Showing posts with label Lenovo. Show all posts
Showing posts with label Lenovo. Show all posts

Tuesday, 17 August 2021

Reset Factory Setting for china phone - Lenovo A889 & Nowa 7i

Hari ini saya kongsikan cara melakukan 'hard reset' atau 'reset factory setting' pada telefon buatan China yang menggunakan tulisan cina.

Pilih 'eMMC'

Saya telah lakukan 'resert factory setting' pada dua jenis telefon iaitu, Lenovo A889 dan Nowa 7i.

Cara-caranya ialah:-

  1. Padamkan telefon
  2. Tekan butang 'power' dan 'volume down' serentak sehingga skrin menyala
  3. Guna butang 'volume down' dan pilih eMMC seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan tekan butang 'power'
  4. Lepas itu tunggu sehingga semua proses selesai dan telefon anda kini seperti baru dibeli.

Selamat mencuba...

Sunday, 7 February 2021

Lenovo A889

Seperti yang dijanjikan semalam, hari ini saya kongsikan telefon pintar pertama saya berjenama Lenovo, Model: A889.

Lenovo A889

Telefon ini saya beli sehari sebelum pertandingan Mr. Sarawak pada tahun 2014 yang juga merupakan pertandingan terakhir binabadan saya dengan harga RM540.00.

Android 4.2.2

Ketika dibeli, telefon pintar ini merupakan keluaran terbaru ketika itu dan versi android ialah 4.2.2 (Jelly bean) dengan dua slot kad sim namun hanya satu sahaja berkeupayaan 3G.

Setelah penutup belakang dibuka...

Sepanjang 7 tahun telefon ini bersama saya, kerosakkan pertama dan perlu dibaiki ialah suis on/off. Seterusnya butang on/off serta pelaras suara (volume) juga rosak/pecah dan saya baiki sendiri seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Butang tanggal/rosak saya baiki...

Selain daripada kerosakkan butang/suis on/off, saya juga perlu menukar baterinya kira-kira dua tahun sekali dan pernah terbeli bateri tiruan yang bermasalah serta pernah saya kongsikan di sini.

suis on/off rosak dan telah ditukar...


Kerosakkan seterusnya ialah bahagian penyambung pengecas bateri seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Kerosakkannya saya baiki sendiri dengan mempateri semula bahagian penyambung ke papan litar namun hanya bertahan beberapa bulan sahaja dan telah beberapa kali saya baiki.

Penyambung pengecas bateri juga pernah saya baiki...

Kerosakkan seterusnya ialah retak/pecah pada beberapa bahagian seperti boleh dilihat pada gambar-gambar seterusnya disebabkan terjatuh yang tidak disengajakan serta tidak dapat dielakkan. Majoriti telefon saya terjatuh ketika disimpan dalam kocek baju dan terjatuh ketika tunduk mengambil barang.

Kembung/retak...

Nasib agak baik sebab skrin LCD tidak pernah pecah ketika terjatuh dan majoriti bahagian yang pecah dan retak ialah pada bucunya. Mungkinkah skrin LCD lama ini sangat berkualiti dan tahan lasak?

Pecah...

Selain daripada kerosakkan fizikal, masalah sejak kebelakangan ini ialah tidak lagi menyokong aplikasi tertentu secara berperingkat. Aplikasi yang sering saya guna dan tidak lagi disokong ialah:-

  • TVG/GSC
  • Lazada/Shopee
  • Messenger/FB
  • COC/Era of War
  • Whatsapp

Banyak lagi aplikasi yang tidak disokong ketika baru diperkenalkan seperti pokemon GO, faceapp, mobile legend, PUBG dan lain-lain.

Pecah...

Dari pengalaman selama 7 tahun menggunakan telefon pintar di atas, saya perlu pertimbangkan beberapa aspek untuk telefon baru yang akan saya beli iaitu:-

  1. Bateri harus tahan lama (Bateri Lenovo cuma 2500mAh sahaja)
  2. Kamera harus dapat mengambil objek halus secara dekat atau ada fungsi macro.
  3. Versi android harus lah terbaru iaitu android 10 setakat ini.
  4. Elak menggunakan butang on/off sebab ia merupakan benda pertama rosak dari pengalaman lepas.
  5. Pengecas tanpa wayar juga perlu dipertimbangkan sebab bahagian penyambung juga mudah dan akan rosak sebab digunakan setiap hari..
  6. Harga lebih kurang sama dengan telefon lama. (telefon pertama saya ialah Ericsson T10 dengan harga RM799.00)
Pecah...

Saya akan kongsikan telefon baru yang saya pilih dari kriteria di atas akan datang...

Saturday, 6 February 2021

Clash of Clans kini perlukan android 4.4 dan ke atas

Hujung tahun lepas pada 08/12/2020 pihak 'Clash of Clans' atau COC telah menaiktaraf aplikasinya dengan versi terbaru dan semua pengguna harus mengemaskininya sebelum boleh beroperasi semula.


Versi terbarunya kini memerlukan peranti android sekurang-kurangnya versi 4.4 dan ini telah mengakibatkan telefon saya yang hanya dilengkapi dengan android versi 4.2.2. tidak lagi menyokong aplikasi terbarunya.

Apps is no longer compatible...

Saya telah mula bermain COC pada tahun 2014 dan pernah diharamkan (banned) pada tahun 2016 sebab menggunakan aplikasi pihak ke-3 iaitu XMOD.

Minimum android: 4.4 (terbaru)

Versi terbaru telefon android kini ialah android 10 dan telefon lama tidak dapat menaiktaraf versi android asalnya pada telefon. Ada sesetengah telefon yang boleh menaiktaraf versi andriod namun banyak masalah akan timbul selepas itu.

Minimum android: 4.1 (versi lama)

Jika anda mempunyai telefon lama yang tahan lasak namun telah ketinggalan zaman seperti saya dan tidak lagi menyokong aplikasi COC, tiba masanya anda membeli telefon baru jika ingin bermain COC semula.

Versi terbaru - 08/12/2020

Masalah telefon yang tidak lagi menyokong aplikasi tertentu akan berlarutan dari masa ke semasa dan pengguna terpaksa menukar telefon baru untuk menyelesaikan masalah.

Untuk pengetahuan semua, telefon android versi 4.2.2 saya dibeli pada tahun 2014 dan telah hampir 7 tahun menyokong COC. Walaupun android versi 4.2.2 bukannya terbaru ketika itu namun telefon saya adalah antara yang terbaru di pasaran ketika itu iaitu Lenovo A889.

Berapa ramai yang mampu menggunakan satu telefon bimbit selama 7 tahun sebelum ditukar? Saya akan kongsikan pengalaman saya pada artikel akan datang...

Thursday, 17 September 2020

Mengenalpasti bateri tiruan Lenovo BL219

Saya telah memiliki telefon pintar pertama berjenama Lenovo, Model: A889 sejak ianya baru dikeluarkan pada tahun 2014. 

Telefon tersebut masih saya guna lagi sehingga hari ini dan masalah yang saya hadapi sepanjang menggunakannya ialah baterinya rosak dan harus diganti.

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana mengenalpasti bateri BL219 yang anda beli itu tulen ataupun tiruan. Gambar di atas dan di bawah adalah perbezaan bateri tulen dan bateri tiruan yang telah saya labelkan.

  1. Bateri tulen dilabel huruf 'G' pada bateri dan bateri tiruan pula di label 'A' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
  2. Nama syarikat tercatat pada bahagian bawah huruf 'G' untuk bateri tulen manakala bateri tiruan pula, nama syarikat tercatat di sebelah bateri seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Biasanya, amaran 'low batt' muncul ketika cas bateri berbaki 15% dan akan mengeluarkan amaran semula ketika berbaki 5% dan seterusnya padam dengan sendiri selepas itu jika tidak dicas.

Masalah utama bateri kini ialah 'bateri kembung' selain masalah lain iaitu:-

  1. cas bateri cepat habis
  2. mengambil masa yang lama untuk dicas sehingga penuh 100%

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan kedua-dua biji bateri tiruan yang pernah saya terbeli sepanjang 6 tahun dan masalah yang dihadapi ialah:-

  1. Peratusan cas bateri cepat mencapai 100% ketika dicas.
  2. Telefon akan terpadam sendiri tanpa amaran 'low batt' ketika berbaki kira-kira 20% hingga 40%.
  3. Telefon tidak akan dapat dihidupkan semula jika terpadam sendiri dan harus dicas kira-kira 3 minit untuk mencapai 5% iaitu cas minima untuk menghidupkan telefon.
  4. Walaupun telah dicas 100% namun bila dilakukan proses 'reboot', peratusan cas bateri hanya kira-kira 70% sahaja. Jika dicas semula, ianya akan penuh 100% semula dalam kira-kira 2 hingga 3 minit sahaja.
  5. Voltan bateri rendah iaitu dibawah 3.8v seperti yang tertera pada bateri (tonton klip video di bawah).

Kali pertama saya terbeli bateri tiruan, penjual memberitahu saya bahawa kemungkinan:-

  1. Pengecas (charger) saya rosak
  2. kabel pengecas rosak
  3. telefon usang dan tiba masanya untuk membeli yang baru.

Saya juga pernah membeli pengecas dan kabel yang baru dan masalahnya tetap sama. Penjual tidak akan mengaku bateri yang mereka jual itu sebenarnya adalah tiruan. Kemungkinan penjual juga tidak tahu dibekalkan bateri tiruan untuk dijual.

Ramai rakan saya yang seangkatan dengan saya menggunakan telefon sama berakhir dengan menukar telefon baru setelah masalah tidak selesai berikutan kerosakan bateri dan terbeli bateri tiruan.

Saya pasti masalahnya ialah pada bateri sebab tiada masalah padam dengan sendiri tanpa amaran 'low batt' berlaku jika saya gunakan kembali bateri lama semula, cuma casnya cepat habis dan keadaan fizikalnya yang telah kembung.

Setelah beberapa kali menukar bateri, akhirnya kesimpulan yang saya dapat ialah seperti yang telah saya kongsikan di atas.

Jika anda masih memiliki telefon Lenovo yang menggunakan bateri BL219, pastikan anda tidak terbeli bateri tiruan berpandukan pengalaman saya di atas.

Untuk makluman semua, majoriti gambar yang anda lihat pada blog saya diambil menggunakan kamera telefon Leonvo A889 saya ini dan saya yakin dengan kemampuan kameranya sehingga kini.

Menurut pakar, tip untuk memanjangkan jangka hayat bateri telefon anda ialah:-

  • Elak menghabiskan cas bateri sehingga terpadam sendiri.
  • Elak menggunakan pengecas yang mempunyai arus elektrik tinggi seperti 2A atau mungkin 3A. Ini disebabkan arus yang tinggi akan menyebabkan bateri panas ketika dicas dan memendekkan jangka hayat bateri. Ini termasuk penggunaan 'fast charge' yang ada pada telefon baru sekarang di mana ia menggunakan 9v ketika 'fast charge' dan 5v untuk pengecasan biasa.
  • Elak menggunakan telefon ketika sedang dicas terutamanya ketika bermain 'game'. Ini disebabkan telefon akan panas jika digunakan ketika sedang dicas dan seterusnya memendekkan jangka hayat bateri.
  • Kurangkan penggunaan bateri dengan mengurangkan kecerahan layar (screen), elak menggunakan fungsi gegaran (vibration) dan digalakan menggunakan fungsi 'energy saving mode' (jika ada).
  • Elak menggunakan wi-fi, bluetooth, GPS atau 'location services' sebab fungsi-fungsi ini memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.
  • Elak meletakkan telefon anda di tempat yang panas.Penggunaan bateri yang paling baik ialah di antara 40% sehingga 70%.
  •  Menurut syarikat telefon terkemuka samsung, bateri lithium-ion pada telefon pintar berfungsi dengan sempurna ketika di atas 50%.

Sekian, harap maklum...

Klip video di atas dan di bawah saya ambil ketika disuruh oleh Shopee sebab membuat aduan bateri yang dibeli adalah tiruan dan tidak dapat digunakan dan meminta 'refund'. Pihak penjual akhirnya membuat 'refund' untuk kos bateri sahaja dan tidak pada kos penghantaran.

Saturday, 15 August 2020

facebook kini perlukan android 4.4 dan ke atas

Sejak beberapa hari yang lepas, aplikasi facebook seakan-akan bermasalah kerana menghantar notifikasi yang sama berulang-ulang seperti boleh dilihat pada gambar di bawah kepada telefon bimbit saya.

Pada mulanya saya anggap ia mungkin disebabkan ada versi baru yang perlu dikemaskini. Apabila saya periksa pada 'google play store' takda pula minta untuk mengemaskini aplikasi facebook.

Saya cuba pula ubah tetapan (setting) pada aplikasi facebook untuk menghentikan notifikasi tersebut namun semuanya tidak berhasil dan kadang-kadang notifikasi hadir setiap beberapa minit dan bila dibuka ianya benda yang sama serta merimaskan.

Akhirnya saya padam (delete) applikasi facebook dan cuba 'install' semula dengan harapan tiada lagi penghantaran notifikasi sama yang tidak henti-henti sejak beberapa hari ini.

Ketika saya cuba muat turun (download) aplikasi facebook yang baru di 'google play store', tiba-tiba saya dikejutkan yang telefon saya tidak lagi sesuai/serasi (compatible) kepada aplikasi facebook seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Seterusnya saya cari versi aplikasi facebook yang lama di laman sesawang (internet) dan mendapati bahawa versi terbaru aplikasi facebook (283) bertarikh 13/8/2020 memerlukan andriod versi 4.4 (kitkat) dan ke atas seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Anda boleh dapatkan versi facebook yang lama di sini.

Bila saya lihat aplikasi facebook sebelumnya, sebenarnya versi 282 bertarikh 11/8/2020 telah mula mewajibkan andriod 4.4 dan boleh dilihat pada gambar di bawah. Oleh kerana versi android telefon bimbit saya cuma 4.2.2, jadi saya muat turun versi 281 yang bertarikh 5/8/2020 dan sehingga blog ini ditulis, tiada lagi masalah notifikasi berulang-ulang lagi seperti sebelumnya berlaku setakat ini.

Setelah selesai 'install' aplikasi facebook versi 281 dan diuji, ianya kembali seperti sebelumnnya namun bila saya periksa pada 'google play store' semula, tiada kemaskini terbaru lagi kelihatan dan ini bermaksud jika saya ingin menggunakan versi terbaru, saya perlukan menukar telefon bimbit dengan versi andriod 4.4 dan ke atas.

Sebenarnya ada aplikasi alternatif facebook yang lebih mudah serta sesuai untuk telefon antik saya iaitu 'facebook lite' namun ianya sangat terhad dan banyak kemudahan tidak kelihatan jika dibandingkan dengan versi penuh seperti di atas.

Untuk pengetahuan semua, telefon yang saya maksudkan dengan versi andriod 4.2.2 ialah Lenovo A889 yang telah saya beli pada tahun 2014 dan ianya telefon pintar (smartphone) pertama saya. Majoriti gambar-gambar yang ada pada artikel blog saya juga diambil menggunakan telefon antik ini.

Blog ini juga ditulis dengan menggunakan telefon antik Lenovo A889. Kadang-kadang kita menukar telefon bukan kerana telah rosak tetapi telah ketinggalan zaman (out of date) dan tidak lagi menyokong aplikasi terbaru yang ada.

Jika tidak mahu ketinggalan zaman, 'gadget' terbaru adalah satu kemestian dan merupakan satu pelaburan yang wajib. Jika tidak, boleh dikatakan semuanya akan terhenti dan perlahan-lahan hilang ditelan zaman.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa gadget kini adalah serupa dengan candu/dadah satu ketika dahulu seperti ilustrasi perbezaan 100 tahun pada gambar di atas. Apa kata anda?

Selamat bersosial...