Monday, 22 February 2021

Projek Pengelip Elektronik (running light)

Hari ini saya kongsikan projek elektronik pertama yang telah saya buat kira-kira 30 tahun yang lalu dan ketika itu baru mula berkerja sebagai guru sandaran di SMK Subis pada tahun 1991.

Saya mengajar mata pelajaran sains tingkatan 3 serta matematik tingkatan 1 sewaktu menjawat jawatan guru sandaran ketika itu dan tiada kaitan langsung dengan mata pelajaran kemahiran hidup. Untuk pengetahuan semua, zaman persekolahan saya juga tiada mata pelajaran kemahiran hidup.

Ketika itu saya baru sahaja menamatkan pendidikan tingkatan 6 atas dan sedang menunggu keputusan STPM. Saya sebenarnya tidak pernah membuat sebarang projek elektronik sepanjang bersekolah dan merupakan pelajar aliran sains di tingkatan 4, 5, 6 bawah dan 6 atas selama 4 tahun.

Apa yang saya belajar di sekolah hanya lah teori dan membuat esperimen mudah sahaja. Projek ini sebenarnya dirujuk oleh salah seorang pelajar dan saya tidak ingat lagi siapa pelajar tersebut.

Skematik

Asal usul projek ini ialah dari subjek kemahiran hidup ketika itu dan setiap murid dikehendaki menyiapkan projek berdasarkan skematik seperti pada gambar di atas.

Komponen yang dibekalkan ialah:-

  1. 1 bongkah penyambung
  2. 1 penyambung bateri 9v
  3. 2 biji 9013 NPN transistor (TR1/TR2)
  4. 2 biji 47uF, 16v kapasitor (C1/C2)
  5. 2 biji 33kΩ perintang (R1/R2)
  6. 4 biji LED
Pasang komponen pada bongkah penyambung..

Gambar di atas merupakan lakaran serta rupa sebenar setelah kesemua komponen telah siap dipasang pada bongkah penyambung. Lampu LED di sebelah kiri dan kanan akan berkelip secara bergilir-gilir tanpa henti jika disambung kepada sebiji bateri 9v.

Ciptaan pertama saya 30 tahun lepas...

Dari projek di atas, saya telah mendapat ilham untuk membuat lampu kelip-kelip pada plat pendaftaran motosikal saya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Bahagian belakang plat pendaftaran...

Oleh kerana bateri motosikal menggunakan bateri 12v, saya telah membuat sedikit ubahsuai dengan menambah sebiji lagi lampu LED iaitu 3 biji disambung secara bersiri dan kesemua komponennya telah saya pasang pada papan litar (stripboard/veroboard) seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Komponen telah saya pasang pada 'stripboard'...

Plat pendaftaran tersebut masih saya simpan sehingga hari ini dan klip video di bawah menunjukkan keadaan sebenar setelah dibekalkan arus elektrik. Saya dapatkan arus elektrik dari lampu brek motosikal dan ia akan berkeli-kelip setiap kali brek ditekan.

Semalam saya telah cuba membuat semula litar yang sama berdasarkan skematik di atas namun menggunakan transistor BC546 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Selain transistor yang berbeza digunakan, saya juga menukar perintang dari 33kΩ kepada 47kΩ dan hanya menggunakan dua biji lampu LED sahaja.

Ulangkaji...

Litar terbaru tersebut kini boleh berfungsi hanya dengan menggunakan bekalan bateri 3v sahaja seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.


Selamat mencuba...

Sunday, 21 February 2021

MENGCHART EQ231 dual channel equalizer repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah equalizer buatan China berjenama MENGCHART, model: EQ231 yang tidak diketahui masalahnya sebab telah lama disimpan.

MENGCHART EQ231

Untuk pengetahuan semua, fungsi equalizer ini ialah untuk melunakkan suara audio sahaja dan ada yang mengelarkannya sebagai 'audio interface'.

Model: EQ231

Sebelum saya buka, saya uji equalizer tersebut dan mendapati ada masalah pada channel B seperti boleh dilihat pada gambar di bawah iaitu lampu indikator LED menyala walaupun output/input tidak disambung.

Channel B bermasalah...

Setelah penutup atasnya saya buka, jelas kelihatan dua biji kapasitor seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah telah kembung dan harus ditukar.

Setelah penutup atas dibuka...

Setelah saya buka kedua-dua papan litarnya untuk menukar kapasitor yang rosak, saya terkejut mendapati bahawa litar pada bahagian bawahnya juga rosak serta putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Litar pada kedua-dua channel terhakis...

Saya berpendapat litar pada bahagian bawahnya rosak adalah disebabkan oleh tindakbalas cecair yang bocor dari kapasitor yang telah kembung.

Sambung litar yang putus...

Gambar di atas menunjukkan dua biji kapasitornya telah saya tukar dan litar yang putus juga telah saya sambung kembali dengan menggunakan kaki kapasitor yang telah dipotong.

Siap

Setelah kedua-dua litar yang rosak/putus telah saya baiki dan diuji, equalizer tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Saturday, 20 February 2021

Xiaomi POCO M3

Sebelum ini saya ada kongsikan telefon pintar pertama saya yang berjenama Lenovo, Model A889 dan anda boleh rujuk di sini.

POCO M3

Hari ini saya kongsikan pula telefon baru yang saya beli bagi menggantikan telefon lama yang masih boleh berfungsi namun tidak lagi menyokong aplikasi yang saya guna setiap hari serta terpaksa ditukar.

600mAh

Telefon baru yang saya pilih berjenama Xioami, model POCO M3. Saya memilih POCO M3 sebab memenuhi kriteria yang saya inginkan iaitu:-

Telefon, charger & cable sahaja...

1. Bateri 6000mAH

Dari pengalaman lepas menggunakan Lenovo A889 yang baterinya cuma 2500mAh, saya perlu mengecasnya beberapa kali sehari. Kini dengan bateri 6000mAh, saya cuma mengecas baterinya sekali setiap dua hari. Maksudnya baterinya boleh bertahan dua hari setelah dicas penuh untuk kegunaan harian saya. Kini saya tidak perlu lagi membawa bersama alat pengecas ketika turun bekerja.

turn on...

2. Kamera

Saya banyak menggunakan kamera untuk membantu saya membuat kerja harian iaitu mengambil gambar komponen halus pada papan litar untuk mengetahui nombor rujukannya. POCO M3 dilengkali dengan fungsi 'macro' yang jauh lebih canggih berbanding telefon lama. Walaupun telefon lama saya tidak mempunyai fungsi 'macro' namun gambarnya setaraf dengan POCO M3.

MIUI Global 12.0.4

3. Android 10

Jika membeli telefon baru, pastikan versi android adalah yang terbaru.

Update MIUI 12.0.4.0

4. Elak menggunakan butang on/off

Dari pengalaman lepas, benda pertama yang rosak ialah butang on/off sebab ditekan setiap kali digunakan. POCO M3 boleh digunakan tanpa menekan butang on/off. Begitu juga dengan tangkap layar (screenshot). Caranya boleh ditonton pada klip video di bawah.

5. Harga

Ketika telefon bimbit baru wujud, fungsinya hanya untuk menelefon dan menghantar sms. Kini telefon bimbit telah dinaiktaraf menjadi telefon pintar dan fungsinya hampir setaraf dengan komputer. Pun begitu, saya masih menggunakan komputer untuk menulis blog sebab banyak kesilapan jika menggunakan telefon pintar ketika menaip dan banyak masa terbuang.

Jadi, saya tidak memerlukan telefon canggih yang berharga ribuan ringgit untuk kegunaan harian. Cukup setakat memenuhi apa yang saya perlukan untuk kegiatan harian.

POCO M3 berharga RM499.00 untuk 4/64GB dan RM599.00 untuk 4/128GB.

Limited or no connectivity...

Setakat hari ini, saya berpuas hati dengan POCO M3 namun kadang-kadang mengalami masalah 'protable hotspot' seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah. Saya akan kongsikan cara penyelesaiannya setelah menemui puncanya kelak.

Authentication problem...

Banyak lagi fungsi-fungsi lain ada pada POCO M3 dan ianya telah memenuhi hampir kesemua kriteria yang saya inginkan. Hanya satu sahaja kriteria yang tidak dipenuhi iaitu pengecasan tanpa wayar. Tiada telefon pintar yang dilengkapi dengan pengecasan tanpa wayar dengan harga RM499/RM599.

Klip video di atas dan di bawah saya rakam untuk rekod dan simpanan sahaja. Telefon nowa 7i pada klip video di bawah ialah telefon buatan China dengan android 10, processor MTK6799 dan memory/srotage 8/128GB.

Semoga POCO M3 mampu berkhidmat sehingga 7 tahun seperti Lenovo A889.

Friday, 19 February 2021

Public Bank Bonus Issue - 38690

Beberapa hari lepas saya menerima sepucuk surat memberitahu bahawa saham Public Bank yang saya miliki diberi 4 bonus untuk setiap unit saham seperti boleh dilihat pada gambar di bawah pada 27/1/2021.

Notice of allotment

Maksudnya setiap unit yang saya miliki akan diberi 4 bonus atau dengan bahasa mudahnya 'satu unit kini menjadi lima unit'. Jika saya ada 100 unit, maka akan diberi 400 unit dan menjadi 500 unit. Saya sangsi sebab dunia kini dilanda pandemik CoVid-19 dan mengalami krisis ekonomi, mungkinkah PBB terkecuali?

as at 31/03/2020

Pada mulanya saya ingatkan ianya merupakan hadiah kepada semua pelaburnya dan nilainya akan bertambah sebanyak 400% (seringgit menjadi lima ringgit). 

Gambar di atas saya ambil kira-kira setahun yang lepas ketika PKP berkuatkuasa dan harga sesaham pada 18/3/2020 cuma RM12.66. Seingat saya harga sesahamnya stabil di antara RM18 sehingga RM20 sebelum diberi bonus.

As at 18/02/2021

Setelah saya periksa di laman sesawang BSKL, harga terbarunya kini cuma RM4.36 sesaham pada 27/02/2021 seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Rupa-rupanya pemberian bonus di atas sebenarnya ialah untuk menurunkan harga sesahamnya dari kira-kira RM20 ke RM4 supaya sahamnya lebih 'mampu milik' kepada pelabur. Pemberian bonus tersebut tidak menguntungkan atau merugikan pelabur sedia ada.

Jika anda berminat dengan pelaburan saham, kini masanya anda memiliki saham PBB sebab ianya sangat 'mampu milik' berbanding dahulu. Sebelum ini harga sesaham RM20 (satu lot - RM20,000) kini sesaham RM4 (satu lot RM4000).

Dahulu ketika saya baru memiliki saham PBB pada tahun 2002/2003, harga sesahamnya ialah kira-kira RM2 sahaja. Setiap tahun dividen akan diberi dua kali iaitu bulan mac & ogos.

Untuk pengetahuan semua, kira-kira hampir 20 tahun yang lepas saya sebenarnya dilema samada memilih 'pelaburan insuran' atau 'pelaburan saham'. Saya tidak menyesal sebab tidak memilih pelaburan insuran.

Fikir-fikirkan...

sumber

Thursday, 18 February 2021

Tolerance Letter Coding for Resistors & Capacitors

Jika anda melibatkan diri dalam kerja-kerja baiki-membaiki barangan elektronik, anda pasti menghadapi masalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

K vs J?
Komponen pada papan litar tercatat 0.5ΩK namun bila cari alat ganti hanya menemui 0.5ΩJ, Boleh pakai ke tak? Itu lah soalan yang sering diajukan kepada saya.

Hari ini saya akan terangkan supaya tidak lagi diajukan soalan seperti di atas. Huruf yang sentiasa ditemui pada komponen ialah J dan K. Untuk pengetahuan semua, anda boleh rujuk pada gambar di atas untuk nilai 'tolerance' bagi huruf masing-masing.

Perintang seramik

Huruf-huruf tersebut banyak digunakan pada perintang dan kapasitor. Anda mungkin perasan bahawa kini majoriti huruf J ditemui dan jarang-jarang kelihatan huruf K, kenapa? (baca sampai habis jika ingin tahu)

3K3J = 3.3kΩ, -/+5%

Sebelum menjawab soalan di atas, saya nak tunjukkan kepada anda maksudnya dahulu dengan dua contoh seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Nombor rujukan tertera pada gambar di atas ialah 3K3J yang bermaksud 3.3kΩ dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut bukannya tepat 3.3kΩ tetapi berbeza 5% dari 3.3kΩ. 5% dari 3.3kΩ ialah 0.165kΩ. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 3.135kΩ (3.3 - 0.165) sehingga 3.456kΩ (3.3 + 0.165) dan bila diukur saya dapat bacaan 3.26kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Nombor rujukan tertera pada gambar di bawah pula ialah 220KJ yang bermaksud 220kΩ dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut juga bukannya tepat 220kΩ tetapi berbeza 5% dari 220kΩ. 5% dari 220kΩ ialah 11kΩ. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 209kΩ (220 - 11) sehingga 231kΩ (220 + 11) dan bila diukur saya dapat bacaan 216kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

220KJ = 220kΩ, -/+5%

Begitu juga dengan kapasitor, huruf-huruf di belakang nilai yang tertera padanya juga menggunakan rujukan yang sama.

Kapasitor

Sebagai contoh, jika dilihat pada gambar di bawah, nombor rujukkannya ialah 684J yang bermaksud 680nF dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar kapasitor tersebut bukannya tepat 680nF tetapi berbeza 5% dari 680nF. 5% dari 680nF ialah 34nF. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 646nF (680 - 34) sehingga 714nF (680 + 34) dan bila diukur saya dapat bacaan 683nF seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

684J = 680,000pF = 680nF, -/+5%

Harus diingat, bacaan nilai kapasitor hanya betul ketika ianya masih baru dari kilang serta belum digunakan dan bukannya diambil dari papan litar sebab nilainya akan berkurangan setelah sekian lama digunakan.

Anda mungkin bertanya pula, perbezaannya hanya kira-kira dalam 1% sehingga 2% sahaja dari nilai asal, kenapa tak guna huruf F atau G? Untuk makluman semua, semua komponen diukur pada suhu 25 darjah celcius sebagai 'standard' oleh pengilang dan bacaan yang saya dapat ialah pada suhu bilik iaitu mungkin mencecah sehingga 30 darjah celcius. Bacaan biasanya berubah mengikut suhu.

R22RF = 0.22Ω, -/+1%

Mari kita lihat gambar di atas pula. Nombor rujukannya ialah R22RF yang bermaksud 0.22Ω dan F bermaksud -/+1% Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut bukannya tepat 0.22Ω tetapi berbeza 1% dari 0.22Ω. 1% dari 0.22Ω ialah 0.0022Ω. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 0.2178Ω (0.22 - 0.0022) sehingga 0.2222Ω (0.22 + 0.0022). Saya tak dapat ukur rintangan perintang di atas sebab gambar di ambil dari atas talian.

Dari contoh-contoh di atas, kesimpulannya ialah nilai yang tercatat pada komponen bukannya 100% tepat tetapi berada diantara julat tertentu dengan berpandukan huruf yang tercatat di belakangnya.

Cerita di sebaliknya ialah pihak pengeluar (kilang) sedaya-upaya membuat komponen dengan nilai paling hampir dan nilainya sentiasa berbeza-beza. Label pada komponen hanya dicetak setelah komponen telah siap dan diukur.

Jika nilainya berbeza sehingga 10% dari nilai asalnya, maka huruf K akan digunakan pada label. Jika berbeza sehingga 15% dari nilai asal, maka huruf L pula akan dicetak pada labelnya.

Teknologi kini semakin canggih dan pihak pengilang kini mampu menghasikan setepat mungkin dari nilai yang ingin dibuat. Itu lah sebabnya kenapa kini huruf K jarang-jarang muncul sebagai label pada komponen. Adakah saya telah menjawab soalan di atas?

Bagaimana pula kalau gantikan komponen yang menggunakan huruf K dengan J? Saya rasa anda boleh jawab sendiri dan buat keputusan jika faham apa yang saya terangkan di atas.

Wednesday, 17 February 2021

Lampu tolok minyak Proton Exora tidak menyala


Pagi ini saya dipanggil oleh bangkel kereta untuk memeriksa 'instrument cluster' kereta Proton Exora.

Proton Exora

Ketika diuji, semua lampu menyala kecuali bahagian indikator tolok minyak pada sebelah kiri.

Setelah dibuka...

Setelah dibuka serta diperiksa, sebiji lampu LED didapati rosak dan lokasinya telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Sebiji LED rosak...

Lampu untuk menyalakan bahagian tolok minyak menggunakan 3 biji LED berwarna oren dan disambung bersiri. Jika sebiji rosak, ketiga-tiganya tidak akan menyala.

Keluarkan LED yang rosak...
Masalah yang saya hadapi ialah tiada lampu LED jenis SMD dan berwarna oren. Saya cuma ada lampu LED biasa berwarna putih.

Gantikan LED baru...

Setelah berbincang dengan pemilik, keputusan akhir ialah 'asal menyala'. Jadi saya tukarkan lampu LED yang rosak sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan bawah.

Pasang kembali penutupnya...

Setelah LED siap ditukar dan diuji, lampu bahagian tolok minyak kembali menyala namun warnanya sedikit berbeza iaitu putih seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Testing...

Saya ada mencadangkan kepada pemilik untuk menukar ketiga-tiganya dengan warna putih namun pemilik gembira dengan warna baru iaitu putih bercampur dengan oren.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Tuesday, 16 February 2021

Sansui T-80 tuner

Radio sansui model T-80 ini saya beli dari kedai terpakai kira-kira lebih 10 tahun yang lepas.

Sansui T-80

Saya tidak ingat berapa harganya ketika dibeli namun yang pasti indikatornya tidak berfungsi dengan sempurna dan hanya sebahagian sahaja yang menyala seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

indikator rosak...

Kebelakangan ini masalahnya semakin kritikal dan kadang-kadang hanya sebelah speaker sahaja berbunyi atau tidak mengeluarkan bunyi langsung.

F-3000 digitally display circuit board

Semalam saya buka radio tersebut untuk cuba baiki namun gagal sebab kerosakkannya IC (integrated circuit) pada module 'F3000 digitally display circuit board' dan tiada lagi keluaran alat ganti di pasaran.

F-3000 digitally display circuit board

Pencarian module tersebut di atas talian juga gagal dan apa yang saya buat ialah pasang kembali tanpa menyambung kesemua wayarnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Testing...

Setelah siap dipasang kembali dan diuji, radio tersebut boleh berfungsi tanpa module tersebut, cuma tiada indikator lagi seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

FM stereo...

Lampu indikator FM stereo yang dahulunya tidak menyala kini boleh menyala dan tiada masalah kadang-kadang membisu  lagi

Noise canceler

Fungsi module tersebut selain sebagai indikator ialah mampu mengunci siaran secara digital (quartz locked). Ia juga mempunyai fungsi 'noise canceller' ketika siaran tidak jelas.

Digitally quartz locked tuner

Module tersebut merupakan permulaan era radio digital yang kita ada pada hari ini. Indikator moden kini semua menggunakan skrin LCD/LED dan bukannya menggunakan tiub seperti TV CRT serta berwarna hijau seperti dahulu.

Selamat menyambut hari radio sedunia pada Feb 13, 2021.

Monday, 15 February 2021

LG WF-F733PC pulsator metal shaft gear faulty

Hari ini saya kongsikan masalah baru yang saya temui tidak lama dahulu pada sebuah mesin basuh berjenama LG model: WF-F733PC.

Model: WF-F733PC

Pemilik memberitahu saya mesin basuhnya tidak berpusing namun mengeluarkan bunyi bising seperti ada sesuatu yang terlepas.

Tali sawat masih elok...

Ketika saya mengujinya, bunyi tersebut memang seperti ada sesuatu yang longgar atau terlepas. Pada mulanya saya syak tali sawat longgar namun bila diperiksa masih elok.

Buka pulsator...

Seterusnya saya uji semula mesin basuh dan mendapati bunyi tersebut adalah dari bahagian pulsator iaitu bahagian yang berputar di dasar mesin basuh.

Keluarkan gear yang rosak...

Setelah pulsator saya buka dan periksa, sebiji gear pada bahagian tengahnya telah haus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Kiri - baru, kanan - lama

Gear tersebut boleh dibeli dari kedai membaiki mesin basuh atau beli secara atas talian dengan harga kira-kira RM10.00 sahaja. Ketika membeli alat ganti, pastikan saiz serta jumlah gigi pada bahagian dalam dan luar adalah sama.

Gear baru...

Cara untuk mengeluarkan gear tersebut ialah ketuk dari atas dan gantikan dengan yang baru. Ketuk perlahan-lahan gear yang baru dan pastikan ianya berada pada kedudukannya dan tidak condong atau senget ketika mengetuk masuk gear yang baru.

Siap

Bunyi bising lenyap serta masih boleh digunakan semula dengan hanya menukar sebiji gear pada pulsator sahaja seperti di atas.

Tested - ok

Selamat mencuba...