Sunday, 7 January 2024

eDividend - Brusa Malaysia

Saya telah memiliki saham PBB (1295) kira-kira 20 tahun dan secara amnya dividen akan diberi dua kali setahun.

Aplikasi Brusa Malaysia

Selama ini dividen dibayar menggunakan cek serta dipos ke alamat rumah saya tanpa masalah namun saya tidak menerima dividen yang diumumkan tahun lepas iaitu:-

  1. Dividen no. 72 pada 22/03/2023
  2. Dididen no. 73 pada 22/09/2023

Aduan kepada pihak yang menguruskan bayaran dividen iaitu Tricor investor & issuing services house sdn bhd menyarankan kepada saya untuk melanggan eDividend agar tidak hilang sewaktu dipos kepada kita.

Dapatkan 'password phrase' anda pada penyata BSKL...

Untuk makluman semua, eDividend boleh didaftar melalui aplikasi Brusa Malaysia.

Anda perlukan 'password phrase' sewaktu pendaftaran pada aplikasi Brusa Malaysia dan ianya ada tertera pada penyata BSKL yang dipos kepada kita seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Klik 'eDividen subscription'

Pastikan akaun bank yang didaftarkan haruslah sama dengan akaun yang anda gunakan untuk membuat bayaran yuran pendaftaran sebanyak RM10.

Gagal...

Gambar di atas adalah pendaftaran eDividend yang gagal saya daftar sebab akaun bank yang berbeza digunakan.

Berjaya ..

Saya tidak pasti kenapa tidak menerima kedua-dua dividen berturut-turut tahun lepas sedangkan alamatkan yang digunakan tidak pernah ditukar.

Saya syak pihak yang menguruskan bayaran dividen memang sengaja tidak menghantar cek kepada pemilik saham tahun lepas untuk memaksa semua penerima dividen supaya memilih untuk mendaftar eDividend. Alasannya mudah, jika benar hilang sewaktu dipos, tak mungkin kedua-duanya hilang sebab ianya bukan dihantar serentak. Mungkinkah pihak pejabat pos tidak menjalankan tugas mereka?

Semoga tiada lagi masalah tidak menerima dividen tahunan berlaku selepas ini.

Thursday, 4 January 2024

Tefal RK1066 multicooker - E0

Petang semalam saya telah dirujuk sebuah periuk nasi berjenama Tefal, model RK1066 dengan masalah boleh dihidupkan namun gagal memasak.

Tefal multicooker

Ketika saya menguji periuk nasi tersebut, kod E0 seperti boleh dilihat pada gambar di atas terpapar pada skrin dan semua butang tidak berfungsi bila ditekan.

Model: RK1066

Sebelum ini saya juga pernah dirujuk periuk nasi yang hampir serupa dengan masalah sama dan anda boleh rujuk di sini.

Buka skru serta penutupnya...

Melalui pengalaman lepas, saya syak kerosakkannya sama seperti yang pernah saya baiki sebelum ini iaitu wayar sensor pada penutup putus.

Salah satu wayar putus...

Gambar di atas ialah lokasi wayar yang putus dan untuk menyambung kembali, penutup bahagian atas perlu dibuka.

2 biji skru pada penutup...

Dua biji skru pada bahagian dalam penutup seperti telah saya tandakan pada gambar di atas perlu dibuka dulu sebelum membuka penutup atasnya.

Wayar yang putus...

Setelah penutup telah dibuka, sambungkan kembali wayar yang telah putus. Saya pateri sambungan menggunakan timah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sambung wayar yang putus...

Bahagian yang telah disambung harus dibalut untuk mengelak kebocoran elektrik yang mungkin boleh membahayakan pengguna.

Balut bahagian yang telah disambung...

Periuk nasi ini berjaya diselamatkan dengan hanya menyambungkan sehelai wayar yang putus sahaja.

Siap...

Tiada lagi kod E0 muncul pada skrin setelah dibaiki dan semua butang kembali berfungsi apabila ditekan.

Tested - ok

Selamat berDIY...

Monday, 1 January 2024

2024 - 10% cukai jualan pembelian online

Belanjawan 2024 telah mengenakan 10% cukai jualan kepada pembelian online dari luar negara yang bernilai RM500 ke bawah mulai hari ini (01/01/2024).

Dibeli pada 22/12/2023

Gambar di atas adalah harga barangan yang saya beli secara online di shopee pada 22/12/2023.

RM29.00 kini RM31.90

Apa yang saya perasan dua hari sebelum tahun baru 2024 ialah harga barangan yang sama saya beli telah dinaikkan sebanyak 10% seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

RM20 kini RM22

Kerajaan kata cukai jualan ini dikenakan jika bernilai RM500 ke bawah namun apa yang berlaku sekarang ialah harga barangan telah dinaikkan 10%. Maksudnya jika anda beli melebihi RM500 juga dikenakan cukai jualan 10%.

RM65.00 kini RM70.30

Selama ini kerajaan selalu menyalahkan kos bahan mentah meningkat yang menjadi punca kenaikkan harga barangan selain nilai matawang ringgit jatuh atau kurang bernilai. Kali ini harga barangan meningkat adalah disebabkan dasar (polisi) negara yang tidak mesra perniaga/pelanggan.

Saya dari dulu tak berminat membeli online di kedai tempatan sebab kos penghantaran serta harga benda yang sama lebih mahal berbanding dari luar negara. 

Lepas ini saya tetap akan beli dari luar negara sebab harganya masih lebih murah berbanding tempatan.

Kerajaan juga sering mengingatkan orang ramai agar bijak berbelanja. Jadi, kenapa kita perlu bayar lebih untuk dapatkan benda yang sama?

Fikir-fikirkan...

Saturday, 30 December 2023

theben 13A 24hrs segment time switch repair

Sebelum ini saya pernah membaiki timer yang hampir serupa seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah 'time switch' atau juga dipanggil 'timer' berjenama theben dengan masalah gagal berfungsi dan tidak padam bila tiba waktunya seperti telah dilaras.

Gambar di atas menunjukkan keadaan bahagian dalam setelah dibuka dan pemeriksaan awal mendapati pin tuil suis telah patah seperti telah saya tandakan.

Percubaan awal dengan gam kembali pin yang patah menggunakan 'super glue' gagal dan apa yang saya lakukan ialah gantikan pin yang patah dengan menggunakan besi yang sama saiz. Gambar di atas menunjukkan pin telah saya gantikan menggunakan besi.

Gambar di atas menunjukkan kedudukan apabila suis dipadam dan gambar di bawah pula menunjukkan kedudukan apabila suis telah dihidupkan.

Klip di bawah saya rakam sewaktu mengujinya dan ianya telah berjaya diselamatkan dengan menggantikan pin plastik asal yang patah dengan menggunakan pin besi sahaja.


 Selamat berDIY...

Wednesday, 27 December 2023

Cara menggunakan wang eMADANI

Awal bulan ini saya ada kongsikan cara-cara menuntut wang eMADANI 2023 sebanyak RM100 dan anda boleh rujuk di sini.

eMADANI tidak dapat dipindah atau ditebus tunai...

Untuk makluman semua, wang eMADANI tidak boleh dipindahkan ke mana-mana akaun termasuk akaun pribadi masing-masing. Ianya hanya boleh dibelanjakan pada merchant yang mengambil bahagian sahaja.

Tak boleh guna wang eMADANI di shopee...

Walaupun wang tersebut berada di ShopeePay namun ianya tidak dapat dibelanjakan di laman shopee sebab shopee bukan merchant yang mengambil bahagian atau berdaftar. Pihak shopee hanya memberi khidmat e-dompet sahaja.

Belanja eMADANI di KFC...

Saya telah membelanjakan sebanyak RM20.00 & RM17.50 di KFC setakat blog ini ditulis. Ingat, eMADANI harus dibelanjakan sebelum/pada 29/2/2024. Jika tidak dibelanjakan pada/sebelum tarikh akhir 29/2/2024, ianya akan lesap dari e-dompet anda entah ke mana.

Banyak peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan melalui e-dompet sebelum ini namun saya tidak tuntut sebab tiada akaun yang mempunyai e-dompet sebelum ini selain akaun bank.

Saya tak berminat akaun e-dompet (eWallet) seperti ShopeePay, Touch&Go, Boost dan sebagainya sebab jika wang disimpan di bank, ada faedah walaupun tak seberapa. Jika anda memerlukan dana, mungkin penyediaan e-dompet seperti pihak shopee lakukan adalah satu kaedah mudah untuk dapatkan dana percuma.

Dulu kita cuma ada akaun bank sahaja dan setiap tahun BNM umum berbilion wang tidak dituntut. Apa akan terjadi kepada wang e-dompet yang tidak dituntut akan datang? Ke mana perginya wang tersebut? Berapa banyak akaun e-dompet yang anda ada sekarang?

Saya cadangkan, jika boleh gabungkan semua e-dompet di bawah satu badan atau organisasi seperti BNM agar tidak dimanipulasi serta elak disalahguna oleh pihak tertentu.

Fikir-fikirkan...

Sunday, 24 December 2023

FLUKE 115 multimeter repair

Baru-baru ini pelaras pada multimeter berjenama FLUKE model 115 saya tiba-tiba boleh dilaras melebihi bahagian OFF seperti boleh dilihat pada gambar di bawah

FLUKE 115

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan penahan di dalamnya telah patah atau pecah.

Buka kesemua skru...

Jika anda berhajat DIY, anda perlu buka multimeter untuk mengetahui kerosakkannya. Setelah penutup dibuka, 7 biji skru seperti telah saya tandakan pada gambar di atas perlu dibuka untuk mengeluarkan papan litar.

Setelah dibuka...

Setelah papan litar dikeluarkan baru lah penahan yang pecah kelihatan dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Penahan pecah...

Cara paling senang untuk lekatkan penahan yang pecah tersebut ialah menggunakan 'super glue'.

Gam guna 'super glue'...

Setelah siap digam, pasang kembali kesemua bahagian yang telah dibuka sebelumnya.

Tested - ok

Selamat berDIY...

Thursday, 21 December 2023

Primada PS-620S intelligent processor

Minggu lepas saya dirujuk sebuah pengisar elektrik berjenama Primada, model PS-620S dan diberitahu masalahnya ialah gagal berfungsi sahaja.

Primada PS-620S

Pemilik hanya mengirimkan pengisar sahaja kepada saya dan ianya tidak akan boleh berfungsi tanpa cawan pengisar.

Model: PS-620S

Ini adalah disebabkan pengisar mesti dilengkapi dengan suis keselamatan pada cawan pengisar. Maksudnya, pengisar hanya akan berfungsi setelah cawannya telah dipasang kepadanya dengan betul serta lengkap.

Setelah penutup bawah dibuka...

Bagi membuat pintasan suis keselamatan, saya terpaksa membuka pengisar untuk mengetahui cara serta kedudukan suis tersebut.

Wayar suis keselamatan...

Gambar di atas adalah kabel suis keselamatan yang telah saya cabut dari papan litar dan ianya disambung kepada soket seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Lokasi penyambung suis keselamatan...

Soket tersebut mempunyai 4 pin namun cuma 2 pin sahaja digunakan dan gambar di bawah menunjukkan dua pin yang berfungsi sebagai suis keselamatan telah saya buat pintasan.

Buat pintasan (bypass)...

Pengisar ini berfungsi dengan normal sewaktu saya mengujinya dengan membuat pintasan pada suis keselamatan.

Kemungkinan masalahnya ialah pada suis keselamatan di cawan pengisar atau mungkin juga bearing pada cawan pengisar telah berkarat serta gagal berpusing.

Jika anda ada masalah pengisar dan berhajat untuk dibaiki, pastikan hantar dengan lengkap atau bawa bersama cawannya sekali agar tukang baiki seperti kami mampu membuat pemeriksaan menyeluruh.

Oleh kerana ianya dihantar tidak lengkap, saya cuma mampu memastikan tiada kerosakkan pada motor sahaja serta boleh berfungsi normal setelah mengujinya dengan membuat pintasan sahaja.

Monday, 18 December 2023

Ucapan 'Merry Christmas' Pada Kek di Premis Makanan Halal

Hari ini saya kupas isu yang tular semalam berkaitan ucapan 'Merry Christmas' pada kek di premis yang mempunyai sijil halal JAKIM seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Isu ini pernah hangat beberapa tahun yang lalu di mana pemahaman pengusaha serta orang awam ialah ucapan 'Merry Christmas' pada kek adalah tidak dibenarkan jika pengusaha memiliki sijil halal JAKIM yang tertaluk kepada syarat-syarat serta terma-terma pensijilan halal.

Untuk makluman semua, isu ini sebenarnya telah selesai sewaktu tular beberapa tahun lalu seperti berikut:-

  1. Kek yang dipamerkan (display) adalah TIDAK dibenarkan
  2. Logo halal TIDAK boleh digunakan pada label/pembungkusan sebab mempromosi perayaan agama lain.

Saya tidak pasti pekeliling seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas sengaja diedarkan untuk tujuan promosi (iklan percuma) atau salah faham pihak pengusaha tersebut.

Yang pasti banyak pihak yang tampil menjelaskan isu lama serta berulang ini termasuk JAKIM sendiri serta MCMC dan kebanyakkannya hanya melakukan tugas 'copy & paste' sahaja.

Orang ramai pula hanya baca tajuk serta lihat gambar sahaja menjadi punca ianya hangat semula.

Kesimpulannya ialah, pihak JAKIM memang TIDAK membenarkan ucapan 'Merry Christmas' pada kek yang dipamerkan (display) di premis serta mana-mana label/pembungkusan yang mempunyai logo halal kepada pengusaha yang memiliki sijil halal mereka.

Tiada halangan jika kek tersebut ditempah oleh pelanggan tanpa dipamerkan namun pastikan tiada logo halal pada mana-mana label serta pembungkusan atau kotak dan mungkin juga termasuk beg plastik yang digunakan. Bukankah mesej yang nak disampaikan di sini bahawa kek yang mengandungi ucapan 'Merry Christmas' itu haram?

Jika tiada kuasa tular (viral) zaman moden sekarang, mungkin semua pemilik sijil halal JAKIM telah tak dibenarkan membuat kek dengan ucapan 'Merry Christmas'.

Saya berpendapat ini adalah penjajahan zaman moden secara halus jika gagal ditangani dengan akal logik. 

Fikir-fikirkan...