Monday, 30 January 2023

AKAI GXC-710D cassette player repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah alat pemain kaset berjenama AKAI, model GXC-710D dengan masalah boleh berfungsi namun sangat perlahan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Untuk makluman semua, alat pemain kaset ini adalah keluaran tahun 70an (1976 - 1978) dan pemilik memberitahu saya ianya tidak pernah dibaiki serta telah lama disimpan sebab masalah di atas.

ALAI GXC-710D

Masalah alat pemain kaset seperti ini majoriti adalah disebabkan tali sawat (belting) telah keras atau mungkin tidak elastik lagi serta gagal menggerakkan bahagian mekanikal di dalamnya.

Model: GXC-710D

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, alat pemain kaset ini sedikit unik sebab motor yang digunakan adalah jenis AC dan disambungkan kepada sebiji 'running capacitor' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup dibuka...

Nilai kapasitor yang digunakan ialah 7uf + 1uf dan disambung secara selari seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kapasitor motor - 7uf + 1uf

Apa yang saya lakukan ialah tanggalkan sambungan kapasitor kepada bahagian 1uf dan kelajuannya bertambah sedikit namun masih perlahan seperti boleh ditonton pada klip video pertama di atas.

128uf?

Nilai kedua-dua kapasitor tersebut ialah 128uf + 12.9uf seperti boleh dilihat pada gambar di bawah apabila diukur dengan menggunakan multimeter.

12uf?

Masalah selesai setelah saya gantikan kapasitor tersebut dengan menyambungkan 2 biji kapasitor 4uf untuk mendapatkan 8uf seperti kapasitor asal.

Sambung siri 2 biji 4uf = 8uf

Voltan elektrik yang melalui kapasitor ialah 52.76vac setelah kapasitor telah saya gantikan dengan yang baharu. Voltan sebelum kapasitor ditukar cuma kira-kira 30vac sahaja jika hanya disambung kepada bahagian 7uf namun akan turun kepada 23vac jika bahagian 1uf disambung bersama pada kapasitor asal.

52.76vac (kapasitor baru)

Selamat berDIY...

Saturday, 28 January 2023

JVD Zenith 866411 kettle repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk cerek seperti ini untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

JVD Zenith 866411

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi cerek yang kelihatan serupa namun model berbeza dengan masalah kerosakkan suis dan gagal memasak air.

Perbezaan cerek model ini dengan sebelumnya ialah kapasitinya selain rekabentuk suisnya. Kapasiti cerek model ini ialah 1L berbanding model lepas cuma 0.8L sahaja.

Model: 866411

Setelah dibuka serta diperiksa, masalah suis tersebut ialah tuil suis putus satu kakinya dan gagal dihidupkan walaupun suisnya telah ditolak.

Gantikan suis baharu...

Rating suis yang digunakan ialah 10A/250V seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Untuk pengetahun semua, jenama JVD adalah buatan Perancis (France).

10A/250V

Masalah selesai setelah suisnya telah saya gantikan dengan yang baharu dan punca kerosakkan suis adalah disebabkan suisnya tidak mesra pengguna.

Siap...

Suisnya perlu ditolak ke hadapan untuk menghidupkannya dan bukannya ditekan seperti cerek biasa atau jenama lain.

Selamat mencuba...

Wednesday, 25 January 2023

LG 49LF540T TV repair

Hujung tahun lepas saya telah dirujuk sebuah TV berjenama LG, model 49LF540T.ATS dengan masalah ada suara namun tiada layar.

LG 49LG540T

Masalah TV sedemikian adalah disebabkan kerosakkan lampu backlight dan perlu diganti dengan yang baharu.

Setelah penutup belakang dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati voltan ke lampu backlight ialah 315vdc seperti boleh dilihat pada gambar di bawah namun lampu backlight tidak menyala.

Voltan backlight - 315vdc

Backlight terletak di belakang skrin/layar dan perlu membuka skrin untuk menukarnya. Skrin perlu dibuka bersama dengan papan litar T-Con.

Buka ribbon ke T-Con

Ribbon yang disambung ke papan litar juga perlu dibuka seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Keluarkan skrin dengan T-Con

Kerja-kerja membuka skrin perlu dilakukan dengan berhati-hati sebab mudah pecah dan sekiranya pecah, ianya tidak berbaloi untuk dibaiki sebab harga skrin sangat mahal.

Skrin telah dikeluarkan...

Gambar di bawah menunjukkan lampu LED backlight yang telah terbakar dan harus digantikan dengan yang baharu.

Backlight hangus...

Gambar di bawah saya ambil sewaktu memasang lampu backlight yang baharu untuk diuji.

Gantikan backlight baharu...

Kerja-kerja memasang kembali juga perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menyebabkan kerosakkan pada skrin.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Sunday, 22 January 2023

Speaker Start Delay Using Relay

Hari ini saya kongsikan satu projek DIY untuk menjaga keselamatan speaker sistem audio.

schematic

Skematik untuk projek DIY ini adalah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan komponen yang diperlukan ialah:-

  1. sebiji geganti (relay)
  2. sebiji diod 1N4148
  3. sebiji transistor NPN (BC546)
  4. sebiji perintang 2.2kΩ
  5. sebiji perintang 39kΩ
  6. sebiji kapasitor 220uf
Pasang diode 1N4148 kepada geganti...

1. Sambungkan diod 1N4148 kepada bahagian gegelung geganti.

Pasang transistor BC546 ke terminal khatod pada diod

2. Sambung terminal emitter kepada terminal khatod diod 1N4148.

Pasang perintang 2.2kΩ & 39kΩ ke transistor

3. Sambungkan perintang 2.2kΩ kepada terminal base transistor dan sambung perintang 39kΩ ke terminal collector transistor.

Pasang kapasitor 220uf

4. Sambungkan terminal negatif (-ve) kapasitor kepada terminal anod diod 1N4148 dan terminal positif pula disambung bersama perintang 2.2kΩ & 39kΩ.

Siap...

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Thursday, 19 January 2023

Philips GC520 garment steamer repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah 'garment steamer' berjenama Philips, model GC520 dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak menghasilkan wap.

Philips GC520 garment steamer

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman dirujuk 'garment steamer' untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Model: GC520

'Garment steamer' ini dilengkapi dengan papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah setelah penutup atas telah saya buka.

Setelah penutup atas dibuka...

Pemeriksaan dengan mata kasar pada papan litar mendapati sebiji kapasitor dengan nilai 330uf, 10v kembung dan harus di ganti.

Kapasitor kembung...

Pemeriksaan seterusnya pada bahagian tangki pemanas mendapati sebiji 'thermal cut off switch' atau juga dikenali sebagai 'thermal switch' putus dan lokasinya telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Thermal switch putus...

Thermal switch yang digunakan berjenama THERMASTE 10/250-T220 dengan rating 140C, 10A.

THERMASE 10/250-T220 - 140C

Dari pengalaman lepas, masalah utama 'garment steamer' ialah disebabkan sumbat yang mengakibatkan panas melampau (overheating).

Setelah tangki pemanas dibuka...

Gambar di atas menunjukkan keadaan di dalam tangki pemanas setelah dibuka dan terdapat banyak bendasing seperti pasir di dalamnya. Hal ini serupa dengan 'garment steamer' yang pernah dirujuk kepada saya sebelum ini.

Tangki pemanas telah dibersihkan...

'Garment steamer' ini berjaya diselamatkan setelah kedua-dua komponen yang rosak di atas telah saya gantikan dengan yang baharu selain membersihkan tangki pemanasnya.

Selamat berDIY...

Monday, 16 January 2023

CAFERINA coffee warmer repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk 'coffee warmer' untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

CAFERINA RHP Decanter Warmer

Pagi ini saya dirujuk sebuah 'coffee warmer' dengan masalah bila suis dihidupkan, seluruh rumah bergelap.

Pin neutral disambung ke elemen pemanas...

Menurut pemilik, masalah asalnya ialah suisnya rosak dan dia telah digantikan dengan yang baharu.

Saya juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak termasuk suis yang ditukar oleh pemilik.

Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui pendawaiaan pada suis tersalah sambung seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Cara sambungan...

Suis ini dipanggil 'rocker switch' dan ianya mempunyai 3 terminal. Cara menyambungnya telah saya labelkan pada gambar di atas dan di bawah.

Cara sambungan...

Kesilapan pendawaiaan oleh pemilik ialah pada terminal berwarna perang pada suis. Pemilik telah menyambungkannya kepada elemen pemanas dan wayar hidup (L) serta neutral (N) pula disambung pada bahagian suis.

Siap...

Keterangan terperinci cara penyambungan suis ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Saturday, 14 January 2023

JVD Zenith 866377 kettle repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk sebuah cerek elektrik seperti ini untuk di baiki dan anda boleh rujuk di sini.

JVD Zenith 866377
JVD Zenith 866375

Protect and Secure Your WiFi : https://bit.ly/vpn_secure

Kali ini saya dirujuk sebuah lagi cerek elektrik serupa namun warnanya hitam dengan masalah suis rosak.

Zenith 866377 (Black)

Suisnya boleh dilihat pada gambar di bawah dan telah patah serta tidak dapat dihidupkan untuk memasak air.

Suis rosak...

Setelah dibuka dan diperiksa, tuil suis telah patah seperti boleh dilihat perbezaannya pada gambar di bawah.

Suis patah...

Pada mulanya saya cuba gam kembali tuil suis yang patah namun ianya tidak tahan dan patah semula. Jadi, cara terbaik ialah gantikan suisnya dengan baharu.

Masalah selesai setelah suisnya telah saya gantikan dengan yang baru dan ianya masih boleh digunakan semula.

Siap...

Setelah diselidik dengan teliti, saya dapati suisnya sedikit berbeza berbanding dengan cerek elektrik lain sebab untuk menghidupkannya ianya perlu ditolak dan bukan ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Keterangan lanjut masalah cerek elektrik berjenama JVD ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Wednesday, 11 January 2023

JVD Clipper Single Chrome Hair Dryer Repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk alat pengering rambut seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah penutup dibuka...

Masalah alat pengering rambut ini ialah kipas tidak berpusing namun elemen pemanas merah menyala apabila suis dihidupkan.

Buka kipas...

Pemeriksaan awal pada fius, suis, element pemanas serta diod yang mengawal kelajuan kipas semuanya elok.

Buka pemegang motor...

Seterusnya saya buka motor kipas dan mendapati sebiji diod dengan yang label 1N4007 putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Diod 1N4007 terbakar...

Setelah diod 1N4007 yang terbakar telah saya gantikan dengan yang baharu serta diuji, kipas boleh berpusing namun perlahan dan menyebabkan elemen pemanas juga merah menyala.

Gantikan diod 1N4007 yang baharu...

Masalah motor berpusing perlahan adalah disebabkan motor telah rosak dan perlu ditukar atau dibaiki. Motor yang digunakan berlabel HC385S dan telah saya gantikan dengan RC-385 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gantikan motor yang baharu...

Alat pengering rambut ini telah berjaya diselamatkan dan ianya masih boleh digunakan semula setelah motornya telah saya gantikan dengan yang baharu selain menukarkan sebiji diod 1N4007.

Selamat mencuba...