Saturday, 22 January 2022

LED driver repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk LED driver seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

LED driver

Hari ini saya dirujuk LED driver serupa dengan masalah langsung tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Resistor - red, red, black, orange (3kΩ, 2%)

Banyak LED driver telah berjaya saya baiki serta kongsikan sebelum ini namun kali ini sebiji perintang putus dan nilai rintangan berdasarkan warna gelang meragukan saya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

FU AC

Lokasi perintang tersebut ialah pada bahagian input dan dilabel 'FU AC' pada papan litar dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Komponen yang rosak...

Saya gantikan perintang tersebut dengan sebiji fius 1A dan LED driver ini berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan setelah kesemua komponen rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di atas ditukar.

Tested - ok

Berapakah nilai rintangan perintang tersebut? Warna gelang padanya ialah merah, merah, hitam & oren. Biasanya perintang yang digunakan sebagai fius adalah di bawah 10Ω, jadi mungkinkah perintang tersebut 22Ω, 3% atau 3kΩ, 2%? Apa kata anda?

Gantikan dengan 5Ω

Saya ada mengujinya dengan sebiji perintang 5Ω seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan ianya juga boleh berfungsi.


Selamat mencuba...

Friday, 21 January 2022

Robot Coupe Blixer 3 D repair

Banyak pengisar seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini, sini, sini dan sini.

Robot Coupe Blicer 3 D

Hari ini saya kongsikan pengalaman baharu membaiki sebuah lagi pengisar serupa dengan masalah gagal berfungsi apabila butang hijau dan hitam ditekan.

Model: Blixer 3 D

Seperti biasa, pemeriksaan awal pada 'plug top' serta kabel elok. Begitu juga dengan pendawaiaan di dalamnya juga elok serta tiada yang longgar atau tertanggal seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Keluarkan papan litar...

Seterusnya saya buka papan litar dan periksa kesemua komponen yang ada namun tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

Bahagian atas papan litar...

Gambar di bawah pula adalah bahagian bawah papan litar dan sekali pandang ianya kelihatan juga elok.

Bahagian bawah papan litar...

Pemeriksaan dengan teliti mendapati ada satu tompok kesan terbakar pada bahagian bawah papan litar dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Ada kesan hangus dan litar putus...

Apabila diperiksa dengan menggunakan multimeter, litar yang ada kesan terbakar tersebut tiada keterusan (continuity) dan setelah dibersihkan, ianya sah putus.

Sambung kembali litar yang putus...

Pengisar ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah litar yang putus dengan kesan terbakar tersebut saya sambungkan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Thursday, 20 January 2022

SCNA (Service Currently Not Available)

Baru-baru ini saya banyak dirujuk dekoder astro dengan masalah tiada siaran atau siaran tiba-tiba hilang atau cuaca elok tetapi keluar 'message' SCNA (Service Currently Not Available) seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Service Currently Not Available (SCNA)

Selagi ada layar pada skrin TV, ini bukan masalah atau kerosakkan dekoder. Anda boleh periksa isyarat (signal) dengan menekan 'home' pada alat kawalan jauh, lepas itu pilih 'setting' dan seterusnya pilih 'STB diagnostic'. Skrin di bawah akan terpapar pada skrin TV dan menujukkan peratusan isyarat (signal).

Strength/Quality - 0%

Sekiranya 0% bermaksud tiada isyarat diterima pada dekoder. Sebab-sebab tiada signal ialah:-

  1. Hujan atau cuaca buruk
  2. Sambungan kabel/soket tidak elok/longgar
  3. Kabel tamat tempoh (expired), reput atau rosak disambar petir 
  4. Pemasangan tidak elok menyebabkan signal lemah
  5. Piring astro dihalang oleh dahan pokok, bumbung dan sebagainya
  6. Piring astro berkarat (terutamanya kawasan berdekatan pantai/laut)
  7. Penerima isyarat (LNB) mungkin rosak sebab terdedah kepada panas & hujan berpanjangan, disambar petir atau retak/reput dan dimasuki air
  8. Kedudukan piring berubah sedikit dari asal disebabkan angin kuat atau hujan lebat
  9. Dekoder rosak
13v/18v

Jika anda syak dekoder yang bermasalah, ukur voltan pada kabel atau bahagian penyambung kabel seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Jika ada voltan 13v/18v apabila diukur, masalahnya bukan pada dekoder.

Kadang-kadang gambar video tersekat-sekat atau peratusan isyarat tidak stabil seperti boleh ditonton pada klip video di atas dan ini juga bukan masalah dekoder. Masalahnya ialah dekoder tidak menerima isyarat atau isyarat lemah.

Lokasi LNB (low-noise block downconverter)

Ada juga aduan yang saya dapat di mana channel tertentu sahaja yang SCNA dan puncanya juga adalah disebabkan tiada isyarat diterima atau isyarat yang diterima lemah.

Majoriti masalah sedemikian adalah disebabkan kedudukan piring telah berubah dari kedudukan asal dan isyarat lemah. Kekuatan isyarat boleh dilihat pada peratusan 'strength' pada 'STB diagnostics'. Saya diberitahu isyarat harus sekurang-kurangnya 75% atau 80% ke atas.

Jika pemasangan elok, kabel elok, dekoder elok dan kedudukan piring juga elok, kebarangkalian LNB rosak amat tinggi.

Selamat berDIY...

Wednesday, 19 January 2022

LG VK7920YM vacuum cleaner repair

Semalam saya dirujuk sebuah penyedut hampagas (vacuum cleaner) berjenama LG, model: VK7920YM dengan masalah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

LG VK7920YM vacuum cleaner

Pemeriksaan awal pada plug 3-pin (plug top) mendapati fiusnya masih elok.

Model: VK7920YM

Gambar di bawah menunjukkan keadaan setelah dibuka dan ianya dilengkapi dengan sekeping papan litar untuk mengawal kekuatan menyedut

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan pada motor juga elok, begitu juga dengan thermal fius seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah juga elok.

Thermal fuse masih elok...

Pemeriksaan keterusan (continuity) mendapati kabel berwarna coklat tiada keterusan dan apabila saya goyangkan wayar pada 'plug top', kadang-kadang multimeter menunjukkan keterusan.

Tukar 'plug top'...

Penyedut hampagas ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah saya gantikan 'plug top' sahaja.

Selamat mencuba...

Tuesday, 18 January 2022

VIKING city tech CT6 - 165/55R14

Kali terakhir saya menukar keempat-empat tayar kereta saya ialah pada Februari 2014 dan anda boleh rujuk di sini.

VIKING city tech CT6 (165/55R14)

Salah sebiji telah rosak serta ditukar pada Mac 2019 dan keadaannya adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Mac 2019

Kejadian sama berulang lagi pada hujung minggu lepas di mana sebiji lagi rosak seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

15/01/2022
Kejadian berlaku ketika saya pulang kerja kira-kira pada pukul 6 petang dan terpaksa menggunakan 'spare tyre' untuk kegunaan sementara.

Gantikan dengan tayar 'spare'...

Semalam (17/01/2022) saya telah gantikan ketiga-tiga tayar yang ditukar pada tahun 2014 dengan tayar berjenama VIKING dan sebiji lagi tayar yang ditukar pada tahun 2019 masih elok serta masih boleh digunakan lagi.

VIKING city tech CT6

Secara amnya, sebiji tayar boleh bertahan kira-kira 5 tahun dan harus ditukar walaupun kelihatan masih elok namun saya tidak melakukannya sebab ingin tahu berapa lama tayar boleh bertahan.

VIKING city tech CT6 (165/55R14)

Dari pengalaman di atas, sebiji tayar telah rosak setelah 5 tahun digunakan namun 3 biji lagi mampu bertahan sehingga kira-kira 7 tahun (tolak setahun PKP). 

Patikan tidak terbalik pasang...

Saya pernah menggunakan tayar berjenama Michellin kira-kira 10 tahun sebelum ditukar dan anda boleh rujuk di sini.

Monday, 17 January 2022

ACER V193HQV monitor with backlight problem

Monitor berjenama acer ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini dirujuk semula kepada saya dengan masalah layar berkelip-kelip seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Lampu CCFL backlight pecah...

Masalah layar berkelip-kelip seperti ini adalah disebabkan kerosakkan backlight dan monitor ini menggunakan backlight jenis CCFL (Cold Cathode Fluorescent Lamp).

Apa yang saya lakukan kali ini ialah gantikan CCFL yang diambil dari monitor yang tidak berjaya dibaiki atau kerosakkan layar.

Siap...
Selamat mencuba...

Sunday, 16 January 2022

DIY menukar brek belakang Perodua Kelisa

Dua tahun lepas saya telah berhajat menukar brek belakang kereta Perodua Kelisa saya namun dibatalkan sebab 'brake shoe' masih tebal.

Buka klip untuk keluarkan 'brake shoe'...

Anda boleh rujuk di sini untuk cara-cara membuka sehingga 'brake shoe' kelihatan. Untuk mengeluarkan 'brake shoe' buka kedua-dua spring yang telah saya tandakan pada gambar di atas.

Sebelum ditukar...

Setelah 'brake shoe' dikeluarkan, buka juga kabel 'hand brake' yang telah saya tandakan pada gambar di bawah supaya 'brake shoe' boleh dikeluarkan keseluruhannya.

Buka 'hand brake' untuk keluarkan 'brake shoe'...

Seterusnya kena buka lagi 3 biji klip yang telah saya tandakan pada gambar di bawah untuk mengeluarkan 'brake shoe' lama dan gantikan dengan yang baharu.

Buka klip untuk tukar 'brake shoe'...

Gambar di bawah pula menunjukkan 'brake shoe' telah siap dileraikan sebelum digantikan dengan yang baharu.

Keluarkan 'brake shoe'...

3 biji klip yang telah dibuka sebelumnya perlu dikepit dengan 'pliers' ketika dipasang kembali sebab ianya bukan jenis spring.

Kepit klip setelah tukar 'brake shoe' baharu...

Pastikan ketiga-tiga spring juga dipasang dengan betul dan tidak terbalik pada kedudukan asalnya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah setelah siap ditukar 'brake shoe' dan dipasang kembali.

Selepas ditukar (Kanan)

Kedudukan 'adjuster lever' yang saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah adalah berbeza setelah 'brake shoe' ditukar jika di bandingkan dengan sebelumnya seperti boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas.

Selepas ditukar (Kiri)

Jika 'adjuster lever' tidak dilaras pada kedudukan seperti boleh dilihat pada gambar di atas, 'brake drum' tidak akan dapat dipasang sebab 'brake shoe' baharu lebih tebal.

Klip video di atas saya rakam setelah 'brake shoe' siap ditukar dan 'brake drum' juga telah dipasang.

Selamat berDIY...

Saturday, 15 January 2022

PEAVEY PV8usb mixer repair

Bulan lepas saya dirujuk sebuah mixer berjenama PEAVEY, model PV8usb dengan masalah channel sebelah kanan tidak mengeluarkan bunyi.

PEAVEY PV8usb mixer

Banyak skru serta butang/pelaras perlu dibuka untuk mengeluarkan papan litar. Gambar di bawah menunjukkan papan litar telah saya buka untuk membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menyeluruh mendapati 4 biji IC (integrated circuit) berlabel UTC4558 rosak dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

UTC4558 yang rosak...

Mixer ini berjaya diselamatkan dan masalah tiada suara pada channel sebelah kanan selesai setelah keempat-empat IC rosak diatas telah saya gantikan.

Klip video di atas dan di bawah saya ambil ketika menguji mixer tersebut setelah dibaiki dan kedua-dua baris lampu indikator berkelip-kelip serta mengeluarkan suara. Sebelum dibaiki, hanya lampu sebelah kiri sahaja yang berkelip dan lampu di sebelah kanan tidak berkelip langsung.

Selamat mencuba...