Showing posts with label Waffle maker. Show all posts
Showing posts with label Waffle maker. Show all posts

Tuesday, 14 July 2020

ROLLER GRILL GED 10 Waffle Maker repair

Mesin waffle ini pernah saya baiki sebelum ini iaitu kira-kira setahun yang lepas dan anda boleh membacanya di sini.
ROLLER GRILL GED 10
Pemilik memberitahu saya terdapat letupan kedengaran ketika kali terakhir dia menghidupkan suis di sebelah kiri dan ianya langsung tidak dapat dihidupkan semula selepas itu.
Suis sebelah kiri lebur...
Setelah saya buka dan periksa, suis di sebelah kiri kelihatan telah lebur dan salah satu sambungan ke pemanasnya telah tertanggal seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
terminal suis lebur serta tanggal...
Saya tidak pasti punca suis tersebut lebur sebab tiada litar pintas yang saya temui ketika membuat pemeriksaan menyeluruh pada mesin waffle tersebut.
15A
Nilai suis tersebut ialah 15A dan biasanya suis lebur adalah disebabkan terlalu panas akibat arus elektrik yang mengalir melaluinya melebihi kemampuannya.
Gantikan suis yang baru...
Saya gantikan suis tersebut dengan yang baru seperti yang boleh dilihat pada gambar di atas dan perbezaannya ialah suis baru ini tidak mempunyai lampu indikator bila dihidupkan.
Rintangan pemanas sebelah kanan...
Sebelum membekalkan arus elektrik untuk diuji, saya periksa rintangan pada kedua-dua pemanasnya pada plug 3-pin dan gambar di atas dan di bawah menunjukkan bacaan yang saya dapat.
Rintangan pemanas sebelah kiri...
Setelah berpuas hati, saya bekalkan arus elektrik serta uji mesin waffle tersebut dan ianya kini kembali berfungsi seperti biasa seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas.

Walaupun suis baru tersebut tidak mempunyai lampu indikator namun apabila ianya dihidupkan, lampu hijau akan menyala dan setelah thermostat dilaras, lampu merah akan menyala.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Wednesday, 8 January 2020

ROLLER GRILL GED 10 Waffle Maker repair

Mesin pembuat waffle ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini.
Jenama: ROLLER GRILL
Kali ini pemilik memberitahu saya bahawa ianya boleh dihidupkan namun apabila melaras thermostat untuk membakar waffle, kesemua lampu indikator yang ada padanya padam terus...
12vac sahaja?
Seperti biasa saya buka bahagian bawahnya dan periksa sambungan wayar, lampu indikator, suis, pemanas serta thermostat dan tidak menjumpai sebarang kerosakkan.
Testing...
Tiada litar pintas juga dijumpai melalui pemeriksaan di atas. Jadi, saya bekalkan arus elektrik serta periksa menggunakan voltmeter dan mendapati bahawa voltan pada bahagian suis utama cuma kira-kira 12vac sahaja.
Testing... (sapu mentega)
Mesin tersebut memerlukan bekalan elektrik 240vac dan kenapa cuma 12vac sahaja yang ditemui pada bahagian suis utama iaitu bahagian pertama sebelum disambung kepada pemanasnya.
Testing... (tuang campuran waffle)
Seterusnya saya periksa pula 'extension wire' yang digunakan dan mendapati bahawa voltan pada soket juga kira-kira 12vac sahaja seperti boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas.
Testing... (ratakan campuran waffle dan tutup)
Kemudian saya periksa voltan pada soket dinding sebelum disambung kepada 'extension wire' tersebut dan bacaannya ialah 240vac.
Testing... (dah masak)
Jadi, masalahnya ialah pada 'extension wire' tersebut yang mengalami kehilangan voltan daripada 240vac kepada 12vac sahaja. Setelah kabel 'extension wire' tersebut saya gantikan dengan yang baru dan diuji, kini masalah kesemua lampu indikator padam apabila thermostat dilaras tiada lagi dan mesin waffle tersebut kembali berfungsi seperti biasa.
Selamat menjamu selera...
Sebelum ini saya selalu berkata bahawa 'kadang-kadang barang yang mereka minta untuk dibaiki itu sebenarnya tidak rosak' dan contoh kali ini adalah salah satunya.

Ingat, tidak semua peralatan elektrik yang pemilik minta kita baiki itu rosak, guna asas elektrik/elektronik yang kita ada untuk 'troubleshoot'. Fikir-fikirkan...

Maklumat tambahan: campuran waffle mengandungi:-
  1. Susu
  2. Tepung
  3. Gula
  4. Telur
  5. 'Baking powder' dan
  6. Air
Mungkin lepas ini saya boleh buat artikel resipi makanan pula...

Thursday, 14 November 2019

imbaco WWB-2 Waffle Baker repair

Sebelum ini saya pernah membaiki mesin pembuat waffle (waffle maker) dan anda boleh membacanya di sini.
Jenama: imbaco
Pagi ini saya dirujuk sebuah mesin pembuat waffle berjenama imbaco, model: WWB-2 dengan masalah tidak panas oleh pemiliknya.
Model: WWB-2
Apabila saya uji, saya dapati pemanas bahagian atas boleh menghasilkan haba namun kedua-dua pemanas bahagian bawahnya langsung tidak menghasilkan haba.
Setelah penutup bawah dibuka...
Setelah saya buka bahagian bawahnya dan periksa menggunakan multimeter, penemuan awal memang mengesahkan bahawa kedua-dua elemen pemanas bahagian bawahnya tidak berfungsi.
Pemanas atas & bawah telah dibuka...
Pada mulanya saya bercadang untuk memindahkan salah satu pemanas bahagian atasnya kepada bahagian bawah untuk kegunaan sementara dan setelah dibuka, apa yang mengejutkan saya ialah wayar penyambung ke bahagian elemen pemanas kelihatan terbakar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Wayar sambungan telah rapuh...
Apabila saya tarik wayar tersebut, ianya terus putus seperti pada gambar di bawah. Bila diperiksa elemen pemanasnya, ianya masih elok.
Dah tanggal...
Dipendekkan cerita, saya bersihkan terminal penyambung dan potong wayar yang telah rapuh serta sambung kembali ke tempat asalnya.
Sambung balik...
Pemeriksaan pada sebelah kanan elemen pemanas juga menemui masalah yang sama iaitu wayar penyambung rapuh dan elemen pemanasnya masih elok.
Pemanas bahagian kanan...
Setelah kedua-dua wayar penyambung kepada elemen pemanas bahagian bawahnya saya potong dan disambung kembali ke tempat asalnya serta diuji, ianya masih boleh digunakan.
Sambung balik wayar ke pemanas bahagian kanan..
Untuk makluman, pemilik memberitahu saya bahawa mesin pembuat waffle tersebut dibeli pada bulan april tahun ini iaitu cuma digunakan kira-kira 7 bulan sahaja.
Siap...
Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa jaminan (warranty) yang diberikan cuma 3 bulan sahaja.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Sunday, 28 April 2019

ROLLER GRILL GED 10 Waffle Maker repair

Hari ini saya dipanggil untuk membaiki sebuah mesin pembuat waffle (waffle maker) berjenama ROLLER GRILL, model: GED 10 yang telah lama tidak digunakan. Saya diberitahu ianya pernah dibaiki sebelum ini namun tidak boleh beroperasi dengan sempurna.
Jenama: ROLLER GRILL
Seperti biasa saya tidak akan menguji mesin yang bermasalah melainkan telah dibuka dan diperiksa. Mari kita buka dan lihat apa di dalamnya...
Bahagian bawah waffle maker
Setelah dibuka penutup bahagian bawahnya, apa yang boleh dilihat ialah banyak wayar dan kelihatan beberapa lampu indikator yang telah tertanggal.
Setelah penutup bawah dibuka
Saya juga mendapati bahawa bahagian pembuat waffle pada bahagian kanan tidak disambung dengan bekalan elektrik dan anda boleh melihatnya seperti pada gambar di atas.
Pandangan hadapan sebelum dibaiki...
Setelah diperiksa menyeluruh, tiada kerosakan pada bahagian pemanas dan berikut merupakan komponen yang telah didapati rosak dan perlu di ganti.
  1. 2 biji suis utama
  2. 2 biji mentol 220vac berwarna merah
  3. 2 biji mentol 220vac berwarna hijau
  4. sambungkan kembali bekalan eletrik kepada pemanas bahagian kanan.
Pandangan hadapan setelah dibaiki...
Gambar di atas merupakan pemandangan setelah komponen tertera di atas telah saya ganti dan sedang diuji.
Testing...

Tested - ok

Tested - ok
Selamat mencuba...