Saturday, 24 August 2019

TEKA EM/30 2-PT Stainless Steel Stove/Hob repair

Kali ini saya kongsikan cara bagaimana mengenalpasti masalah pemanas elektrik (stove) berjenama TEKA, Model: EM/30 2-PT dengan masalah litar pintas.
TEKA EM/30 2-PT
Pemilik memberitahu saya bahawa fius 13A pada plug 3-pin putus juga walaupun baru ditukar. Bila saya periksa 'continuity' pada plug 3-pin, litar pintasnya ialah pada terminal live (L) dan neutral (N).
Suis pelaras suhu
Setelah diperiksa, litar pintasnya ialah pada suis pelaras suhu dan untuk membaikinya kita harus membukanya untuk membuat pemeriksaan.
Bahagian belakang suis pelaras suhu
Cara membukanya amatlah mudah iaitu dengan mengumpil klip yang saya telah tandakan pada gambar di bawah.
Umpil klip yang bertanda di atas untuk membukanya...

Setelah suis pelaras suhu dibuka...
Gambar di atas dan di bawah merupakan keadaan di dalam suis tersebut setelah dibuka. Jelas kelihatan bahagian yang mengalami litar pintas telah saya tanda pada gambar di bawah dan berwarna hitam.
Litar pintas (shorted)
Setelah bahagian yang mengalami litar pintas saya buka, ianya tidak dapat dibaiki dan anda boleh melihatnya pada gambar di bawah. Jadi jalan terakhir ialah menukar suis tersebut dengan yang baru.
Setelah bahagian litar pintas dibuka...
Setelah suis yang baru di pasang, anda harus menguji terlebih dahulu sebelum membekalkan arus elektrik untuk menghidupkan pemanasnya. Gambar berikut adalah cara bagaimana memeriksa untuk memastikan kesemuanya berkeadaan baik.
Tiada 'continuity' - pada nombor 0
Anda cuma perlu mengukur rintangan di antara terminal live (L) dan terminal neutral (N) pada plug 3-pin. Tiada bacaan jika pelaras suhu pada nombor 0 dan setelah dilaras ke nombor 1 ianya mempunyai bacaan seperti boleh di lihat pada gambar di bawah.
331Ω - pada nombor 1

270Ω - pada nombor 2

180Ω - pada nombor 3
Secara amnya anda harus mendapat bacaan rintangan menurun dari nombor 1 sehingga nombor 6 seperti pada gambar-gambar di atas & di bawah.
90Ω - pada nombor 4
Periksa kedua-dua suis pelaras suhu dan setelah berpuas hati baru lah anda bekalkan arus elektrik untuk ujian terakhir bagi memastikan pemanasnya menghasilkan haba.
60Ω - pada nombor 5
Sekiranya anda tidak mendapat sebarang bacaan pada nombor tertentu bermaksud:-
  1. kemungkinan suis pelaras suhu rosak atau
  2. kemungkinan sebahagian pemanas telah rosak/putus dan harus diganti.
30Ω - pada nombor 6
Selamat mencuba.

Friday, 23 August 2019

Astro decoder repair (Brand: PHILIPS, Model: DSR4201/68)

Hari ini saya dirujuk sebuah decoder Astro lama berjenama PHILIPS, Model: DSR4201/68 dan anda boleh melihatnya seperti pada gambar di bawah.
PHILIPS DSR4201/68
Masalahnya ialah indikator tidak menyala walaupun arus elektrik telah dibekalkan. Gambar di bawah menunjukkan pandangan di dalam setelah penutup dibuka.
Setelah dibuka penutupnya...
Jika indicator tidak menyala, masalahnya ialah pada PSU (power supply unit) iaitu bahagian kiri pada gambar di atas. Gambar di bawah merupakan PSU yang telah saya buka dan dikeluarkan.
PSU (Power supply unit)
Setelah diperiksa, hanya sebiji kapasitor dengan nilai 68uF, 450v didapati rosak dan harus diganti. Kapasitor tersebut merupakan kapasitor utama pada PSU dan lokasinya ialah seperti yang saya tandakan pada gambar di atas.
Bacaan kapasitor lama 2.4nF sahaja...
Gambar di atas dan di bawah merupakan perbezaan bacaan pada kapasitor yang rosak/baru.
Bacaan kapasitor baru - 62.4uF
Setelah berpuas hati dan tiada kerosakan lain ditemui serta diuji, decoder tersebut kini kembali beroperasi seperti biasa.
Siap

Testing...

Testing...
Jika anda perlukan perkhidmatan membaiki decoder Astro, anda boleh berhubung dengan saya dengan mengisi 'contact form' pada bahagian atas sebelah kanan blog ini.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Thursday, 22 August 2019

Buah Dabai (Canarium Odontophyllum)

Buah dabai cuma boleh di jumpai di kepulauan Borneo dan merupakan buah yang bermusim. Biasanya buah dabai boleh didapati di pasaran ketika musim buah durian.
Buah dabai (Canarium odontophyllum)
Ianya berwarna ungu pekat dan menurut orang ramai makanan yang berwarna ungu mengandungi antioksidan yang tinggi. Jom detox dengan memakan buah dabai...
Campur gula pasir & kicap...
Terdapat berbagai-bagai cara penyediaan untuk memakan buah dabai:-
  1. Rendam dengan air suam sehingga lembut (10 - 15 minit)
  2. campur gula dan kicap, lepas itu jemur sehingga lembut (30 minit - sejam)
Gaul sehingga rata...
Sejak kecil lagi saya menggunakan cara ke-2 dan saya juga pernah menggunakan cara pertama namun ianya lebih sedap jika dijemur sahaja.
Jemur sehingga lembut...
Setelah isinya dimakan, isi biji buah dabai juga enak dimakan. Anda boleh menjemur bijinya supaya boleh disimpan lama dan dimakan bila-bila masa.
Biji buah dabai...
Untuk mendapatkan isi biji buah dabai, anda perlu belah menggunakan parang.
Belah guna parang..
Gambar berikut merupakan rupa biji dabai setelah dibelah dan rasanya adalah seperti pastachio yang boleh dibeli di pasaraya.
Isinya biji dabai juga boleh dimakan...
Gambar di bawah merupakan perbezaan warna biji dabai jika anda merendam dengan air suam dan menjemurnya sehingga lembut untuk dimakan.

Kiri - rendam dengan air suam, Kanan - jemur sehingga lembut
Selamat mencuba...

Wednesday, 21 August 2019

Carrier aircon mainboard repair - CE-KFR32GW/I1Y(s)

Hari ini saya kongsikan pengalaman membaiki papan litar penghawa dingin Carrier dengan nombor rujukan CE-KFR32GW/I1Y(S).
CE-KFR32GW/I1Y(S)
Masalahnya ketika dirujuk kepada saya ialah kipas (blower) tidak berputar. Papan litarnya amat mudah dan setelah diperiksa menyeluruh hanya sebiji kapasitor 1.2uF seperti yang boleh dilihat pada gambar di bawah harus diganti.
Kapasitor 1.2uF perlu diganti...
Saya pernah membaiki papan litar penghawa dingin berjenama YORK dengan masalah yang sama dan anda boleh membacanya di sini. Cara membaikinya juga sama iaitu menukar kapasitor sahaja.
Bacaan kapasitor lama cuma 0.145uF sahaja
Selamat mencuba...

Tuesday, 20 August 2019

DIY membuka brek belakang Perodua Kelisa

Minggu lepas saya telah menukar 'brake pad' hadapan kereta saya dan anda boleh membacanya di sini. Setiap kali selepas menukar 'brake pad' hadapan saya akan periksa brek belakang juga.
'Brake shoe' yang baru - RM50.00
Hari ini saya kongsikan pula cara bagaimana membuka serta memeriksa 'brake shoe' belakang. 'Brake shoe' pada gambar di atas dan di bawah telah saya beli pada tahun 2012 dan sehingga kini masih belum digunakan atas sebab setiap kali saya periksa, ianya masih elok.
Saya beli pada tahun 2012 (tak tukar-tukar lagi...)
Ini merupakan kali ke-4 saya buka brek belakang kereta saya sejak di beli dan mari kita lihat samada perlu ditukar atau tidak.
Longgarkan 'nut' dahulu sebelum jek tayar belakang...
Cara-cara membukanya anda boleh lihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah. Untuk makluman semua, saya tidak pernah menghantar kereta saya untuk menukar 'brake pad' sebelum ini dan kesemuanya saya buat sendiri.
Pilih tempat yang sesuai untuk jek tayar belakang...

Setelah tayar di keluarkan...

Buka penutup ini dengan pemutar skru...

Setelah penutup 'nut' di buka...

Buka pin keselamatan...

Buka 'nut' dengan spanar cincin bersaiz 19...
Setelah dibuka dan diperiksa, 'brake shoe' masih tebal dan tidak perlu di tukar. Walupun telah 4 kali saya menukar 'brake pad' hadapan, namun 'brake shoe' di belakang masih elok setelah 13 tahun digunakan.
Keluarkan 'brake drum'
Oleh kerana telah dibuka dan 'brake shoe' masih elok, jadi saya cuma bersihkan habuk di dalamnya dan pasang kembali kesemua yang telah dibuka di atas.
Dah 13 tahun dan brake shoe masih boleh digunakan...
Ada yang mengatakan bahawa brek belakang hanya berfungsi sebanyak 20% sahaja berbanding brek hadapan, jadi brek belakang hanya perlu diganti setelah brek hadapan ditukar sebanyak 5 kali. Sehingga itu, kena tunggu dalam 4 - 5 tahun lagi baru saya akan kongsikan cara menukar 'brake shoe' belakang secara menyeluruh...
Perbezaan 'brake shoe' lama dan baru...
Selamat mencuba...

Monday, 19 August 2019

Kingfisher Stainless Steel Chimney Cooker Hood repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah 'cooker hood' atau juga dikenali sebagai 'exhaust hood' dengan masalah kipasnya tidak berfungsi.
Jenama: Kingfisher
Jika kipas tidak berpusing, majoriti masalahnya pada kapasitor dan anda boleh melihat kapasitor yang digunakan adalah seperti pada gambar di bawah.
Kapasitor yang rosak...
Jika dilihat pada gambar di atas, nilai kapasitor yang digunakan ialah 2uF/2uF (2YB/2YB) yang bermaksud terdapat dua biji kapasitor didalamnya dan nilai setiap satu ialah 2uF.
208nF sahaja... (sepatutnya 2uF)
Gambar di atas dan di bawah menunjukkan dua bacaan yang berbeza seterusnya mengesahkan bahawa di dalamnya terdiri daripada 2 biji kapasitor.
56pF sahaja... (sepatutnya 2uF)
Jadi pemilihan kapasitor amatlah penting dan gambar di bawah menunjukkan kapasitor yang serupa tetapi tidak sama sebab kapasitor di sebelah kanan hanya sebiji sahaja walaupun mempunyai 4 terminal.
Kapasitor serupa tetapi tak sama...
Untuk memastikan bahawa kapasitor sebelah kanan hanya sebiji, anda cuma perlu ukur 'continuity' pada kedua-dua terminal kiri serta kanannya. Jika ada 'continuity' bermaksud hanya sebiji sahaja kapasitor di dalamnya.
Gantikan dengan 2 biji kapasitor...
Jika anda tidak dapat alat ganti yang sama, anda boleh menyambungkan dua biji kapasitor dengan nilai 2uF setiap satu seperti gambar di bawah.
Siap...
Setelah kapasitor tersebut saya tukar dengan 2 biji kapasitor yang baru dan diuji, 'cooker hood' tersebut kini kembali beroperasi seperti biasa. Jika anda lihat pada gambar di bawah, ianya dilengkapi dengan 2 buah kipas dan sudah tentu ia memerlukan dua biji kapasitor.
Tested - ok
Selamat mencuba...