Saturday, 24 July 2021

SAMSUNG BN59-01175C TV remote control repair

Saya banyak dirujuk alat kawalan jauh untuk dibaiki dan majoriti boleh dibaiki serta masih boleh digunakan semula.

SAMSUNG BN59-01175C

Pemilik memberitahu saya alat kawalan jauh ini tidak berfungsi dan apabila saya uji, IR LED (infrared LED) berkelip-kelip walaupun tiada butang ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Alat kawalan jauh ini kelihatan masih baru serta bersih dan setelah dibuka, tiada kesan kerosakkan boleh dilihat dengan mata kasar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan dengan menggunakan multimeter mendapati ada dua terminal mengalami litar pintas dan kedudukannya telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Litar pintas...

Bahan berwarna putih yang melekat pada kedua-dua terminal tersebut adalah seperti bahan yang teroksida dan saya pasti ianya adalah akibat daripada kebocoran bateri yang telah meresap masuk dan menghasilkannya.

Setelah dibersihkan...

Setelah dibersihkan dan diuji, masalah selesai dan telah berjaya diselamatkan seperti boleh dilihat pada klip video di bawah. IR LED hanya berkelip setelah butangnya ditekan dan padam jika tidak ditekan.

Selamat mencuba...

Friday, 23 July 2021

Cara menguji transformer HV pada mikrowave (High Voltage Transformer)

Sebelum ini saya ada kongsikan cara-cara memeriksa transformer HV untuk kegunaan mikrowave dan anda boleh rujuk di sini.

Sambungkan arus ulang alik (AC)

Hari ini saya kongsikan pula cara untuk menguji transformer dengan membekalkan arus elektrik pada gegelung primary. Jika anda masih mengesyaki transformer bermasalah/rosak selepas pemeriksaan yang saya kongsikan lepas, anda boleh guna cara berikut untuk pengesahan.

Untuk pengetahuan semua, HV output transformer ini mampu menghasilkan lebih daripada 2,500vac (2.5kV) jika disambung kepada bekalan 240vac dan multimeter biasanya cuma mampu mengukur sehingga 600vac sahaja.

Supply - 27.8vac

Jadi, kita bekalkan arus elektrik yang lebih rendah supaya HV outputnya boleh diukur dengan menggunakan multimeter.

Saya gunakan sebiji 'step down transformer' yang membekalkan 27.79vac seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Low output - 0.485vac

Setelah bekalan disambung pada gegelung primary, voltan output yang saya dapat apabila diukur ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah iaitu:-

  1. Low output - 0.485vac
  2. HV output - 290vac
HV output - 290vac

Maksudnya jika bahagian primary dibekalkan 250vac, voltan output yang dihasilkan ialah:-

  1. Low output = (290 x 0.485)/27.79 = 5.06vac
  2. HV output = (290 x 250)/27.79 = 2,609vac (2.6kV)


Selamat mencuba...

Thursday, 22 July 2021

ETATRON DLXB-MA/A analog manual dosing pump repair

Sebelum ini saya pernah baiki 'dosing pump' seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: ETATRON

Model 'dosing pump' kali ini sedikit berbeza berbanding dengan yang lepas iaitu cuma mempunyai 2 biji lampu indikator sahaja berbanding dengan model yang lepas mempunyai 4 biji lampu indikator.

Model: DLXB-MA/A

Walaupun modelnya sedikit berbeza namun papan litar yang digunakan adalah sama seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup belakang dibuka...

Masalah 'dosing pump' ini ketika dirujuk kepada saya ialah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

Litar putus...

Apabila dibuka dan diperiksa, salah satu litar yang disambungkan kepada fius didapati putus seperti telah saya labelkan pada gambar di atas.

Sambung dari bawah papan litar...

Oleh kerana kedudukannya sempit dan susah disambung, saya sambung pada bahagian bawah papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang komponen yang rosak selain litar yang putus di atas. 'Dosing pump' ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menyambungkan litar yang putus seperti di atas.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Wednesday, 21 July 2021

TeleBest 210BC Telephone Repair

Telefon ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini dia kembali dengan masalah langsung tidak berfungsi iaitu tidak berdering dan tiada suara ketika ganggang diangkat.

Pernah dibaiki pada 01/11/2019

Pemeriksaan awal mendapati salah satu pin pada soket penyambung telah putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pin soket putus...

Untuk pengetahuan semua, telefon seperti ini biasanya digantung di dalam bilik air yang lembap dan boleh menyebabkan bahagian logam berkarat serta putus.

Cabut pin penyambung yang putus...

Cara membaikinya ialah cabut pin yang putus dan gosok bahagian yang putus dengan kertas pasir sehingga bersih.

bersihkan bahagian yang putus...

Seterusnya sambungkan pin dengan menggunakan dawai yang sama saiz. Saya guna kaki komponen yang dipotong serta dipateri sambungannya.

Paterikan penyambung baharu...

Setelah siap disambung, masukkan pin tersebut ke kedudukan asal seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Masukkan ke dalam soket...

Pastikan pin yang disambung itu cukup panjang supaya sambungannya elok seperti asal.

Potong pin yang terlebih panjang...

Seterusnya bengkokkan pin mengikut spesifikasi asal supaya tiada masalah penyambungan kelak.

Siap...

Telefon ini juga telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula.

Selamat mencuba...

Tuesday, 20 July 2021

Troubleshooting BERJAYA U40 electrical urn

Bulan lepas saya dirujuk sebuah penyimpan air yang membekalkan air panas berjenama BERJAYA dan dilengkapi dengan pemanas di dalamnya.
BERJAYA U40 electrical urn

Pemilik memberitahu saya kali terakhir digunakan, ianya menyebabkan seluruh rumah bergelap apabila dihidupkan.

Model: U40

Jika bekalan elektrik terputus bila dihidupkan bermaksud ada litar pintas namun apabila saya membuat pemeriksaan menyeluruh, tiada litar pintas ditemui.

Rintangan elemen pemanas - 21Ω

Seterusnya saya masukkan air untuk diuji dan ianya boleh berfungsi. Saya laras thermostat mengikut seperti yang telah ditandakan pada 90 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Label asal - 90

Setelah air mendidih, saya dapati thermostat tidak padam dan masih memasak air tanpa henti. Kemudian saya cuba laraskan thermostat dan ianya padam pada lokasi di antara 70 & 90 iaitu 80.

Air dah mendidih...

Jadi, saya ubah label tersebut dari 90 ke 80 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah supaya thermostat akan padam apabila air telah mendidih.

Tukar dari 90 ke 80...

Bekas penyimpan air panas ini telah sebulan dikembalikan kepada pemilik dan sehingga hari ini tiada masalah bekalan elektrik terputus semula dilaporkan.

Rintangan elemen pemanas ketika panas - 19.6Ω

Selamat mencuba...

Monday, 19 July 2021

Cara menyambung 3.5mm stereo audio jack

Bulan lepas saya dirujuk dua biji penyambung 3.5mm stereo audio jack berserta wayar yang putus untuk disambungkan semula seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

3.5mm stereo jack diagram...

Secara amnya, label penyambungan adalah seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Paterikan wayar...

Oleh kerana kedua-dua hujung wayar menggunakan penyambung yang sama (3.5mm stereo audio jack), kita juga harus menyambungkan wayar yang sama warna pada terminal yang sama pada kedua-duanya.

Sambung wayar ikut warna yang sama...

Kod warna asal yang digunakan ialah seperti berikut:-

Ground - biru

Left - Merah

Right - hijau

Gam guna 'glue gun'...

Setelah wayarnya siap dipateri, saya gam wayar menggunakan 'glue gun' supaya keras dan tahan seperti boleh dilihat pada gambar di atas. 

Setelah gamnya keras, saya balut bahagian gam menggunakan pembalut wayar supaya kemas seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Balut guna 'wayar tape'...

Selamat mencuba...

Sunday, 18 July 2021

Tekanan pada tayar kereta

Umum tahu bahawa setiap tayar kereta memerlukan tekanan angin, namun tahukah anda berapa tekanan angin yang diperlukan pada kenderaan anda?

Tekanan angin pada tayar yang rendah atau terlalu tinggi boleh menyebabkan cengkaman tayar pada permukaan jalan tidak baik dan membahayakan pengguna. Gambar di atas menunjukkan keadaan cengkaman tayar jika tekanan anginnya tidak mengikut spesifikasi kenderaan anda.

Tepi tayar haus dahulu sebab kurang tekanan angin...

Tekanan angin pada setiap kenderaan berbeza-beza dan ianya ada dilabel pada bahagian pintu sebelah pemandu seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Buka pintu sebelah pemandu...

Lokasi label tersebut hanya boleh dilihat setelah pintu kenderaan sebelah pemandu dibuka dan ianya akan memberitahu kita tekanan yang diperlukan pada kereta masing-masing.

200kPa/29PSI

Gambar di atas saya ambil dari kereta Perodua Kelisa saya dan tekanan yang diperlukan ialah 200kPa atau 29PSI.

kPa/PSI

Pastikan anda melaraskan tekanan angin mengikut spesifikasi kenderaan anda sebelum mengepam angin ke tayar kenderaan anda. Tekanan yang tidak mengikut spesifikasi boleh diketahui melalui tayar kenderaan anda.

Gambar ke-2 di atas menunjukkan tayar kenderaan saya haus pada bahagian tepi dan ianya disebabkan tekanan angin tidak mencukupi. Puncanya ialah saya selalu terlupa mengepam angin tayar sebab kadang-kadang pam angin di stesen petrol rosak dan tidak diselengara.

Cara terbaik untuk mengekalkan tekanan angin pada tayar kenderaan ialah mengepamnya setiap kali anda mengisi minyak kereta atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Saturday, 17 July 2021

Baiki periuk nasi (rice cooker) PHILIPS HD4711

Sebelum ini saya pernah membaiki periuk elektrik seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.
PHILIPS HD4711

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi periuk elektrik yang serupa dengan masalah serupa iaitu langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

Model: HD4711

Pemeriksaan awal mendapati 'thermal fuse' dengan label 192C, 10A putus dan cara menukarnya telah saya tunjukkan pada artikel lepas di sini.

Thermostat bermasalah...

Selain thermal fuse, saya juga dapati thermostat pada bahagian tengah periuk seperti telah saya tandakan pada gambar di atas kadang-kadang tidak kembali ke kedudukan asal apabila suis memasak dilepaskan.

Buka klip kiri dan kanan...

Cara untuk membuka thermostat tersebut ialah dengan tolak kedua-dua pin yang telah saya tandakan pada gambar di atas dan setelah itu pusingkan thermosatat untuk mengeluarkannya dari pelaras suis.

Pusing & keluarkan thermostat...

Gambar di bawah menunjukkan thermostat telah dikeluarkan dan masalahnya ialah spring tidak kuat untuk kembalikannya ke kedudukan asal setelah suis delepaskan.

Setelah thermostat telah dikeluarkan...

Cara untuk membaiki masalah spring yang lemah ialah dengan menarik spring agar panjang sedikit dari asal supaya lebih bertenaga.

Pasang kembali thermostat setelah diselengara...

Masalah thermostat tidak kembali kedudukan asal selesai setelah spring di dalamnya saya selengara seperti di atas dan periuk elektrik ini juga telah berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula.

Kesimpulan kerosakkan periuk elektrik ini adalah disebabkan thermostat tidak padam setelah nasi telah masak dan seterusnya mengakibatkan panas melampau sehingga thermal fuse putus.

Selamat mencuba...