Tuesday, 24 November 2020

Japanese waterfall di bukit Kanada

Sejak beberapa bulan yang lepas, berita penemuan air terjun buatan manusia di bukit Kanada (Canada Hill) oleh sekumpulan 'hiker' telah menjadi berita hangat di Miri, Sarawak.

WW2 Japanese waterfall

Untuk makluman semua, pelantar minyak di darat pertama dibina di negara kita ialah di bukit Kanada pada tahun 1910 dan menghasilkan minyak selama 62 tahun sehingga tahun 1972.

Jalan masuk ke air terjun...

Menurut cakap-cakap dari orang ramai, nama air terjun buatan manusia tersebut ialah 'Japanese waterfall' berikutan kemungkinan ianya dibina ketika negara kita ditakluki Jepun.

Bahagian atas air terjun...

Gambar-gambar di atas dan di bawah merupakan keadaan persekitaran di kawasan air terjun tersebut yang sempat saya ambil pada hujung minggu lepas.

Pandangan dari tepi air terjun...

Struktur pembinaannya amat menarik dan hampir keseluruhannya disusun kemas dengan menggunakan batu bata serta disimen.

Pandangan dari atas ke bawah...

Ini termasuk keseluruhan dinding pada kiri dan kanan air terjun seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Air terjun buatan manusia...

Walaupun telah berusia puluhan tahun atau mungkin telah mencecah seabad, ianya kelihatan tegap selain beberapa bahagian tepi bahagian bawah sahaja yang jelas kelihatan retak/pecah akibat akar kayu serta hakisan.

Bahagian bawah air terjun...

Dalam perjalanan sebelum sampai ke air terjun tersebut saya ada menjumpai peralatan kegunaan seharian seperti baldi, kasut, selipar, bateri, mangkuk tandas moden (sila lihat gambar terakhir di bawah) dan sebagainya di kawasan persekitaran yang berdekatan.

Peralatan tersebut mungkin hasil peninggalan mereka yang pernah tinggal di situ suatu ketika dahulu.

Ketika saya baru berpindah ke Miri pada penghujung tahun 2004, kawasan tersebut merupakan rumah setinggan dan kesemua mereka telah ditempatkan semula di kawasan perumahan Tudan tidak lama selepas itu.

Saya berpendapat kemungkinan air terjun tersebut merupakan kawasan air tadahan untuk kegunaan harian pekerja serta penghuni pelantar minyak selama 62 tahun dari tahun 1910 sehingga 1972.

Lokasi air terjun tersebut juga tidak jauh dari 'the GRAND OLD LADY' atau juga dikenali sebagai 'Miri Well No.1' di atas bukit Kanada.

Satu lagi air terjun di bawahnya...

Tempoh yang diperlukan untuk berjalan kaki dari 'the GRAND OLD LADY' ke air terjun tersebut ialah kira-kira 15 minit sahaja.

Jika anda berhajat melawat air terjun tersebut, anda cuma perlu tanya para 'hiker' yang ada di 'the GRAND OLD LADY' setiap hari kedudukan lokasi No. 21 seperti boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas.

Perjalanan dari lokasi No. 21 ke kawasan air terjun sedikit berbukit-bukau. Kira-kira 100m sebelum sampai ke air terjun tersebut, jalannya sedikit becak.

Segala penat lelah akan hilang sejurus selepas anda terdengar bunyi air terjun dan melihat sendiri keindahan persekitaran dengan bunyi kicauan burung.

Mangkuk tandas moden...

Jika ada kesempatan, pastikan anda luangkan masa melawat serta melihat dengan mata sendiri...

Monday, 23 November 2020

YH-T8 TCS150 weighing scale repair

Beberapa hari yang lepas saya dirujuk sebuah penimbang yang tidak berfungsi berjenama YH-T8, Model: TCS150.

Jenama: YH-T8

Penimbang digital ini buatan China dengan kapasiti maksima 150kg. Benda pertama yang saya periksa ialah fiusnya dan masih elok.

Model: TCS150

Seterusnya saya periksa pula baterinya yang juga masih elok dengan bacaan voltan 6.7v seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bateri elok - 6.7v

Apabila dibuka panel bahagian hadapan, tiada masalah pendawaiaan serta tiada juga wayar yang tertanggal atau putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan menyeluruh akhirnya saya mendapati suis utama seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah tidak mempunyai 'continuity'.

Suis rosak...

Saya buka dan cuba baiki suis tersebut namun tidak berhasil sebab kadang-kadang ianya masih tidak berfungsi setelah dilaras.

Buka suis...

Setelah suis tersebut digantikan dengan yang baru, masalah penimbang tersebut selesai dan masih boleh digunakan semula.

Tukar suis baru...

Klip video di bawah saya ambil setelah siap dibaiki dan diuji.


Tested - ok

Selamat mencuba...

Sunday, 22 November 2020

soteco WINDLY WET vacuum cleaner repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman baru membaiki penyedut hampagas (vacuum cleaner) yang mengeluarkan bunyi bising bila dihidupkan.

soteco WINDLY WET

Jenama penyedut hampagas ini ialah soteco, model: WINDLY WET dan ianya boleh digunakan untuk menyedut dalam keadaan kering serta basah.

Made in italy

Sebelum dibuka untuk pemeriksaan, saya sempat mengujinya dan dari pendengaran saya bunyi tersebut adalah bunyi geseran dari bearing yang rosak.

Buka penutup atas...

Gambar-gambar di atas dan di bawah ialah langkah-langkah untuk mengeluarkan pam penyedut/motor supaya bearing yang rosak boleh diganti.

Keluarkan pam penyedut...

Bearing yang rosak ialah pada bahagian bawah motor dan ianya rosak akibat dibasahi oleh air. Mulakan dengan membuka penutup atasnya.

Buka kipas di belakang...

Setelah penyedut pam di keluarkan, mulakan dengan membuka kipas pada bahagian atas. Harus diingat, pusing kipas tersebut mengikut arah ikut jam untuk membukanya.

Buka skru bawah...

Seterusnya buka penutup pam penyedut di bawah dan jika dilihat pada gambar di atas dan di bawah, ianya telah berkarat teruk dan pecah ketika saya buka.

Buka lagi...

Setelah bahagian pam penyedut telah dibuka, umpilkan dua biji penutup getah seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Buka penutup skru...

Fungsi penutup getah tersebut ialah untuk mengelak skru daripada berkarat jika terkena air. Seterusnya buka kedua-dua skru tersebut untuk mengeluarkan motornya.

Buka skru...

Setelah motor dibuka barulah bearing yang rosak kelihatan dan boleh ditukar. Gambar di bawah menunjukkan bearing yang rosak telah saya gantikan dengan yang baru.

Gantikan bearing...

Pastikan anda membeli bearing yang berkualiti dengan penutup getah supaya tidak dimasuki air.

Bearing baru - NTN

Pastikan juga semua yang dipasang kembali betul dan skru harus diketatkan dengan kuat supaya tidak tertanggal bila digunakan.

Pasang kembali...

Klip video di bawah saya rakam ketika menguji penyedut hampagas setelah bearing telah siap ditukar.


Selamat mencuba...

Saturday, 21 November 2020

Primada PCR-1220 rotatable convection roaster repair

Ini merupakan 'air fryer' kedua yang dirujuk kepada saya untuk dibaiki. Jenama kali ini ialah Primada, Model: PCR-1220 dengan masalah tidak panas.

Primada Air Fryer

Ada yang mengelar alat memasak ini sebagai Halogen oven sebab elemen pemanasnya menggunakan tiub halogen namun jika dilihat dari segi fungsinya, ianya sama dengan 'air fryer' dan dilengkapi kipas di dalamnya. Jadi, saya anggap alat memasak ini juga merupakan salah satu jenis air fryer.

Model: PCR-1220

Jika dibandingkan dengan 'air fryer' yang pernah dirujuk kepada saya sebelum ini di sini, 'air fryer' ini sangat mudah (simple) dan tiada papan litar. Hanya 3 suis sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah dan selebihnya hanya sambungan wayar sahaja di adalamnya.


Banyak skru yang perlu dibuka sehingga tiub halogen dapat dikeluarkan untuk ditukar dengan yang baru. Jika tiub halogen tidak menyala walaupun suis suhu telah dilaras, kemungkinan besar tiub halogen rosak adalah sangat tinggi.

Halogen tube rosak...

Walaupun tiub halogennya kelihatan elok (tidak terbakar) namun bila diperiksa dengan menggunakan multimeter, tiada 'continuity' dan putus pada bahagian penyambung di antara wayar dan fileman seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.

Multimeter yang saya gunakan pada klip video di atas mempunyai fungsi 'NCV' atau 'Non-contact AC voltage detection'. Saya cuma perlu sambungkan salah satu wayar ke terminal 'live' dan periksa.

Buka sambungan wayar...

Ketika anda membeli tiub halogen yang baru, pastikan anda tahu saiz,voltan yang digunakan serta kuasanya (power). Saiz tiub halogen ini ialah 12.5cm, menggunakan bekalan elektrik voltan 220v/240v dengan kuasa 1200w.

Kiri: Baru, Kanan: Rosak

Jika anda membeli secara atas talian, pastikan anda tidak terbeli tiub halogen yang menggunakan voltan 120v untuk kegunaan negara eropah, Jepun dan lain-lain. Negara kita Malaysia menggunakan bekalan elektrik 220/240v.

Rintangan pemanas - 3.8Ω

Sekiranya voltan bekalan elektrik ialah 240v dan anda pasang tiub halogen 120v, ianya akan terbakar/putus serta merta bila diuji. Jika sebaliknya voltan bekalan elektrik ialah 120v dan anda pasang tiub halogen 240v, ianya tidak terang serta tidak cukup panas. 

Diameter - 12.5cm

Untuk pengetahuan semua, diameter tiub halogen sebenarnya juga menentukan kuasa (power) pada sesebuah 'air fryer' tersebut seperti berikut.

  • 8.5cm - 300w/400w
  • 10cm - 600w
  • 11cm - 750w/1000w
  • 12.5cm - 1200w
  • 14cm - 1200w/1300w
  • 15cm - 1300w

220v, 1200w

Kerja-kerja menukar tiub halogen harus dilakukan dengan berhati-hati sebab ianya diperbuat daripada kaca. Setelah siap kerja menukar tiub halogen, periksa semula semua sambungan bagi memastikan tiada litar pintas.

Pastikan sambungan elok...

Periksa rintangan pada plug 3-pin menggunakan multimeter dan bacaannya mesti hampir sama dengan rintangan tiub halogen.

Checking... 4Ω

Air fryer ini telah berjaya diselamatkan dan boleh berfungsi semula setelah dengan hanya menukarkkan elemen pemanas sahaja.

Tested - ok

Selamat mencuba...


Friday, 20 November 2020

Flashing light D104 (LED) repair

Hari ini saya dirujuk sepasang lampu indikator berwarna merah dan hijau umpama lampu trafik seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pemilik memberitahu saya lampu hijau tidak menyala dan meminta saya cuba untuk membaikinya. Menurut pemilik, lampu indikator tersebut dipasang pada dapur dan biasanya lampu hijau sahaja yang menyala. Lampu merah hanya akan menyala jika ada kecemasan dan ianya berkelip-kelip.

Setelah penutup dibuka...

Gambar di atas menunjukkan keadaan di dalam lampu indikator tersebut setelah penutupnya yang berwarna merah dan hijau telah saya buka.

Lampu hijau dilengkapi dengan 4 biji lampu LED sahaja yang disambung bersiri manakala lampu merah juga di lengkapi dengan 4 biji lampu LED yang disambung bersiri dengan beberpa biji komponen yang berfungsi sebagai suis supaya ianya akan berkelip-kelip.

Gantikan lampu LED yang rosak...

Oleh kerana lampu LED disambung secara bersiri, maka jika salah sebiji lampu LED rosak, kesemua lampu LED tidak akan menyala. Pemeriksaan menyeluruh mendapati sebiji LED hijau telah hangus dan telah saya labelkan pada gambar di atas.

Testing...

Lampu indikator tersebut telah berjaya diselamatkan dengan hanya menukarkan sebiji lampu LED sahaja. Saya gantikan dengan lampu LED berwarna putih seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Setelah diuji, ianya tetap berwarna hijau sebab penutupnya berwarna hijau.

Tested - ok
Selamat mencuba...