Showing posts with label Fruits. Show all posts
Showing posts with label Fruits. Show all posts

Friday, 27 September 2019

Buah Embang/Bambangan/Mawang (Mangifera pajang) mampu bunuh sel kanser payudara

Buah embang/bambangan/mawang atau nama saintifiknya Mangifera pajang, merupakan ahli keluarga Anacardiaceae dan genus Mangifera. Buah mangga (Mangifera indica), bacang (Mangifera foetida) dan kuini (Mangifera odorata) merupakan ahli keluarga terdekat buah embang.
Buah Embang
Buah embang berasal dari Borneo. Ia merupakan buah yang mempunyai rasa manis atau masam dan kandungan serat yang sangat tinggi. Ia mempunyai aroma seakan-akan mangga. Berat sebiji buah embang boleh mencecah 0.5 kg sehingga 1 kg.

Daun dan buah bambangan banyak digunakan di dalam masakan masyarakat Sabah dan Sarawak. Antaranya daun pokok bambangan dibuat ulam bersama sambal belacan, dan buah embang dibuat jeruk.
Potong bahagian atas...
Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci “Mangifera pajang” memberikan 33 artikel. Hanya sekitar 25 artikel kajian buah bambangan berkaitan sebatian kimia dan potensi bioaktiviti antaranya antioksidan dan antikanser. Terdapat satu kertas kajian ke atas tikus, manakala selebihnya adalah kajian ke atas sel kanser. Masih belum ada kajian pilot klinikal ke atas manusia akan potensi buah embang sebagai ubat kanser.
Belah kulitnya...
Kumpulan sebatian kimia semulajadi yang utama di dalam kulit, isi dan biji buah embang adalah dari kelas flavonoid dan asid fenolik. Sesetengah sebatian kimia ini juga terdapat di buah mangga seperti sebatian mangiferin.
Kopak kulit yang telah dibelah...
Potensi perubatan mangiferin banyak dikaji dan ia menunjukkan potensi perubatan yang meluas. Kandungan mangiferin dalam kulit buah embang adalah lebih tinggi berbanding kulit dan daun buah mangga. 

Sebatian kimia subkelas flavonoid iaitu isoflavonoid, merupakan phytoestrogen semula jadi juga didapati di dalam buah kuini, bacang dan buah embang. Sebatian ini dikenali sebagai daidzein dan genistein, sebatian kimia yang sama ditemui di dalam soya. 
Dah tanggal dari kulitnya...
Selain itu, buah embang yang berwarna kekuningan kaya dengan sebatian kimia carotenoid, iaitu kelas sebatian kimia yang sama seperti vitamin A. Selain itu, ia juga kaya dengan sebatian polisakarida, iaitu sejenis sebatian makromolekul yang mempunyai unit asas glukosa.

Kajian bioaktiviti merujuk kepada kajian potensi perubatan menggunakan sel, atau bioaktiviti berasaskan ‘chemical-based assay’ iaitu bioaktiviti yang mimik kepada satu situasi dalam badan manusia menggunakan bahan kimia.
Makan isinya...
Berbanding buah mangga, buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang jauh lebih tinggi berbanding buah mangga . ‘Total Phenolic Content’ atau Kandungan Sebatian Fenolik buah embang dalam jumlah lebih kurang sama dengan buah mangga menggunakan kaedah assay Folin Ciocalteu. 

Kulit dan biji buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang lebih baik berbanding isi buah embang. Penapaian buah embang pada suhu 38 C memberikan kandungan sebatin fenolik dan aktiviti antioksidan yang lebih tinggi.
Kulit buah embang juga boleh di makan...
Buah embang dikaji untuk aktiviti antikanser, menggunakan sel kanser payudara MCF-7 dan MDA-MB-231. HANYA EKSTRAK BIJI BUAH EMBANG yang menunjukkan aktiviti antikanser pada nilai IC50 masing-masing pada 23 pada 31 μg/mL untuk sel MCF-7 dan MDA-MB-231. Kandungan asid fenolik dalam biji buah embang dipercayai menyumbang kepada aktiviti tersebut. Kajian ini masih pada peringkat penemuan dan belum memasuki fasa pra-klinikal.

Selain itu, ekstrak biji (kernel) buah embang juga mempunyai aktiviti perlindungan terhadap kesan oksidatif terhadap sel hati manusia (HepG2) pada kepekatan 1.2 µg/ml.
Isi pada bahagian kulit sedikit keras berbanding isinya...
Buah embang merupakan buah tropika berkhasiat tinggi, kaya dengan nutrisi, phytonutrients dan sebatian fenolik.

Namun begitu, pembaca dinasihatkan untuk tidak melengahkan rawatan kemoterapi atau pembedahan yang dicadangkan pakar perubatan kerana ingin mencuba buah bambangan kerana kajian masih pada peringkat penemuan.
Biji buah embang...
Menurut kajian yang dilakukan, potensi melawan sel kanser payu dara setakat ini hanya pada piring petri dan HANYA BIJI BUAH EMBANG yang didapati berpotensi membunuh sel kanser tersebut.
Biji buah embang yang telah dibelah...
Kajian lanjutan masih diperlukan untuk menilai keberkesanan BIJI (KERNEL) BUAH EMBANG bagi merawat kanser payudara.

Sumber

Tuesday, 10 September 2019

Buah Dabai vs Buah Kembayau

Selama ini saya berpendapat bahawa buah dabai dan buah kembayau adalah sama. Menurut WIKIPEDIA, di Sarawak buah tersebut di panggil buah dabai dan di Sabah & Brunei ianya di panggil buah kembayau.

Ia sebenarnya serupa namun tidak sama. Hari ini saya kongsikan perbezaan di antara buah dabai dan buah kembayau.
Buah kembayau
Di Sarawak, sekarang merupakan musim buah durian dan buah dabai serta buah kembayau juga merupakan buah yang bermusim dan berada di pasaran sewaktu dengan musim durian.
Kembayau vs Dabai
Di pendekkan cerita, saya mencari buah kembayau dan buah dabai di pasaran dan gambar-gambar di atas serta di bawah merupakan perbezaan di antara kedua-dua buah tersebut.
Kembayau vs Dabai
Secara amnya warna ungu (purple) kembayu lebih muda berbanding dengan buah dabai. Saiz dan bentuk buah kembayau dan dabai juga berbeza, buah kembayau lebih panjang dan kecil berbanding dengan buah dabai yang lebih besar.
Dabai vs Kembayau
Jika anda ingin tahu cara memakan buah dabai, anda boleh membacanya di sini. Cara memakan buah kembayau ialah dengan merendam menggunakan air suam sehingga lembut.

Buah kembayau tidak akan masak dengan menjemur sahaja seperti yang pernah saya kongsikan pada artikel saya yang lepas.
Biji Kembayau vs Biji Dabai
Gambar di atas dan di bawah merupakan perbezaan biji buah dabai dan biji buah kembayau. Perbezaan ketara ialah dari segi warna iaitu biji buah kembayau berwarna putih dan panjang manakala biji buah dabai seakan-akan bola rugby.

Setelah bijinya dibelah...
Rasa isi buah dabai dan buah kembayau hampir sama dan perbezaannya ialah rasa isi buah kembayau sedikit masam berbanding buah dabai.
Jika nasib baik, isi bijinya kembar...
Isi biji buah dabai sedap di makan manakala isi biji buah kembayau rasanya kelat seperti buah pinang.

Thursday, 22 August 2019

Buah Dabai (Canarium Odontophyllum)

Buah dabai cuma boleh di jumpai di kepulauan Borneo dan merupakan buah yang bermusim. Biasanya buah dabai boleh didapati di pasaran ketika musim buah durian.
Buah dabai (Canarium odontophyllum)
Ianya berwarna ungu pekat dan menurut orang ramai makanan yang berwarna ungu mengandungi antioksidan yang tinggi. Jom detox dengan memakan buah dabai...
Campur gula pasir & kicap...
Terdapat berbagai-bagai cara penyediaan untuk memakan buah dabai:-
  1. Rendam dengan air suam sehingga lembut (10 - 15 minit)
  2. campur gula dan kicap, lepas itu jemur sehingga lembut (30 minit - sejam)
Gaul sehingga rata...
Sejak kecil lagi saya menggunakan cara ke-2 dan saya juga pernah menggunakan cara pertama namun ianya lebih sedap jika dijemur sahaja.
Jemur sehingga lembut...
Setelah isinya dimakan, isi biji buah dabai juga enak dimakan. Anda boleh menjemur bijinya supaya boleh disimpan lama dan dimakan bila-bila masa.
Biji buah dabai...
Untuk mendapatkan isi biji buah dabai, anda perlu belah menggunakan parang.
Belah guna parang..
Gambar berikut merupakan rupa biji dabai setelah dibelah dan rasanya adalah seperti pastachio yang boleh dibeli di pasaraya.
Isinya biji dabai juga boleh dimakan...
Gambar di bawah merupakan perbezaan warna biji dabai jika anda merendam dengan air suam dan menjemurnya sehingga lembut untuk dimakan.

Kiri - rendam dengan air suam, Kanan - jemur sehingga lembut
Selamat mencuba...

Thursday, 31 January 2013

Sedekah

Orang berbudi, kita berbahasa
Orang memberi, kita merasa

Apa yang saya ingin kongsikan pada hari ini ada kaitannya dengan peribahasa di atas. Pejam celik, pejam celik, dah habis bulan januari. Tahun Baru Cina tahun ini cuma tinggal 10 hari sahaja. Masa berlalu begitu pantas dan tanpa disedari, pokok longan dan limau kasturi yang saya tanam di belakang rumah telah mengeluarkan hasilnya lagi.
Limau kasturi di belakang rumah ku...
Kali ini terlepas pandang pula dan banyak yang telah gugur ke tanah tanpa disedari terutamanya buah limau kasturi yang terlebih masak. Hampir kesemua yang telah masak saya petik dan berat keseluruhannya ialah sebanyak 8.6kg.
Tidak ketinggalan juga mengeluarkan hasilnya ialah pokok longan yang berbuah sepanjang tahun. Namun banyak yang belum masak tetapi telah dimakan oleh... (tak tahu)
Buah longan yang belum masak tapi...
Nak tahu tak apa yang saya buat dengan limau kasturi itu? Kalau dijual, entah ada tak pembelinya sebab terlebih masak. Setelah pertimbangan dibuat, saya bertekad sedekahkan kesemua limau kasturi tersebut kepada saudara-mara, rakan-rakan sekerja serta jiran-jiran.

Apa yang mengembirakan saya setelah membuat sedekah dengan limau kasturi hari ini ialah, saya telah mendapat tahu orang yang mencantas pokok jambu di depan rumah dulu. Ceritanya ada di sini.

Jangan cuba tutup bangkai gajah dengan daun pisang...