Sunday, 21 August 2022

Pembiaan perbankan islam vs perbankan konvensional

Beberapa tahun yang lepas saya telah mendapatkan maklumat dari dua buah bank sahaja dengan tujuan membandingkan produk perbankan konvensional & perbankan islam namun terlupa dikongsikan.

Dewasa ini boleh dikatakan kesemua bank di negara kita menawarkan pembiayaan perbankan islam. Ketika saya berkhidmat di syarikat perbankan, saya tidak berminat mempromosikan pembiayaan islam kepada peminjam disebabkan pembiayaan islam jauh lebih mahal berbanding konvensional ketika itu.

Sebagai pegawai bank ketika itu, tanggungjawab saya ialah membantu pelanggan membuat permohonan pinjaman. Boleh dikatakan majoriti peminjam berharap pihak bank meluluskan permohonan mereka dengan kadar faedah yang minima.

Pada pandangan saya pembiayaan islam dan konvensional adalah serupa disebabkan cara kiraannya adalah sama namun dari segi konsepnya sahaja yang berbeza seperti berikut:-

Contoh pembiayaan untuk membeli rumah 20 tahun yang lalu
  1. Pembiayaan konvensional: Pembeli mencagarkan rumah yang ingin dibeli kepada bank dan bank pula menawarkan bantuan pinjaman. Faedah yang dikenakan adalah berlandaskan kepada BLR (Base lending Rate) dan jika BLR berubah, bayaran bulanan juga berubah.
  2. Pembiayaan islam: Bank terlebih dahulu membeli rumah tersebut dan kemudian menjual rumah tersebut kepada pembeli setelah ditambah dengan keuntungan. Kiraan keuntungan tidak berlandaskan BLR dan tetap. Bayaran bulanan juga adalah tetap sepanjang tempoh pembiayaan.
Jika dikira bayaran balik keseluruhan pinjaman 20 tahun yang lalu, pembiayaan islam adalah jauh lebih mahal.

Kita lupakan cerita pembiayaan islam serta konvensional 20 tahun yang lepas. Berikut merupakan pembiayaan oleh dua buah bank yang saya perolehi beberapa tahun yang lalu.

1) Bank A (menawarkan produk pembiayaan konvensional & islam)

Pembiayaan konvensional
  • pinjaman: RM200,000.00 
  • faedah: BLR - 2.2% atau 2.3%
  • tempoh pinjaman: 15 tahun
  • Bayaran bulanan: RM1,520.00 atau RM1,510.00
Pembiayaan islam
  • pinjaman: RM200,000.00
  • keuntungan: BFR - 2.2% atau 2.3%
  • tempoh: 15 tahun
  • Bayaran bulanan: RM1,519.79 atau RM1,509.63
2) Bank B (hanya menawarkan pembiayaan islam sahaja)
  • Dengan jumlah pinjaman yang sama iaitu RM200,000.00 selama 15 tahun, bayaran bulanannya ialah RM1,540.00 sebulan. (seperti pada gambar di bawah)
Carta pembiayaan islam oleh bank B

Perbezaan pembiayaan islam 20 tahun yang lalu dan kini ialah cara kiraan keuntungannya. Perbankan islam kini juga seperti perbankan konvensional berlandaskan kepada BLR serta berubah-ubah yang dikenali BFR. Jadi apa bezanya perbankan islam & perbankan konvensional sekarang?

Saya tidak pasti bagaimana perjanjian pembiayaan islam dibuat sekarang sebab 20 tahun yang lalu, dalam perjanjian pembiayaan islam dikehendaki menyatakan dengan tepat harga belian serta harga jualan. Peminjam harus melangsaikan kesemua harga jualan dalam tempoh pinjaman yang ditetapkan.

Jika kiraan keuntungan pembiayaan islam kini berlandaskan kepada BFR yang menyerupai BLR, bolehkah pihak bank menentukan harga jualan dengan tepat harga jualan dalam perjanjian pembiayaan? Setahu saya perbankan islam 20 tahun yang lepas harus menentukan harga jualan dengan tepat serta jelas dan tidak boleh berubah-ubah sebab ianya merupakan salah satu syarat patuh syariah.

Kesimpulan saya tentang pembiayaan islam dan konvensional kini ialah sama. Cuma konsep, perjanjian (agreement) serta terma sahaja yang berbeza.

Bayangkan jika pembiaan islam 20 tahun yang lalu masih digunakan sekarang dan berlakunya PKP akibat penularan CoVid-19, golongan yang memilih pembiaan islam adalah paling terkesan sebab mereka harus membayar bulanan yang sama.

Berbeza dengan pembiaan konvensional, ketika PKP, BNM telah menurunkan OPR yang menyaksikan BLR juga turut turun dan bayaran bulanan peminjam lebih rendah dari sebelumnya.

Jadi, perbankan islam yang diperkenalkan 20 tahun yang lalu itu adalah berikutan krisis ekonomi pada tahun 1996/1997 di mana BLR telah melonjak naik sehingga melebihi 10% dan peminjam sewaktu itu perlu membayar lebih dari biasa.

Alasan utama untuk memasarkan perbankan islam ketika itu ialah peminjam tidak perlu risau bayaran bulanan pinjaman jika berlakunya krisis ekonomi.

Untuk pengetahuan semua, selepas berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1996/1997, BLR telah menurun serendah kira-kira 4% dan apa yang berlaku kepada peminjam yang memilih pembiaan islam dengan kos yang lebih mahal sebelumya? Mereka tetap harus membayar bulanan mengikut perjanjian asal walaupun jauh lebih mahal.

Konsep pembiaan islam adalah sama seperti warga Pakistan yang ada di negara kita menjual barangan dari rumah ke rumah dengan kemudahan kredit. Apa mereka buat ialah beli barangan dari kedai dan jual kepada pelanggannya dengan kemudahan kredit setelah ditambah keuntungan.

Sebelum ini saya telah kongsikan kenapa simpanan perbankan islam lebih menguntungkan berbanding simpanan perbankan konvensional ketika baru diperkenalkan di negara kita dan anda boleh rujuk di sini.

Dari penerangan serta contoh yang telah saya kongsikan di atas, saya yakin anda tahu kenapa simpanan perbankan islam mampu memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding simpanan perbankan konvensional.

Jawapannya ialah pembiaan islam lebih menguntungkan dan peminjamnya perlu bayar lebih untuk jumlah pinjaman serta tempoh yang sama. Kenapa perlu bayar lebih untuk dapatkan benda yang sama?

Apa pun, wang masing-masing yang punya. Jika anda pilih bayar lebih atas sebab patuh syariah, itu juga pilihan masing-masing.

Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.