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

4.4A

Arus elektrik yang diperlukan ialah 4.4A & 6.5A masing-masing dan ianya mengesahkan salah satunya memang kurang panas.

6.5A

Jika saya hidupkan kedua-duanya serentak, bacaan arus elektrik ialah 10.3A seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Jadi kuasa maksima dapur elektrik ini ialah 2,657W jika dikira dengan menggunakan 'watt's law'.

  • P=IV = 10.3 x 258 = 2,657w

Kuasa maksima sedikit tinggi berbanding dengan label iaitu 2,500w sebab voltan bekalan saya sedikit tinggi (258v) berbanding label 230v sahaja.

10.3A

Secara teori dapur elektrik tersebut tiada masalah dan saya tidak pasti kenapa pemilik mengadu ianya kurang panas atau lambat panas.


Dapur elektrik yang menggunakan elemen pemanas sememangnya ada masalah sedemikian sebab banyak haba akan hilang sewaktu berpindah dari pemanas ke kuali/periuk.

Friday, 23 December 2022

Shopee - refund

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman berkaitan 'refund' setelah tempahan dibatal oleh penjual dan anda boleh rujuk di sini.

20/12/2022

Hari ini saya kongsikan pula apa yang akan terjadi jika kita yang batalkan pembelian. Gambar di atas menunjukkan saya telah menempah barangan pada pukul 9:27am dan membatalkannya pada pukul 9:28am.

Potong akaun pada 20/12/2022

Wang juga telah dipotong dari akaun bank namun tidak dikembalikan segera walaupun tempahan telah dibatalkan.

21/12/2022

Drama bersiri yang sama berulang dan memaksa kita aktifkan ShopeePay seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

22/12/2022

Bayaran 'refund' hanya akan dikembalikan selepas 3 hari dan dimasukkan semula ke akaun bank saya pada 23/12/2022.

23/12/2022

Gambar tangkap layar di bawah adalah transaksi wang yang telah dimasukkan ke akaun bank saya.

Refunded - 23/12/2022

Masalah sedemikian mulai wujud setelah pihak shopee memperkenalkan akaun ShopeePay dan saya tidak berminat dengan kemudahan sedemikian.

Thursday, 22 December 2022

Desktop motherboard repair

Motherboard komputer ini pernah saya baiki sebelum ini sewaktu pkp dua tahun yang lalu namun tidak dikongsikan sebab tidak diketahui statusnya setelah dibaiki.

desktop motherboard

Komponen yang telah saya gantikan dahulu telah saya labelkan pada gambar di atas iaitu:-

  1. sebiji kapasitor 1000uf, 6.3v
  2. 3 biji kapasitor 1000uf, 10v
kapasitor kembung...

Kali ini ianya dirujuk semula dan saya hanya menemui sebiji kapasitor yang telah kembung seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

gantikan kapasitor baharu...

Jika saya dirujuk papan litar sahaja seperti di atas, saya tidak dapat mengetahui ianya telah berjaya diselamatkan ataupun sebaliknya.

Kapasitor kembung - rosak

Selamat berDIY...

Wednesday, 21 December 2022

Baiki telefon NEC AT-40 tak berdering

Banyak telefon seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

NEC AT-40

Menurut pemilik, ianya boleh digunakan namun tidak berdering jika ada panggilan masuk.

Setelah dibuka...

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, saya menemui sebiji perintang yang dilabel R1 pada papan litar telah putus satu terminalnya seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

R1 = 10MΩ

Kod warna perintang tersebut ialah coklat, hitam, biru dengan nilai 10MΩ.

coklat, hitam, biru = 10MΩ

Masalah telefon tidak berdering jika ada panggilan masuk selesai setelah perintang tersebut telah saya gantikan dengan yang baharu.

Siap...

Selamat mencuba...