Monday, 22 April 2019

EDIFIER ADT-20120UK switching adapter repair

Pagi ini saya dirujuk sebiji adapter berjenama EDIFIER, Model: ADT-20120UK. Masalah ketika di rujuk kepada saya ialah tiada output 12V.
EDIFIER ADT-20120UK
Seperti biasa bila dibuka, tiada komponen yang rosak dan boleh dilihat dengan mata kasar. Bila diperiksa komponen yang besar (n-channel transistor, diod, kapasitor, fius, thermistor dan lain-lain), kesemuanya berkeadaan baik.
Setelah dibuka...
Seterusnya saya periksa pula komponen yang halus (SMD) di bahagian bawah papan litar dan menemui litar pintas pada sebiji zener diod (nombor rujukan: 1N4742a) yang disambung pada bahagian output SMPS tersebut dan anda boleh melihatnya pada gambar di bawah.
Bahagian bawah papan litar...
Setelah zener diod tersebut dibuka dan diuji, kini output ada bacaan iaitu kira-kira 14V. Untuk makluman, fungsi zener diod adalah sama seperti voltage regulator iaitu menghadkan voltan. Jika guna zener diod 12V bermaksud setelah melalui zener diod tersebut, hanya 12V sahaja yang dikeluarkan.

Anda juga boleh menggunakan switching adapter tersebut tanpa zener diod tersebut namun outputnya tidak stabil dan lebih tinggi (14V) daripada voltan yang dikehendaki iaitu 12V sahaja.

Dengan yang demikian, untuk keselamatan, zener diod 12V tersebut harus diganti untuk mendapatkan output yang stabil iaitu 12V sahaja dan tidak lebih dari itu.

Selamat mencuba...

Saturday, 20 April 2019

Kebocoran Minyak Injin Pada Adapter Penapis Minyak Perodua Kelisa/Kenari

Beberapa tahun yang lalu saya mempunyai masalah kebocoran minyak pada bahagian injin dan anda boleh membacanya di sini. Kali ini masalah yang sama berulang tetapi kebocoran minyak injin pada bahagian yang berbeza.
Minyak injin pada tempat letak kereta...
Setelah merujuk kepada beberapa bangkel kereta termasuk pusat service Perodua, kesemua mereka memberitahu saya bahawa kebocoran tersebut ialah pada bahagian flywheel injin (seal) dan adapter penapis minyak injin. Proses membaiki tersebut perlu menelan kos yang agak besar disebabkan proses menukar flywheel seal perlu mengeluarkan keseluruhan injin dari chasis kereta dan berikut merupakan 'quotation' secara lisan mereka kepada saya:-
Ini paling murah saya dapat...
  1. Pusat service perodua: Upah RM550.00 (tidak termasuk alat ganti) dan perlu simpan kereta 2 hari di bangkel mereka.
  2. Bangkel pertama dirujuk: Upah RM450.00 (tidak termasuk alat ganti) dan boleh disiapkan dalam masa sehari.
  3. Bangkel ke-2: Upah RM250.00 (tidak termasuk alat ganti). Quotation adalah seperti pada gambar di atas dan boleh disiapkan dalam masa sehari.
Tempat di mana minyak injin menitis...
Memandangkan saya hanya mempunyai sebuah kereta sahaja, maka saya terpaksa menunggu waktu cuti untuk membaikinya. Jika anda berada pada situasi saya di atas, bangkel mana satu yang anda pilih? Saya yakin anda akan memilih Bangkel ke-2 termasuk saya...
Bahagian 'gearbox' basah dengan minyak injin tetapi tiada minyak injin yang menitis...
Sehari sebelum saya menghantar kereta saya ke-bangkel untuk dibaiki, saya cuba lihat dan periksa sendiri dari mana datangnya minyak injin tersebut. Gambar di atas dan di bawah merupakan sebahagian daripada pemandangan yang boleh dilihat pada bahagian bawah injin kereta saya...
Lubang di antara gearbox dan injin juga tiada minyak injin yang menitis...
Apa yang pasti ialah minyak injin hanya menitis pada bahagian bawah injin sahaja dan tempat lain nampak basah disebabkan oleh resapan minyak injin yang bocor. Jika anda lihat gambar di atas, kelihatan satu lubang di antara bahagian injin dan gearbox yang juga kelihatan basah akibat daripada kebocoran minyak injin namun tiada minyak yang menitis di situ.
minyak injin yang hanya menunggu masa saja untuk menitis ke lantai
Dari pemerhatian saya di atas, saya mulai ragu pihak bengkel mengatakan bahawa bahagian flywheel injin saya juga bocor. Jika betul ada kebocoran pada flywheel injin, sudah tentu minyak injin akan menitis dari lubang tersebut.
setelah bumper depan dibuka...
Dipendekkan cerita, saya yakin kebocoran minyak injin tersebut hanya pada bahagian adapter penapis minyak dan saya ingin membaikinya sendiri. Gambar di atas menunjukkan bumper kereta telah saya buka dan gambar berikut merupakan tempat di mana kebocoran minyak injin berlaku...
skru yang harus dibuka...
Nasib tidak menyebelahi saya apabila saya tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk membuka adapter penapis minyak tersebut. Ini disebabkan untuk membuka adapter penapis minyak tersebut, saya perlu membuka 'catalytic converter' terlebih dahulu...
Skru yang harus di buka...
Keesokkan harinya iaitu semalam (cuti good friday) saya menghantar kereta saya ke bangkel ke-2 seperti yang saya telah ceritakan di atas dan saya kini memberitahunya bahawa saya cuma ingin menukar o/ring pada adapter penapis minyak sahaja. Saya diberitahu upah membuka, menukar serta memasang kembali ialah RM60.00 sahaja.
catalytic converter perlu di buka...
Maka proses membuka pun bermula dan bahagian pertama yang dibuka ialah catalytic converter dan anda boleh melihatnya pada gambar di atas dan di bawah...
catalytic converter telah di buka,,,
Setelah catalytic converter dibuka, seterusnya proses membuka adapter penapis minyak injin pula. Mudah sahaja membuka adapter tersebut, cuma perlu membuka 2 biji skru bersaiz 12 sahaja...
skru kini dapat dibuka...
Jika anda ingin tahu bagaimana rupa/keadaan kebocoran minyak pada adapter penapis minyak injin, sila lihat gambar di bawah.
Sah kebocoran pada bahagian adapter penapis minyak injin...
Gambar seterusnya merupakan pemandangan selepas adapter penapis minyak injin telah dibuka serta proses pembersihan dan menukar 2 biji o/ring.
setelah adapter penapis minyak injin dibuka,,,

adapter penapis minyak injin...

O/ring putus bila dibuka...

O/ring baru...
Bangkel yang bertanggungjawab biasanya akan menyapu gam gasket pada o/ring yang baru ditukar bagi memastikan tiada kebocoran lagi selepas ditukar dan kebocoran tidak berulang lagi dalam masa yang terdekat.
o/ring baru disapu dengan gam gasket...

adapter penapis minyak injin beserta o/ring telah siap dipasang...
Untuk makluman, keseluruhan proses tersebut mengambil masa kira-kira 4 jam untuk disiapkan dan saya amat berpuas hati dengan upah yang sangat berpatutan dikenakan. Jika anda berada di Miri, Sarawak, anda boleh minta butiran bangkel tersebut dari saya.
pasang kembali penapis minyak...
Setelah kesemua yang dibuka, ditukar alat ganti yang rosak serta dipasang kembali, saya bersihkan kesemua bahagian injin yang berminyak. Gambar berikut merupakan pemandangan yang saya ambil pagi tadi, kesemuanya kelihatan masih kering dan harapan seterusnya ialah tiada kebocoran lagi pada bahagian yang lain.
setelah semalaman, pagi tadi masih kelihatan kering...
Jika anda mempunyai peralatan membuka yang mencukupi, anda boleh DIY.
Gambar diambil pada 01/12/2019 (tiada kebocoran)
Selamat mencuba...

Tuesday, 16 April 2019

DELL E178FPc monitor repair

Hari ini saya dirujuk sebuah monitor berjenama DELL, Model: E178FPc. Masalahnya ialah tiada gambar tetapi backlight menyala. Sebelum ini saya pernah membaiki monitor DELL bersaiz 15 inci dan 16 inci, kali ini 17 inci pula.
Jenama: DELL, Model: E178FPc
Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya sebelum membuka dan membuat pemeriksaan ialah kemungkinan LCD rosak atau power board tidak menghasilkan arus eletrik yang mencukupi serta berterusan untuk menghidupkan monitor tersebut.
backlight sahaja yang menyala
Mari kita buka dan lihat apa di dalamnya...
Bersihkan apa yang patut...
Hanya dua keping papan litar sahaja kelihatan dan seperti biasa saya akan memeriksa voltan output pada papan litar tersebut. Untuk makluman, power board untuk 15", 16" & 17" adalah berbeza.
2 keping papan litar sahaja...

Antara ketiga-tiga monitor tersebut, power board monitor 16" paling banyak komponen dan komponen paling sedikit ialah pada power board monitor 17".
Hanya 5V sahaja yang digunakan...
Setelah diperiksa bahagian output, voltan 5V hanya mendapat bacaan 4.6V sahaja. Tidak banyak komponen yang ada dan setelah diperiksa menyeluruh, saya cuma menjumpai 3 biji kapasitor yang harus diganti seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Power board (rujukan: 715G2853-1)
Setelah diganti kapasitor tersebut dan diuji, masalah tetap sama iaitu tiada gambar tetapi backlight menyala,
680uF cuma tinggal 19.6nF. hahaha...
Oleh kerana power board telah dibaiki dan voltan output 5V telah stabil setelah kapasitor diganti, maka seterusnya saya mengesyaki terdapat kerosakan pada T-Con board iaitu papan litar yang disambung terus ke skrin LCD.
Fius putus, halus tak?
Jika dilihat pada gambar di atas, komponennya sangat halus dan mahu tak mahu, saya terpaksa cuba periksa dengan harapan menjumpai sesuatu yang mengalami kerosakan.
Dah nampak?
Nasib menyebelahi saya apabila saya menjumpai salah satu fius didapati putus. Fius tersebut dilabelkan dengan huruf "K" yang bermaksud fius tersebut ialah 1.5A.
Nasib baik telefon bimbit sekarang canggih...
Setelah fius tersebut diganti dan diuji, kini skrin LCD mengeluarkan gambar seperti yang boleh dilihat pada gambar berikut.
Tested - ok

Tested - ok

Tested - ok
Selamat mencuba...

Monday, 15 April 2019

Baiki LG 43LJ510T LED TV

Walaupun TV LED baru di pasaran, namun ianya tidak terkecuali dari permasalahan dan hari ini saya berpeluang untuk mencuba dan telah berjaya membaikinya. TV LED yang dimaksudkan berjenama LG, Model: 43LJ510T.
43LJ510T
Masalahnya ketika dirujuk kepada saya ialah tiada gambar (layar) tetapi ada suara. Setelah dibuka penutup belakangnya, cuma 2 keping papan litar sahaja yang kelihatan iaitu 'main board' dan 'T-Con board'.
Buatan Indonesia
Gambar berikut ialah 'T-con board' untuk TV LED tersebut. Setelah pemeriksaan dibuat, tiada masalah ditemui pada 'main board' tetapi arus eletrik 12V tiada pada 'T-con board'. Fius pada 'T-con board' tidak putus dan berkeadaan baik.
T-Con board (6870C-0532A)
Oleh itu masalahnya ialah pada ribbon yang menyambungkan 'mainboard' ke 'T-con board'. Berikutan tiada ribbon yang baru untuk diuji, maka saya cuba membersihkan ribbon tersebut dengan menggunakan 'contact cleaner'.
Contact cleaner
Percaya atau tidak, dengan hanya membersihkan bahagian penyambung pada ribbon tersebut sahaja, masalah tiada gambar telah diatasi dan kini boleh digunakan.
Bersihkan bahagian yang ditanda dengan 'contact cleaner'
Tidak banyak gambar yang saya ambil sebab saya tidak yakin ianya boleh dibaiki hanya dengan membersihkan bahagian penyambung pada ribbon ke papan litar utama & 'T-con board' sahaja. Gambar ketika TV telah dihidupkan juga terlupa ambil, tuan punya TV telah ambil balik dan menonton TV di rumah sekarang...

Selamat mencuba...

Saturday, 13 April 2019

Robot Coupe Blixer 3 blade repair

Hari ini saya cuba baiki sesuatu yang saya rasa tiada orang dalam dunia ini yang membaikinya. Sebelum itu, berikut merupakan sedikit penerangan tentang benda yang saya akan baiki.

Pengisar berjenama Robot Coupe

Benda yang saya nak baiki ini digunakan oleh pengisar berjenama Robot Coupe, Model: Blixer 3. Masalahnya bukan pada pengisar tersebut...

Model: Blixer 3

Tetapi sebaliknya masalahnya ialah pada pisau pengisar yang enggan berputar walaupun motor pengisar tersebut telah berputar dengan laju...

Pisau pengisar

Setelah di belek pisau pengisar tersebut, rupa-rupanya sesuatu yang menahannya pada rod pengisar telah hancur dan anda boleh lihat seperti pada gambar di bawah. Untuk makluman, harga pisau pengisar tersebut sahaja ialah kira-kira dalam lingkungan RM800.00. Jadi kita harus cuba membaikinya sebelum membuat keputusan untuk membeli yang baru...

bahagian tengah pengisar telah haus...

Dengan yang demikian, saya cuba baiki iaitu dengan membuat penahan yang telah hancur tersebut. Memandangkan bahan yang digunakan untuk memegang mata pisau tersebut diperbuat daripada bahan PVC, maka saya guna paip PVC untuk membuat penahan tersebut. Berikut adalah langkah-langkahnya:-

DIY - guna paip PVC

1. Potong paip PVC bersesuaian dengan saiz yang diperlukan seperti pada gambar di atas.

Gosok dengan kertas pasir sehingga rata...

2. Asah dengan menggunakan kertas pasir sehingga rata permukaan cekung/cembung PVC tersebut.

Asah sehingga bentuk 'D' kelihatan...

3. Mulakan proses mengasah sehingga bentuk 'D' diperolehi...

Ukur dengan rod pengisar agar saiz yang dikehendaki sesuai...

4. Sukat pada rod pengisar untuk menentukan panjang penahan yang diperlukan...

Potong jika terlebih panjang

5. Potong bahagian yang berlebihan...

dah sesuai panjang yang diperlukan

6. Asah lagi dengan kertas pasir sehingga bentuk yang diperlukan sesuai pada rod pengisar...

Gosok lagi...

7. Asah dan asah lagi sehingga pisau pengisar tersebut boleh dimasukkan bersama dengan penahan yang dibuat seperti anda boleh lihat pada gambar di bawah...

Hmmm... dah sama saiz dengan rod pengisar...

8. kalau pisau pengisar masih tidak dapat dimasukkan ke rod pengisar bersama penahan yang ingin dibuat, sambung asah dan asah lagi sehingga puas hati...

Yes, dah boleh dimasukkan...

9. Jika dah sesuai, keluarkan pisau pengisar dari rod pengisar dan bersihkan kesemua yang berkaitan.

Bentuk' D' yang diperlukan...

10. Seterusnya sapu gam PVC pada penahan yang dibuat serta bahagian dalam bekas pisau pengisar.

Sapu gam PVC...

11. Lekatkan penahan tersebut pada bahagian dalam bekas rod pisau pengisar. Tunggu sekurang-kurangnya sehari sehingga gam tersebut betul-betul kering dan kuat. Kemudian barulah uji pisau pengisar tersebut.

Lekatkan di dalam bekas rod pengisar

Keseluruhan proses di atas mengambil masa kira-kira 2 jam dan jika ditambah dengan masa menunggu sehingga gam betul-betul kering, sekurang-kurangnya sehari diperlukan. Berbaloi tak kalau ianya boleh digunakan?

Selamat mencuba, semoga berjaya...