Monday, 20 January 2020

LG 60PN6500.ATS Plasma TV repair

Hujung tahun lepas ketika sambutan Kristmas,  saya telah dirujuk sebuah TV Plasma berjenama LG, Model: 60PN6500.ATS dengan masalah layar tidak menyala.
LG 60PN6500.ATS
Menurut pemiliknya, TV tersebut rosak ketika piala dunia lepas pada tahun 2018 dan telah dihantar untuk dibaiki namun gagal sebelum dirujuk kepada saya.
Setelah penutup belakang dibuka...
Sebelum saya buka TV tersebut, saya uji TV tersebut dan mendapati lampu merah standby menyala. Apabila saya tekan butang 'power', lampu merah padam tetapi layar tidak menyala.
Peyambung ke Ysus board tidak disambung...
Setelah dibuka, benda yang pertama saya nampak ialah wayar penyambung kepada papan litar Ysus tidak bersambung seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Apabila saya sambung kembali penyambung tersebut dan uji semula, lampu merah standby padam seketika namun kembali menyala lepas itu. Ini bermaksud ada kerosakkan pada papan litar Ysus.
Voltage setting: 5v, 55v & 203v
Ketika papan litar Ysus disambung dan diuji, saya cuma menemui 5v sahaja. 55v & 203v tidak ada dan ini memberitahu kita bahawa terdapat litar pintas serta ianya dalam keadaan 'protection mode'.
Ysus board...
Pemeriksaan awal pada papan litar Ysus mengejutkan saya sebab memang banyak litar pintas ditemui pada komponennya. Saya terpaksa membuka satu per satu komponen yang disyaki untuk diperiksa dan akhirnya menemui banyak IGBT yang didapati rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah. 
Litar pintas pada 6 biji IGBT (RJP30H20A)
Biasanya sebiji atau dua sahaja IGBT yang rosak dan dari pemerhatian saya, kesemua IGBT tersebut pernah dibuka dan mungkin juga pernah ditukar sebelum ini.

Pada mulanya saya berhajat menukarkan papan litar Ysus tersebut dengan yang baru kerana banyak komponen yang pernah dibuka dan dipateri semula. Apa yang saya risau ialah kemungkinan komponen pernah ditukar dan tidak mengikut speksifikasi asal.
Keluarkan IGBT yang rosak...
Hajat menukar papan litar Ysus yang baru kemudian saya tangguhkan kerana saya ingin mencuba membaikinya dahulu.

Setelah kesemua (6 biji) IGBT tersebut saya keluarkan dari papan litar, tiada litar pintas lagi ditemui dan pemeriksaan pada komponen berhampiran tidak menjumpai sebarang kerosakkan.
IGBT yang baru...
Alat ganti IGBT tersebut tiada di pasaran tempatan dan saya terpaksa membelinya secara online dan mengambil masa kira-kira 3 minggu untuk sampai. Gambar di bawah menunjukkan kesemua 6 biji IGBT telah saya gantikan dengan yang baru.
Gantikan IGBT yang baru...
Setelah berpuas hati dan tiada litar pintas lagi ditemui, saya pasang kembali papan litar Ysus tersebut dan uji namun masih gagal menghidupkan TV tersebut.
15v pula tiada...
Pemeriksaan pada voltan output di papan litar Ysus mendapati 5v, 55v & 203v kesemuanya stabil namun bahagian 15v bila diukur hanya 3.93v sahaja seperti boleh dilihat seperti pada gambar di atas.
Perintang 2.2Ω putus...
Jadi saya buka semula papan litar Ysus serta periksa semula komponennya dan akhirnya menemui sebiji perintang 2.2Ω putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
Gantikan perintang 2.2Ω yang baru...
Gambar di atas menunjukkan perintang 2.2Ω telah saya gantikan dengan yang baru.
kapasitor berlabel 102 1kV meletup...
Sebelum saya menguji papan litar tersebut saya sempat memeriksa dengan mata kasar komponen pada papan litar dan menemui sebiji kapasitor meletup dan telah saya tandakan pada gambar di atas.
Gantikan kapasitor baru...
Setelah berpuas hati, saya pasang kembali papan litar Ysus serta uji semula TV tersebut dan kali ini saya boleh melihat lampu hijau pada 'logic board' kini berklip-kelip dan layarnya kini telah menyala seperti gambar di bawah.
Testing
Ini merupakan TV Plasma yang terbesar pernah saya baiki setakat ini dan ianya sangat berat serta susah untuk dialihkan. Saya terpaksa simpan di lantai beralaskan tilam ketika membukanya untuk mengelakkan kerosakkan pada skrin/layar.

Jika anda mengalami masalah yang serupa seperti di atas dan tiada asas membaikinya, anda boleh pilih untuk membeli papan litar Ysus yang baru dan menukarnya.
Tested - ok
Selamat mencuba...

4 comments:

  1. Asallamualaikum tuan ,tuan area mana,sy ada tv brand model sama mybe problem sama

    ReplyDelete
  2. Boleh bagi link tak tuan mana nak cari spare prt model tv yg sma

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak tukar papan litar tetapi menukar komponen yang rosak pada papan litar di Shopee. Anda cuma perlu masukkan nombor komponen & cari secara 'online'.

      Delete

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.