Sunday, 8 January 2023

Maituo MT-1304 130MHz 4 port VGA splitter

Semalam saya telah dipanggil untuk membaiki wayar putus pada penyambung VGA yang disambung kepada TV. Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki penyambung VGA dan anda boleh rujuk di sini.

Wayar yang putus pada penyambung VGA telah saya tandakan pada gambar di atas serta di bawah dan apa yang perlu saya buat ialah pateri semula ke kedudukan asalnya.

Masalah asal ketika wayar penyambung VGA putus ialah tiada paparan pada skrin TV namun setelah dibaiki, paparan gambar pada skrin TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gambar yang terhasil pada TV tidak normal iaitu gambar menegak tidak lurus serta ada bayang-bayang. Masalah sedemikian adalah disebabkan isyarat (signal) yang dihantar dari komputer ke TV bermasalah. 

Maituo MT-1304

Pemeriksaan seterusnya mendapati wayar isyarat VGA disambung kepada sebiji '4 port VGA splitter' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Oleh kerana splitter tersebut mempunyai 4 sambungan output dan hanya 3 sahaja digunakan, saya telah pindahkan sambung TV di atas ke 'port' yang tidak digunakan dan masalah selesai. Paparan yang normal pada layar TV adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Siap...

Jadi, masalah asalnya bukan disebabkan wayar VGA putus tetapi salah satu 'port' VGA yang digunakan telah rosak serta menghasilkan gambar yang tidak normal. Wayar VGA mungkin putus ketika mereka melakukan 'troubleshooting' sendiri.

Untuk pengetahuan anda, ianya digunakan pada pusat penginapan dan jarak TV tersebut dari splitter ialah sejauh 5 tingkat bangunan.

Selamat berDIY...

Thursday, 5 January 2023

Dell H250AD-01 PSU repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah PSU (power supply unit) berjenama Dell, model H250AD-01 untuk kegunaan komputer desktop.

DELL H250AD-01

Menurut pemilik, masalahnya ialah boleh dihidupkan namun gagal berfungsi. Maksudnya jika butang power ditekan, lampu LED menyala namun sistem komputer tidak memulakan proses yang sepatutnya.

Model: H250AD-01

Ketika saya memeriksa voltan output, masalahnya cuma pada voltan 12v (wayar hitam & merah) dan bacaan yang saya dapat cuma 10.50v sahaja.

output 12c cuma 10.50v sahaja...

Masalah sedemikian boleh serta mudah dibaiki sebab masih ada voltan output namun kurang dari sepatutnya.

Kapasitor kembung...

Gambar di atas menunjukkan bahagian di dalam PSU setelah dibuka dan dari pandangan mata kasar, banyak kapasitor telah kembung.

Kapasitor utama - 150uf - 420v

Semua kapasitor yang kembung telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah iaitu:-

  1. sebiji kapasitor 150uf, 420v
  2. 2 biji kapasitor 2,200uf, 16v
  3. 2 biji kapasitor 2,200uf, 10v
Kapasitor output yang kembung...

Kapasitor yang kembung biasanya disebabkan mengalami panas melampu untuk tempoh masa yang panjang dan biasanya berlaku pada komputer yang tidak pernah dipadam seperti untuk kegunaan CCTV.

Gantikan semua kapasitor kembung...

Masalah selesai dengan menggantikan kesemua kapasitor yang kembung sahaja dan ianya berjaya diselamatkan serta msaih boleh digunakan semula.

Bacaan untuk 12v (tested - ok)

Selamat mencuba...

Monday, 2 January 2023

Premis loteri di Kedah tutup

Mulai semalam (01/01/2023) semua aktiviti perniagaan melibatkan perjudian yang telah dilesenkan di Kedah sebelumnya tidak lagi diperbaharui.


Ini berikutan pertukaran kerajaan negeri yang kini diterajui oleh PAS. Pengusaha tiada pilihan selain menamatkan operasi berikutan lesen sedia ada tamat tempoh pada 31/12/2022 serta tidak lagi diperbaharui oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Dua buah lagi negeri yang diterajui oleh PAS iaitu Kelantan dan Trengganu juga telah lama mengamalkan dasar yang sama.

Saya setuju banyak keburukan daripada kebaikan berjudi namun tindakan sehingga menutup periuk nasi orang lain ini tidak boleh diterima.

Mereka mungkin boleh melakukannya di negeri yang majoritinya orang melayu atau penganutnya islam namun ini tidak adil kepada rakyat bukan islam.

Selama ini mereka lantang mengatakan bahawa undang-undang islam/syariah termasuk RUU355 hanya untuk penganutnya sahaja namun apabila telah berkuasa sebaliknya yang berlaku atau 'cakap tidak serupa bikin'.

Saya merasa syukur kerajaan pusat yang dibentuk baru-baru ini tidak melibatkan PAS dan semoga rakyat lebih bijak memilih pada PRN/PRU akan datang.

Saya tetap dengan pendirian bahawa negara tidak boleh dipimpin berpaksikan agama dan contoh terbaik ialah apa yang telah berlaku di Afghanistan baru-baru ini apabila taliban berkuasa semula di mana perempuan dinafikan hak pendidikan.

Fikir-fikirkan...

Kemaskini: Semakkan kehakiman telah dibuat serta diterima mahkamah.

Sunday, 1 January 2023

2023

Tahun lepas (2022) merupakan tahun ke-3 berturut-turut saya telah berjaya menghasikan satu entri setiap hari.

Majoriti entri melibatkan perkongsian pengalaman harian melakukan kerja baiki-membaiki peralatan elektrik serta elektronik selain sedikit melibatkan politik negara serta dairi harian.

Berikut merupakan gambar tangkap layar untuk jumlah pelawat keseluruhan blog saya yang telah diambil pada hari terakhir setiap tahun.

31/12/2022

Tahun 2022 - 238,076 pelawat (1,086,355 - 848,279)

31/12/2021

Tahun 2021 - 187,138 pelawat (848,279 - 661,141)

31/12/2020

Tahun 2020 - 197,728 pelawat (661,141 - 463,413)

31/12/2019

Selamat menyambut tahun baharu 2023. Semoga tahun baharu yang dijangkakan bakal lebih mencabar lebih bermakna dari tahun-tahun sebelumnya.

Saturday, 31 December 2022

JACKPOT - Sports TOTO

Sejak Sports TOTO serta Magnum4D memperkenalkan produk JACKPOT, saya tidak lagi membeli nombor 4 angka (4D) sahaja dengan harapan menjadi jutawan suatu hari kelak.

Saya tahu kebarangkaliannya jauh lebih rendah berbanding membeli 4D sahaja namun dari masa ke semasa, saya beli juga dengan harapan merasa menjadi jutawan segera jika dimurahkan rezeki.

Hari ini saya kongsikan pengalaman membeli JACKPOT namun cuma satu nombor sahaja yang naik iaitu 1406 seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah.

Nombor tersebut saya dapat dari nombor siri treadmill yang saya baiki dan anda boleh rujuk di sini.

Tuah ayam nampak di kaki namun tuah untuk menang JACKPOT entah di mana. Jadi, jangan menaruh harapan yang tinggi dan beli JACKPOT jika ada duit lebihan atau mendapat ilham yang difikirkan tuah serta boleh menjana pulangan.

Kemungkinan seumur hidup ini saya tidak akan merasa menjadi jutawan dengan wang gaji serta simpanan namun tabiat membeli JACKPOT akan diteruskan dengan harapan ianya bakal termakbul suatu hari kelak.

29/12/2022

Kita semua boleh menjadi jutawan jika menukarkan wang yang kita ada kepada matawang rupiah.

Fikir-fikirkan...

Friday, 30 December 2022

Telur ayam harga kayangan

Baru-baru ini kerajaan telah mengimport telur ayam untuk menampung kekurangan bekalan telur ayam di pasaran tempatan.

Saya telah lama tidak membeli telur ayam sebab harganya kini tidak masuk akal. Harga paling murah ialah RM17.00 sepapan dan majoriti dijual RM20.00 sepapan untuk gred A, B & C. Hanya telur gred D sahaja yang dijual dengan harga kira-kira RM13 sepapan.

Ada peniaga yang bijak telah membungkus 10 biji sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan jika dikira penuh sepapan (30 biji) harganya di antara RM21 - RM24.

Apa yang menyedihkan ialah banyak peniaga telur yang tidak beroperasi mungkin disebabkan tiada bekalan telur atau gulung tikar. Gambar pertama di atas ialah lokasi saya membeli telur ayam selama ini dan saya tidak pasti apa yang telah berlaku kepadanya.


Seingat saya kali terakhir saya membeli telur ialah pada bulan ogos dengan harga RM14.10 sepapan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Ke mana perginya telur ayam yang diimport? Mungkinkah telur ayam yang diimport hanya untuk Malaya sahaja dan Sabah/Sarawak dipinggirkan atau mungkin telur yang diimport juga masih tidak mencukupi?

Sesuatu yang pelik berlaku ialah banyak pula gambar telur ayam yang dikongsikan oleh pihak KPDN dengan harga berpatutan. Mungkinkah gambar yang diambil telah dirancang atau sekadar hiasan bagi mengelak aduan orang ramai?

Thursday, 29 December 2022

Maybank official SMS number - 66628

Dua minggu yang lepas saya telah menerima sms dari Maybank menghantar kod MSOS untuk pengesahan seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Saya tidak pernah mempunyai sebarang akaun bank dengan Maybank melainkan insuran kereta suatu ketika dahulu sewaktu memperbaharui cukai jalan di pejabat pos.

Saya abaikan sahaja sms tersebut namun kira-kira 12 minit selepas itu satu lagi sms diterima memberitahu nombor telefon telah ditukar ke nombor lain.

Saya juga telah menghantar email untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan (reply) dari pihak Maybank ialah seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Sebelum ini saya juga pernah menerima beberapa panggilan yang juga memperkenalkan diri dari Maybank menawarkan perkhidmatan penstrukturan hutang kad kredit namun saya memilih untuk menamatkan perbualan sebab saya syak mereka adalah scammer.

Saya tidak pasti kenapa menerima sms seperti di atas namun yang pasti saya tidak mempunyai sebarang akaun atau transaksi dengan Maybank kebelakangan ini. 

Saya juga telah lama tidak memiliki kad kredit dan kini hanya mempunyai satu kad debit sahaja khas untuk urusan yang melibatkan atas talian (online) atau transaksi tanpa tunai.

Kita kini bukan setakat hidup bersama dengan virus CoVid-19 namun juga hidup bersama scammer yang semakin licik melakukan penipuan siber.

Mungkin saya perlu ke cawangan Maybank untuk penjelasan seterusnya...

Wednesday, 28 December 2022

SANYO EM-V3888W microwave repair

Semalam saya telah berjaya membantu seseorang yang mempunyai masalah microwave dan anda boleh rujuk di sini.

SANYO EM-V3888W

Menurut pemilik masalah microwave berjenama Sanyo model EM V3888W ialah fius utama putus sejurus selepas butang 'start' ditekan.

Baru-baru ini saya juga ada pengalaman baharu dengan masalah sedemikian dan anda boleh rujuk di sini.

HV diode & bi-directional diode...

Beliau juga memberitahu telah memeriksa suis pintu, magnetron, transformer, thermal fuse serta tukar kapasitor voltan tinggi yang baharu.

Ujian ke atas HV diode...

Pemilik juga memberitahu microwave boleh berfungsi tanpa menyambungkan bekalan ke HV transformer. Jadi masalahnya ialah pada bahagian voltan tinggi dan dalam banyak-banyak komponen yang telah diperiksa, hanya satu lagi yang tertinggal iaitu HV diode.

Ujian ke atas bi-directional diode (litar pintas)...

Saya telah menyuruh pemilik memeriksa HV diode dan gambar yang dibekalkan mendapati ianya menggunakan dua biji HV diode. Cara menguji HV diode pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Ujian ke atas HV diode menggunakan bateri 9v mendapati bi-directional diode mempunyai keterusan serta mengalami litar pintas seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Uji microwave tanpa bi-directional diode...

Untuk pengetahuan semua, fungsi bi-directional diode ialah seperti zener diode atau varistor (MOV) tetapi ianya direka khas untuk voltan tinggi.

Ujian seterusnya ialah uji microwave tersebut tanpa bi-directional diode dan fius utama tidak putus lagi serta kembali berfungsi semula.

HV diode & bi-directional diode baharu...

Majoriti microwave sekarang buatan China serta tidak dilengkapi dengan bi-directional diode dan anda boleh memilih untuk menukarnya jika rosak atau tanpa bi-directional diode.

Selamat berDIY...