Showing posts with label solar. Show all posts
Showing posts with label solar. Show all posts

Sunday, 10 May 2026

SDY-SIP series pure sine wave inverter repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah inverter jenis 'sine wave' dengan masalah gagal berfungsi.

SDY-SIP series pure sine wave inverter

Menurut pemilik, inverter ini digunakan pada sistem solar untuk menangani masalah bekalan elektrik yang sering terputus di kediamannya.

Setelah penutup dibuka...

Setelah penutup dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, tiada kerosakan ditemui.

Seekor cicak telah reput pada bahagian bawah PCB

Seterusnya saya buka papan litar untuk pemeriksaan lanjut dan menemui bangkai cicak seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Kesan cicak direnjat elektrik pada PCB...

Inverter ini rosak setelah merenjat cicak tersebut dan kesannya melekat di papan litar boleh dilihat pada gambar di atas.

Komponen yang rosak...

Pemeriksaan menggunakan multimeter menemui komponen berikut rosak:-

  1. 6 biji fius 40A
  2. Sebiji mosfet (CSFR45N50FW)
  3. Sebiji optocoupler (TLP350) 

Gantikan 6 biji fiud 40A

Bagi memastikan tiada kerosakkan lain, saya buka mosfet dari papan litar dan gantikan fius untuk diuji. Inverter boleh dihidupkan namun voltan output cuma 123vac sahaja

Testing - boleh on...

Anda boleh rujuk klip video di bawah untuk keterangan lanjut pemasalahan awal yang saya temui.

Saya menunggu kira-kira 10 hari untuk mendapatkan mosfet serta optocoupler yang baru. 

Voltan output cuma 123vac sahaja...

Masalah selesai setelah kesemua komponen rosak ditemui di atas telah diganti dan ianya berjaya diselamatkan.

Gantikan mosfet & optocoupler baru...

Selamat berDIY...

Thursday, 7 May 2026

Bateri lampu solar rosak

Macam-macam lampu solar telah saya baiki dan hari ini saya kongsikan satu lagi penemuan baru seperti berikut.

Tak sampai seminit dah penuh cas...

Lampu solar ini bila diuji, boleh mengecas tetapi cepat penuh dicas namun tidak menyala bila hari gelap atau waktu malam.

Masih baru...

Dari label, ianya baru beberapa bulan sahaja digunakan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Low voltage...

Pemeriksaan pada bateri mendapati voltannya rendah seperti boleh dilihat pada gambar di atas namun melebihi voltan maxima 4.2v sewaktu dicas.

During charging - overcharge

Dipendekkan cerita, saya gantikan bateri baru dan ianya kembali berfungsi semula.

Gantikan bateri baru (1.800mAh)

Masalah seterusnya pula ialah sistem pengecas tidak berhenti mengecas apabila voltan mencecah 4.2v dan pemerhatian saya pada papan litar ada sebiji IC berlabel DW02KA yang bertindak sebagai keselamatan. 

PCB ada chip BMS (DW02KA)

Bagi mengatasi masalah sedemikian, saya tambah BMS (bateri management system) pada bateri dan masalah selesai.

Siap...

Pemilik labelkan lampu tersebut 600W dan mungkinkah lampu dengan saiz lebih kecil kuasanya lebih besar? 

Mungkinkah lampu kecil itu kuasanya lebih besar?

Rating bateri yang digunakan pada lampu besar ialah 10Ah manakala bateri lampu kecil cuma 1,800mAh (1.8Ah) sahaja..

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah. 

Selamat berDIY... 

Wednesday, 28 January 2026

Baiki panel solar IP67 300W

Lampu solar ini saya beli pada bulan november tahun 2024 di shopee dengan harga RM25.91 termasuk kos penghantaran.

Beberapa hari lepas ianya gagal berfungsi serta lampu indikator juga gagal menyala/berkelip pada waktu siang.

IP67 solar light, 300W

Pemeriksaan awal pada panel solar mendapati tiada bacaan voltan pada sambungan wayar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Tiada elektrik dijana oleh panel solar...

Gambar di bawah adalah keadaan bahagian dalam panel solar setelah dibuka dan bahagian yang berwarna hijau ialah lumut akibat dimasuki air.

Setelah panel solar dibuka...

Pemeriksaan seterusnya mendapati terminal positif (wayar merah) telah putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Wayar positif berkarat dan putus...

Wayar tersebut putus akibat berkarat dan saya telah sambung kembali dengan wayar serta dipateri menggunakan timah.

Sambung  kembali wayar yang putus...

Masalah tiada voltan pada panel solar selesai setelah dengan hanya menyambung kembali wayar yang putus sahaja.

Dapat bacaan 5v

Sebelum dipasang kembali, saya lumurkan bahagian sambungan wayar dengan silikon agar masalah sama tidak berulang lagi.

Lumurkan silikon pada sambungan wayar...

Lampu solar ini berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula. Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY... 

Monday, 27 October 2025

Reset solar light

Lampu solar ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Pemeriksaan awal mendapati tiada masalah pada bateri dengan bacaan 3.29v seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tiada kerosakkan komponen ditemui dan apa yang saya lakukan ialah 'reset' sahaja. Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di atas. 

Selamat berDIY... 

Wednesday, 2 July 2025

25w solar light repair (LC-25W-RGBW-19P)

Masalah lampu solar pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini.

Kuasa lampu solar kali ini ialah 25w dan masalahnya ialah lampu indikator berkelip-kelip waktu siang namun tidak menyala pada waktu malam.

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan bateri tidak lagi mampu menyimpan cas untuk digunakan ketika waktu malam.

Bateri yang digunakan ialah 32650 LiFePO4 (lithium ferrum phosphate) seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Setiap bateri akan dilengkapi dengan BMS (bateri management system) dan anda perlu pindahkannya kepada bateri yang baru.

Lampu solar ini sedikit unik sebab saiz lampu LEDnya jauh lebih besar dari biasa dan bila diperiksa, setiap biji lampu LEDnya boleh mengeluarkan 4 warna iaitu merah, hijau, biru dan putih seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Lampu solar ini boleh menghasilkan bermacam-macam warna dan ianya boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY... 

Sunday, 16 March 2025

Solar light 800w repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lampu solar dengan masalah boleh mengecas namun gagal berfungsi.

800W Solar Light

Sewaktu saya mengujinya dengan sambungan lengkap ke panel solar, lampu merah boleh menyala serta berkelip-kelip namun gagal berfungsi jika sambungan ke panel solar diputuskan.

Wayar positif bateri tidak disambung...

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, wayar merah dari bateri tidak disambung ke papan litar seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Sambungkan wayar positif (+ve)...

Masalah selesai setelah wayar merah telah saya sambungkan ke papan litar. Dari apa yang saya nampak, bahagian sambungan pada papan litar dan hujung wayar merah telah dipateri dengan timah dan saya tidak pasti kenapa ianya tanggal atau tidak bersambung.

Tested - ok

Selamat berDIY...

Friday, 20 December 2024

Solar light IP67 (300w) repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman dirujuk lampu solar seperti ini dan anda boleh rujuk di sini. Perbezaan lampu solar ini berbanding yang lepas ialah:-

  1. Ada tambahan label 300W
  2. Warna lampu LED ini ialah super white
  3. Saiz bateri digunakan lebih besar
  4. 5 biji lampu indikator berwarna merah
300W IP67 Solar Light

Masalah lampu solar ini ialah gagal berfungsi serta tidak mengecas seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Lampu indikator akan berkelip-kelip jika ianya mengecas namun apa yang kelihatan ialah hanya lampu tengah sahaja menyala seperti boleh ditonton pada klip video di atas.


Setelah dibuka serta diperiksa, saya tidak menemui sebarang kerosakkan dan sebagai percubaan, saya melakukan reset dengan menanggalkan wayar bateri dari papan litar selama seminit. Lampu kembali berfungsi semula apabila wayar bateri disambung semula seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Low batt...

Pagi berikutnya saya dapati lampu solar tidak menyala lagi namun mengecas sewaktu siang dengan lampu indikator berkelip-kelip.


Walaupun mengecas seharian, lampu solar menyala bila hari mulai gelap namun malap dan hanya menyala kira-kira sejam sahaja.

2 biji bateri 32650 (LiFePO4)

Pemeriksaan voltan pada bateri cuma 2.6v sahaja dan ianya di bawah voltan minimal iaitu 3.2v. Maksudnya bateri tidak dicas walaupun lampu indikator berkelip-kelip.

Ada kesan terbakar pada BMS...

Seterusnya saya buka pembalut bateri untuk memeriksa BMS (battery management system) dan kelihatan ada kesan terbakar seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Sebiji mosfet (8205A) terbakar...

Kesan terbakar tersebut ialah disebabkan sebiji mosfet meletup seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan BMS yang baru...

Masalah tidak mengecas selesai setelah BMS diganti dan lampu solar ini telah berjaya diselamatkan. Lampu indikator ke-5 akan berhenti berkelip jika bateri telah penuh dicas seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Sunday, 27 October 2024

Solar Light IP67 repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lampu 'spotlight' jenis LED seperti boleh dilihat pada gambar di bawah untuk dibaiki.

Solar Light IP67

Pemilik memberitahu saya sambungan wayar dari panel solar ke lampu LED putus akibat terjatuh sewaktu membuat pemasangan.

Lampu & panel solar...

Masalah yang saya hadapi ialah lampu ini perlu dibuka dari bahagian hadapan dan ianya merupakan cermin dan telah digam. Jika diumpil, cermin akan pecah. Saya uji macam-macam termasuk panaskannya agar gam lebut/lebur namun menemui jalan buntu.

Kabel tercabut...

Cara terakhir saya ialah memotong bahagian belakang lampu tersebut seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Potong bahagian belakang...

Pemeriksaan pada papan litar serta bateri semuanya masih elok dan saya cuma perlu sambungkan wayar dari panel solar sahaja.

Bateri LiFePO4 - 3.2v

Penyambung pada bahagian lampu juga telah tiada dan apa yang saya lakukan ialah potong serta sambung terus ke papan litar.

Bateri masih elok...

Bahagian yang disambung ke panel solar dilabel S- (negatif) & S+ (positif) seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Sambungan ke panel solar...

Lampu solar ini kembali berfungsi semula setelah panel solar telah disambung ke papan litar pada lampu LED.

Siap...

Saya melakukan 'plastic welding' pada bahagian belakang yang telah dipotong untuk mengelak lampu daripada dimasuki air hujan/embun jika dipasang di luar rumah.

Siap ada alat kawalan jauh...

Lampu solar ini dilengkapi dengan alat kawalan jauh dan boleh mengawal keterangan lampu, jangka masa lampu beroperasi serta lampu menyala secara automatik bila gelap dan padam bila terang. Ianya juga boleh dipadam/dinyalakan secara manual.

Klip video di atas saya rakam sewaktu mengujinya. Ia akan menyala jika panel solar tidak lagi menerima cahaya solar.

Potong & sambung terus ke papan litar...

Sebenarnya bukan sahaja cahaya matahari (solar) sahaja yang boleh menjana tenaga. Semua yang mengeluarkan cahaya boleh menjana tenaga menggunakan panel solar.

Klip video di atas saya rakam di dalam bilik yang tiada cahaya matahari dan cahaya dari lampu LED sendiri juga boleh menjana tenaga jika disuluh ke panel solar.

Selamat berDIY...