Thursday, 21 April 2022

Pro'sKit MT-2017 multimeter repair

Setelah saya kongsikan pengalaman membaiki multimeter saya yang berjenama Pro'sKit minggu lepas, hari ini saya dirujuk sebuah multimeter serupa dengan masalah bacaan bahagian rintangan tidak tepat.

Pro'sKit MT-2017

Ketika saya mengujinya, bacaan pada pilihan X100 & X1K berbeza jauh. Saya ukur perintang 1kΩ namun dapat bacaan 6kΩ jika menggunakan X100 dan dapat bacaan 60kΩ apabila menggunakan X1K.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya tidak menemui sebarang komponen yang meragukan. Pemeriksaan awal pada komponen menggunakan multimeter juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

D7 = TVS diode

Setelah memeriksa dengan teliti, akhirnya saya dapati sebiji diod yang berlabel D7 seperti telah saya tandakan pada gambar di atas meragukan.

TVS diode

Ketika saya memeriksa diod tersebut, ianya seolah-olah elok seperti diod biasa namun diod ini tidak dilabel katod serta anod. Diod ini sebenarnya bukan diod biasa namun ianya adalah diod jenis TVS (Transient Voltage Suppressor diode) dan ianya seharusnya tiada keterusan pada kedua-dua arah bila diperiksa menggunakan multimeter.

FUSE & DIODE PROTECTION...

Oleh kerana ianya adalah diod jenis TVS, jadi saya uji multimeter dengan mengeluarkan diod TVS tersebut dari papan litar dan masalah bacaan tidak tepat selesai. Anda boleh tonton klip video di bawah untuk keterangan lanjut.


 Selamat mencuba...

Wednesday, 20 April 2022

Wall clock repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah jam dinding yang tidak berjenama dan ianya buatan China dengan masalah tidak berfungsi walaupun baterinya telah diganti dengan yang baharu.

Jam dinding tidak berjenama...

Ini adalah masalah lazim pada jam jenis quartz dan peluang berjaya dibaiki ialah 50%. Jika tidak berjaya dibaiki, mechanism ataupun mesin jam perlu ditukar dengan yang baharu. Anda boleh rujuk cara menukarnya di sini.

Sambungan bateri berkarat...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati bahagian penyambung bateri ke papan litar teroksida/berkarat seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Setelah karat dibersihkan...

Sebelum ini saya pernah kongsikan masalah jam quartz sebegini dan anda boleh rujuk di sini. Apa yang perlu dilakukan ialah bersihkan bahagian yang teroksida/berkarat sahaja.

Jam ini berjaya diselamatkan dengan hanya membersihkan bahagian penyambung bateri yang berkarat sahaja dan klip video di atas saya ambil ketika mengujinya.

Penutup belakang pecah ketika dibuka...

Ketika membuka mechanism (mesin jam), kadang-kadang bahagian plastik akan pecah sebab rapuh dan ianya boleh ditangani dengan menggunakan super glue.

Gam bahagian pecah menggunakan super glue...

Cara menggunakan super glue supaya ianya melekat dengan kuat ialah:-

  1. sapukan super glue pada kedua-dua belah bahagian yang pecah
  2. biarkan seketika sehingga gam hampir kering baru dicantumkan (jangan cantumkan ketika masih cair)
  3. setelah dicantumkan, biarkan sehingga betul-betul kering sebelum dipasang kembali
Siap...

Selamat mencuba...

Tuesday, 19 April 2022

750vac scale on sunwa YX360TRF

Multimeter ini telah saya baiki minggu lepas dan anda boleh rujuk di sini. Setelah saya membuat klip video menerangkan cara-cara menggunakannya di youtube, saya dapati bahawa tiada skala untuk 750vac tertera pada multimeter ini.

750 - ACV

Skala yang ada pada multimeter ini cuma 10, 50 dan 250 sahaja seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Nak guna skala mana? 10, 50 atau 250?

Katakan saya ingin mengukur voltan 3 fasa (3 phase) dan laraskan kepada 750 untuk mengukur kira-kira 415vac, skala mana satu yang kita harus guna pakai?

240vac (laras ke 250)

Setelah berfikir sejenak, saya akhirnya membuat perbandingan dengan menukur voltan elektrik pada soket di rumah saya dan bacaannya adalah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

240vac (Laras ke 750)

Dari bacaan di atas, saya boleh simpulkan bahawa skala yang digunakan ketika dilaras kepada 750 pada bahagian ACV ialah 10 seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Skala untuk 750...

Selamat mencuba...


Monday, 18 April 2022

Baiki meter minyak Perodua Kelisa

Kereta Perodua Kelisa saya dibeli pada tahun 2006 namun tolok minyak (fuel gauge) telah rosak pada tahun 2009 dan diganti dengan alat ganti terpakai pada harga seperti tertera pada gambar di bawah.

Ganti meter baharu - 2009

Ketika rosak pada tahun 2009 saya masih belum berjinak-jinak dengan elektrik/elektronik lagi dan jika tidak silap, pihak perodua memberitahu saya mereka tidak jual tolok minyak sahaja dan harus menukarkan keseluruhan 'instrument cluster' dengan harga beberapa ratus ringgit.

Buka dua biji skru...

Setelah berbincang dengan pomen akhirnya dia menawarkan sebuah alat ganti terpakai diambil dari kereta model kenari dengan harga lebih rendah.

Setelah penutup atas dibuka...

Tolok minyak asal masih saya simpan dan hujung minggu lepas saya terjumpa di dalam stor penyimpanan di rumah saya.

Wayar putus...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya telah menemui punca kenapa tolok minyak tersebut gagal berfungsi. Puncanya ialah salah satu wayar pada tolok tersebut putus seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Bacaan ketika putus (390Ω)

Untuk rekod, saya ukur rintangan sebelum wayar yang putus disambung dan dapat bacaan 390Ω seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Sambung bahgian yang putus...

Setelah wayar yang putus telah saya sambungkan dan diukur semula rintangannya, saya dapat bacaan 176.8Ω seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bacaan setelah disambung (176.8Ω)

Klip video di bawah saya rakam ketika saya menguji tolok minyak dengan menggunakan multimeter yang dilaras kepada x1 pada multimeter.

Tolok minyak ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah dengan hanya menyambungkan semula wayar yang putus sahaja.

Tested - ok

Seandainya tolok minyak ini rosak pada ketika ini sudah tentu saya tidak perlu menukarkannya seperti yang berlaku 13 tahun yang lalu.

Tolok minyak ini telah saya baiki serta diuji boleh berfungsi dan jika ada yang memerlukannya, anda boleh hubungi saya dengan meninggalkan komen di bawah. Ianya sedia dilepaskan bila-bila masa dengan harga yang berpatutan.

Selamat mencuba...

Sunday, 17 April 2022

Tersimpan rambut panjang

Sejak PKP bermula pada 18/3/2020 sehingga hari ini, saya cuma menggunting rambut saya sekali sahaja pada 17/09/2020. Sebelum PKP bermula, saya mengunting rambut sekali setiap bulan.

17/09/2020 @ 14:24:56hrs

Dari 17/09/2020 sehingga ke hari ini saya tidak mengunting rambut dan kini perlu diikat supaya kemas ketika turun bekerja.

Info gambar di atas...

Dari dahulu lagi saya tidak dapat menyimpan rambut panjang sebab akan sakit yang mungkin disebabkan oleh terlalu panas ketika rambut mulai panjang.

Berlainan kali ini, saya telah berjaya untuk tidak mengunting rambut hampir dua tahun. Tiada niat di hati untuk menyimpan rambut tetapi disebabkan pandemik CoVid-19 melanda dunia dan saya takut akan dijangkiti jika melawat kedai gunting rambut sebab ianya tertutup dan saya berpendapat ianya mudah berjangkit (jika ada).

Tambahan pula di rumah saya masih ada orang tua (bapa) yang berusia 80 tahun, jika saya terbawa virus pulang ke rumah dan menjangkiti beliau, resikonya amat berat untuk ditanggung.

Walaupun kini kita di fasa endemik, saya masih belum berani untuk ke kedai gunting rambut lagi setakat ini.

Rambut panjang sebenarnya mahal untuk dijaga sebab kos sampoo sangat tinggi. Selain daripada itu rambut panjang perlu masa untuk dikeringkan dan saya tidak suka menggunakan alat pengering rambut.

Jika anda tanya saya apa kebaikan menyimpan rambut panjang, jawapan saya ialah:-

  1. Tidak perlu melawat kedai gunting dan kos memotong rambut digunakan untuk membeli sampoo.
  2. Jimat minyak rambut sebab cuma perlu ikat rambut sahaja supaya kemas dan tidak perlu risau apa fesyen rambut.
  3. Selepas diikat tidak perlu risau rambut berserabut jika ditiup angin.

Sesuatu yang saya perasan ketika berambut panjang ialah memori ingatan saya semakin baik. Sebelum ini saya pernah mengalami masalah cepat hilang ingatan (mungkin disebabkan faktor usia) namun selepas berambut panjang, tiada masalah hilang ingatan lagi.

Mungkinkah sebahagian ingatan/memori disimpan pada rambut? Tahukah anda perempuan mempunyai daya ingatan yang lebih baik daripada lelaki? Mungkinkah rambut adalah faktornya sebab majoriti perempuan berambut panjang.

Ramai ilmuan serta para saintis berambut panjang seperti Issac Newton, Albert Einstein, Leonardo Da Vinci, Benjamin Franklin, Blaise Pascal dan lain-lain. Kenapa?  Apakah ianya cuma kebetulan?

Fikir-fikirkan...

Saturday, 16 April 2022

sanwa YX360TRF multimeter repair

Multimeter ini telah lama dirujuk kepada saya sebab rosak teruk dan telah diistihar 'beyond repair' suatu ketika dahulu namun saya tidak membuangnya.

sanwa YX360TRF multimeter

Jenama multimeter ini ialah sanwa, model: YX360TRF dan ianya buatan Jepun (Made in Japan).


Banyak multimeter seperti ini adalah tiruan dan dilabel sunwa, sunwei, samwa, sanwai, sunma dan sebagainya. Ada yang tidak berlabel langsung namun penampilannya seperti multimeter buatan Jepun ini.

Model: YC360TRF

Setahu saya multimeter ini sangat berkualiti dan tidak mudah rosak jika digunakkan dengan cara yang betul sebab ianya dilengkapi dengan fius keselamatan.

Setelah penutup belakang dibuka...

Setelah dibuka, benda pertama yang saya nampak ialah fiusnya telah putus tetapi disambung dengan wayar tembaga seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Fius 0.5A???

Gambar di bawah menunjukkan keadaan papan litar setelah saya buka dan banyak litar yang putus.

Setelah papan litar dibuka...

Pemeriksaan menyeluruh mendapati beberapa komponen turut rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah iaitu:-

  1. sebiji TVS diod (SJ 5C)
  2. sebiji zener diod
  3. 2 biji perintang (0Ω)
  4. sebiji kapasitor
Siap...

Multimeter ini telah berjaya diselamatkan dan keterangan lanjutnya boleh anda tonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Friday, 15 April 2022

Berapa lama LED driver boleh bertahan?

LED driver ini pernah saya baiki beberapa tahun lepas dan telah saya kongsikan di sini.

Pernah dibaiki pada 12/7/2019

Rekod pada LED driver tertera tarikh 12/7/2019 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan ini bermaksud ianya boleh digunakan lebih 3 tahun setelah kali terakhir saya baiki sebelum ini. Untuk makluman semua, menurut pemilik, LED driver ini digunakan 24 jam sehari tanpa dipadam.

Masalahnya kali ini ialah lampu LED boleh menyala namun berkelip-kelip seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Kapasitor utama rosak (10uF, 450v)

Setelah saya buka kali ke-2 untuk dibaiki, kali ini kapasitor utama pula rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di atas. Seingat saya, 3 tahun yang lepas saya telah gantikan kapasitor output yang berwarna biru dengan nilai 22uF, 100v dan masih elok setelah lebih 3 tahun digunakan.

Kapasitor rosak...

Ini contoh LED driver yang berkualiti dan boleh digunakan semula seperti baru dibeli setelah dibaiki.


Jika lampu LED rosak dan anda berhajat guna semula LED driver, pastikan kuasa lampu yang dibeli bersesuaian dengan LED driver.

Selamat berDIY...

Thursday, 14 April 2022

STARTECH ST-1000 telephone

Semalam saya dirujuk sebuah telefon berjenama STARTECH model ST-1000 dengan masalah seperti boleh ditonton pada klip video di bawah iaitu telefon masih berdering walaupun ganggang telah diangkat.

Telefon ini juga tidak berfungsi apabila kita ingin membuat panggilan keluar dan tiada bunyi langsung kedengaran pada speaker.

STARTECH ST-1000

Ramalan awal saya ialah kerosakkan pada suis ganggang telefon yang gagal berfungsi.

Model: ST-1000

Setelah dibuka dan diperiksa, suis ganggang masih elok dan tidak bermasalah.

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan pada papan litar juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

Tiada kerosakkan komponen ditemui...

Pemeriksaan terperinci mendapati bahawa kabel ganggang telefon yang digunakan hanya mempunyai 2 pin sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

kabel ganggang telefon 2 pin digunakan...

Telefon ini kembali normal dan masih boleh digunakan setelah kabelnya telah saya gantikan dengan kabel jenis 4pin.

Gantikan dengan kabel 4 pin...

Kemungkinan masalah asalnya ialah kerosakkan pada kabel ganggang namun pemilik telah menukarkan kepada kabel 2 pin tanpa disedari dan menyebabkan telefon gagal berfungsi.

Perbezaan kabel 2 pin dan 4 pin...

Selamat mencuba...