Monday, 22 August 2022

ECONLITE EM-11PC emergency light repair

Baru-baru ini saya dirujuk 9 buah lampu kecemasan dengan masalah biasa iaitu:-

  1. lampu fluorescent/LED tidak menyala langsung
  2. lampu fluorescent/LED boleh menyala namun sekejap sahaja
  3. lampu fluorescent/LED tidak padam setelah dibekalkan arus elektrik
ECONLITE RM-11PC

Masalah sedemikian pernah saya kongsikan sebelum ini dan masalahnya ialah:-

  1. Bateri rosak
  2. Bateri kehabisan cas sebab tidak mengecas
Model: EM-11PC

Sewaktu lampu kecemasan dirujuk kepada saya, semua baterinya telah kehabisan cas dan apa yang perlu dilakukan ialah caskan bateri satu per satu.

Setelah penutup dibuka...

Jika bateri boleh menyimpan cas, masalahnya ialah disebabkan sistem pengecas tidak berfungsi dan kerosakkannya hanya pada sebiji kapasitor dengan nilai 100uf, 16v sahaja seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Komponen yang rosak...

Jika bateri tidak mampu lagi menyimpan cas, gantikan baterinya. Voltan bateri yang rosak akan menurun dengan cepat jika dikeluarkan daripada pengecas.

7 buah lampu kecemasan rosak kapasitor sahaja...

Untuk pengetahuan semua, 7 daripada 9 buah lampu yang dirujuk kepada saya kali ini mengalami masalah tidak mengecas dan cuma perlu menukarkan kapasitor sahaja.

Kapasitor rosak - 'high ESR'

Gambar di atas menunjukkan kapasitor yang rosak dan bacaan ESR sangat tinggi (0.15kΩ = 150Ω). Kapasitor dengan nilai 100uf, 16v yang elok bacaan ESRnya ialah di bawah 1Ω.

Selamat berDIY...

Sunday, 21 August 2022

Pembiaan perbankan islam vs perbankan konvensional

Beberapa tahun yang lepas saya telah mendapatkan maklumat dari dua buah bank sahaja dengan tujuan membandingkan produk perbankan konvensional & perbankan islam namun terlupa dikongsikan.

Dewasa ini boleh dikatakan kesemua bank di negara kita menawarkan pembiayaan perbankan islam. Ketika saya berkhidmat di syarikat perbankan, saya tidak berminat mempromosikan pembiayaan islam kepada peminjam disebabkan pembiayaan islam jauh lebih mahal berbanding konvensional ketika itu.

Sebagai pegawai bank ketika itu, tanggungjawab saya ialah membantu pelanggan membuat permohonan pinjaman. Boleh dikatakan majoriti peminjam berharap pihak bank meluluskan permohonan mereka dengan kadar faedah yang minima.

Pada pandangan saya pembiayaan islam dan konvensional adalah serupa disebabkan cara kiraannya adalah sama namun dari segi konsepnya sahaja yang berbeza seperti berikut:-

Contoh pembiayaan untuk membeli rumah 20 tahun yang lalu
  1. Pembiayaan konvensional: Pembeli mencagarkan rumah yang ingin dibeli kepada bank dan bank pula menawarkan bantuan pinjaman. Faedah yang dikenakan adalah berlandaskan kepada BLR (Base lending Rate) dan jika BLR berubah, bayaran bulanan juga berubah.
  2. Pembiayaan islam: Bank terlebih dahulu membeli rumah tersebut dan kemudian menjual rumah tersebut kepada pembeli setelah ditambah dengan keuntungan. Kiraan keuntungan tidak berlandaskan BLR dan tetap. Bayaran bulanan juga adalah tetap sepanjang tempoh pembiayaan.
Jika dikira bayaran balik keseluruhan pinjaman 20 tahun yang lalu, pembiayaan islam adalah jauh lebih mahal.

Kita lupakan cerita pembiayaan islam serta konvensional 20 tahun yang lepas. Berikut merupakan pembiayaan oleh dua buah bank yang saya perolehi beberapa tahun yang lalu.

1) Bank A (menawarkan produk pembiayaan konvensional & islam)

Pembiayaan konvensional
  • pinjaman: RM200,000.00 
  • faedah: BLR - 2.2% atau 2.3%
  • tempoh pinjaman: 15 tahun
  • Bayaran bulanan: RM1,520.00 atau RM1,510.00
Pembiayaan islam
  • pinjaman: RM200,000.00
  • keuntungan: BFR - 2.2% atau 2.3%
  • tempoh: 15 tahun
  • Bayaran bulanan: RM1,519.79 atau RM1,509.63
2) Bank B (hanya menawarkan pembiayaan islam sahaja)
  • Dengan jumlah pinjaman yang sama iaitu RM200,000.00 selama 15 tahun, bayaran bulanannya ialah RM1,540.00 sebulan. (seperti pada gambar di bawah)
Carta pembiayaan islam oleh bank B

Perbezaan pembiayaan islam 20 tahun yang lalu dan kini ialah cara kiraan keuntungannya. Perbankan islam kini juga seperti perbankan konvensional berlandaskan kepada BLR serta berubah-ubah yang dikenali BFR. Jadi apa bezanya perbankan islam & perbankan konvensional sekarang?

Saya tidak pasti bagaimana perjanjian pembiayaan islam dibuat sekarang sebab 20 tahun yang lalu, dalam perjanjian pembiayaan islam dikehendaki menyatakan dengan tepat harga belian serta harga jualan. Peminjam harus melangsaikan kesemua harga jualan dalam tempoh pinjaman yang ditetapkan.

Jika kiraan keuntungan pembiayaan islam kini berlandaskan kepada BFR yang menyerupai BLR, bolehkah pihak bank menentukan harga jualan dengan tepat harga jualan dalam perjanjian pembiayaan? Setahu saya perbankan islam 20 tahun yang lepas harus menentukan harga jualan dengan tepat serta jelas dan tidak boleh berubah-ubah sebab ianya merupakan salah satu syarat patuh syariah.

Kesimpulan saya tentang pembiayaan islam dan konvensional kini ialah sama. Cuma konsep, perjanjian (agreement) serta terma sahaja yang berbeza.

Bayangkan jika pembiaan islam 20 tahun yang lalu masih digunakan sekarang dan berlakunya PKP akibat penularan CoVid-19, golongan yang memilih pembiaan islam adalah paling terkesan sebab mereka harus membayar bulanan yang sama.

Berbeza dengan pembiaan konvensional, ketika PKP, BNM telah menurunkan OPR yang menyaksikan BLR juga turut turun dan bayaran bulanan peminjam lebih rendah dari sebelumnya.

Jadi, perbankan islam yang diperkenalkan 20 tahun yang lalu itu adalah berikutan krisis ekonomi pada tahun 1996/1997 di mana BLR telah melonjak naik sehingga melebihi 10% dan peminjam sewaktu itu perlu membayar lebih dari biasa.

Alasan utama untuk memasarkan perbankan islam ketika itu ialah peminjam tidak perlu risau bayaran bulanan pinjaman jika berlakunya krisis ekonomi.

Untuk pengetahuan semua, selepas berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1996/1997, BLR telah menurun serendah kira-kira 4% dan apa yang berlaku kepada peminjam yang memilih pembiaan islam dengan kos yang lebih mahal sebelumya? Mereka tetap harus membayar bulanan mengikut perjanjian asal walaupun jauh lebih mahal.

Konsep pembiaan islam adalah sama seperti warga Pakistan yang ada di negara kita menjual barangan dari rumah ke rumah dengan kemudahan kredit. Apa mereka buat ialah beli barangan dari kedai dan jual kepada pelanggannya dengan kemudahan kredit setelah ditambah keuntungan.

Sebelum ini saya telah kongsikan kenapa simpanan perbankan islam lebih menguntungkan berbanding simpanan perbankan konvensional ketika baru diperkenalkan di negara kita dan anda boleh rujuk di sini.

Dari penerangan serta contoh yang telah saya kongsikan di atas, saya yakin anda tahu kenapa simpanan perbankan islam mampu memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding simpanan perbankan konvensional.

Jawapannya ialah pembiaan islam lebih menguntungkan dan peminjamnya perlu bayar lebih untuk jumlah pinjaman serta tempoh yang sama. Kenapa perlu bayar lebih untuk dapatkan benda yang sama?

Apa pun, wang masing-masing yang punya. Jika anda pilih bayar lebih atas sebab patuh syariah, itu juga pilihan masing-masing.

Fikir-fikirkan...

Saturday, 20 August 2022

PHILIPS HP4823/00 hair dryer repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah alat pengering rambut berjenama PHILIPS, model HP4823/00 dengan masalah tidak berfungsi apabila dilaras ke kelajuan tinggi (no. 2).

PHILIPS HP4823/00

Pemeriksaan keterusan pada plug top mendapati tiada keterusan setelah dilaras ke no. 2.

Setelah penutup dibuka...

Bentuk fizikal luaran alat pengering rambut ini juga telah 'out of shape' sebab pernah mengalami panas melampau (overheating).

Lubang suis 'out of shape'...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati punca tiada keterusan apabila dilaras ke no. 2 ialah disebabkan suis gagal ditolak sepenuhnya ke atas akibat daripada lubang suis yang juga telah 'out of shape' seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Setelah lubang suis telah di kikis...

Apa yang saya lakukan ialah kikis lubang suis sehingga bentuknya kembali seperti asal dan boleh dilihat pada gambar di atas.

Masalah tidak berfungsi setelah dilaras ke no. 2 selesai setelah lubang suisnya telah saya kikis dan ianya masih boleh digunakan semula.

Selamat berDIY...

Friday, 19 August 2022

TK audio TK-PRO150 portable wireless PA amplifier system

Semalam saya dirujuk sebuah PA system berjenama TK audio, model TK-PRO150 dengan masalah hanya berfungsi apabila pengecas disambung sahaja.

Jenama: TK audio

Sebelum ini saya pernah kongsikan masalah sedemikian dan anda boleh rujuk di sini.

Model: TK-PRO150

'Portable wireless PA amplifier system' ini dilengkapi dengan bateri dan masalah biasa berlaku adalah disebabkan bateri telah rosak.

Bahagian belakang...

Setelah bateri telah dibuka dan diperiksa, voltannnya cuma 2v sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

2v sahaja...

Masalah selesai setelah bateri yang rosak telah saya gantikan dengan yang baharu.

Gantikan bateri baharu...

Selamat mencuba...

Thursday, 18 August 2022

Bateri Lampu kecemasan (Ni-MH)

Beberapa tahun yang lalu saya pernah kongsikan pengalaman membaiki sebuah 'keluar sign' yang mengalami kerosakkan bateri dan anda boleh rujuk di sini.

Lampu kecemasan ini juga telah saya baiki dan tukarkan baterinya dengan menggunakan bateri 18650 atau bateri lithium pada 25/9/2018.

Baru-baru ini ianya dirujuk semula kepada saya dengan masalah bateri lithium telah meletup seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Saya telah gantikan beberapa buah lampu kecemasan dengan menggunakan bateri lithium beberapa tahun lepas dan ini merupakan kes pertama bateri telah meletup.

Untuk pengetahuan semua, penggunaan bateri lithium bagi menggantikan bateri asal (Ni-MH) adalah tidak sesuai sebab sistem pengecasan tidak sama.

Jika nak gantikannya dengan menggunakan bateri lithium, gantikan pengecasnya juga bagi mengelak kejadian yang tidak diingini seperti di atas berlaku.

Saya telah gantikan bateri yang meletup dengan menggunakan bateri jenis Ni-MH semula dan ianya kembali berfungsi semula.

Guna bateri asal (Ni-MH)

Selamat mencuba...

Wednesday, 17 August 2022

Carrier R14A/CE Aircon Remote Control repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan cara-cara membaiki alat kawalan jauh seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Carrier aircon remote control

Pagi ini saya dirujuk sebuah lagi alat kawalan jauh yang serupa dengan masalah skrin menyala namun butang tidak berfungsi apabila ditekan. Pemilik memberitahu saya masalah tetap sama setelah bateri telah ditukar dengan yang baharu.

TYPE: R14A/CE

Seperti biasa, masalah sejagat alat kawalan jauh adalah disebabkan cecair bateri yang bocor telah meresap ke papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah dibuka...

Setelah papan litar dibersihkan dan diperiksa saya menemui satu litar telah putus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Litar pada PCB putus...

Setelah kerja pembersihan siap dan litar yang putus telah saya sambung kembali serta diuji, masalahnya tetap sama iaitu semua butang tidak berfungsi apabila ditekan.

Sambung litar yang putus...

Seterusnya saya periksa bateri dan menemui salah sebiji cuma 0.275v sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Masalah selesai setelah bateri yang rosak telah saya gantikan dengan yang baharu. Saya tak periksa bateri dari mula sebab yakin pemilik telah menggantikan dengan baharu namun tak sangka pula bateri baharu juga ada yang rosak.

Selamat berDIY...

Tuesday, 16 August 2022

Laney RB3 combo bass guitar amplifier repair

Amplifier berjenama Laney, model RB3 ini telah dirujuk kepada saya setahun yang lalu dan ianya gagal dibaiki.

Laney RB3

Masalah ketika dirujuk kepada saya ialah langsung tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik. Pemilik telah memberitahu saya yang dia telah gantikan fius utama namun juga putus. Fius yang digunakan cuma 1.6A sahaja.

Model: RB3

Pemeriksaan awal mendapati speakernya mengalami litar pintas selain fius utama yang dinyatakan di atas putus. 'Voice coil' speaker juga melekat dan tidak bebas bergerak sewaktu saya cuba menekannya.

Speaker rosak...

Seterusnya saya buka bahagian amplifier dan ic berlabel TDA7294 juga rosak serta mengalami litar pintas.

Litar amplifier ini sangat mudah dan pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang komponen lain yang rosak selain TDA7294 sahaja.

TDA7294

Setelah saya gantikan ic TDA7294, speaker serta fius dan diuji, ic tersebut terus berasap apabila suis dihidupkan. Macam-macam cara telah saya cuba termasuk menukarkan ic dengan menggunakan TDA7293 namun menemui kegagalan dan keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di penghujung artikel ini.

Siap...

Baru-baru ini saya telah kongsikan kejayaan saya membina sebuah amplifier dengan menggunakan transistor C5200 & A1943 di sini.

Gantikan speaker baharu...

Saya telah gantikan TDA7294 dengan aplifier yang saya DIY menggunakan transistor C5200/A1943 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gantikan TDA7294 dengan amplifier DIY...

'Input signal' saya ambil dari pin ke-2 & ke-3 bahagian ic TDA7294 yang telah dikeluarkan. Bekalan elektrik saya ambil dari kapasitor utama dan bacaan voltannya ialah:-

  • +VCC = +42vdc
  • Ground = 0v
  • -VCC = -42v
4Ω, 175W RMS

Saya gantikan speaker yang rosak dengan rating sedikit berbeza iaitu 4Ω, 175W RMS. Rating speaker asalnya ialah 4Ω, 180W.

Tested - ok

Amplifier DIY saya berfungsi dengan baik menggantikan ic TDA7294 dan telah beberapa jam diuji tanpa masalah.

Selamat mencuba...

Monday, 15 August 2022

JOVEN EC802 water heater repair

Water heater ini telah dirujuk kepada saya beberapa minggu yang lepas dan masalah ketika dirujuk kepada saya ialah boleh dihidupkan namun tidak panas.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, wayar neutral yang disambung ke relay telah lebur seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Wayar neutral pada relay lebur...

Setelah relay tersebut dibuka dan diperiksa dengan membekalkan 12vdc, ada kedengaran bunyi 'tik' namun tiada keterusan pada terminal suis.

G8P-1A4TP 12vdc relay

Rating relay tersebut ialah 30A dengan nombor rujukan G8P-1A4TP seperti tertera pada label dan boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan relay baharu...

Water heater ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah relay yang rosak telah saya gantikan dengan yang baharu.

Selamat mencuba...