Thursday, 7 June 2012

SATU KES MAHKAMAH YANG PELIK

- Ciptaan asal Severinus Ngali
- Edit oleh Haji Julaihi Haji Suut



Suatu ketika dahulu Encik Malaya dipanggil ke Mahkamah Induk Cabul dan Jenayah -- atau singkatannya Mahkamah ICJ --, atas dakwaan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami terhadap isteri-isteri beliau.

Kes tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Yu-En, hakim tertinggi di seluruh dunia. Setiap keputusan Hakim Yu-En adalah muktamad, dan ianya tidak boleh dibicarakan semula di mana-mana Mahkamah Rayuan.

HAKIM: Encik Malaya...

MALAYA: Ya, Yang Arif?

HAKIM: Dulu semasa berkahwin dengan isteri-isteri, Encik Malaya telahpun berjanji di hadapan saksi, iaitu Mr Britih, bahawa awak akan berlaku adil terhadap isteri-isteri awak. Awak juga berjanji akan membina satu keluarga besar bersama mereka, dan keluarga tersebut, seperti yang dijanjikan di depan Mr Britih, akan di gelar Keluarga Malaysia, yang boleh berkembang maju seperti Keluarga Yu-Kay.

Awak juga berjanji akan memberi kebebasan kepada kepada isteri-isteri awak untuk menguruskan rumah masing-masing mengikut budi-bicara mereka tanpa sebarang gangguan daripada awak. Isteri-isteri awak berhak untuk mengekalkan tanah mereka, adat mereka, bahasa mereka dan kepercayaan mereka. Betul atau salah kenyataan ini?

MALAYA: Betul, Yang Arif.

HAKIM: Sebaliknya sekarang isteri-isteri awak telah mengadu di mahkamah tentang kecuaian awak. Awak dikatakan sudah mungkir janji. Adakah awak mengaku tuduhan itu benar?

MALAYA: Tuduhan itu tidak benar, Yang Arif.

HAKIM: Jika tidak benar, mengapa awak menceraikan salah seorang isteri awak seolah-olah awak cuba mengelak dari menunaikan janji-janji awak?

MALAYA: Sumpah, Yang Arif, saya tidak menceraikan dia. Dia yang meninggalkan saya... pada tahun 1965 kalau tak silap saya.

(Hakim Yu-En memanggil seorang saksi untuk tampil memberi keterangan)

(Encik Malaya jadi gugup apablia mengetahui perempuan yang berdiri di dalam kandang saksi itu ialah bekas isterinya)

HAKIM: Miss Sing-Ah-Po, adakah benar awak yang tinggalkan Encik Malaya dalam tahun 1965?

SINGAHPO: Tidak benar, Yang Arif. Encik Malaya yang menceraikan saya. Dia tahu, selagi saya masih ada dalam Keluarga Malaysia dia tak akan berpeluang untuk mengambil kesempatan ke atas isteri-isterinya yang lain.

HAKIM: Encik Malaya ada berapa orang isteri, termasuk awak?

SINGAHPO: Empat!

MALAYA: Tiga lah! Dayang Brew-Nai batal perkahwinan saat-saat akhir.

SINGAHPO: Pasal awak tu gatal sangat!

HAKIM: Untuk rekod mahkamah (Hakim Yu-En berpaling kepada kerani), catatkan 'tiga', bukan 'empat'. (Hakim Yu-En menghadap mahkamah semula) Encik Malaya, benar atau salah dakwaan Miss Sing-Ah-Po, bekas isteri awak, berkenaan awak suka mengambil kesempatan ke atas isteri-isteri awak?

(Encik Malaya terdiam)

(Hakim Yu-En seterusnya memanggil seorang lagi saksi untuk tampil ke depan)

HAKIM : Puan Lysa-Bah, apa yang telah dilakukan oleh Encik Malaya kepada awak?

LYSABAH: Yang Arif, Encik Malaya telah menyeksa saya selama 49 tahun. Dia merampas 95 peratus bekalan makanan dari rumah saya setiap tahun. Hanya 5 peratus sahaja dia tinggalkan untuk saya. Kerapkali saya dan anak-anak terpaksa ikat perut bila makanan tak cukup. Kami yang bersusah payah membanting tulang di sawah, hutan dan laut dia pulak dengan sewenang-wenangnya membawa lari hasil-hasil kerja kami.

HAKIM: Encik Malaya banyak timbulkan masalah kepada awak dan anak-anak. 49 tahun... sangat lama. Saya akan faham kalau seorang isteri tinggalkan seorang suami seperti Encik Malaya. Tetapi kenapa awak tidak tinggalkan dia?

LYSABAH: Kerana dia ugut saya!

(Mahkamah jadi bising)

LYSABAH: Encik Malaya kata kalau saya tinggalkan dia... Mr Philip-Pint dari utara dan Bung Zakarta dari selatan akan datang menganggu saya. Katanya lagi dia tak akan menghalang Mr Philip-Pint dan Bung Zakarta, sebaliknya dia akan galakkan mereka untuk terus mengganggu saya sebagai satu pengajaran kepada saya kerana cuba meninggalkan dia. Saya sudah tak tahan diperlakukan sebegini. Saya diugut, harta saya dirampas, dan kebebasan saya disekat.

Encik Malaya juga menghantar ramai orang-orang asing ke rumah saya. Mereka bekerja untuk dia. Dia arahkan saya jangan ganggu mereka. Tetapi orang asing ini sudah jadi semakin ramai. Sekarang mereka buat rumah saya seperti rumah mereka sendiri. Sampai bila perkara ini akan terus berlaku, Yang Arif, sampai bila?!

HAKIM: Encik Malaya, awak ada apa-apa bantahan?

(Encik Malaya terus membisu)

(Hakim Yu-En memanggil seorang lagi saksi)

HAKIM: Puan Sarah-Wak, apa pula aduan awak?

SARAHWAK: Yang Arif, terus terang saya akui nasib saya mungkin tidak seburuk yang terjadi pada Lysa-Bah, sekurang-kurangnya rumah saya tidak diganggu oleh orang-orang asing yang bekerja untuk Encik Malaya. Tetapi pada masa yang sama, saya tahu lambat laun perkara yang menimpa Lysa-Bah akan juga terjadi kepada saya. Saya pun sudah kerapkali diugut oleh Encik Malaya. Seperti yang menimpa Lysa-Bah, 95 peratus bekalan makanan saya dan anak-anak juga dirampas oleh Encik Malaya.

Belum sebut lagi tentang keengganan Encik Malaya untuk bertolak ansur. Dia sentiasa nak tegakkan cara dia. Dia paksa anak-anak saya belajar bahasa dia dan agama dia... walaupun dia sudah berjanji di hadapan Mr Britih dia tidak akan melakukan perkara-perkara tersebut. Dia mungkiri janji-janji dia sendiri. Saya bersimpati dengan Lysa-Bah kerana saya juga merasa kesedihan yang sama. Saya juga kerapkali bertanya pada diri sendiri sampai bila perkara ini akan terus berlaku. Terus terang saya katakan, Yang Arif, saya dah tak tahan hidup bersama dia. Kalau diikutkan hati yang marah... lama sudah saya 'putung' kemaluan dia.


(Mahkamah jadi bising dengan bunyi ketawa)

(Mahkamah kembali senyap selepas Hakim Yu-En menghentak meja)

HAKIM: Encik Malaya, ada nak kata apa-apa?

(Encik Malaya membatu)

(Hakim Yu-En kemudiannya memutuskan penghakiman dia)

HAKIM: Selepas mendengar keterangan daripada saksi-saksi dan memandangkan Encik Malaya tidak dapat mengemukakan sebab-sebab munasabah mengapa keterangan-keterangan pihak saksi tidak dapat diterima olah pihak Mahkamah, maka dengan itu saya putuskan bahawa dakwaan terhadap Encik Malaya adalah benar.

Memang jelas Encik Malaya didapati telah mungkir janji dan Mahkamah ICJ tidak akan membiarkan perkara ini dari terus berlaku dalam institusi kekeluargaan. Mahkamah memutuskan Encik Malaya membatalkan Keluarga Malaysia... serta merta. Lysa-Bah dan Sarah-Wak adalah bebas daripada sebarang ikatan atau perjanjian dengan Encik Malaya. Encik Malaya tiada hak untuk menuntut mereka kembali.


(Lysa-Bah dan Sarah-Wak berdakapan dalam tangisan... bahagia)

(Encik Malaya bungkam, keliru, menyesal... garu-garu kepala)

(Dayang Brew-Nai masih bertepuk tangan)

(Miss Sing-Ah-Po melangkah keluar dari bilik mahkamah sambil ketawa mengilai-ilai)



Sumber

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.