Friday, 5 August 1983

Isra' dan Mi'raj: Analisa dari perspektif Islam dan bukan Islam

Copy & Paste

*Saya amat meminati sebahagian penulisan di blog artikel ini namun ianya sering menghilang dan muncul sekali kala sahaja atas sebab-sebab tertentu. Tujuan saya salin & tampal di sini ialah untuk rujukan semata-mata. Terima kasih

Isra' dan Mi'raj merupakan satu peristiwa yang dikatakan pernah berlaku ketika hayat Muhammad, di mana dia telah pergi dari Mekah ke Baitulmaqdis, dan kemudian diangkat ke langit, dalam satu malam.

Isra' berasal dari perkataan سرى (sara) yang bermaksud mengembara di tengah malam, dan mi'raj dari kata عرج (araja) yang bermaksud menaiki. Isra' merujuk kepada perjalanan pertama Muhammad di mana dia dikatakan telah dibawa seekor haiwan berkepak yang telah menerbangkannya dari Mekah ke Baitulmaqdis dalam satu malam, dan setibanya di sana, dia telah naik pula (mi'raj) ke langit tertinggi dan telah bercakap-cakap dengan Allah. 

Sejujurnya, jika cerita ini diucapkan oleh seseorang pada zaman ini, kita akan melabelnya sama ada seorang yang gila, atau seorang penipu. Inilah label yang telah dilemparkan kepada Ayah Pin dan pengikutnya.


Walaupun dulu saya seorang Muslim, tetapi ketahuilah, sekarang ini apabila dihidangkan dengan cerita Isra' Mi'raj, gambar di atas itulah yang saya bayangkan tentang Muhammad. Seandainya orang Islam boleh melihat kekarutan dalam perkara ini, ia akan lebih menguntungkan mereka. Mereka gemar menghina Ayah Pin dan pengikutnya, tetapi ketahuilah satu jari yang dituding kepada Ayah Pin, sebenarnya lagi empat jari menunjuk ke arah mereka sendiri. 

Peristiwa Isra' Mi'raj.

Tarikh berlakunya isra' mi'raj tidak dipersetujui di kalangan para pendeta Muslim, dan mereka memberikan pelbagai macam pendapat, ini kerana tidak adanya satu hadith sahih yang menyebutkan secara tepat tarikh bila ia berlaku. Ada yang mengatakan ia berlaku setahun sebelum hijrah (Ibn Sa'd), berlaku pada tahun Muhammad dilantik sebagai nabi (at-Tabari), tiga tahun sebelum hijrah (Ibn al-Athir) atau lima tahun sebelum hijrah (an-Nawawi). 

Berkenaan bulan juga sama tidak disepekati, ada pendapat yang menyebut ia berlaku pada bulan Rabi'ul Awal, ada yang meyebut Rabi'ul Akhir dan pendapat yang paling diterima sekarang ialah 27 Rejab. 

Peristiwa ini dikatakan berlaku pada satu malam yang sama dan telah diriwayatkan oleh sekian banyak hadith, dengan periwayatan yang cukup panjang lebar dan terperinci. Agak sukar untuk kita lihat kesemuanya, maka cukup untuk kita pergi kepada beberapa poin penting. Jadi saya ringkaskan peristiwa yang berlaku. 

Pada suatu malam, dikatakan atap rumah Muhammad telah dipecahkan dan malaikat Jibril turun masuk. Jibril kemudian telah membelah dada Muhammad dan membasuh dadanya dengan air zam-zam dan memasukkan dadanya dengan "hikmah" dan "iman" dari sekeping pinggan emas. Setelah itu, kemudian dadanya ditutup semula oleh Jibril. Dari babak pertama cerita ini saja sudah membuatkan kita berfikir, apakah benar ini berlaku, ceritanya cukup kedengaran seperti lagenda, tetapi itulah yang didakwa berlaku seperti diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan lainnya. Bahkan saya pernah mendengar adanya ustaz yang pernah mengatakan inilah kali pertama dalam sejarah operasi pembedahan telah berjaya dilakukan ke atas manusia! 

Terdapat perbezaan riwayat tentang dari mana sebenarnya Muhammad memulakan isra'nya, hadith Bukhari menyebutkan dari rumahnya (hadith 349), al-Baihaqi menyebutkan dari Masjidil Haram (Dalaa'il An-Nubuwah 2/36-142), manakala Ibn Hisyam menyebutkan dari rumah sepupu Muhammad, Hind bint Abu Talib (Ummu Hani) (2: 52-53). Pun begitu kisah berkenaan isra' dari rumah Ummu Hani telah dikritik sebagai riwayat yang lemah. 

Untuk mengelakkan percanggahan dengan ayat al-Qur'an yang menyebutkan Muhammad diisra' dari Masjidil Haram, ada ulama menyebutkan Muhammad telah dibawa dari rumahnya ke depan Kaabah dahulu, kemudian barulah dia dibawa ke Baitulmaqdis. Dia isra' menaiki buraq, iaitu seekor makhluk semacam kuda atau keldai (ia dikatakan lebih kecil daripada kuda, tetapi lebih besar daripada keldai).

Ketika Muhammad di isra’ kan dari mekah ke baitulmaqdis, dia telah diperlihatkan beberapa perkara ajaib yang memberinya pengajaran, termasuk imej beberapa orang diseksa untuk pelbagai macam dosa. Setiap apa yang dilihatnya, Jibrail menceritakan apa yang berlaku. Setelah tiba di baitulmaqdis, Muhammad bersolat jemaah sebagai imam, mengimami roh-roh nabi-nabi sebelumnya yang turut sama bersolat dengannya di Masjidil Aqsa. Kemudian dia naik ke langit dengan menaiki tangga dan melalui langit pertama sehingga langit ketujuh. Di setiap langit dia bertemu dengan nabi-nabi tertentu. 

Akhirnya Muhammad bertemu dengan Allah taala di sidratul muntaha. Allah telah memberikan perintah kewajipan untuk solat lima waktu. Setelah itu dia turun semula ke bumi, dan dibawa semula ke Mekah. Tiba waktu pagi di Mekah, Muhammad telah menceritakan bahawa dia telah pergi dalam satu malam ke Baitulmaqdis dan kembali, dan ini telah disangkal oleh orang ramai. 

Jika diikut riwayat, untuk membuktikan bahawa dia telah pergi ke Baitulmaqdis, dia telah menceritakan apa yang dilihatnya di Baitulmaqdis, dan juga menceritakan tentang kafilah dagang yang dilihatnya dalam perjalanan ke Mekah. Apabila kafilah dagang itu tiba, adalah dilihat mereka itu sama seperti apa yang diceritakan Muhammad. Mereka yang pernah ke Baitulmaqdis sebelum itu, dikatakan bersetuju dengan gambaran Muhammad tentang rupa bentuk Baitulmaqdis seperti yang diceritakan Muhammad. 

Begitulah ringkasan ceritanya. 

Ada banyak percanggahan berkenaan cerita isra' mi'raj ini, disebabkan banyaknya hadith yang diriwayatkan tetapi saling bercanggahan dan tidak memberi urutan cerita yang sama. Lebih buruk, banyak hadith-hadith yang diriwayatkan tentang isra' mi'raj ini lemah dan telah dicela periwayatannya oleh ramai ulama-ulama hadith sendiri. Menyebabkan kita mula bertanya, apa yang menyebabkan orang Islam dahulu begitu suka mencipta hadith berkenaan isra' mi'raj ini? Apakah kerana ia satu kisah ajaib yang cukup hebat dan menarik sehingga perbuatan menokok tambah cerita begitu sukar untuk dilawan?

Percanggahan pendapat juga berlaku dalam beberapa perkara,  seperti berikut: 

1) Adakah peristiwa mi'raj berlaku dalam keadaan Muhammad tidur atau terjaga? Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa perbezaan pendapat ulama adalah berkenaan mi'raj, tetapi peristiwa isra' tidak diperselisihkan. Pun begitu, majoriti ulama percaya ia berlaku dalam keadaan Muhammad terjaga kerana jika Surah al-Isra' ayat 17:1 mengatakan Allah memperjalankan "hambanya" yang bermaksud roh dan jasad. 

2) Berapa kali peristiwa mi'raj berlaku? Walaupun pendapat masyur adalah ia berlaku cuma sekali, tetapi ada yang mengatakan ia berlaku dua kali. Satu dalam keadaan Muhammad tidur, dan satu dalam keadaan Muhammad terjaga. Ada juga yang mengatakan ia berlaku berkali-kali, seperti pendapat al-Imam Abu Syamah.

Ada yang mengatakan ia berlaku berkali-kali kerana perbezaan-perbezaan dalam hadith dan juga kerana tidak ada satu hadith yang menyusun kesemua peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam satu riwayat saja. Riwayat-riwayat tentang isra’ mikraj ini, jika dilihat, sangat banyak dan ada hadith-hadith yang cukup panjang. Yang anehnya, setiap kali diceritakan tentang peristiwa ini, pasti ada perbezaan. Peristiwa pembelahan dada juga diceritakan berlaku pada tempat dan masa berbeza, yang menyebabkan adanya ulama yang mengatakan ia berlaku berkali-kali. 

Banyak peristiwa yang ada diceritakan di dalam satu hadith, tetapi tidak diceritakan pula di hadith lain, bahkan ada yang bercanggahan, seperti contoh nabi apa yang ditemui oleh Muhammad pada langit-langit tertentu. 

3) Adakah Muhammad melihat Allah di Sidratul Muntaha? Aisyah dan Ibn Mas'ud mengatakan Muhammad tidak melihat Allah, manakala Abu Zar dan lainnya menyebut Muhammad melihat Allah dengan mata kepala sendiri.

Tarikh bila berlakunya Isra' Mi'raj

Seperti disebut di atas, tidak ada tarikh disebut dalam hadith tentang bila berlakunya peristiwa ini, tetapi ia berlaku selepas Muhammad mendakwa dirinya dilantik sebagai nabi dan rasul. Ketika itu, Baitul Maqdis masih di bawah pemerintah kerajaan Byzantine, Heraklius.

Status Masjidil Aqsa ketika itu

Walaupun tidak disebut secara spesifik di manakah Baitul Maqdis, tetapi sepanjang sejarah memang lokasi itu disebut dan diterima orang Islam sebagai kota Jerusalem. Masjid al-Aqsa berada di kota Baitul Maqdis (Jerusalem). Ketika peristiwa isra' mi'raj ini, tidak ada bangunan di lokasi al-Aqsa, kerana masjid al-Aqsa belum dibina, manakala kuil Sulaiman pula telah dihapuskan ketika tahun 70 Masihi.

Tetapi perkataan masjid itu sebenarnya boleh merujuk kepada satu kawasan untuk bersembahyang, walaupun tidak ada dinding atau bangunan di situ. 

Maka apabila dikatakan Muhammad diisra'kan ke Masjid al-Aqsa, ia sebenarnya tidak mendatangkan masalah walaupun bangunan masjid al-Aqsa itu belum dibina waktu itu ataupun tiada bangunan di situ. Yang penting ada sempadan, dan kawasan Temple Mount atau bekas lokasi kuil Sulaiman itulah yang disebut sebagai masjid al-Aqsa oleh orang Islam. 

Ketika Muhammad dikatakan pulang dari Baitul Maqdis, hadith mengatakan ketika dia dipersoal oleh warga Mekah untuk membuktikan dakwaannya, dia telah menjelaskan bagaimana rupa masjid. Kita hanya boleh membayangkan yang Muhammad sedang menggambarkan kawasan terbuka tanpa bangunan. 

Ringkasan tentang hadith Isra' dan Mi'raj

Saya ringkaskan beberapa hadith yang berkaitan dengan peristiwa isra' mi'raj ini di bawah untuk kita melihat tema-tema utama yang disebutkan. Hadith-hadith ini telah dikumpulkan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti di dalam kitabnya al-Ayah al Kubra fi Syarh Qishah al-Isra'. Mari kita lihat. 

Hadith riwayat Muslim (Sahih Muslim, Kitab al-Iman): Menceritakan Muhammad menaiki buraq ke Baitul maqdis, dan di situ dia telah diberikan pilihan susu dan arak, dan dia memilih susu. Tidak ada apa yang diceritakan berlaku dalam perjalanan antara Mekah dan Baitulmaqdis. Kemudian dia naik ke langit dan melalui tujuh langit dan bertemu dengan nabi-nabi berbeza di setiap langit. Berlakunya perintah solat lima waktu. 

Status hadith: Sahih.

Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari Kitab al-Tauhid): Menceritakan atap rumah Muhammad dipecahkan dan Malaikat masuk serta membelah dan membersihkan dada Muhammad. Riwayat ini tidak menyebut tentang isra', kerana setelah dada Muhammad ditutup, dia terus dibawa ke langit. 

Dalam perjalanan di langit, dia bertemu dengan beberapa Nabi, akhirnya disebut tentang perintah solat lima waktu.

Status hadith: Sahih

Hadith riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tauhid): Bermula dengan Muhammad tidur di Masjidil Haram, kemudian datangnya malaikat dan membelah dadanya di masjid itu (berbeza dengan hadith kedua di atas yang mengatakan dada dibelah di rumahnya). Hadith ini juga tidak menyebut tentang peristiwa isra', tetapi terus menceritakan Muhammad dimi'raj ke langit dan bertemu para nabi di setiap langit. 

Status hadith: Walaupun disebut oleh al-Bukhari sebagai sahih, tetapi hadith ini mempunyai seorang bernama Syarik dalam perawinya, dan Ibn Kathir berkata Syarik mempunyai hafalan lemah (tafsir ibn kathir), Imam Muslim mengatakan Syarik selalu menambah dan mengurangkan riwayat, Imam Nawawi pula berkata riwayat syarik di atas mempunyai keraguan yang diingkari ulama. 

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Menyebutkan Muhammad diisra' ke Baitul maqdis, dan sementara dalam perjalanan telah ternampak orang tua uzur, dan juga beberapa nabi yang memberinya salam. Setibanya dia Baitul Maqdis, Muhammad telah diberikan pilihan air susu dan air arak. 

Status hadith: Sahih

Hadith riwayat Ibn Abi Hatim (dikutip dalam Tafsir Ibn Kathir): Menceritakan Muhammad telah diisra'kan ke Baitulmaqdis. Hadith ini menyebutkan Muhammad terus sampai ke Baitul Maqdis tanpa dia melihat apa-apa peristiwa menarik dalam perjalanan. Tidak ada orang tua uzur seperti mana disebut hadith di atas. Setibanya di Baitulmaqdis, dia telah terlihat para bidadari sedang duduk di perkarangan masjid, dan dia bercakap-cakap dengan bidadari.

Muhammad kemudian mengimami solat para nabi dan kemudian dia naik ke langit. Sama seperti riwayat lain, dia telah menembusi tujuh langit dan bertemu dengan nabi-nabi yang berbeza di setiap langit. Akhirnya dia menerima perintah solat lima waktu di sidratul muntaha. Kemudian Muhammad turun semula dan kembali ke Mekah. 

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Muhammad terlihat adanya kafilah dagang dalam perjalanan ke Mekah, yang mana ada seekor unta membawa kantong hitam dan putih, yang mana unta ini berlari dan berpusing-pusing dan menyerang unta lain. Apabila Muhammad sampai di Mekah, Muhammad menceritakan tentang peristiwa isra' mi'raj, termasuk kejadian unta. Penduduk Mekah menafikan cerita Muhammad, tetapi apabila kafilah dagang itu tiba di Mekah, penduduk Mekah bertanya apa yang berlaku, dan kafilah dagang itu menceritakan sama seperti apa yang diceritakan Muhammad. 

Status hadith: Ibn Kathir kata hadith ini mempunyai kandungan yang "gharib yang mengagumkan". Sebahagian ahli hadith menganggap ia lemah termasuk Ibn Mu'in, Imam Ahmad ibn Hanbal, an-Nasa'i, ad-daruqutni. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Malaikat tiba ketika Muhammad sedang tidur, dan dadanya dibelah. Muhammad kemudian menaiki buraq, tetapi riwayat ini menyebutkan Muhammad terus pergi ke langit, tanpa menyebutkan tentang isra' ke baitulmaqdis. Seperti biasa, hadith ini menyebutkan Muhammad pergi ke langit yang berbeza sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. 

Kemudian menyebutkan Muhammad pergi ke Baitul Ma'mur di langit, dan di kemudian dia diberikan pilihan susu dan madu. Jadi hadith ini berbeza dengan hadith lain, kerana hadith lain menyebutkan Muhammad diberi pilihan susu/madu ketika di Masjid al-Aqsa, manakala hadith ini menyebutkan ketika Muhammad sudah di langit barulah diberi pilihan. 

Status hadith: Sahih, dan diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim.

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Ketika Muhammad sedang tidur, ada yang mengejutkannya dan dia tidak melihat sesiapa, tetapi dia dengar suara. Dia kemudian keluar dari masjid mengikut arahan suara itu dan melihat ada buraq. Dia naik buraq dan ketika dalam perjalanan, dia terdengar suara memanggil dari sebelah kanan dan sebelah kiri, tetapi dia tidak menjawab. Dia juga terlihat ada seorang perempuan yang terbuka betisnya memanggilnya, tetapi dia juga tidak menjawab. 

Setelah tiba di al-Aqsa, malaikat jibril datang dan memberinya pilihan susu dan arak. Kemudian Muhammad bertanya tentang apa yang dilihatnya, dan Jibril berkata suara yang didengarnya adalah sebenarnya adalah suara Yahudi dan Nasrani, dan jika Muhammad menjawab maka umatnya akan menjadi Yahudi dan Nasrani. Perempuan yang dilihatnya adalah harta benda dunia, dan jika Muhammad menjawab, maka umat Muhammad akan memilih harta benda dunia mengalahkan Akhirat. 

Muhammad kemudian solat di Masjidil Aqsa, dan kemudian naik ke langit. Dalam perjalanan ke langit, dia melihat beberapa perkara, termasuk beberapa kejadian ajaib termasuk:

1) Ada daging di atas meja, tetapi tiada siapa yang makan. Di satu meja lain ada pula daging busuk tetapi ramai orang yang berebut memakannya. Jibril menyebut ini kelompok umat Muhammad yang memilih harta haram dan meninggalkan yang halal. 

2) Melihat satu kaum yang perutnya sebesar rumah sehingga tidak dapat berjalan kerana terlalu besar. Jibril mengatakan ini orang yang memakan riba

3) Suatu kaum yang bibirnya dibuka untuk menelan bara api, dan keluar melalui dubur. Jibril berkata ini orang yang memakan harta anak yatim. 

Hadith ini bersambung dengan beberapa peristiwa lagi. Muhammad kemudian bertemu beberapa nabi di setiap langit. Ketika di sidratul muntaha, Muhammad melihat syurga dan melihat bidadari dan sungai-sungai. Akhirnya Muhammad kembali ke bumi dan pulang ke Mekah. 

Hadith in berakhir dengan Muhammad berhadapan dengan kaum Quraisy dan kaum Quraisy mempersoal apa yang berlaku setelah Muhammad mendakwa dia isra dan mi'raj. Muhammad menyebutkan dia melihat ada unta yang berlari-lari, kemudian dia juga menggambarkan gambaran baitul Maqdis. 

Status hadith: Ibn Kathir menyebut hadith ini diriwayatkan oleh Abu Harun al-Abdi, dan dia dianggap lemah oleh para imam lain. Syu'bah pernah berkata: Sesungguhnya aku lebih senang dipukul leherku daripada aku harus meriwayatkan hadith daripada Abu Harun. 

Dilihat hadith ini mempunyai banyak tambahan cerita yang tidak ada di hadith lain, termasuk gambaran-gambaran yang dilihat Muhammad ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis dan juga dalam perjalanan ke langit. 

Hadith riwayat al-Baihaqi (Dala'il an-Nubuwwah): Jibrail datang bersama Mika'il kepada Muhammad dan membelah dadanya. Kemudian dia menaiki buraq dan berlepas ke al-Aqsa. Dalam perjalanan ini dia melihat beberapa peristiwa yang tidak disebut dalam hadith-hadith yang lain, termasuk kaum yang bercucuk tanam, kaum yang kepalanya dihentak batu, kaum yang memakan batu api dan lain-lain. Untuk setiap kaum ini ada pengajarannya masing-masing. 

Dalam hadith ini, peristiwa-peristiwa yang dilihat dalam perjalanan adalah amat banyak, berbeza dengan hadith lain yang ada tidak menyebut apa-apa pun. Muhammad kemudian diberi pilihan susu dan arak, dan kemudian naik ke langit. Muhammad bertemu dengan nabi di setiap langit. 

Ketika di sidratul muntaha, dia melihat beberapa perkara ajaib termasuk pokok gergasi yang untuk mengelilinginya perlukan tujuh puluh tahun. 

Status hadith: Az-Zahabi mengatakan hadith ini mempunyai lafaz yang sangat mungkar. As-Suyuti mengatakan hadith ini mempunyai perawi bernama Abu Ja'far al-Razi yang mana adanya perselisihan ulama tentang sama ada dia boleh dipercayai atau tidak.  Ibn Kathir menyebutnya hadith yang mungkar dan Abu Ja'far ar-Razi mempunyai hafalan yang lemah.

Hadith riwayat Abu al-Fadl bin Umar (Al-Khasa'il al-Kubra): Jibrail datang kepada Muhammad dan mereka bertolak di atas Buraq. Dalam perjalan, dia bertemu dengan lagi perkara yang tidak disebut di dalam hadith lain. Ini termasuk bertemu dengan Musa dan Ibrahim dan bercakap-cakap dengan mereka. 

Ketika tiba di Masjidil Aqsa, dia masuk ke masjid dan diberi susu/arak. Dia kemudian bersolat dan hadith ini tamat. 

Status hadith: Di dalam tafsirnya Ibn Kathir mengatakan ada perkara ganjil dalam hadith ini kerana menyebutkan Muhammad bertemu dengan para nabi sebelum sampai ke masjidil Aqsa, walhal hadith lain menyebut dia bertemu nabi di langit. 

Hadith riwayat Ibn Ishaq (al-Sirah an-Nabawiyah): Hadith pendek ini menyebut Muhammad tidur di rumah sepupu perempuannya, Ummu Hani dan kemudian telah diisra'kan ke Baitul maqdis.

Status hadith: Hadith ini mempunyai perawi bernama al-Kilabi al-Kufi, yang mana dia dikatakan pernah mereka-reka hadith. Rujuk kitab Dhu'afa al-Bukhari (no. 332).

Hadith riwayat at-Tabrani (Mujam al-Kabir): Hadith pendek yang menyebutkan Muhammad di bawa ke langit dan melihat pokok syurga dan dia telah memakan dari buah itu. 

Status hadith: Hadith maudhu'. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Muhammad diisra' ke Masjidil aqsa, tetapi disebutkan bahawa dia tidak bersolat di situ tetapi telah pergi ke langit. Hadith ini ganjil kerana berbeza dengan hadith lain kerana ia menyebutkan Muhammad tidak bersolat di masjidil aqsa. 

Status hadith: Imam Tirmizi menyebutkan ia sahih. 

Hadith riwayat Imam Ahmad (Musnad): Hadith ini ringkas dan menyebutkan Muhammad di isra' ke Baitul Maqdis dan kemudian kembali. Tidak menyebutkan langsung tentang mi'raj. Kemudian hadith ini memberi dialog antara Abu Jahal dan Muhammad ketika Muhammad cuba mempertahankan dakwaannya bahawa dia melengkapi perjalanan ke Baitul Maqdis dan kembali semula dalam satu malam. 

Disebutkan Muhammad menggambarkan sifat masjid, tetapi hadith tidak menyebutkan apakah sifat masjid itu. Sebenarnya hadith ini aneh kerana seperti disebut, tidak ada bangunan masjid di situ, jadi apakah dia cuma menggambarkan kawasan lapang? Jika diikut pada hadith itu, Muhammad dikatakan tidak ingat rupa masjid itu sehingga kononnya dia diberi gambaran di depannya, dan dia menggambarkan apa yang dilihatnya. Jika kawasan lapang, apa yang susah sangat hendak diingat?

Status hadith: Perawi hadith ini thiqah, menurut al-Haithami dalam al-Majma'.

Perbincangan 

Kita dapat melihat bahawa ada banyaknya perbezaan di dalam kandungan hadith antara satu sama lain. Ada tema yang sama diulang dalam beberapa hadith, seperti Muhammad isra' ke Al-Aqsa, bersolat di situ, naik ke langit, bertemu beberapa nabi di setiap langit, menerima perintah lima waktu dan akhirnya pulang ke bumi, kemudian dia berkongsi kisahnya dengan penduduk Mekah, dan apabila mereka tidak mempercayainya, dia telah memberi dua bukti; menggambarkan baitulmaqdis, dan menceritakan kisah unta. Ini tema utama.

Pun begitu, seperti dilihat, ada banyak maklumat yang tidak diceritakan di dalam satu hadith, tetapi diceritakan di dalam hadith yang lain. Jika peristiwa ini menarik dan ajaib, kenapa tidak menceritakan secara penuh? Bayangkan, dalam satu hadith, diceritakan peristiwa A, B dan C berlaku,manakala dalam hadith lain, dikatakan peristiwa D, E, F,G dan H berlaku, dan hadith lain pula menyebut P, Q dan R,  tetapi tidak pula disebut tentang peristiwa A, B dan C. Kenapa begitu?

Adakah ini bermaksud cerita-cerita ini ditokok tambah oleh perawi berbeza, seiring berlalunya waktu, dan cerita asalnya tidak begitu menarik dan tidak mempunyai peristiwa-peristiwa itu? Juga kita boleh melihat ada banyak daripada hadith -hadith di atas dianggap lemah. Kenapa begitu banyak yang dianggap lemah? Dan berapa banyak kandungan hadith itu yang perlu dianggap benar-benar terjadi, kalaupun tidak mahu ditolak keseluruhan ceritanya? 

Sudah pasti kalau ditanya saya, saya katakan ia tidak pernah berlaku, tetapi kalau para Muslim ingin menganggap ia berlaku, manakah kandungan hadith lemah ini yang boleh diterima?

Analisa hadith 

Hadith Imam Muslim yang pertama di atas tidak menyebutkan Muhammad mengimami solat di masjidil aqsa, manakala hadith lain menyebutkan secara spesifik bahawa Muhammad mengimami para nabi di situ. Hadith kedua dari al-Bukhari pula langsung tidak menyebutkan peristiwa Mi'raj, tetapi mengatakan Muhammad terus naik ke langit, seolah-olah isra' tidak berlaku.  

Hadith ketiga pula statusya dianggap lemah dan boleh ditolak, kandungannya juga berbeza kerana menyebutkan ada tiga orang yang datang bertemu Muhammad bukan cuma Jibrail, dan Muhammad juga tidak isra' tetapi terus mi'raj. Hadith keempat pula cuma menyebutkan tentang peristiwa isra', tetapi menambah peristiwa penampakan orang tua uzur dan juga kelibat dua malaikat. Hanya hadith ini yang menyebut peristiwa ini.

Hadith kelima dikatakan lemah, dan mempunyai tambahan maklumat, bahawa Muhammad melihat bidadari di masjidil aqsa. Hadith keenam tidak menyebut tentang peristiwa isra' langsung, tetapi terus menyebutkan bahawa Muhammad diangkat ke langit (mi'raj). Hadith ketujuh pula menambahkan lagi peristiwa-peristiwa yang dilihat ketika dalam perjalanan isra' (suara yahudi dan nasrani, dan wanita terbuka betis) dan juga ketika mi'raj.

Hadith kelapan menambahkan lagi peristiwa-peristiwa yang dilihat Muhammad ketika Isra' (lelaki yang kepala dihentak batu, memakan batu api, dipotong lidah dsb), dan menambah lagi cerita ketika di sidaratul muntaha. Malangnya hadith ini dipersoal statusnya. 

Hadith kesembilan dikatakan sahih, tetapi kandungannya menyebutkan Muhammad telah bertemu Ibrahim dan Musa ketika isra', yang mana ia berbeza dengan hadith-hadith lain yang mengatakan Muhammad bertemu dengan para nabi di langit, bukan ketika di isra'kan.

Daripada kesemua ini, kita boleh buat beberapa kesimpulan:

1) Jika benar peristiwa ini berlaku, kenapa setiap hadith menceritakan perkara yang berbeza tentang apa yang dilihat oleh Muhammad pada malam itu? Selain daripada tema utama iaitu pergi ke tujuh lapisan langit, detail di dalam hadith-hadith ini berbeza antara satu sama lain (Bahkan ada juga hadith yang berbeza tentang siapa nabi yang ditemui pada langit ke berapa).

Sebenarnya, jika betul Muhammad melalui peristiwa ini, bukankah lebih masuk akal jika ada lebih banyak persamaan berbanding perbezaan ketika meriwayatkan peristiwa ini? 

Akibat perbezaan-perbezaan dan tokok tambah ini, ia lebih menjurus kepada kesimpulan bahawa setiap perawi yang merawi cuma menokok tambah cerita apa yang dirasakan mereka telah berlaku pada malam itu. 

2) Ada tidak kurang lima hadith yang dianggap lemah atau palsu di dalam riwayat-riwayat tentang isra' mi'raj. Dan dikalangan hadith sahih pula adanya perbezaan kandungan. Kenapa ada banyak hadith yang lemah dalam kisah isra' mi'raj ini?

3) Muhammad dikatakan menggambarkan Baitul Maqdis, tetapi tidak ada satu pun hadith yang menyebutkan apa yang digambarkan oleh Muhammad itu. Kenapa tidak disebutkan? Adakah kerana perawi hadith itu sendiri pun tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan Muhammad, ataukah adakah Muhammad telah menyebut sesuatu yang jelas-jelas tidak tepat, memandangkan waktu itu masjid al-Aqsa belum dibina pun lagi, dan perawi hadith tidak ingin mengulangi apa yang diperkatakan Muhammad?

Ada satu hadith yang menyebutkan Muhammad menggambarkan bangunan masjid dan dikatakan dia menghadapi kesukaran untuk menggambarkan kerana tidak ingat rupa bentuk masjid itu, walaupun padahal tiada bangunan masjid ketika itu kerana belum dibina. 

4) Beberapa hadith menyebutkan Muhammad didatangi ketika dia sedang tidur, dan dikejutkan oleh Jibrail, dan ini dijadikan sandaran oleh beberapa ulama yang berpendapat bahawa isra' dan mi'raj itu berlaku dalam keadaan mimpi. 

Yakni, Muhammad setelah tidur tidak bangun dan apa yang dilihatnya masih dalam keadaan bermimpi. Menurut logiknya, ini lebih logik, iaitu segala apa yang dilihatnya hanya berlaku dalam mimpi. Jika ingin dianggap memang Muhammad pernah menceritakan peristiwa-peristiwa ini, Muhammad sebenarnya tidur pada suatu malam dan bermimpi kesemua ini. 

Untuk membuktikan bahawa Muhammad pernah ke Baitul maqdis, dikatakan Muhammad telah buat seperti berikut:

1) Hadith riwayat Ibn Abi Hatim menyebut Muhammad menceritakan kisah unta yang membawa beg hitam dan putih. Tidak menyebut apa-apa tentang gambaran Baitulmaqdis. Malangnya hadith ini dikatakan lemah. 

2) Hadith riwayat al-Baihaqi mengatakan Muhammad cuba menggambarkan "bangunan" Baitulmaqdis, tetapi tidak diketahui apakah yang dirujuknya, adakah masjid itu sendiri atau bangunan-bangunan di sekitarnya. Disebabkan tidak wujud bangunan masjid ketika itu, maka mungkin yang cuba digambarkan adalah bangunan di sekitarnya, tetapi perawi langsung tidak menyebutkan apakah yang digambarkan. Hadith ini juga dikatakan lemah.

3) Hadith riwayat Ahmad mengatakan Muhammad menceritakan sifat masjid, tetapi perawi tidak menyebutkan apa sifat masjid yang dimaksudkan. Memandangkan tidak ada bangunan di situ, dan ia hanya kawasan lapang, adalah aneh kenapa Muhammad tidak boleh mengingati apa yang konon dilihatnya baru beberapa jam sebelumnya pada malam itu, sehingga perlu "diperlihatkan" kepadanya imej masjid, walaupun yang sepatutnya dilihat hanyalah kawasan lapang tanpa bangunan. Jika hanya kawasan lapang, apa sebenarnya yang susah sangat hendak ingat? Ini semua menyebabkan cerita ini nampak ditokok tambah kemudian. 

Akhir kalam, untuk mengatakan bahawa seorang lelaki pernah pergi dari Mekah ke Baitulmaqdis menaiki kuda terbang dalam satu malam, dan naik pula tujuh lapisan langit dalam satu malam dan kembali semula semuanya dalam satu malam, ianya jelas bertentangan dengan akal. Jika cerita ini diceritakan oleh pengikut Ayah Pin, orang Muslim mentertawakannya, tetapi apabila nabi mereka sendiri yang menceritakan cerita ini, mereka telan bulat-bulat.