Monday, 5 August 1974

Al-Qur'an, kitab untuk umat Arab

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Teks Qur'an purba, yang menggunakan tulisan Arab kufi

Di dalam al-Qur'an, ada disebut beberapa kali bahawa kitab al-Qur'an ini diturunkan di dalam bahasa Arab untuk pendengar bahasa Arab, yakni supaya penerima mesej ini yang merupakan mereka dari kalangan penutur  bahasa Arab boleh memahami isi kandungannya. Al-Qur'an juga berhujah bahawa jika ia diturunkan di dalam bahasa lain, maka orang-orang yang mendengarnya tidak akan berupaya memahaminya. 

Di dalam dakwaan ini, adanya kefahaman bahawa al-Qur'an itu adalah mesej untuk orang-orang Arab, dan bukan untuk orang lain. Cuma kemudiannya, dilihat bahawa mesej tentang al-Qur'an itu menjadi lebih universal dan ditujukan kepada kaum-kaum lain juga. Tetapi asas bahawa al-Qur'an diturunkan di dalam bahasa Arab itu perlu diberi perhatian, dan kita ingin tahu kenapakah kitab yang didakwa sebagai kitab terakhir dari pencipta alam semesta ini untuk dikomunikasikan kepada semua manusia, perlu diturunkan di dalam bahasa Arab klasik, dan spesifik pula kepada rantau Hijaz di Semenanjung Arab pada zaman kuno.

Jika difikirkan betul-betul, sangat banyak masalah yang boleh dilihat dalam menjawab persoalan ini. Bayangkan, pencipta alam semesta ini merasakan cara terbaik untuk berhubung dengan manusia dan untuk menyelamatkan mereka (dari dirinya sendiri), adalah dengan menurunkan sebuah kitab dalam bahasa klasik, kepada kaum purba, di tengah padang pasir, dan kaum purba yang tidak berpendidikan ini yang perlu sampaikan kepada penduduk satu dunia. Aneh sekali.

Sebenarnya, Al-Qur'an bukanlah diturunkan di dalam bahasa Arab kerana bahasa itu lebih mulia dari pada bahasa lain, atau ia merupakan bahasa syurga, atau adanya apa-apa keistimewaan tentang bahasa itu, seperti yang dipercayai oleh ramai umat Islam. Bahkan, kepercayaan bahawa bahasa Arab itu merupakan bahasa syurga sebenarnya adalah didasari oleh sebuah hadith yang terlalu lemah. Bahasa Arab itu hanyalah sebuah bahasa dari sekalian banyak bahasa-bahasa di dunia ini, ia mempunyai kelebihan dan keindahan tersendiri, tetapi dalam masa yang sama, ada kekurangannya. 

Dan kekurangannya akan lebih kelihatan apabila kita melihat bahawa tulisan Arab ketika zaman Muhammad adalah tulisan yang primitif jika dibanding dengan sekarang, iaitu tiada sebarang titik untuk membezakan satu-satu huruf itu. Hanya pembaca bahasa itu yang boleh memahaminya, itupun mereka berbeza pendapat dalam cara membaca banyak huruf, maka timbullah perbezaan qiraat

Al-Qur'an sendiri ada memberikan sebab kenapa ia perlu diturunkan di dalam bahasa Arab, yakni:

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّۭا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ٢
Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Qur'an itu di dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya (Surah 12:2)

Nah, inilah tujuan al-Qur'an diturunkan di dalam bahasa tersebut, yakni supaya Muhammad dan orang-orang Arab boleh memahaminya. Pedulilah orang lain yang tidak memahami bahasa ini, yang mana mereka hanya percaya kepada Islam atas dasar ia "benar" tanpa memahami pun teks yang diimani mereka, yang  mana, yang penting adalah mereka boleh percaya kepada Islam. Tetapi tujuan asalnya ditulis di dalam bahasa Arab, adalah supaya orang-orang Arab boleh faham. Ia ditulis oleh orang Arab, untuk pembaca Arab. 

Ini sebenarnya menunjukkan tuhan itu mempunyai sifat Arab-centric, atau tumpuan melampau terhadap orang Arab, sehinggakan tuhan sendiri pun melebihkan orang Arab dan hanya peduli supaya mereka yang boleh memahami mesejnya. Walaupun bahasa Arab itu tidaklah disebut sebagai bahasa yang mulia atau istimewa, tetapi hakikat bahawa tuhan telah menggunakan medium bahasa ini untuk berkomunikasi dengan manusia, yang mana dia merasakan ia cara yang paling terbaik untuk berkomunikasi dengan manusia, menunjukkan tuhan itu Arab-centric.

Bagaimana dengan mereka yang tidak boleh memahami bahasa Arab, mereka yang menggunakan bahasa-bahasa lain, seperti kita orang Melayu ini? Bagi tuhan, ini tidak penting langsung. Yang penting, dia ingin dan mahu supaya orang Arab faham kata-katanya, dan dia mahukan orang-orang Arab ini untuk menyampaikan mesejnya kepada orang lain, jika orang-orang lain ini tidak percaya kepada orang-orang Arab itu, maka nerakalah tempatnya. Ini logik tuhan menurut Islam.

Sehingga hari ini, majoriti manusia di atas muka bumi ini tidak memahami bahasa Arab, terutamanya bahasa Arab klasik. Di kalangan bangsa Melayu juga jumlah penutur bahasa Arab adalah terlalu sedikit, sangat sedikit sehingga saya yakin yang membaca tulisan saya sekarang ini pun tidak pandai berbahasa Arab. Ya, kita boleh belajar melalui terjemahan, dan boleh menguasainya, bahkan saya sendiri pun mempunyai pengetahuan dan boleh memahami bahasa Arab, kerana saya pernah belajar berguru. Tetapi berapa ramai yang mempunyai ilmu ini? Dan berapa ramai yang mempunyai kefahaman mendalam dan kefasihan yang tinggi? Teramat sedikit.

Sebenarnya, kenapa kitab ini perlu "diturunkan" kepada audiens Arab sudahpun disebut di dalam kitab ini, yakni mereka itu kononnya adalah satu-satunya umat di dunia yang belum pernah lagi menerima seorang nabi atau rasul pada kurun ke-7 Masihi itu, dan kononnya semua masyarakat lain sebelumnya  di atas muka bumi ini sudah pun pernah menerima nabi. Maka tuhan merasakan perlu untuk mengutus nabi kepada mereka.

Lihat ayat di bawah:

 وَلَـٰكِن رَّحْمَةًۭ مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًۭا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍۢ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
..tetapi sebagai rahmat dari tuhanmu, supaya engkau memberi amaran kepada kaum yang tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya). (Surah 28:46)

Begitu juga Surah 34:44 dan 32:3, yang menyebutkan orang Arab belum pernah diutus seorang Nabi sebelumnya.

وَمَآ ءَاتَيْنَـٰهُم مِّن كُتُبٍۢ يَدْرُسُونَهَا ۖ وَمَآ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِن نَّذِيرٍۢ ٤٤

Dan Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang pemberi amaran (Surah 34:44)

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۚ بَلْ هُوَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًۭا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍۢ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ ٣

Bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Bahkan, Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum yang  tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk. (Surah 32:4)

Berulang-ulang kali al-Qur'an menyebutkan bahawa Muhammad diutuskan kepada suatu kaum yang mana tidak pernah kaum itu menerima seorang pemberi amaran sebelumnya, atau seorang Nabi. 

Para ulama berbeza pendapat tentang apakah perbezaan antara nabi dan rasul, tetapi saya akan menggunakan dua istilah ini dengan maksud yang luas, yakni seorang utusan dari tuhan, dan menghampiri kepada takrif yang digunakan oleh al-Alusi di dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani, yang menyebutkan bahawa nabi dan rasul adalah sama maksudnya, tetapi hanya konteks yang membezakan. Yakni ketika mana seorang itu mendapat wahyu berita ghaib, dia dipanggil nabi, manakala ketika dia ingin menyampaikan, dia dipanggil rasul. Al-Qur'an juga menggunakan dua perkataan ini dengan bebas, dan memberi makna yang seolah-olah ianya sama.

Al-Qur'an mendakwa setiap kaum pernah diutus seorang nabi. Ini bermaksud kaum Melayu juga pernah diutus seorang nabi satu ketika dahulu, hanya saja orang Arab yang masih belum. Lihat ayat-ayat di bawah:


إِنَّآ أَرْسَلْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ بَشِيرًۭا وَنَذِيرًۭا ۚ وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌۭ ٢٤

Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan yang benar, sebagai pembawa berita gembira  dan pemberi amaran; dan tidak ada sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang pemberi ingatan dan amaran. (Surah 35:24)

لِتُنذِرَ قَوْمًۭا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غَـٰفِلُونَ ٦
Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. (Surah 36:6)


Jadi menurut al-Qur'an, ini bermaksud orang-orang Melayu juga pernah menerima Nabi, begitu juga orang Iban dan orang Kadazan. Ini juga disebut di dalam Surah 16:36 dan 10:47, yang mana setiap umat pernah dihantar pemberi peringatan, yakni seorang nabi atau rasul. Dan setiap daripada nabi-nabi ini, diutuskan dengan bahasa-bahasa kaumnya sendiri, dalam hal Muhammad, dia merupakan penutur bahasa Arab, untuk orang Arab, maka dia telah menerima al-Qur'an di dalam bahasa Arab:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ 
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka (Surah 14:4)

Menyampaikan ajaran dari tuhan dengan bahasa kaumnya sendiri, adalah supaya nabi itu boleh menerangkan kepada kaumnya, dan kaumnya juga boleh memahami dan menilai sendiri ajaran yang ingin disampaikan. Bahkan Surah 42:7 menyebutkan secara jelas bahawa isi kandungan al-Qur'an itu adalah untuk penduduk Umul Qurra, iaitu Mekah, dan penduduk di sekitarnya, iaitu orang-orang di sekitar Mekah.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ قُرْءَانًا عَرَبِيًّۭا لِّتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنذِرَ يَوْمَ ٱلْجَمْعِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۚ فَرِيقٌۭ فِى ٱلْجَنَّةِ وَفَرِيقٌۭ فِى ٱلسَّعِيرِ ٧

Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul-Qura" dan sekalian penduduk di sekelilingnya, (Surah 42:7)

Nah, jadi apa pula logiknya, ketikamana al-Qur'an yang berbahasa Arab ini disampaikan kepada orang-orang yang tidak pandai berbahasa Arab? Bukankah itu bermaksud mesejnya akan hilang, dan tujuan asal sesuatu mesej itu disampaikan kepada kaum itu dengan bahasa sendiri, yakni untuk difahami mereka sepertimana yang disebut oleh al-Qur'an sendiri, sudah tidak tercapai? Kitab yang sepatutnya menjadi pedoman sepanjang zaman untuk seluruh umat manusia, diberikan di dalam hanya satu bahasa.

Majoriti besar orang-orang Islam masa kini tidak memahami dan tidak boleh bertutur pun di dalam bahasa Arab, lagi-lagi bahasa Arab klasik, dan hanya mempercayai Islam atas dasar kerana ia merupakan kepercayaan nenek moyang mereka. Mereka bukan beriman kerana mereka faham isi kandungan kitab mereka (sebenarnya sangat sedikit yang meluangkan masa membaca kitab itu pun, atau mengetahui isi kandungannya), cuma mereka beriman atas dasar apa yang diberitahu kepada mereka, walaupun perkara itu tidak ada pun di dalam al-Qur'an mereka.

Ini berbahaya, kerana ia bermakna orang ramai hanya mengikuti secara membabi buta. Patuh dan tunduk, dan tidak bertanya kerana memang tidak faham teks asal.

Atas dasar ini, tujuan asal al-Qur'an diturunkan di dalam bahasa Arab iaitu supaya orang memahami kandungannya, sudah hilang kesan sebaik sahaja kitab ini disampaikan kepada mereka yang tidak berbahasa Arab. Jika memang itu tujuan untuk berkomunikasi (seperti yang disebut di dalam al-Qur'an sendiri), kenapa hanya diturunkan di dalam bahasa Arab, dan tidak dalam bahasa-bahasa lain? Lihatlah:

1) Al-Qur'an diturunkan di dalam bahasa Arab ---> supaya orang Arab boleh memahaminya.

2) Orang-orang bukan Arab tidak memahami bahasa Arab ---> Al-Qur'an tetap diturunkan di dalam bahasa Arab

Ia tidak masuk akal, dan bertentangan dengan ayat-ayat yang menyebutkan al-Qur'an diturunkan di dalam bahasa yang supaya pendengarnya boleh faham, dan bahkan ia tidak adil. Kononnya sebelum Muhammad, pernah diutus nabi di zaman Ibrahim, tetapi akibat sudah terlalu lama, maka diutusnya lagi kepada Muhammad. Tetapi bagaimana dengan umat-umat lain? Jika ingin dikatakan umat-umat lain juga pernah menerima kitab di dalam bahasa masing-masing, atau nabi yang pernah berdakwah menggunakan bahasa masing-masing, di manakah ia semua? Kenapa tiada tinggalan? Seolah-olah ia semua tidak wujud? 

Kenapa al-Qur'an hanya menekankan kitab-kitab yang diturunkan di Timur Tengah, terutamanya kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil, yang mana ketiga-tiganya kitab dari tradisi Yahudi-Kristian dari Timur Tengah? Sungguh terhad worldview al-Qur'an. Tetapi umat Islam masih mendakwa ia agama universal.
 
Kesimpulan

Al-Qur'an berulang-kali menyebutkan ia diturunkan di dalam bahasa Arab supaya orang Arab boleh memahaminya. Masalah timbul, jadi bagaimana dengan kita ini, yang rata-rata tidak boleh berbahasa ini? Apa istimewanya orang Arab sampai tuhan peduli sangat hendak berkomunikasi dengan mereka, untuk mereka faham, dan meminta mereka pula menjadi wakil tuhan kepada kita semua? 

Benarkah ini cara terbaik untuk berkomunikasi dengan manusia, dan menghilangkan keraguan? Umat Islam akan mengatakan suka hati tuhanlah nak buat apa, tetapi perhatikan, ia satu tindakan oleh tuhan yang cukup aneh dan hanya menimbulkan fitnah, bahkan ia tidak menghilangkan keraguan. Al-Qur'an berkali-kali menyebutkan ia kitab yang jelas dan menghilangkan keraguan, tetapi benarkah? Jelas sekali, tidak benar.

Sebenarnya, al-Qur'an itu muncul di rantau Arab kerana Muhammad sendiri terpengaruh dengan fahaman dan tradisi Kristian dan Yahudi yang menebal di rantau itu. Kerana itulah cerita-cerita di dalam al-Qur'an mengambil watak-watak dari Bible untuk dijadikan sebagai isi kandungannya. Pada waktu itu belum ada Bible yang diterjemah ke dalam bahasa Arab, dan orang-orang Arab hanya mengulangi cerita-cerita Bible secara lisan, dalam pemahaman mereka sendiri.

Maka Muhammad juga merasakan sepatutnya ada kitab agama yang berbahasa Arab untuk disampaikan kepada mereka, dan juga supaya dijadikan satu kitab bagi mewakili identiti masyarakat Arab. Dia dan beberapa orang daripada komunitinya berjaya menghasilkan kitab ini, hasil daripada mengambil cerita-cerita yang ada di rantau sekeliling dan mengulangi serta mengolahnya dengan cara tersendiri (termasuk mengubah banyak perincian). 

Kitab ini asalnya adalah untuk mereka, tetapi kemudiannya dia merasakan ia perlu disampaikan kepada orang di luar rantau mereka, maka tersebarlah ia dengan cara peperangan dan setelah itu dengan dakwah, yang menyebarkan pengaruh agama ini. Orang ramai memeluk Islam, tetapi bukan semuanya masuk secara ikhlas atau masuk setelah mendapatkan ilmu yang mendalam. Banyak yang masuk atas dasar penipuan dan ilmu yang cetek, yang disampaikan oleh pengikut-pengikut Muhammad ini. Ramai yang memeluk Islam hanya atas dasar mereka rasa kepercayaan kepada satu tuhan itu menarik, tanpa langsung mengetahui isi kandungan al-Qur'an atau masalah-masalah yang wujud di dalam agama itu.

Dan setelah masuk Islam, adalah menjadi kesalahan pula untuk keluar selepas itu, maka berkembanglah agama Islam, walaupun orang tidak memahami kitabnya.