Sunday, 16 May 2021

Terima Kasih Cikgu - Selamat Hari Guru

Setiap insan yang lahir ke dunia ini melalui pelbagai proses pembelajaran serta pendidikan sebelum mencapai apa yang kita ada pada hari ini.

Pada saat kita lahir ke dunia ini, kita telah mulai belajar setiap hari dan hanya akan berakhir setelah meninggalkan dunia ini kelak.

Sewaktu dilahirkan, ibu bapa merupakan orang pertama yang mendidik kita. Setelah mencapai usia tertentu kita akan dihantar ke tadika, sekolah, kolej, universiti dan sebagainya untuk menuntut ilmu.

Warga yang mendidik kita selama ini adalah warga pendidik atau guru. Setiap tahun hari guru disambut pada 16 Mei.

Ramai warga pendidik hadir dalam hidup kita dan kita semua mempunyai memori masing-masing yang tidak dapat dilupakan atau mungkin telah pun dilupakan..

Hari ini saya ingin kongsikan satu memori yang unik dalam hidup saya dan ingin saya kongsikan kepada seluruh dunia sempena menyambut hari guru sedunia tahun ini, 2021.

Kisah ini berlaku 33 tahun yang lepas dan ceritanya begini...

Pendidikan formal saya bermula ketika berusia 7 tahun dan saya belajar di sekolah mubaligh sewaktu sekolah rendah. Setelah tamat darjah enam, saya melanjutkan pendidikan ke sekolah menengah (sekolah kebangsaan). Setelah lulus peperiksaan SRP (sijil rendah pelajaran) tingkatan 3, saya terpilih memasuki tingkatan 4/5 dalam aliran sains.

Darjah 6

Memori yang ingin saya kongsikan ini berlaku ketika baru menjejakkan kaki ke tingkatan 4 aliran sains. Ketika itu kelas saya hanya mempunyai 20 murid dan kesemuanya berbangsa cina.

Tingkatan 5Sc1

Walaupun saya berbangsa cina namun saya tidak fasih berbahasa mandrin sebab saya tidak pernah belajar di sekolah vernakular. Saya cuma fasih bahasa ibunda iaitu dialek/loghat foochow sahaja ketika itu.

Dipendekkan cerita, percaya atau tidak pada hari pertama guru yang mengajar mata pelajaran fizik dan matematik tambahan kami mengajar menggunakan bahasa mandrin?

Saya masih ingat lagi pada hari pertama pendidikan fizik, cikgu tersebut menceritakan berkaitan satelit dan percaya atau tidak, saya juga tidak tahu apa itu satelit ketika itu.

Setelah tamat sesi pembelajaran, cikgu tersebut bertanya 'pembelajaran hari ini berakhir di sini, ada sesiapa yang tidak faham sila angkat tangan'. Walaupun saya langsung tidak faham, saya tidak mengangkat tangan sebab malu diketahui ramai bahawa saya berbangsa cina namun tidak faham bahasa mandrin.

Mulai dari hari tersebut saya bertekad belajar dari rakan sekelas bahasa mandrin dan percaya atau tidak dalam masa kira-kira 3 bulan sahaja saya telah boleh faham serta fasih berbahasa mandrin.

Saya terus mendapatkan pendidikan mata pelajaran fizik dan matematik tambahan dalam bahasa mandrin sehingga peperiksaan SPM namun ketika peperiksaan kami semua menjawab soalan menggunakan bahasa kebangsaan.

Percaya atau tidak, saya lulus dengan cermelang ketika peperiksaan SPM (sijil pelajaran malaysia) dan layak melanjutkan pendidikan ke tingkatan 6 bawah dan tingkatan 6 atas yang juga dalam aliran sains selepas itu.

Terima kasih cikgu sebab secara tidak langsung telah mendidik saya bahasa mandrin ketika sekolah menengah. Tanpa mu, mungkin saya masih lagi tidak fasih bertutur bahasa mandrin sehingga hari ini.

Selamat menyambut hari guru.

TERIMA KASIH CIKGU!


No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.