Sunday, 13 December 2020

Langgar belakang kereta tidak semestinya salah

Ini kisah beberapa hari yang lepas. Kejadian berlaku ketika pulang kerja kira-kira pada pukul 7 malam, saya berbaris menunggu giliran untuk keluar melimpasi palang di pondok keselamatan.

Bahagian bumper depan masuk ke dalam...

Ketika sedang menunggu giliran, tiba-tiba kereta di depan saya sebuah landcruiser PRADO mengundurkan keretanya dan melanggar hadapan kereta saya serta mengakibatkan bumper hadapan kereta saya terbenam kira-kira seinci ke dalam seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Kaki bumper pecah...

Selain itu, kaki-kaki bumper yang dikunci pada chassis kereta juga pecah seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah. Nasib agak baik sebab tiada kerosakkan lain selain yang dinyatakan di atas dan masih boleh digunakan cuma rupa fizikalnya sedikit cacat dan tak sedap mata memandang.

Kali bumper pecah...

Dua hari yang lepas saya hantar kereta saya ke bangkel untuk dibaiki supaya sedap mata memandang. Majoriti bangkel meminta kos di antara RM200 sehingga RM300 untuk kerja membetulkannya semula.

Sebelum dibaiki...

Akhir sekali saya menemui sebuah bangkel yang hanya meminta RM150 sahaja untuk membaikinya dan harus meninggalkan kereta sehari di bangkel. Saya tinggalkan kereta sewaktu turun bekerja pada pagi jumaat lepas dan ianya boleh diambil ketika saya pulang kerja pada pukul 4 petang.

Gambar di atas dan di bawah merupakan perbezaan chassis yang telah dibetulkan oleh pihak bangkel dan mereka memberitahu saya ianya tidak melibatkan kerja memotong atau mengimpal. Apa yang mereka lakukan ialah menarik bahagian yang telah masuk ke dalam akibat pelanggaran.

Selepas dibaiki...

Anda boleh bandingkan perbezaannya dengan membandingkan gambar pertama di atas dan gambar di bawah setelah dibaiki.

Siap...

Itu cerita bahagian membaiki kereta dan seterusnya saya kongsikan pula siapa yang harus bertanggungjawab kos membaiki sebanyak RM150.00 tersebut.

Kos - RM150.00

Lokasi kejadian ialah di pusat membeli belah iaitu di susur keluar sebelum palang pondok keselamatan dan ianya dilengkapi dengan CCTV. Jadi saya tidak perlu risau untuk bahan bukti kejadian.

Umum tahu bahawa jika ada pelanggaran berlaku, kereta di belakang selalunya salah dan harus menanggung kos membaiki. Dalam kes saya di atas, saya tidak melanggarnya dari belakang tetapi kereta di hadapan yang mengundurkan keretanya sehingga melanggar saya.

Perbincangan berakhir dengan menghantar kereta ke bangkel pada keesokkannya dan sebelum beredar masing-masing dapatkan nombor telefon masing-masing.

Pada mulanya saya tidak mahu berbincang dan berhajat membuat laporan polis untuk membuat tuntutan insuran sebab dari perbincangan awal, dia sentiasa mencari alasan untuk tidak bertanggungjawab.

Hari berikutnya saya menunggunya menelefon seperti yang dijanjikan namun tiada panggilan darinya. Saya ada menelefonnya beberapa kali sewaktu tengahari dan itu pun tidak dijawabnya. Seterunya saya berhajat membuat laporan polis sahaja sebab jika laporan tidak dibuat dalam masa 24 jam selepas kejadian, tuntutan insuran juga tidak dapat dibuat sebab ia merupakan syarat utama untuk membuat tuntutan insuran.

Akhirnya saya menerima panggilan dan disuruh berjumpa di sebuah bangkel yang dipilihnya. Apabila tiba, saya terkejut ianya ialah kedai menjual tayar kereta dan setelah diperiksa, mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk membaiki.

Setelah gagal, saya ada memberitahunya bahawa saya telah merujuk sebuah bangkel dengan harga RM150 sahaja namun dia kini sedikit agresif dan memberitahu saya bahawa jika dia tidak bertanggungjawab, saya tidak mempunyai bukti yang dia melanggar kereta saya.

Ketika itu saya sedikit hilang kawalan dan memberitahunya agar tidak membuang masa saya dengan perkara yang tidak logik. Saya sempat mengingatkannya supaya sedia bayaran saman trafik serta premium insurannya yang lebih mahal selepas ini sebab pihak insuran saya akan menuntut insuran keretanya dan seterusnya akan menyebabkannya kehilangan NCB.

Akhirnya dia akur dan menghulurkan RM150 kepada saya untuk kos membaiki dan apabila saya kenangkan balik, saya tidak perlu melalui semua ini jika membuat laporan polis dari awal dan semuanya akan diurus oleh pihak insuran. Saya juga tidak perlu bertekak dengannya. Kemungkinan pihak insuran akan menukar bumper kereta saya dengan yang baru sebab ada yang pecah.

Hajat saya tidak mahu memperbesarkan masalah namun mereka sentiasa berfikiran negatif yang kita ini cuba menipu atau mengugut untuk mendapatkan duit dari mereka.

Apa kata anda?

2 comments:

  1. hebatlah cara awak handle incident cm ne, klu sy dh kelam kabut sudah, info yg bagus telah anda kongsikan, terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, jika ada menghadapi situasi yang sama dan tidak tahu apa nak buat, saya cadangkan buat laporan polis dahulu sebagai rekod atau elak daripada ditipu. Majoriti ketika kejadian mereka berjanji namun hari berikut akan berubah fikiran.

      Delete

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.