Monday, 1 June 2020

Rumahku Syurgaku

Tempat tinggal merupakan salah satu keperluan asas utama yang harus ada untuk berteduh.

Jika binatang memerlukan sarangnya untuk berteduh, manusia memerlukan rumah untuk berteduh.
Rumah tempat aku dibesarkan...
Saya dibesarkan di kampung dan gambar di atas merupakan rumah yang dibina oleh ayahku kira-kira 40 tahun yang lalu dengan anggaran kos kira-kira RM5,000.00 ketika itu.

Walaupun telah 40 tahun berlalu, kini ianya masih belum dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air paip bersih. Pada mulanya kami menggunakan lampu pelita kerosine untuk menerangi waktu malam dan seterusnya dinaiktaraf kepada pengunaan generator untuk bekalan elektrik ketika waktu malam sahaja.

Air yang kami minum dan guna seharian diambil dari sungai Baram yang tidak jauh dari rumah kami. Kami mandi di tebingan sungai Baram dan kegiatan ekonomi kami ketika itu ialah berkebun. Tanah kebun seluas kira-kira 3.5 ekar ditanam dengan lebih 100 pohon limau manis dan sayur-sayuran untuk menyara kehidupan sekeluarga.
Ini rumah pertamaku...
Setelah zaman persekolahan tamat, saya memulakan hidup saya dengan bekerja sebagai guru sandaran dan menyewa untuk beberapa tahun sehingga tahun 1997, saya telah membeli rumah sendiri seperti boleh dilihat pada gambar di atas di Batu Niah.
Ini rumahku sekarang...
Seterusnya saya berpindah ke Miri pada tahun 2004 dan terpaksa menjual rumah pertama dan kemudian membeli rumah kedua seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Rumah pertama saya beli dengan harga RM110,000 dan membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 selama 15 tahun. Rumah tersebut kemudian saya jual dengan harga RM150,000.

Rumah kedua pula saya beli dengan harga RM155,000 pada ketika itu tanpa membuat sebarang pinjaman.

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana saya melangsaikan pinjaman rumah pertama dalam tempoh 7 tahun sahaja walaupun pinjaman dibuat untuk tempoh 15 tahun.

Setelah setahun bekerja sebagai guru sandaran, saya memulakan kerjaya di sebuah syarikat kewangan iaitu Hock Thai Finance Corporation Berhad sebagai juruwang (cashier).

Gaji bulanan saya pada mulanya hanya cukup untuk menyara kehidupan harian sahaja sehingga saya dinaikkan pangkat kepada pegawai pada tahun 1997.

Wang pendahuluan sebanyak RM10,000.00 pun tidak cukup dan terpaksa mengeluarkan akaun 2 KWSP. Setelah saya membeli rumah tersebut, saya terpaksa berjimat dan berhajat melangsaikannya secepat mungkin kerana faedah akan ditambah setiap bulan sehingga ianya langsai.

Kadar pinjaman perumahan untuk kakitangan hanya 4% sahaja ketika itu dan bayaran bulanan saya ialah RM740. Jika dibayar mengikut jadual saya harus membayar RM133,200 (740x12x15) untuk tempoh 15 tahun.

Apa yang saya lakukan ialah segala bonus tahunan serta imbuhan yang diterima, saya gunakan untuk membayar pinjaman perumahan dan akhirnya telah berjaya melangsaikannya pada tahun 2004.

Setelah itu saya telah berhenti bekerja di syarikat kewangan dan berpindah ke Miri. Saya terpaksa menjual rumah pertama dan membeli rumah kedua tanpa membuat pinjaman lagi.

Saya memegang prinsip untuk tidak berhutang dengan hidup serba sederhana sahaja. Jika keadaan terdesak, rumah boleh digadai kepada bank bila-bila masa untuk mendapatkan tunai jika diperlukan.

Ramai yang memilih untuk bergaya (nampak mewah) tetapi hakikatnya berhutang keliling pinggang. Bayangkan sekiranya anda kehilangan punca pendapatan satu hari kelak tanpa diduga, apa akan terjadi kepada hutang-hutang anda sedangkan kehidupan harian dalam masa yang sama juga harus diteruskan.

Pilihan di tangan anda sendiri dan adakah anda telah bersedia menempuhinya? Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.