Saturday, 31 October 2020

TelPhone TP-829 telephone repair

Telefon seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: TelPhone

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi telefon yang serupa dan masalahnya ialah langsung tidak berfungsi. Pemilik memberitahu saya bahawa ianya rosak akibat titisan air penghawa dingin yang bocor.

Model: TP-829

Setelah dibuka, kelihatan bahagian di mana terletaknya ganggang telefon berkarat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan awal mendapati suis ganggang telefon juga tidak berfungsi selain dua biji perintang yang telah berkarat dan putus.

Suis berkarat...

Saya buka suis terlebih dahulu dan ianya juga bekarat seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Buka suis dan bersihkan...

Suis tersebut boleh dibuka dan setelah saya bersihkan serta dipasang kembali, ianya masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

Sambung lembali perintang yang putus...

Perintang yang berkarat dan putus pula saya bersihkan dan sambung kembali seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tested - ok

Telefon tersebut telah berjaya diselamatkan dengan tanpa menukar sebarang komponen dan cuma perlu bersihkan serta sambung kembali penyambung yang telah berkarat sehingga putus.

Selamat mencuba...

Friday, 30 October 2020

Masalah card reader ASTRO DS830NA - S1

Semalam saya dirujuk sebuah dekoder Astro NJOI dengan masalah video selalu hilang dan memaparkan mesej 'Please ensure that your Astro smart card is fully inserted (S1)'.

Dekoder ASTRO NJOI

Pemilik memberitahu saya yang dia telah berulang kali membersihkan 'chip' pada 'smart card' tersebut dengan pemadam dan hanya bertahan seketika sahaja. Beliau juga telah memberitahu saya, jika bernasib baik boleh bertahan selama seminggu.

Model: DS830NA

Sebelum dekoder tersebut saya buka, saya uji dekoder tersebut dan masalahnya adalah seperti yang diberitahu oleh pemilik kepada saya di atas. Jika di gerakkan 'smart card' tersebut kadang-kadang elok dan bila dilepaskan siaran terus hilang dan keluar mesej seperti boleh dilihat di bawah.

S1 - video pun hilang...

Mari kita buka dan lihat serta cari apa punca permasalahan di atas. Oleh kerana ianya melibatkan 'smart card', saya buka bahagian 'card reader' sahaja untuk diperiksa.

Setelah penutup dibuka...

Gambar di bawah menunjukan apa yang saya temui setelah 'card reder' dibuka. Jelas kelihatan salah satu pin tidak selari dengan yang lain dan telah bengkok serta tidak menyentuh 'chip' pada 'smart card'..

Salah satu pin 'card reader' bengkok...

Nampaknya kerja membaiki kali ini amat mudah. Saya cuma perlu bengkokkan kembali pin tersebut menggunakan penyepit.

Bengkok balik guna penyepit...

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan kesemua pin menyentuh 'chip' pada 'smart card' tersebut.

Testing...

Setelah siap dipasang kembali dan diuji, masalah di atas telah lenyap dan ianya kembali berfungsi tanpa bermasalah lagi.

Tested - ok

Saya tidak pasti berapa kali pemilik telah membersihkan 'chip' pada 'smart card' tersebut, yang pasti ianya telah berkilat dan cekung pada bahagian tengahnya seperti boleh dilihat perbandingannya dengan kad biasa pada gambar di bawah.

A = kad pemilik, B = kad normal

Untuk pengetahuan semua, cukup sekali anda bersihkan 'chip' tersebut dan jika masalah masih berulang, jangan buang masa anda mengulanginya semula. 'Chip' tersebut mungkin akan rosak dan anda perlu menggantikannya dengan bayaran tertentu di cawangan Astro.

Selamat mencuba...

Thursday, 29 October 2020

MENUMASTER DEC11E2 microwave oven repair

Hari ini saya kongsikan proses 'troubleshooting' sebuah ketuhar mikro (microwave) berjenama MENUMASTER, Model: DEC11E2 dengan masalah tidak panas.

MENUMASTER DEC11E2

Microwave ini adalah untuk kegunaan komersial dengan kapasiti isipadu 17L dan dilengkapi dengan kira-kira 100 menu yang telah siap diprogram untuk menghasilkan masakan yang konsisten.

Model: DEC11E2

Jika saya diberitahu masalah mikrowave tidak panas, saya tidak akan uji lagi mikrowave tersebut dan terus buka serta membuat pemeriksaan.

Sila baca untuk tambah pengetahuan...

Pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang kerosakkan dan cuma mendapati sambungan kepada bahagian magnetron sedikit longgar. Penyambungnya telah saya kepit menggunakan plyer dan disambung kembali ke kedudukan asal seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sambungan ke magnetron longgar...

Oleh kerana saya tidak menemui sebarang kerosakkan, saya pasang kembali penutupnya untuk diuji sebab menurut pelekat pada gambar ke-3 di atas, penutup tidak boleh dibuka sebab ada tenaga gelombang mikro (microwave energy).

Apa agaknya di dalam ini?

Ketika memasang kembali saya ternampak sebuah penutup kecil seperti boleh dilihat pada gambar di atas pada bahagian tepi microwave tersebut. Tujuan penutup kecil tersebut ialah untuk memudahkan pengguna menukar mentol jika rosak.

Tak perlu buka semua untuk tukar lampu...

Saya tidak pasti kenapa pemilik mengadu ianya tidak panas sedangkan ketika saya mengujinya, semuanya berfungsi seperti biasa. Saya memaklumkan kepada pemilik bahawa tiada kerosakkan ditemui dan memintanya menghantar kembali jika masih tidak panas.

Testing...

Beberapa hari selepas itu, pemilik menghantar kembali dan memberitahu saya bahawa ianya boleh panas namun mengambil masa yang lama dari biasa.

Magnetron baru dam lama...

Saya buka dan periksa semua namun masih tidak menemui sebarang kerosakkan. Cuma tinggal satu sahaja yang saya syak iaitu kerosakkan pada magnetron.

Pasang magnetron baru...

Dipendekkan cerita, saya beli sebiji magnetron baru sebagai percubaan (trial and error). Setelah siap dipasang dan diuji, sesuatu yang berbeza ditemui iaitu 'antenna' magnetron kelihatan merah menyala seperti boleh dilihat dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Merah menyala ketika digunakan...

Anda boleh melihat dengan jelas 'anetenna' pada magnetron yang berwarna merah pada klip video di bawah dan padam setelah tamat proses memasak.

Untuk makluman semua, saya pasang semula magnetron lama dan bila diuji, 'antenna'nya tidak merah menyala yang seterusnya telah mengesahkan bahawa magnetron lama tidak menghasilkan haba yang mencukupi.

Jika anda menghantar peralatan elektrik/elektronik untuk dibaiki, pastikan anda memberitahu masalah dengan tepat/jelas. 'Tidak panas' dan 'kurang/lambat panas' merupakan dua scenario yang berbeza pada pandangan seorang 'technician'.

Tested - ok

Ini merupakan pengalaman baru dan amat berharga. Jika microwave anda kurang/lambat panas, kemungkinan besar magnetron perlu di ganti. Pastikan beli magnetron yang sama ketika menukarnya sebab setiap magnetron direka dengan kemampuan yang berbeza.

Selamat mencuba...

Wednesday, 28 October 2020

Robot Coupe J 80 Ultra juice extractor repair

Pengisar jus ini pernah saya baiki kira-kira setahun yang lepas dan anda boleh rujuk di sini.

Braking module rosak...

Kali ini dia kembali lagi dengan masalah mengeluarkan asap ketika kali terakhir digunakan.

Dua biji diode rosak...

Pemeriksaan awal pada plug 3-pin mendapati fius utama 13A telah putus dan saya pasti mesti ada litar pintas pada bahagian dalam pengisar tersebut.

Diod lama vs diod baru...

Setelah dibuka, bahagian pertama yang dikenalpasti rosak ialah pada papan litar 'braking module' dan boleh dilihat dengan mata kasar pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

Diod dah siap ditukar...

Pemeriksaan pada papan litar 'braking module' mendapati litar pintas pada diod berlabel MR856 dan putus pada diod berlabel NFC34G. Diod NFC34G tiada di pasaran tempatan dan saya gantikan dengan UG3003.

Pasang kembali penutup bawah litar...

Setelah papan litar 'braking module' telah dibaiki, pemeriksaan seterusnya mendapati perintang 1Ω/6w juga putus dan fungsinya ialah untuk keselamatan jika ada litar pintas berlaku.

Perintang 1Ω/6w putus...

Perintang berwarna hijau tersebut berlabel 1R0 yang bermaksud 1.0Ω dan saya tidak mempunyai perintang jenis yang sama. Saya gantikannya dengan perintang yang nilainya sama namun rekabentuk yang berbeza seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Perintang 1Ω baru...

Perintang tersebut harus dibalut agar tidak berlaku litar pintas disebabkan bahagian dalam pengisar tersebut diperbuat daripada logam.

Perintang dah siap ditukar...

Kesemua komponen yang rosak boleh dilihat pada gambar di bawah iaitu:-

  1. Sebiji fius 13A
  2. Sebiji perintang 1Ω/6w
  3. Sebiji diod MR856 (600v/3A)
  4. Sebiji diod NFC34G (saya gantikan dengan UG3003) - 200v/3A
Komponen yang rosak...

Akhir sekali setelah dipasang kembali, saya ukur rintangan pada terminal L & N di plug 3-pin dan bacaannya ialah 6.5Ω.

Testing...

Klip video di bawah menunjukkan pengisar jus tersebut kembali berfungsi setelah kesemua komponen yang rosak di atas telah saya ganti.

Selamat mencuba...

Tuesday, 27 October 2020

Everbright Keluar sign

Hari ini saya kongsikan sebuah papan tanda keluar (keluar sign) yang terbaru di pasaran berjenama Everbright dan pemilik memberitahu saya ianya tidak menyala ketika bekalan elektrik terputus.

Papan tanda KELUAR...

Asal usul papan tanda ini dahulunya ditulis perkataan 'EXIT' dan saya tidak pasti sejak bila ianya telah ditukar kepada 'KELUAR'. Ianya adalah wajib bagi premis perniagaan untuk mendapatkan sijil kelulusan dari pihak bomba.

KELUAR = EXIT = 出口
Namun saya berpendapat ianya tidak sesuai pada premis yang menjadi tumpuan pelancong seperti hotel sebab tidak semua pelancong faham maksud 'KELUAR'.

Jenama: Everbright

Fungsi papan tanda ini serupa dengan lampu kecemasan iaitu ketika bekalan elektrik terputus, ianya masih menyala dengan bantuan bateri di dalamnya.

Setelah penutup dibuka...

Gambar di atas menunjukkan komponen serta papan litar yang paling ringkas pernah saya jumpa setakat ini pada sebuah lampu kecemasan. Tarikh ianya dipasang ialah pada 8/11/2019 dan belum sampai setahun digunakan.

Bahagian bawah papan litar...

Komponen pertama yang saya periksa ialah bateri dan ianya masih elok dengan voltan 3.6v. Seterusnya saya periksa lampu LED dan kesemuanya juga masih elok.

Bahagian atas papan litar...

Pemeriksaan pada papan litar juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak. Jadi, apa punca yang menyebabkan ianya tidak berfungsi?

Lampu LED menyala bila jumper bersambung...

Apabila saya kaji pada bahagian bawah papan litar, saya mendapati bahawa arus elektrik dari bateri terputus pada bahgian yang saya labelkan sebagai 'jumper' pada gambar di atas. Apabila saya sentuh 'jumper tersebut dengan 'testpen' lampu LED terus menyala terang seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Buat jumper baru...

Jadi, lampu kecemasan tersebut tidak rosak dan cuma 'jumper' tidak dipasang. Saya pasti lampu kecemasan tersebut tidak berfungsi sejak ianya mula dipasang. 'Jumper' tersebut hanya dipasang bila ianya dibekalkan dengan arus elektrik sahaja. Jika tidak digunakan, ianya harus dicabut supaya cas baterinya tidak habis.

Simpan surat cinta di dalamnya...

Pihak pengeluar/pengilang seharusnya melabelkan bahagian 'jumper' tersebut seperti surat cinta yang saya tulis di dalam lampu kecemasan tersebut dan boleh dilihat pada gambar di atas. Apa kata anda?

Selamat mencuba...

Monday, 26 October 2020

Desoldering pump repair

Terdapat berbagai-bagai jenis 'desoldering pump' ada di pasaran dan saya menggunakannya setiap hari untuk kerja membuang pateri bagi mengeluarkan komponen dari papan litar.

Semua fungsi 'desoldering pump' adalah sama dan cuma keberkesanan/kekuatan menyedut berbeza di antara satu dengan yang lain. Secara amnya, saiz yang besar lebih kuat, cepat serta berkesan digunakan.

Hari ini saya kongsikan kerosakkan yang sering berlaku pada 'desoldering pump' dan gambar di atas menunjukkan ianya telah saya leraikan.

Ini merupakan 'desoldering pump' kedua saya yang rosak dan kerosakkannya adalah sama iaitu satu penahan logam seperti telah saya tandakan pada gambar di atas telah tanggal akibat daripada pecah pada bahagian belakangnya.

Apa yang saya lakukan ialah sapu 'super glue' dan masukkan semula logam tersebut ke kedudukan asal. Setelah logam tersebut telah berada pada kedudukannya, saya titis lagi 'super glue' pada bahagian belakang yang pecah sehingga kesemuanya tertutup rapat. Tunggu sehingga 'super glue' kering dan pasang kembali 'desoldering pump' tersebut.

1. masukkan spring...

Gambar-gambar di atas dan di bawah menunjukkan langkah-langkah untuk memasang kembali 'desoldering pump'.

2. masukkan penahan...

Jika anda ingin meleraikannya, mulakan dari bawah iaitu mengikut urutan gambar berlabel nomber 5, 4, 3, 2 dan 1.

3. Pasang kembali bahagian penyedutnya...

'Desoldering pump' ini saya beli ketika kedai DIY baru mula dibuka dan harganya cuma RM6.71 sahaja ketika itu namun kini mereka tidak menjualnya lagi.

4. Pasang spring pada bahagian belakang...

Kedai DIY kini hanya menjual versi yang kecil seperti boleh dilihat pada gambar terakhir di bawah dan ianya tidak berkesan untuk kegunaan kerja harian saya.

5. pasang tabung penyedutnya...

Walaupun harganya murah, ianya sangat tahan serta berkesan digunakan dan kerosakkannya mudah dibaiki seperti telah saya tunjukkan di atas.

Siap...

Kedua-dua 'desoldering pump' saya telah dibaiki dengan masalah yang sama dan ianya masih boleh digunakan sehingga hari ini. Jika tidak silap, ianya telah berusia hampir 10 tahun dan saya menggunakannya setiap hari untuk kerja-kerja membaiki peralatan elektrik/elektronik.

koleksi saya...

Selamat mencuba...