Wednesday, 21 April 2021

SHARP EC-HC20-R vacuum cleaner repair

Penyedut hampagas (vacuum cleaner) berjenama SHARP, model: EC-HC2-R ini telah lama dirujuk kepada saya dengan masalah bila kelajuannya dilaras, motor bergerak terlalu perlahan atau kadang-kadang terus padam.

Jenama: SHARP

Tidak semua penyedut hampagas dilengkapi dengan pelaras kelajuan dan ini merupakan kali pertama saya dirujuk dengan masalah sedemikian.

Model: EC-HC20-R

Perbezaannya dengan penyedut hampagas biasa ialah pertambahan pelaras kelajuan dan ianya dilengkapi dengan papan litar serta komponen untuk mengawal kelajuan.

Buka penutup atas...

Gambar di bawah menunjukkan dua papan litar yang kelihatan setelah penutupnya saya buka untuk kerja-kerja pemeriksaan.

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan awal dengan mata kasar tidak menemui sebarang komponen pada papan litar yang rosak selain sedikit berhabuk.

Papan litar pelaras kelajuan...

Seterusnya saya periksa menggunakan multimeter dan mendapati potentiometer yang berlabel 470kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di bawah bermasalah.

Potentiometer 470kΩ rosak...

Masalah ketika diperiksa dengan menggunakan multimeter ialah kadang-kadang tiada bacaan rintangan apabila dilaras.

Potentiometer baru...

Pada mulanya saya tidak menemui alat ganti yang sama dan membeli potentiometer 500kΩ namun tersalah hantar oleh penjual dan anda boleh rujuk di sini.

Siap...

Potentiometer pada gambar di atas saya beli di element14 dan telah selamat diterima semalam. Setelah ditukar dan diuji, penyedut hampagas tersebut telah berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi seperti biasa.

Testing...

Selamat mencuba...

Tuesday, 20 April 2021

FABER FBO 56 SS oven repair

Oven berjenama FABER, model: FBO 56 SS ini saya baiki bersama dengan kipas angin yang telah dikongsikan semalam di sini.

Jenama: FABER

Masalah oven ini ialah gagal berfungsi walaupun telah dibekalkan arus elektrik dan kedua-dua lampu indikator berwarna merah dan oren juga tidak menyala apabila thermostat dilaras.

Model: FBO 56 SS

Menurut pemilik, oven ini telah lama rosak namun tidak dibaiki sebab tidak menemui jurutenik yang boleh membaikinya.

Setelah penutup atas dibuka...

Memandangkan ianya agak besar, saya dipanggil ke lokasi dan pemeriksaan awal pada plug 3-pin, fiusnya masih elok.

Thermal switch rosak...

Setelah dibuka penutupnya, pemeriksaan awal pada elemen pemanas juga masih elok namun sebiji 'thermal switch' ditemui putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Pintasan yang saya buat untuk kegunaan sementara...

Saya buat sambungan pintasan (wayar berwarna hijau) seperti boleh dilihat pada gambar di atas untuk kegunaan sementara sehingga 'thermal switch' yang baharu diperolehi atas sebab tiada kedai elektronik dibuka pada hari minggu.

16A, 65°C

Gambar di atas menunjukkan 'thermal switch' telah saya gantikan semalam dengan yang baharu dan 'rating thermal switch' tersebut ialah 16A, 65°C.

Testing...

Oven tersebut telah berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula dengan hanya menukarkan 'thermal switch' sahaja seperti di atas.

Tested - ok
Selamat mencuba...

Monday, 19 April 2021

DEKKA FT-402 fan repair

Hujung minggu lepas saya ada temujanji dengan rakan sekelas 40 tahun yang lepas untuk memeriksa sebuah oven berjenama FABER dan masalahnya cuma kerosakkan pada sebiji 'thermal fuse' sahaja dengan 'rating' 65°C.

Jenama: DEKKA

Walaupun masalah oven telah ditemui, alat ganti tiada sebab kedai elektronik tidak buka hujung minggu dan saya buat pintasan untuk kegunaan sementara (jika perlu).

Model: FT-402

Saya juga dirujuk sebuah kipas berjenama DEKKA, model: FT-402 dengan masalah tidak berpusing setelah dibekalkan arus elektrik.

Nombor 1 - 1.736kΩ

Pemeriksaan menyeluruh mendapati kerosakkannya ialah pada sebiji thermal fuse dan cara-cara menukarnya pernah saya kongsikan sebelum ini di sini, sini dan sini.

No. 2 - 1.586kΩ

Sesuatu yang agak menarik perhatian saya untuk dikongsikan kali ini ialah bacaan rintangan yang saya ukur pada terminal plug 3-pin sangat tinggi iaitu melebihi 1kΩ seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

No. 3 - 1.270kΩ

Biasanya bacaan rintangannya ialah beberapa ratus ohm sahaja dan anda boleh rujuk di sini untuk membuat perbandingan dengan kipas-kipas yang pernah saya baiki dan kongsikan sebelum ini.

Tested - ok

Apa pun, kipas tersebut telah berjaya diselamatkan dengan hanya menukarkan thermal fuse sahaja dan masih boleh digunakan.

Selamat mencuba...

Sunday, 18 April 2021

Iklan Judi Raya

Beberapa hari yang lepas negara kira heboh dengan klip video raya yang mengiklankan laman sesawang perjudian dan anda boleh tonton di bawah.


Apabila saya taip GDbet333 pada pencarian google, laman sesawangnya ialah seperti gambar tangkap layar di bawah.


Hari berikutnya satu lagi klip video baru tersebar seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.


Mesej kali ini ialah IBC003 dan laman sesawangnya ialah seperti pada gambar tangkap layar di bawah.


Sebelum ini saya sering menerima mesej melalui aplikasi whatsapp seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.



Saya tidak pasti dari mana mereka dapat nombor whatsapp saya dan yang pasti benda ini telah lama wujud.

Saya juga yakin anda semua pernah menerima mesej serupa ini. Saya tidak pernah layan pertaruhan online walaupun saya kadang-kadang ada membeli nombor ramalan.

Sejak dari dulu lagi ketika perkhidmatan atas talian atau tanpa tunai bermula, saya tidak pernah menyokong sebab bagi saya ianya sangat merbahaya dan sangat tidak selamat.

Akaun simpanan saya juga tidak mempunyai kad ATM atau kad debit. Saya masih lagi berbaris di kaunter bank untuk mengeluarkan simpanan.

Pada pendapat pribadi saya, klip video di atas adalah hasil kreatif anak muda namun dalam masa yang sama, saya juga pasti ianya bukan bertujuan untuk mengiklankan perjudian semata-mata namun punya agenda tersendiri.

Entah siapa pula yang di kambing hitamkan kali ini. Sama-sama kita nantikan siasatan polis dan yang pasti sentimen kaum dan agama adalah isu sensitif di negara kita.

Saya juga yakin ini adalah sesuatu yang telah dirancang dengan tujuan tertentu.

Fikir-fikirkan...

Saturday, 17 April 2021

Pemergian rakan sekelas buat selama-lamanya...

Setiap yang hidup akan pergi meninggalkan dunia ini satu hari kelak termasuk diri saya sendiri. Kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana ianya akan berakhir kelak.

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan kehilangan seorang rakan sekelas sewaktu di sekolah rendah 40 tahun yang lepas.

1982 - Darjah 4A (SRB Good Shepherd)

Gambar di atas merupakan satu-satunya kenangan yang saya ada sewaktu di sekolah rendah pada tahun 1982 dan saya duduk di belakangnya.

Gambar di bawah pula ialah gambar terakhir kami di sekolah rendah bersama semua murid darjah 6 sebelum melanjutkan pengajian ke sekolah mengengah.

1984 - Darjah 6 (SRB Good Shepherd)

Beliau merupakan rakan sekelas saya sewaktu di sekolah rendah (SRB Good Shepherd) sahaja namun kami masih bersekolah di sekolah yang sama sewaktu di sekolah menengah di SMK Marudi dan SMK Lutong.

Pengawas - SMK Marudi (1989)

Gambar di atas serta di bawah merupakan gambar kami ketika di sekolah menengah dan menjawat jawatan pengawas sekolah. 

Pengawas - SMK Lutong (1991)

Walaupun 40 tahun telah berlalu, kesedihan khabar pemergian beliau buat selama-lamanya tetap dirasai.

Semoga beliau tenang di alam baru...

Friday, 16 April 2021

Panasonic NA-F70S7 washer repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah mesih basuh berjenama Panasonic, model NA-F70S7 dengan masalah langsung tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Panasonic NA-F70S7

Menurut pemilik, kali terakhir ianya berfungsi ialah mesin basuh padam dengan sendiri sebelum proses membasuh selesai.

Model: NA-F70S7

Mesin basuhnya langsung tidak boleh dihidupkan lagi selepas itu. Pemeriksaan awal pada plug 3-pin mendapati fiusnya masih elok.

Buka PCB...

Seterusnya saya buka bahagian papan litar utama (PCB) seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Buka penutup belakang...

Pemeriksaan dengan mata kasar mendapati fius yang berlabel T4A putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Fius 4A putus...

Tidak banyak yang boleh diperiksa pada PCB mesih basuh sebab ianya diselaputi dengan lapisan gam epoxy pada kesemua komponen elektronik yang bertujuan untuk mengelak daripada terkena air yang amat merbahaya sebab melibatkan air.

Fius baru & fius putus - T4A

Oleh yang demikian, saya tukar fiusnya sahaja dahulu dengan harapan ianya boleh dihidupkan. Selagi PCB tidak menyala, kita tidak tahu apa masalahnya sebab biasanya mesin basuh yang bermasalah akan menghasilkan kod-kod tertentu sebagai rujukan.

Gantikan fius baru...

Percaya atau tidak, mesin basuh ini boleh dihidupkan setelah fius di atas saya gantikan dan skrin pertama yang terpapar ialah seperti pada gambar di bawah. Kemungkinan paparan tersebut adalah paparan yang terakhir ketika ianya padam sendiri seperti yang dikhabarkan oleh pemilik kepada saya.

Testing...
Setelah diuji, kesemua berfungsi seperti biasa dan saya tidak pasti kenapa fius pada PCB putus. Kemungkinan besar disebabkan arus elektrik yang tidak stabil atau mungkin ada kenaikkan voltan elektrik yang mendadak secara tiba-tiba.

Selamat mencuba...

Thursday, 15 April 2021

GOLINK FY400-101000 temperature controller repair

Semalam saya dirujuk sebuah 'temperature controller' berjenama GOLINK, model: FY400-101000 dengan masalah tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

GOLINK FY400

"Temperature controller" ini digunakan pada bahagian 'boiler' untuk menukar dua pemanas supaya digunakan secara bergilir-gilir.

Model: FY100-101000

Setelah dibuka dan diperiksa, komponen pertama ditemui rosak dengan mata kasar ialah perintang 27Ω yang berfungsi sebagai fius.

Buka penutup belakang...

Pemeriksaan dengan menggunakan multimeter mendapati kapasitor utama 10uF, 400v juga rosak serta bocor dan harus diganti.

Komponen yang rosak...

Oleh kerana perintang yang bertindak sebagai fius putus, saya mengambil langkah berhati-hati dan menyambungkan sebiji mentol 60w secara bersiri kepada wayar hidup (L) sebelum diuji. Lampu mentol menyala terang seperti boleh dilihat pada gambar di bawah dan memberitahu saya masih ada litar pintas.

Masih ada litar pintas...

Seterusnya saya ukur rintangan di antara terminal wayar neutral (N) dan wayar hidup (L) mendapati ada bacaan rintangan iaitu 2.374MΩ. Litar yang elok tidak seharusnya mempunyai sebarang bacaan langsung.

Ada litar pintas pada terminal L & N...

Saya dapati rintangan tersebut berpunca dari sebiji rectifier berlabel S1NB dengan 'rating' 1A. Gambar di bawah menunjukkan kesemua komponen yang rosak dan telah saya gantikan dengan yang baru:-

  1. sebiji kapasitor 10uF, 400v
  2. sebiji rectifier S1NB
  3. sebiji perintang 27Ω/2W
Komponen yang rosak...

Setelah rectifier ditukar, saya uji semula dengan menyambungkan sebiji mentol 60W secara bersiri dan kali ini mentol tidak menyala langsung.

Testing...

Jika mentol yang disambung bersiri tidak menyala bermaksud tiada litar pintas lagi dan ianya telah berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula.

S1NB rectifier yang rosak...

Ini adalah kali pertama saya periksa rectifier masih elok menggunakan multimeter namun ada litar pintas dan mentol yang disambung bersiri kepada bekalan elektrik menyala.

Tested - ok

Selamat mencuba...