Sunday, 23 August 2020

Tandas canggih moden menggunakan elektrik

Beberapa hari yang lepas saya dipanggil untuk membaiki sebuah tandas canggih dengan kelengkapan serba serbinya yang telah lama popular di negara maju seperti Jepun & Korea.

Gambar di atas menunjukkan pandangan atas tandas dan bahagian belakangnya dilengkapi dengan serba serbinya yang dikawal dengan alat kawalan jauh.

Ianya juga boleh berfungsi dengan menekan butang pada bahagian tepi sebelah kanan ketika kita duduk pada mangkuk tandas tersebut. Fungsi-fungsinya yang serba canggih hanya beroperasi selepas kita duduk pada mangkuk tandas tersebut.

Pemilik memberitahu saya masalahnya ialah butang pada gambar di atas tidak berfungsi dengan sempurna dan meminta saya membaikinya. Selain daripada itu, alat kawalan jauhnya juga tidak berfungsi langsung ketika diserahkan kepada saya.
Apabila saya buka dan periksa, tiada komponen yang rosak dan butang yang tidak berfungsi dengan sempurna itu disebabkan kerap ditekan dan ianya jauh dari suisnya. Saya cuma ketatkan skrunya dan ianya telah kembali berfungsi seperti biasa semula.
Masalah alat kawalan jauh yang tidak berfungsi pula adalah disebabkan salah satu terminal pada bateri telah berkarat dan telah saya tandakan pada gambar di atas. Saya cuma bersihkan terminal yang berkarat tersebut dengan kertas pasir dan ianya boleh digunakan semula.

Saya sempat menguji beberapa fungsi yang ada pada tandas canggih tersebut. Antaranya ialah:-

  1. Sensornya ialah pada tempat duduk mangkuk tandas tersebut. Selepas duduk ianya akan 'flush' sedikit air ke dalam mangkuk tandas dan tujuannya ialah supaya basah dan apa-apa yang dilepaskan didalamnya tidak melekat dan mudah dibersihkan.
  2. Ada dua 'bidet spray' didalamnya dan anda boleh pilih melalui alat kawalan jauh mahupun di tekan secara manual.
  3. Ada fungsi untuk memanasakan air supaya suam dan sesuai dengan suhu badan pengguna. Suhu yang pengguna inginkan juga boleh dilaras mengikut kehendak masing-masing.
  4. Ada fungsi pengeringan dan kelajuan kipas boleh dilaras mengikut kehendak pengguna.
  5. Selepas menggunakan tandas, ianya akan 'flush' sendiri selepas pengguna tidak lagi duduk pada mangkuknya.
  6. Pengguna juga boleh melaras kuantiti air yang ingin di 'flush'. Jika buang air kecil, laraskan ke minima untuk penjimatan air.

Itu lah serba sedikit yang telah saya uji dan saya yakin masih ada fungsi-fungsi lain lagi yang tidak sempat saya uji. 

 Menurut pemilik, ianya telah digunakan hampir lima tahun tanpa masalah dan saya berpendapat ianya amat baik dari segi kualitinya. Kerosakkan di atas bagi saya adalah kecil dan boleh diselengara sendiri.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.