*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih
Malam tadi adalah malam ke 24 Ramadan, yakni 10 malam terakhir pada bulan Ramadan. Inilah waktunya dikatakan salah satu malamnya merupakan malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam di mana malaikat dan roh-roh turun ke bumi, dan ia merupakan malam yang lebih baik daripada seribu malam.
Sewaktu saya Muslim dulu, sama seperti orang lain, saya juga begitu teruja untuk mendapatkan malam ini, dan mengharapkan ibadat kita pada malam itu akan diterima Allah. Malam yang mana dikaitkan pelbagai perkara ajaib, masa kecil kita diberitahu bahawa pada malam ini, jika beruntung, kita akan melihat air menjadi beku seketika. Seringkali saya membayangkan apabila membasuh tangan pada malam ini, dengan waktu dan ketika yang tepat, kita boleh melihat air yang keluar di sink itu menjadi keras seketika, sebelum mengalir semula. Begitulah keajaiban yang sering saya bayangkan masa kecil, dan juga apa yang dipercayai ramai di kalangan masyarakat.
Menurut hadith-hadith
yang sahih, sebenarnya hanya satu tanda lailatul qadar yang betul-betul
tsabit dari Muhammad, yakni keesokan paginya selepas berlaku lailatul
qadar, pancaran matahari tidak terasa terlalu panas, dan cuaca dingin
saja. Selain daripada ini, yakni cerita-cerita ajaib seperti air beku,
pokok bersujud, air laut menjadi tawar dan sebagainya, tidak ada asasnya
di dalam hadith-hadith sahih, tetapi hanyalah kata-kata yang dinukilkan
dari ulama terdahulu, yang mendakwa kononnya menyaksikan sendiri
perkara-perkara ini, dan ini diperturunkan dari generasi ke generasi.
Begitulah hakikatnya. Tetapi tidak cukup untuk kita mengatakan bahawa malam lailatul qadar ini banyak diselubungi mitos yang tidak ada asasnya dari al-Qur'an dan hadith sahih, kita juga sebenarnya wajar melihat fenomena malam lailatul qadar itu sendiri dengan pandangan yang sedikit kritis.
Benarkah ia wujud, atau semuanya hanyalah mitos? Ini yang saya ingin jemput para pembaca beragama Islam untuk berfikir. Bagi mereka yang tidak percaya kepada malam ini, sudah pasti kita sudah boleh lihat bahawa tidak ada apa bukti yang boleh dijadikan batu asas kepada peristiwa lailatul qadar ini.
Lailatul Qadar itu suatu mitos
Pertama sekali, perlulah saya katakan bahawa fenomena suatu malam yang mana malaikat dan roh turun ke bumi beramai-ramai untuk menyelesaikan urusan tertentu di bumi, adalah satu dakwaan yang langsung tidak boleh dibuktikan kebenarannya. Ia hanya dakwaan, dan selagi tidak dibuktikan, kita tidak wajar pun untuk percaya kepadanya. Ini mudah dan jelas.
Bahkan jika ditanya kepada mereka, apakah maksud "roh" yang turun itu, roh manusia atau roh apa sebenarnya, mereka akan berbeza pendapat. Ulama mereka sendiri mempunyai pandangan yang berbeza, ada yang kata ia merujuk kepada Jibril (seperti dalam terjemahan di atas), ada yang kata malaikat penjaga, ada yang kata malaikat paling mulia dan paling dekat dengan Allah, ada yang kata ia tentera Allah yang bukan manusia dan bukan juga malaikat, dan ada yang kata roh di sini bermaksud "rahmat". Seperti banyak ayat Qur'an lain, yang pakar menafsirkan pun tidak boleh bersetuju apa maksud sesuatu ayat itu, dan sering berbeza pendapat. Ini kerana sifat al-Qur'an yang tidak jelas itu dalam terlampau banyak perkara.
Manakala dakwaan berkenaan lebih baik dari seribu bulan itu hanyalah dakwaan semata-mata. Bahkan ada yang mengatakan seribu bulan itu bukanlah seribu bulan yang sesungguhnya pun, tetapi hanya merujuk kepada tempoh yang lama, kerana kebiasaan orang Arab menyebutkan bahawa seribu itu adalah tempoh yang lama. Sekali lagi, terikat dengan budaya Arab. Inilah yang disebut oleh pejabat mufti wilayah persekutuan, yakni "Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”.
Perkara kedua, hakikatnya adalah, Muhammad pada zamannya tidak tahu-menahu tentang banyak perkara. Dia tidak tahu bahawa bumi ini sfera, dan tidak tahu bahawa bumi ini jauh lebih luas dari apa yang dibayangkannya. Dia juga tidak tahu bahawa bumi berputar dan mengelilingi matahari, dan tidak mengetahui hakikat perbezaan orbit bumi dengan bulan dan bumi dengan matahari. Dia hidup di zaman kuno, dan pemikirannya menggambarkan pemikiran masyarakat ketika itu. Jika ingin dikatakan Muhammad ini genius sekalipun, pengetahuan dan pemikirannya masih terhad kepada zaman itu. Apabila Muhammad mengajarkan tentang lailatul qadar, dia membayangkan suatu malam yang menyelubungi keseluruhan bumi pada masa yang sama.
Inilah kelemahan Islam.
Kita semua tahu, bahawa ketika suatu negara di rantau timur sudah malam, negara lain di kawasan barat kepada negara itu masih siang. Jadi, jika dikatakan malam lailatul qadar itu adalah malam malaikat dan roh turun, kita membayangkan bahawa malaikat turun di Jepun ketika waktu malam, kemudian, apabila Vietnam menjadi malam, mereka turun di Vietnam pula, kemudian apabila malam di Malaysia, mereka turun di Malaysia pula, kemudia malam di India, mereka turun di India pula, begitulah berterusan sehinga ke Mexico yang akhirnya melihat waktu malam 14 jam selepas Malaysia melihat malam, yakni Malaysia yang mana sudah menjadi pukul 10am keesokan harinya, barulah Mexico menjadi pukul 8pm, yang mana lailatul qadar baru hendak berlaku di sana, dan malaikat akan turun di sana pula.
Jadi malaikat dan ruh turun mengikut putaran bumi,
memilih negara-negara yang sudah mencapai waktu malam, dan mengelak
untuk turun di kawasan yang masih waktu siang. Sudah ibarat Santa Claus,
tetapi dalam versi berjemaah. Turun dan naik tanpa henti, sambil
memilih kawasan yang masih gelap.
Perkara ini terjadi kerana Muhammad membayangkan waktu malam apabila turun di bumi, maka ia meliputi seluruh bumi. Inilah juga sebab kenapa apabila Muhammad menyebut bahawa Allah itu turun di langit paling dekat dengan bumi pada sepertiga malam untuk menjawab doa hamba-hambanya, dia tidak sedar bahawa ini menunjukkan Allah itu sering turun dan naik saja sepanjang masa, sebab ketika satu tempat mencapai sepertiga malam, tempat lain sudah menjadi tengah hari atau petang, maka Allah digambarkan sebagai seorang yang sentiasa naik dan turun sepanjang masa (Hadith di sini dan sini).
Itu jugalah punca kenapa Islam tidak menggariskan panduan bagi mereka yang berpuasa di kawasan yang mendekati kutub utara walhal kawasan-kawasan itu apabila musim panas, matahari akan kekal di langit untuk tempoh yang lama, menyebabkan seseorang itu perlu berpuasa selama 19-21 jam, bahkan jika di kutub utara, boleh menjadi 24 jam. Ulama berbeza pendapat dalam menghadapi perkara ini, ada yang mengatakan tetap perlu berpuasa mengikut kawasan setempat, manakala ada yang kata perlu berpuasa mengikut waktu Mekah. Perbezaan pendapat ini kerana Qur'an dan hadith tidak menyebut tentang hal ini.
Dan jelas, Muhammad membayangkan apabila waktu malam menjelma, ia menjelma di seluruh bumi. Tidak terlintas di fikirannya tentang hakikat saiz dan pergerakan bumi. Ilmu-ilmu ini terlalu advanced bagi mindanya.
Ramadan juga berbeza mengikut negara, jadi bilanya lailatul qadar?
Seperkara lagi yang mengarut adalah perbezaan waktu Ramadan di negara-negara Islam menjadikan lailatul qadar ini juga bergerak tidak menentu. Disebabkan umat Islam disuruh oleh Muhammad untuk menentukan masuknya bulan baru dengan penampakan hilal (dan bukannya ketika berlaku konjungsi, yakni bulan memasuki fasa baru), ini menjadikan permulaan Ramadan itu berbeza-beza mengikut negara.
Kekuatan kuasa teleskop, faktor cuaca, kriteria ketinggian anak bulan dari ufuk, semuanya menjadi faktor dan memberikan kesan berbeza kepada kebolehnampakan anak bulan, dan menyebabkan negara-negara boleh mengisytiharkan hari yang berbeza untuk bulan Ramadan, ada yang awal sehari, ada yang lambat sehari.
Ini sekaligus memberi kesan lagi kepada malam Lailatul Qadar. Saya beri contoh.
Tahun lalu, 1443 Hijrah, Malaysia telah mengumumkan petang Sabtu 2 April, bahawa Ramadan bermula, yang bermaksud 3 April (Ahad) adalah hari pertama berpuasa. Ini sama seperti banyak negara lain di Asia Tenggara. Negara Oman (yang terletak di sebelah Arab Saudi) juga mengumumkan perkara yang sama seperti Malaysia, tetapi di negara Arab Saudi, Yaman, Kuwait dan banyak negara lain, Ramadan bermula pada 1 April (petang Jumaat), dan mereka mula berpuasa pada 2 April (yakni Sabtu).
Ini bermakna,
negara walaupun bersebelahan, untuk memasuki 10 malam terakhir di
Ramadan, Arab Saudi akan masuk dulu, kemudian esoknya barulah Oman.
Andaikata lailatul qadar turun pada 23 Ramadan di Saudi, malaikat tidak
akan turun ke Oman, kerana Oman masih 22 Ramadan, dan hanya menunggu
esoknya barulah turun di Oman. Inilah kekarutan yang boleh dilihat.
Sama seperti tahun ini, walaupun kebanyakan negara pada tahun ini bermula puasa pada hari Khamis, yakni 23 Mac, ada negara-negara yang bermula pada 24 Mac. Ambil negara yang tidak terlalu jauh zon waktunya, iaitu Bangladesh dan Pakistan. Walaupun Bangladesh berada di timur Pakistan, yang bermaksud mereka lebih awal dari segi waktu melihat bulan dan matahari berbanding Pakistan, mereka menguumumkan puasa bermula pada hari Jumaat 24 Mac, kerana tidak melihat anak bulan, manakala Pakistan, mengumumkan puasa bermula pada Khamis 24 Mac, sama seperti Malaysia.
Ini bermakna, ketika Malaysia sudah berpuasa, Bangladesh masih belum berpuasa, dan Pakistan pula berpuasa terlebih dahulu dari Bangladesh, walaupun Bangladesh dari segi zon waktu, terletak di antara Malaysia dan Pakistan.
Maka sudah pasti para malaikat dan roh pun akan keliru, jika lailatul qadar terjadi, mereka perlu memilih zon-zon masa yang tepat untuk turun dan naik, dan bukannya suka-suka turun.
Tanda-tanda lailatul qadar yang lucu
Hakikatnya, ia seperti malam-malam yang lain. Saya membaca di twitter tadi ada yang mengatakan malam tadi adalah lailatul qadar, kerana merasakan dingin pada pagi ini dan tenang semalam, walhal saya keluar di rumah saya dan melihat pancaran matahari terik dan terasa panasnya. Jika orang tersebut rasa dingin dan tenang pun, mungkin kerana ia hujan lebat semalam, di tempat saya pun hujan malam tadi.
Poin saya, hanya jika seseorang merasa dingin di suatu tempat, tidak bermaknya langsung tempat lain juga rasa dingin, kerana ia dipengaruh pelbagai faktor seperti pergerakan angin dan hujan. Inilah perkara subjektif.
Sahabat dan orang kuat Muhammad, Ibn Mas’ud pernah berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Umdah al-Qari 11/134.
Orang-orang seperti ini yang nak dijadikan panduan? Orang-orang zaman kuno yang otak mereka dipenuhi dengan perkara tahyul dan mitos?
Ulama berbeza pendapat bila lailatul qadar
Kita sering diberitahu bahawa malam lailatul qadar itu adalah pada 10 malam terakhir, tetapi para ulama sudah berbincang mengenainya selama ratusan tahun, dan mereka mempunyai kecenderungan masing-masing tentang bila sebenarnya lailatul qadar itu, seolah-olah Muhammad pernah membocor rahsia kepada beberapa sahabat. Ramai ulama yang membuat kesimpulan ia jatuh pada malam ke 27, dan ini yang dipegang oleh jabatan mufti wilayah persekutuan, pun begitu, ramai ulama lagi berbeza pendapat, ada yang mengatakan ia pada 21, 23, 24 dan malam terakhir Ramadan. Yang melucukan, sebenarnya Muhammad sendiri tahu bila tarikh dia, tapi kononnya dia terlupa, atau mungkin benar-benar dia terlupa.
Rujuk sahih al-bukhari, yang mana dia sebenarnya dalam perjalanan untuk memberitahu para sahabatnya tentang tarikh lailatul qadar, tetapi selepas menyaksikan dua orang Muslim bergaduh di depannya, dia terlupa. Aneh pula Allah tidak ingatkan dia balik, mungkin dia tidak lupa, tetapi ubah fikiran dan enggan beritahu, yang mana itu bermaksud dia menyembunyikan ilmu yang dia dapat, dan dia cuma menipu bahawa dia terlupa.
Walaupun setelah 1,444 tahun berlalu, masih tiada siapa tahu bilakah Lailatul Qadar itu hadir, ini kerana jika ada pun ulama yang sudah beribadah sepanjang malam, dan melihat tanda-tanda lailatul qadar pada malam itu seperti malam yang terang dan tenang, dan esoknya pula matahari juga tidak memancar dengan terik, ulama di kawasan lain dan di rantau lain tidak akan merasa perkara yang sama, kerana faktor cuaca.
Manakala
ulama di rantau dan kawasan lain itu akan merasa suasana yang sama pada
malam yang lain. Contoh pada malam ke-27, sekumpulan ulama di Madinah
merasa tenang, sekumpulan ulama di Kuwait mungkin merasa panas pada
malam itu, dan mengalami suasasana seperti itu pada malam ke-29 pula.
Mungkin sekumpulan ulama di Malaysia, di Selangor merasa tanda-tanda
seperti itu pada malam ke-21, tetapi sekumpulan ulama di Kelantan merasa
malam ke-23 pula. Ini semua subjektif.
Jika benar pada malam
ke-27, sudah pasti sudah beratus-ratus tahun mereka merasa keajaiban
pada malam ke 27, kerana ramadan sudah dilalui oleh umat Islam selama
1,444 tahun. Takkanlah masih tidak dapat mencapai kata putus?
Mereka
tidak mencapai kata putus kerana pengalaman mereka subjektif.
Hakikatnya, malam lailatul qadar itu hanyalah mitos dan penipuan.