Monday, 22 February 2021

Projek Pengelip Elektronik (running light)

Hari ini saya kongsikan projek elektronik pertama yang telah saya buat kira-kira 30 tahun yang lalu dan ketika itu baru mula berkerja sebagai guru sandaran di SMK Subis pada tahun 1991.

Saya mengajar mata pelajaran sains tingkatan 3 serta matematik tingkatan 1 sewaktu menjawat jawatan guru sandaran ketika itu dan tiada kaitan langsung dengan mata pelajaran kemahiran hidup. Untuk pengetahuan semua, zaman persekolahan saya juga tiada mata pelajaran kemahiran hidup.

Ketika itu saya baru sahaja menamatkan pendidikan tingkatan 6 atas dan sedang menunggu keputusan STPM. Saya sebenarnya tidak pernah membuat sebarang projek elektronik sepanjang bersekolah dan merupakan pelajar aliran sains di tingkatan 4, 5, 6 bawah dan 6 atas selama 4 tahun.

Apa yang saya belajar di sekolah hanya lah teori dan membuat esperimen mudah sahaja. Projek ini sebenarnya dirujuk oleh salah seorang pelajar dan saya tidak ingat lagi siapa pelajar tersebut.

Skematik

Asal usul projek ini ialah dari subjek kemahiran hidup ketika itu dan setiap murid dikehendaki menyiapkan projek berdasarkan skematik seperti pada gambar di atas.

Komponen yang dibekalkan ialah:-

  1. 1 bongkah penyambung
  2. 1 penyambung bateri 9v
  3. 2 biji 9013 NPN transistor (TR1/TR2)
  4. 2 biji 47uF, 16v kapasitor (C1/C2)
  5. 2 biji 33kΩ perintang (R1/R2)
  6. 4 biji LED
Pasang komponen pada bongkah penyambung..

Gambar di atas merupakan lakaran serta rupa sebenar setelah kesemua komponen telah siap dipasang pada bongkah penyambung. Lampu LED di sebelah kiri dan kanan akan berkelip secara bergilir-gilir tanpa henti jika disambung kepada sebiji bateri 9v.

Ciptaan pertama saya 30 tahun lepas...

Dari projek di atas, saya telah mendapat ilham untuk membuat lampu kelip-kelip pada plat pendaftaran motosikal saya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Bahagian belakang plat pendaftaran...

Oleh kerana bateri motosikal menggunakan bateri 12v, saya telah membuat sedikit ubahsuai dengan menambah sebiji lagi lampu LED iaitu 3 biji disambung secara bersiri dan kesemua komponennya telah saya pasang pada papan litar (stripboard/veroboard) seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Komponen telah saya pasang pada 'stripboard'...

Plat pendaftaran tersebut masih saya simpan sehingga hari ini dan klip video di bawah menunjukkan keadaan sebenar setelah dibekalkan arus elektrik. Saya dapatkan arus elektrik dari lampu brek motosikal dan ia akan berkeli-kelip setiap kali brek ditekan.

Semalam saya telah cuba membuat semula litar yang sama berdasarkan skematik di atas namun menggunakan transistor BC546 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Selain transistor yang berbeza digunakan, saya juga menukar perintang dari 33kΩ kepada 47kΩ dan hanya menggunakan dua biji lampu LED sahaja.

Ulangkaji...

Litar terbaru tersebut kini boleh berfungsi hanya dengan menggunakan bekalan bateri 3v sahaja seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.


Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.