*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih
Mari kita bercakap sedikit mengenai konsep alam semesta, serta peredaran bulan, dan juga matahari seperti yang disebut di dalam Islam.
Berikut ini yang diajar di dalam Islam mengenai alam ini, dan jika ada yang bertanya apakah Islam ada atau tidak mengajar tentang asal-usul serta keadaan pergerakan objek-objek di langit, jawapannya ada. Al-Qur'an mempunyai cara tersendiri untuk memahami dan menerangkan fenomena alam semesta dan pergerakan objek-objek di langit ini, yang mencerminkan pemikiran masyarakat pada zaman Muhammad. Ia fahaman yang terhad dan kuno, dan menunjukkan betapa manusiawinya al-Qur'an itu.
Ia tidak mencerminkan kepintaran dan keagungan pencipta alam yang sepatutnya lebih advanced dan genius itu.
Penciptaan alam
Kita lihat pada mulanya, menurut al-Qur'an, apabila Allah ingin mencipta alam ini, dia telah menciptakan bumi terlebih dahulu, kemudian dia telah meletakkan gunung-ganang di atas muka bumi ini, dan kemudian barulah dia menciptakan bulan, bintang dan matahari. Kesemua ini mengambil masa enam hari untuk selesai. (Rujuk surah 2:29, 41:9-12).
Ayat-ayat yang menunjukkan bumi dicipta terlebih dahulu, kemudian baru langit adalah ayat seperti di bawah:
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Baqarah 2:29)
Dan juga ayat di bawah:
وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ مِن فَوْقِهَا وَبَـٰرَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَآ أَقْوَٰتَهَا فِىٓ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍۢ سَوَآءًۭ لِّلسَّآئِلِينَ. ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌۭ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ٱئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًۭا قَالَتَآ أَتَيْنَا طَآئِعِينَ
Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetap di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya, dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat hari. Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" (Surah Fussilat 41:10-11)
Jadi yang disebut di sini adalah, bumi merupakan perkara awal yang wujud, sebelum ciptaan-ciptaan lain, dan ia bulat yang rata dan licin. Kemudian barulah Allah meletakkan gunung-ganang di atasnya, untuk menjadikannya seperti sekarang, cuma yang anehnya, proses meletakkan gunung-ganang ini saja, dan juga meletakkan rezeki-rezeki lain di atas bumi ini, telah mengambil masa selama empat hari untuk disiapkan oleh Allah. Dan selepas siap semuanya, barulah Allah menjadikan bulan, matahari dan bintang-bintang, hanya dalam masa dua hari.
Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua hari; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. (Surah Fussilat 41:12)
Perhatikan, proses mencipta satu bumi ini mengambil masa yang lebih lama daripada proses mencipta bulan, bintang dan matahari, ini menunjukkan corak pemikiran penulis al-Qur'an yang mempercayai bahawa bumi ini titik tumpuan alam ini, dan menunjukkan kejahilannya tentang keluasan alam semesta yang sebenar, dan juga saiz bumi ini jika dibandingkan dengan galaksi dan alam semesta.
Kerana itu,walaupun dia percaya bahawa alam semesta ini dicipta dalam masa enam hari, tetapi empat hari saja sudah dihabiskan dengan menciptakan bumi ini sahaja.
Ada percanggahan di dalam al-Qur'an di antara surah 41:9-12 dan surah 79:28-30, kerana menurut surah 79:28-30 pula, langit yang telah diciptakan dahulu, kemudian barulah bumi. Satu percanggahan di situ.
رَفَعَ سَمْكَهَا فَسَوَّىٰهَا ٢٨وَأَغْطَشَ لَيْلَهَا وَأَخْرَجَ ضُحَىٰهَا ٢٩وَٱلْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَىٰهَآ ٣٠
Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, dan dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), - (Surah 78:28-30)
Di dalam ayat di atas, bumi telah dihamparkan selepas Allah menyempurnakan langit, walhal di dalam ayat sebelumnya, bumi telah disiapkan dahulu sebelum Allah fokus kepada langit. Allah kemudiannya menambah matahari, bulan dan bintang di antara langit-langit itu.
Manakala konsep enam hari di dalam al-Qur'an
ini pula, langsung tidak diberikan pencerahan tentang apakah maksudnya.
Jadi orang-orang yang membacanya, terutamanya orang yang hidup pada
zaman kuno di zaman Muhammad, akan terus mempercayai bahawa ia merujuk
kepada hari-hari sepertimana hari-hari yang kita lalui. Dan ini menyamai
konsep penciptaan alam seperti yang diajarkan di dalam Bible, yang
diimani orang-orang Kristian dan Yahudi. Mereka juga percaya bahawa
tuhan telah menciptakan alam ini dalam masa enam hari, dan pada hari
ketujuh iaitu hari Sabtu, tuhan telah berhenti kerja atau "berehat".
Al-Qur'an tidak cuba untuk mencabar kepercayaan ini, atau cuba
menjelaskan apa-apa.
Di dalam kitab-kitab tafsir, adanya perbezaan pendapat tentang apakah hari-hari yang disebutkan ini sama dengan hari-hari kita, yakni 24 jam, tetapi perhatikan, perbezaan pendapat ini muncul hasil daripada perbincangan dan perdebatan di kalangan masyarakat dalam memahami ayat-ayat ini. Di dalam terjemahan Melayu pada hari ini, pembaca mungkin akan melihat perkataan "enam hari" itu diterjemahkan menjadi "enam masa". Ini untuk mengurangkan persoalan dan kritikan yang bakal datang ketikamana orang membaca ayat-ayat itu.
Penulis al-Qur'an sendiri tidak menyebut apa-apa untuk menjelaskannya, dan dia cuma menyebutkan hari, enam hari, dan yang lebih memburukkan keadaan, hari yang sama ini dipercayai juga oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian sebagai hari 24 jam. Maka jika ia bukan 24 jam, sepatutnya al-Qur'an sendiri yang perlu jelaskan dan perbetulkan apa maksud sebenar "hari", bahkan lebih baik, jangan guna langsung perkataan "enam hari" itu.
Adakah kita berani untuk mengajar anak-anak kita di dalam subjek sains bahawa alam ini dicipta dalam tempoh enam hari 24 jam? Sudah pasti tidak, bahkan perkara ini tidak dimuatkan pun di dalam subjek sains sekolah. Ia terhad kepada subjek agama saja, kenapa? Kerana ia karut. Konsep hari ini wujud kerana pergerakan bumi dan kedudukan matahari. Ia relatif, dan bukannya mutlak.
Dan oleh kerana hari Sabtu merupakan hari berehat Tuhan, atau tuhan berhenti dari melakukan penciptaan selepas selesai menciptakan alam, maka kerana itulah pada hari Sabtu, orang-orang Yahudi tidak dibenarkan melakukan apa-apa kerja, kerana tuhan sendiri telah berhenti bekerja pada hari itu. Ini kepercayaan Yahudi.
Al-Qur'an juga turut terpengaruh dan mengiktiraf amalan cuti pada hari Sabtu ini, kerana ia juga menyebutkan kisah di mana orang-orang Yahudi telah ditukar menjadi kera kerana bekerja pada hari Sabtu (Surah 2:65, 7:163-166), lantas menimbulkan kemarahan Allah dengan perbuatan itu. Pun begitu, perintah cuti pada hari Sabtu ini nampaknya telah dimansuhkan dan tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, mahupun agama Kristian.
Kemudian, setelah bumi disiapkan, dan langit juga disiapkan, Allah meletakkan bintang-bintang, bulan dan matahari di antaranya. Maksudnya bintang-bintang tercipta selepas bumi. Adakah sesiapa yang berani mengajarkan ini kepada orang ramai sebagai sains?
Tujuh langit
Al-Qur'an menyebutkan bahawa ada tujuh langit di atas bumi, dan ini diulang-ulang di banyak tempat di dalam al-Qur'an, misalnya
ٱلَّذِى خَلَقَ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ طِبَاقًۭا
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis (Surah al-Mulk 67:3)
Konsep ini menyamai tujuh langit di dalam tradisi Yahudi, yang mana ia disebut di dalam kitab Talmud Babylon:
Reish Lakish menyebutkan: Adanya tujuh langit, dan ia adalah Vilon, Rakia, Shehakim, Zevul, Ma'on, Makhon dan Aravot (Sumber)
Ia juga disebut oleh Irenaus, seorang ulama Kristian awal, atau digelar sebagai Early Church Father, menulis di dalam Proof of the Apostolic Preaching:
Dan bumi ini diliputi oleh tujuh langit (Sumber).
Pun begitu, kitab Bible sendiri tidak menyebut tentang langit mempunyai tujuh lapis, ini merupakan konsep yang datang kemudian, yang didatangkan oleh pendeta dan paderi yang datang kemudian yang memasukkan fahaman-fahaman dari zaman mereka ke dalam tulisan-tulisan mereka, yang mana ia hanya diulangi oleh al-Qur'an. Konsep tujuh langit ini dilihat diinspirasi oleh tujuh objek langit yang dikenali oleh dunia kuno, yang mana ia termasuk matahari, bulan, Zuhrah, Marikh, Zuhal, Merkuri dan Jupiter.
Konsep tujuh langit inilah yang merangkumi seluruh alam semesta bagi orang dulu-dulu, dan di atas tujuh langit itu, adalah Tuhan sendiri. Ketujuh-tujuh langit ini adalah berlapis-lapis, tetapi ia lansung tidak dijelaskan oleh al-Qur'an apakah maksud tujuh langit ini. Ini yang mengelirukan. Apa yang dilakukan al-Qur'an adalah, hanyalah mengulangi semula mitos yang turut disebut di dalam tradisi agama Yahudi dan Kristian, dan dipercayai oleh masyarakat Timur Tengah ketika itu, kerana nampaknya ini merupakan satu motif yang popular dan diterima masyarakat, jadi ia disebut banyak kali.
Pun begitu, ia tidak didasari realiti, dan "hakikat" tujuh langit berlapis-lapis ini juga tidak diajar di sekolah, kecuali mungkin disebut di dalam subjek agama.
Al-Qur'an juga menyebutkan tentang bumi juga ada tujuh, pun begitu ini hanya disebutkan di dalam satu ayat, dan ia tidak dijelaskan maksudnya.
Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Surah at-Talaq 65:12)
Pun begitu, para ahli tafsir dan hadith-hadith menyebutkan bahawa tujuh bumi ini adalah tujuh lapisan bumi yang sama seperti langit, ia berada berlapis-lapis, satu atas yang lainnya. Satu contoh hadith adalah seperti berikut مَنْ أَخَذَ شَيْئًا مِنَ الأَرْضِ بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ, yakni sesiapa yang mengambil sebahagian tanah yang bukan haknya, maka di hari Kiamat dia akan tenggelam ke dalam lapisan bumi yang tujuh. (Sahih al-Bukhari).
Hanya satu ayat yang menyebutkan tentang perkara ini, dan ia seperti sesuatu yang tidak begitu penting di dalam al-Qur'an. Konsep tujuh langit ini pula adalah mitos.
Saiz bintang
Al-Qur'an membezakan antara matahari dan bintang sebagai dua perkara yang berlainan. Mungkin kerana terhadnya penggunaan terminologi bahasa ketika itu, tetapi ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada para pembaca sekarang, yang mana kita tahu bahawa matahari itu juga sejenis bintang. Al-Qur'an juga langsung tidak membezakan bintang dengan planet-planet, kerana sekali lagi, ilmu pada waktu itu sangat terhad, dan ia juga cerminan kepercayaan penulis al-Qur'an itu.
Al-Qur'an juga menggambarkan bintang-bintang ini sebagai bersaiz kecil. Kerana itulah bintang-bintang ini digunakan sebagai bahan rejaman ke atas syaitan. Ini cara al-Qur'an untuk menerangkan fenomena tahi bintang. Lihat ayat berikut:
وَلَقَدْ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَـٰبِيحَ وَجَعَلْنَـٰهَا رُجُومًۭا لِّلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ ٥
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang. (Surah al-Mulk 67:5)
Dan juga ayat di bawah
وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًۭا وَزَيَّنَّـٰهَا لِلنَّـٰظِرِينَ ١٦
وَحَفِظْنَـٰهَا مِن كُلِّ شَيْطَـٰنٍۢ رَّجِيمٍ ١٧
إِلَّا مَنِ ٱسْتَرَقَ ٱلسَّمْعَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌۭ مُّبِينٌۭ ١٨
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.
Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. (Surah 15:16-18)
Perkara sama juga disebut di dalam surah 37:6-10. Semuanya menyebutkan tentang langit yang dihiasi oleh bintang-bintang, dan bintang-bintang ini merupakan alat rejaman syaitan. Kecuali jika ingin dikatakan bahawa syaitan ini saiznya sama seperti bintang (yang mana ini tidak disebut), kita boleh faham dari ayat-ayat ini bahawa bintang-bintang itu adalah alat rejaman syaitan, seperti batu yang kecil yang digunakan untuk merejam manusia.
Menurut pandangan manusia yang hidup pada zaman kuno, sudah semestinya mereka tidak tahu tentang saiz sebenar bintang-bintang atau planet-planet yang dilihat dengan mata kasar dari sini. Al-Qur'an juga nampaknya tidak mengetahui bahawa adanya beza antara tahi bintang, dan bintang yang sebenar, kerana dari perspektif manusia, ia semuanya sama saiz saja.
Bulan dan matahari
Bumi dan bulan diletakkan di atas satu paksi, dan mereka beredar mengelilingi bumi. Tidak ada satu pun ayat di dalam al-Qur'an yang menyebutkan tentang peredaran bumi, atau pusingan bumi, kerana memang penulis al-Qur'an tidak tahu-menahu sama sekali tentang hakikat ini. Baginya, bumi ini berada di tengah-tengah alam, dan segala bulan, bintang dan matahari beredar mengelilinginya. Hakikat bahawa al-Qur'an senyap sama sekali tentang pergerakan bumi atau putaran bumi, adalah cukup menarik sekali.
Dan hakikat bahawa empat hari diperlukan
untuk menyiapkan bumi, manakala langit dan seisinya memerlukan hanya dua
hari menunjukkan ke arah kefahaman penulis al-Qur'an yang seperti
disebut, meletakkan bumi sebagai pusat alam, dan segala objek di langit
yang lebih kecil, mengelilinginya.
Al-Qur'an berkali-kali menyebutkan tentang peredaran bulan dan matahari, dan juga peredaran siang dan malam. Bagi al-Qur'an, siang dan malam itu seperti sesuatu yang meliputi, dan tidak ada kaitan dengan matahari. Jika dilihat pada surah asy-Syams 91:3-4 misalnya, dikatakan waktu siang itulah yang menampakkan matahari, manakala waktu malam itu menyelubungi dan menyembunyikan matahari, walhal ini perkara yang jelas salah. Bukannya waktu malam yang menyelimuti matahari, tetapi seperti sedia maklum, waktu malam itu adalah kerana bahagian bumi pada waktu itu tidak disinari oleh cahaya matahari. Manakala waktu siang itu adalah hasil dari cahaya matahari, kedua-duanya ini bukannlah sesuatu yang independent.
Lihatlah surah asy-Syams ayat 1-4 di bawah:
وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا
وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا
وَٱلنَّهَارِ إِذَا جَلَّىٰهَا
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰهَا
Surah al-Syams bermula dengan menyebutkan demi matahari dan waktu dhuhanya. Kemudian "demi bulan ketika ia mengikutinya (atau menurutinya)". Bulan menuruti apa? Pastilah menuruti matahari, yang disebut di dalam ayat pertama. Kemudian ayat ketiga menyebutkan "dan waktu siang, ketika ia menampakkannya". Menampakkan apa? Menampakkan matahari, yakni waktu siang itu yang menampakkan matahari, bukannya matahari yang menyebabkan waktu siang.
Ayat keempat menyebut, "dan waktu malam, ketika ia menyembunyikannya". Menyembunyikan apa? Menyembunyikan matahari. Nah, inilah kefahaman penulis al-Qur'an, iaitu matahari itu dinampakkan oleh waktu siang, dan waktu malam pula menutup atau melindungi matahari. Bagi penulis al-Qur'an, waktu siang dan malam itu terjadi secara independent, daripada matahari, dan bukannya kerana cahaya matahari.
Demi waktu siang yang menampakkan matahari, yang bermaksud siang ini seolah-olah suatu yang meliputi dan bergerak mengelilingi bumi, dan matahari hanya berada di tengah-tengah waktu siang itu sebagai objek. Ketika malam menjelma, ia menyelubungi matahari dan menyembunyikannya. Inilah fahaman yang jelas salah dan menyesatkan.
Pelbagai ayat-ayat lain menyebutkan fenomena siang dan malam, yang seringkali ia akan disertakan sekali dengan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi. Siang dan malam digambarkan sebagai sesuatu yang sentiasa bergerak dan mengelilingi bumi. Siang itu bukanlah cahaya daripada matahari, dan malam itu bukanlah kerana matahari tidak menyinari sesuatu permukaan bumi itu, jika menurut kitab ini.
Bahkan di dalam al-Qur'an disebut bahawa siang dan malam ini saling kejar-mengejar dan melingkari. Melingkari di sini tidaklah bermakna al-Qur'an sedang mengatakan bahawa bumi ini berbentuk sfera, cuma ia memaksudkan siang dan malam ini seperti melingkari bumi, tidak kiralah apa bentuknya bumi ini pun.
Bulan juga disebut sebagai mengikuti atau menuruti matahari, seolah-olah ia sama saiz dan berada di garis yang sama secara hakikat, dan mengikuti antara satu sama lain.
Bulan dan matahari beredar
Di dalam al-Qur'an, sentiasa disebut bahawa bulan dan matahari beredar pada paksinya, seperti mana yang boleh dilihat dengan mata kasar. Al-Qur'an mendakwa bahawa bumi dan bulan itu saling mengejar, dan tidak akan dapat melepasi yang lainnya.
Dan matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Surah Yasin 36:40)
Perhatikan ayat di atas, walaupun teks Arab menyebut لَا ٱلشَّمْسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدْرِكَ ٱلْقَمَرَ, yakni tidak dibenarkan untuk matahari memotong bulan, tetapi terjemahan Melayunya itu menyebutkan "tidak mudah", kerana untuk menyebut "tidak dibenarkan" (atau lebih tepat, "tidak patut"), itu akan mengelirukan orang, kerana jelas-jelas bulan juga boleh kelihatan pada waktu siang, dan di kawasan yang mendekati kutub utara dan selatan, waktu siang boleh jadi lebih panjang.
Menurut al-Qur'an, tidak patut dan tidak boleh matahari itu mengejar, atau mendahului bulan. Benarkah? Jika diikuti fenomena alam, matahari itu memang cukup jauh jaraknya dari bulan, dan jauh lebih besar berbanding bulan, jadi tiada persoalan mendahului antara kedua-duanya pun, kerana kedua-duanya tidak terbanding.
Jika yang dimaksudkan adalah hanya dari perspektif pandangan manusia, bagaimana pula ingin dijelaskan fenomena gerhana matahari, yang mana kedua-duanya dilihat bersatu, dan bulan juga mengejar matahari sehingga melintasinya? Yang anehnya, gerhana matahari memang ada berlaku pada ketika hayat Muhammad, dan kita ada hadith-hadith yang menyebutkan tentang kejadian ini, tetapi tetap saja ada ayat al-Qur'an yang seperti ini. Mungkin penulis al-Qur'an ini terlepas pandang tentang perkara ini, atau ia berlaku sebelum kejadian gerhana itu berlaku di dalam hidupnya.
Selain itu, bulan dan matahari jelas-jelas mendahului satu dengan yang lain di kawasan yang berdekatan kutub utara dan kutub selatan. Ketika musim panas, matahari akan lebih lama berada di langit, manakala pada waktu sejuk, bulan akan berada lebih lama di langit. Bahkan, matahari akan berada di langit selama enam bulan di kutub utara, yakni dipanggil midnight sun, yang mana matahari akan turun dan naik di langit tetapi tidak terbenam. Tetapi sudah pasti, fenomena ini adalah di luar kemampuan penulis al-Qur'an untuk bayangkan.
Bagaimana pula jika matahari dan bulan kelihatan sekali di langit? Atau adakah yang dimaksudkan matahari tidak akan memotong bulan kerana matahari itu dilihat "bergerak" lebih perlahan berbanding bulan? Ini juga menimbulkan kekeliruan kerana hakikatnya pun bukan matahari yang bergerak mengelilingi bumi.
Pun begitu, al-Qur'an memang menyebutkan bahawa matahari itu bergerak mengelilingi bumi bahkan ia pergi ke suatu tempat untuk berhenti di bawah bumi, sebelum terbit semula di timur. Ini disebut di dalam surah Yasin 36:
وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّۢ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Dan matahari itu beredar ke tempat yang telah ditetapkan baginya, demikianlah takdir tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui (Surah 36:38)
Ayat di atas menyebutkan matahari itu beredar ke tempat yang ditetapkan. Perkataan limustaqarrilaha ini
bermaksud untuk tempatnya yang tetap. Ia berasal dari perkataan قرّ,
yang bermaksud tetap, tidak bergerak atau duduk diam. Adakah matahari
duduk diam?
Ayat ini menceritakan tentang pergerakan matahari, dan setelah itu tentang pergerakan bulan pula, dan bagaimana ingin menjelaskan bahawa matahari ini bergerak ke tempatnya yang tetap dan tidak bergerak, kecuali ingin dikatakan bahawa penulis al-Qur'an memang mempercayai bahawa matahari itu bergerak mengelilingi bumi? Muncul juga hadith-hadith yang jelas menyebutkan bahawa matahari itu ketika terbenam pergi ke bawah takhta Allah untuk bersujud kepada Allah. Hadith-hadith seperti ini muncul dari pemahaman ayat ini yang menyebutkan matahari itu selepas terbenam, telah duduk di suatu tempat untuk bersujud.
Atas kefahaman ini jugalah, terhasilnya ayat di dalam Surah al-Kahf, yakni 18:86 yang menyebutkan tentang pergerakan matahari:
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِى عَيْنٍ حَمِئَةٍۢ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًۭا ۗ قُلْنَا يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًۭا ٨٦
Sehingga apabila dia (Zulkarnain) sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka". (Surah al-Kah 18:86)
Zulkarnain telah sampai ke daerah matahari terbenam, yang bermakna ia lokasi spesifik yang mana matahari telah bergerak masuk ke dalam kawasan itu.
Ini jelas bertentangan dengan akal dan fakta. Sekali lagi, anda tidak akan sama sekali belajar tentang perkara-perkara ini di dalam kelas sains.
Kesimpulan
Jadi menurut al-Qur'an, ini yang kita boleh dapati perkara-perkara berikut:
1) Tempoh untuk menghasilkan bumi adalah lebih lama berbanding alam semesta, termasuk bintang-bintang dan planet-planet dan seluruh isinya, kerana menurut pemikiran penulis al-Qur'an, bumi merupakan pusat tumpuan alam. Penulis al-Qur'an tidak menyedari tentang saiz alam semesta. Baginya, tujuh langit itu merupakan kesemua alam semesta, dan objek-objek di langit itu bersaiz kecil.
2) Alam semesta diciptakan dalam masa enam hari. Tujuh langit dan bumi itulah alam semesta. Ia fahaman yang terhad.
3) Bulan dan matahari bergerak mengelilingi bumi, dan siang dan malam adalah fenomena yang bebas dari bulan dan matahari.
4) Matahari bergerak ke tempat tetap selepas terbenam.
Kesemua ajaran di atas datang daripada pemahaman simplistik tentang alam yang wujud pada kurun ke-7 masihi. Ia jelas salah dan tidak mungkin diajar di dalam sekolah, kecuali di dalam konteks subjek agama.