Showing posts with label Vacuum cleaner. Show all posts
Showing posts with label Vacuum cleaner. Show all posts

Wednesday, 3 September 2025

NONTAUS CC-002 cordless vacuum cleaner

Hari ini saya kongsikan pengalaman yang sangat menarik serta belum pernah lalui sebelum ini sebab melibatkan kecacatan pembuatan (manufacturing defects).

NONTAUS CC-002 cordless vacuum cleaner

Saya klasifikasikannya sebagai 'manufacturing defects' sebab ianya kesilapan sewaktu dikilangkan.

Model: CC-002

Sewaktu penyedut hampagas ini dirujuk kepada saya, pemilik hanya memberitahu saya ianya gagal berfungsi sahaja.

Setelah penutup bawah dibuka...

Apabila diuji, lampu indikator merah menyala namun berkelip-kelip seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Pemeriksaan awal pada papan litar menggunakan multimeter tidak menemui sebarang komponen yang rosak mahupun disyaki rosak.

Papan litar

Setelah puas membelek papan litar serta label yang ada padanya akhirnya saya menemui sesuatu yang perlu diambil perhatian. 

Label sama 3400 namun komponen berbeza?

Terdapat dua biji komponen pakej SOT23 dengan 3 terminal berbeza digunakan pada label sama iaitu 3400 seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

AO9T = AO3400 (N-channel mosfet) - 30v, 5.8A

Komponen SOT23 dengan 3 terminal yang sering digunakan biasanya sama ada transistor ataupun mosfet.

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan dua komponen yang berbeza digunakan iaitu JY3 dan AO9T pada label 3400 di papan litar. 

J3Y = transistor

Setelah saya merujuk kepada datasheet, kedua-dua komponen tersebut sememangnya berbeza iaitu:-

  1. J3Y - Transistor jenis NPN
  2. AO9T - Mosfet jenis N-channel

Label 3400 pada papan litar pula merujuk kepada mosfet jenis N-channel iaitu AO3400.

SI2300 - N-channel mosfet (30v, 3.6A)

Mosfet jenis N-channel yang saya ada ialah SI2300 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan ratingnya sama dengan AO9T.

Gantikan J3Y (transistor) dengan 2300 (mosfet)

Dipendekkan cerita, saya gantikan transistor J3Y dengan mosfet SI2300 dan masalah selesai.

Penyedut hampagas boleh berfungsi serta merta bila butang 'power' ditekan. 

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Saturday, 8 February 2025

Cara membuka deerma VC01

Sebelum ini saya ada kongsikan pengalaman dirujuk penyedut hampagas berjenama Xiaomi model deerma VC01 dan anda boleh rujuk di sini.

Atas permintaan ramai, hari ini saya kongsikan langkah-langkah membukanya untuk menukar bateri melalui gambar-gambar berikut:-

1. Buka penutup serta skru...

2. Buka penutup atas pemegang...

3. Buka suis...

4. Buka skru di bawah label...

5. Buka 2 biji skru yang ditutup silikon...

6. Keluarkan seluruh module...

Rujuk kepada entri lepas di sini untuk langkah-langkah memeriksa serta menukar bateri.

Selamat berDIY...

Saturday, 2 November 2024

dyson V11 cordless vacuum cleaner

Ini merupakan kali ke-2 saya dirujuk penyedut hampagas seperti ini dengan masalah serupa iaitu gagal berfungsi dengan normal.

dyson V11 cordless vacuum cleaner

Klip video di bawah menunjukkan masalahnya di mana setelah suis ditekan, motor berpusing sedikit dan padam.

Penapis pada penyedut hampagas ini sangat kotor dan setelah dibersihkan, ianya lebih baik namun masih tidak normal seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Memandangkan penapis telah bersih dan ianya masih gagal berfungsi dengan normal, masalahnya ialah pada bahagian motor.

1. Buka penapis...

Gambar-gambar berikut adalah cara membuka setiap bahagian secara berperingkat bermula dengan membuka bahagian penapis.

2. Buka bateri...

Seterusnya buka bahagian bateri serta bahagian seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

3. Buka lagi...

Akhir sekali keluarkan module motor dan gantikan dengan yang baru.

4. Keluarkan module motor & ganti dengan yang baru...

Setelah module motor telah diganti, pasang kembali semula komponen yang telah dibuka sebelumnya.

Siap...

Penyedut hampagas ini tidak akan berfungsi jika penapisnya tidak dipasang. Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Saya berpendapat kerosakan mungkin disebabkan panas melampau akibat penapis yang kotor.

Jadi, pastikan penapisnya dibersihkan setiap kali selepas digunakan agar pengudaraan ke bahagian motor baik.

Selamat berDIY...

Sunday, 15 September 2024

Xiaomi deerma VC01 cordless vacuum cleaner repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk penyedut hampagas (vacuum cleaner) yang hampir serupa seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

deerma VC01 handheld cordless vacuum cleaner

Penyedut hampagas yang saya kongsikan kali ini berjenama Xiaomi, model deerma VC01 dengan masalah cas bateri yang telah penuh dicas habis dalam masa kurang dari seminit bila digunakan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan bateri telah rosak dan gagal menyimpan cas lagi.

Model: VC01

Kerja membaiki bermula dengan membuka penutupnya sehingga bahagian bateri dikeluarkan untuk ditukar dengan yang baru.

Buka penutup...

Setelah BMS (battery management system) dibuka, tarikh diperbuat yang tercatat ialah 2020.07.31 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Date of manufacture: 31/7/2020

Penyedut hampagas ini menggunakan 4 biji bateri lithium dan kesemuanya rosak serta perlu diganti.

Buka & keluarkan bateri asal...

Masalah selesai selepas bateri telah diganti dan penyedut hampagas ini kembali berfungsi semula. Bateri merupakan komponen 'wear & tear' dan harus diganti bila tidak berupaya menyimpan cas lagi.

Bateri telah siap ditukar...

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Monday, 21 August 2023

Xiaomi Deerma VC20S Cordless Handheld Vacuum Cleaner

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah penyedut hampagas berjenama Deerma, model VC20S dengan masalah gagal dicas.

Xiaomi Deerma VC20S

Jika dilihat pada label, tarikh dikilangkan ialah pada 05/10/2019 dan sebelum dibuka serta diperiksa saya menjangkakan masalahnya ialah:-

  1. Kerosakkan pengecas (charger)
  2. Kerosakkan bateri
  3. Kerosakkan papan litar (PCB)
Model: VC20S

Klip video di bawah ialah keadaan vacuum cleaner sewaktu saya uji, ianya boleh dihidupkan namun padam tidak lama selepas itu dengan lampu indikator merah berkelip-kelip.

Pemeriksaan awal pada pengecas (charger) ianya elok dan mampu menghasilkan voltan output 18v namun gagal mengecas bila disambung kepada penyedut hampagas.

Pengecas - 18v, 500mA

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, tiada komponen yang disyaki bermasalah.

Setelah dibuka...

Penyedut hampagas ini dilengkapi dengan 4 biji bateri jenis lithium dan apabila diperiksa dengan menggunakan multimeter, voltan sebiji bateri cuma 2.9v sahaja.

4 biji bateri lithium digunakan...

Voltan sebiji bateri lithium normal ialah 3.7v dan setelah penuh dicas, voltannya ialah 4.2v. Jadi, ianya gagal dicas sebab voltannya cuma tinggal 2.9v sahaja.

Voltan rendah...

Apa yang saya telah lakukan ialah mengecas setiap biji bateri dengan menggunakan 'external charger' sehingga kira-kira 3.3v - 3.7v. Cara melakukan 'force charge' pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Masalah gagal dicas penyedut hampagas ini berjaya ditangani dengan melakukan 'force charge' bateri yang telah lemah sebelum disambungkan kepada pengecasnya semula.

Keterangan lanjut masalah penyedut hampagas ini boleh ditonton pada klip video di atas.

Selamat berDIY...

Friday, 24 February 2023

soteco WINDLY WET vacuum cleaner repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki penyedut hampagas (vacuum cleaner) seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

soteco WINDLY WET

Penyedut hampagas ini adalah jenis 2 dalam 1 (2-in-1) di mana ianya juga boleh digunakan pada keadaan basah.

model: WINDLY WET

Saya diberitahu masalahnya ialah gagal menyedut dan pemeriksaan awal mendapati penapisnya sumbat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Penapis udara sumbat...

Setelah kesemua penaips udaranya telah dibersihkan serta diuji, ianya kini boleh menyedut namun tidak kuat dan masih gagal menyedut dengan normal.

Penutup motor reput...

Pemeriksaan seterusnya mendapati bahagian penutup motor telah berkarat serta reput seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan dengan penutup baharu...

Gambar di atas menunjukkan penutup motor telah saya gantikan dan ianya di ambil dari motor yang gagal dibaiki. Saiznya sama namun tiada lubang pada bahagian tepi seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tebuk lubang untuk pengudaraan...

Untuk makluman semua, saya telah uji motor tersebut tanpa lubang pada penutupnya namun ianya tidak kuat menyedut. Masalah selesai setelah saya tebuk lubang di sekeliling bahagian tepinya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Thursday, 11 August 2022

Masalah kebocoran pada penyedut hampagas TOPPER

Sebelum ini saya pernah kongsikan masalah penyedut hampagas yang tidak kuat menyedut dan anda boleh rujuk di sini.

Topper 103

Hari ini saya dirujuk sebuah penyedut hampagas berjenama Topper dengan masalah sama iaitu tidak kuat menyedut.

O-ring hilang...

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan sumbat atau bocor. Pemeriksaan awal pada hos penyedut mendapati sebiji O-ring telah hilang seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah.

Gantikan O-ring...

Saiz O-ring yang digunakan ialah 43mm x 3 mm dan fungsinya ialah untuk mengelak kebocoran pada bahagian penyambung.

Siap...

Selain daripada O-ring yang hilang, saya juga tutup bahagian hos yang bocor dengan menggunakan pita wayar.

Saiz O-ring - 43mm x 3mm

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Monday, 1 August 2022

Troubleshooting TOPPER 103 vacuum cleaner not functioning

Saya telah banyak membaiki penyedut hampagas seperti ini sebelum ini dan banyak kerosakkan disebabkan armature motor rosak.

TOPPER 103

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah lagi penyedut hampagas serupa dengan masalah tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Setelah penutup motor dibuka...

Ketika saya mengujinya, ianya boleh berfungsi dan masalahnya ialah tidak kuat menyedut. Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan penapis udara (filter) sumbat.

Motor masih elok...

Pemeriksaan pada motor berkeadaan elok dan ianya kelihatan masih baru seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas.

Sampah tidak berada di dalam bag?

Selepas itu saya buka bahagian tangki bahagian bawah dan mendapati sampah berada di luar bag sampah seperti boleh dilihat pada gambar atas.

Bag tidak dipasang elok...

Pemeriksaan teliti mendapati bag sampah tidak dipasang elok seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Bag sampah harus dipasang rapat seperti pada gambar di bawah supaya sampah yang disedut berada di dalam bag dan bukan di luar bag.

pasang elok bag...

Penapis (filter) juga sangat kotor serta sumbat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah disebabkan bag sampah tidak dipasang dengan betul.

Penapis sumbat...

Masalah selesai setelah penapisnya telah saya bersihkan dan bag sampah dipasang dengan elok seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Penapis telah dibersihkan...

Saya berpendapat kerosakkan armature motor selama ini adalah berpunca dari bag sampah yang tidak dipasang elok yang seterusnya mengakibatkan penapis sumbat. Apabila penapis sumbar, angin yang masuk ke bahagian motor juga perlahan dan mengakibatkan panas melampau sehingga armature motor rosak.

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di atas.

Selamat berDIY...