Sunday, 8 August 2021

Hikayat matawang crypto

Artikel ini saya salin & tanpal (copy & paste) dari laman sosial facebook dan rasanya ini adalah pencerahan yang paling mudah difahamkan tentang matawang crypto.
 
Konsepnya lebih kurang seperti skim cepat kaya pak man telo di negara kita suatu ketika dahulu.

Skim cepat kaya ala MLM (multi level marketing) ini telah lama menipu orang ramai di seluruh pelusuk dunia. Perbezaannya ialah pelaburan matawang crypto ini kelihatan lebih stabil setelah belajar dari kesilapan sebelumnya.

Contoh pengalaman lepas ialah pelaburan minyak dan gas (oil & gas) suatu ketika dahulu dan ramai rakan saya juga turut tertipu. Apa yang mereka lakukan ialah siap ada laman sesawang dan boleh buka akaun sendiri seperti syarikat perbankan. Pada mulanya pulangan diberikan seperti dijanjikan namun berakhir dengan laman sesawang turut lenyap.

Jika pelabur sempat mengeluarkan kesemua pelaburan sebelum lenyap, mereka beruntung. Majoriti menambahkan pelaburan setelah mendapat pulangan pertama dan kehilangan kesemuanya selepas itu.

Pelaburan crypto ini siap boleh dilombong secara digital dan ramai melakukannya secara haram dengan mencuri tenaga elektrik.

Jika benar menguntungkan, kenapa perlu mencuri elektrik? Lombong digital yang dicipta sebagai 'dummy' seolah-olah ada kerja-kerja pelombongan untuk mengaburi mata pelabur.

Selain melabur dengan membeli matawang crypto, mereka juga boleh memilih untuk membeli mesin lombong digital dan melombong secara digital serta menunggu pulangan. Keuntungan bergantung kepada jumlah mesin yang ada.

Sejak kebelakangan ini saya banyak menerima panggilan dari luar negara memujuk saya melabur matawang crypto. Saya tidak berminat sebab dari dulu, kini dan selamanya ia ada 'scam' pada pandangan saya.

Ini logik saya, jika benar menguntungkan, kenapa perlu pujuk kita untuk melabur. Jika anda ada ayam yang bertelur emas, adakan anda akan kongsikan dengan orang ramai?

Bank bagi faedah kepada penyimpan sebab mereka gunakan wang simpanan kita untuk menjana pendapatan dengan memberi pinjaman dan mengenakan faedah kepada peminjam. Itu pun faedah diberikan tak sampai 2% setahun sekarang.

Saya tidak pernah menyokong perniagaan berkonsepkan MLM seperti amway, cosway dan sebagainya sebab ia menyebabkan harga barangan menjadi mahal akibat perlu memberi komisen kepada setiap peringkat ahlinya.

Apa pun, ini cuma pandangan pribadi saya sahaja. Jika anda tidak sependapat dengan saya, sila 'invest at your own risk'.

Selamat membaca ilustrasi hikayat matawang crypto di bawah.

Pada tahun 2009, seorang lelaki bernama Satoshi datang ke sebuah kampung.

Dia menawarkan untuk membeli daun ketum pada harga RM10 sehelai. Penduduk kampung cuma ketawakan Satoshi.

Keesokkan harinya Satoshi datang semula ke kampung itu dan menawarkan untuk membeli daun ketum pada harga RM50 sehelai, penduduk kampung menggelar Satoshi sebagai 'gila'.

Akan tetapi selang beberapa hari Satoshi datang lagi dan menawarkan untuk membeli daun ketum pada harga RM100 pula sehelai.

Dan pada masa ini penduduk kampung mula menjadi rambang mata dan menjual daun ketum kepada Satoshi dgn harga RM100 sehelai.

Penduduk kampung masa tu dah berasa untung kerana dapat menjual sehelai daun ketum pada harga RM100.

Tidak lama lepas itu Satoshi datang lagi ke kampung itu dan menawarkan RM200 pula untuk sehelai daun ketum.

Penduduk kampung pula sudah menjadi gila, mereka mencari semua daun ketum yg ada dan menjualkan semuanya kepada Satoshi.

Berita tentang Satoshi dan daun ketum ini cepat tersebar ke kampung2 jiran sebelah dan mereka semua menunggu semula kedatangan Satoshi.

Seperti dijangka, Satoshi datang dan kali ini menawarkan harga RM500 pula.
Maka.. bermulalah sebuah legasi Satoshi Ketum.

Orang ramai mula mencari ketum, mereka sanggup menjual beli daun ketum sesama mereka pada harga RM700 hingga RM1000 sehelai dan menunggu untuk Satoshi datang membelinya pada harga yg lebih tinggi.

Satoshi datang lagi. Kali ini menawarkan pula harga RM5000 untuk sehelai daun ketum.
Makin bertambah gila dan rambang mata semua orang dgn sistem Satoshi Ketum.

Mereka sangat untung besar. Dan sampai satu masa semua penduduk kampung itu mula menjual beli daun ketum dgn harga yg tinggi.
Ada yg sanggup membeli dgn harga RM10,000 sehelai kerana mereka tahu Satoshi pasti akan datang membeli semula dgn harga yg lebih tinggi.

Akhirnya dari sebuah kampung tersebar cerita Satoshi Ketum ke seluruh dunia.

Kini dunia mula mengiktiraf ketum sebagai satu aset yg sangat tinggi nilainya.

Kini semua orang membeli sehelai daun ketum dengan harga RM20,000 sehelai kerana mereka tahu Satoshi akan membelinya semula dengan harga tinggi. 

Seperti dijangka, Satoshi datang semula ke kampung itu yg sekarang dikenali sebagai kampung KetumCoin, dan Satoshi membelinya pada harga RM50,000 sehelai.

Penduduk kampung KetumCoin dah mula sedar, harga ketum akan terus naik dan tidak akan jatuh.

Mereka mula mencari dan menyimpan daun ketum. Mereka sanggup membelinya pada harga tinggi yg sukar diterima akal kerana mereka fikir, mereka boleh menggandakan wang mereka sekelip mata dgn menjualkannya kepada Satoshi Ketum.

Sehingga pada satu hari Satoshi datang dan membeli sehelai daun ketum pada harga RM100,000.

Penduduk KetumCoin mulai gila dan obses dgn ketum. Mereka hidup menjadi kaya hanya dengan menyimpan dan menjual daun ketum.

Pada satu hari.. tahun 2017, seorang lelaki bernama Ihsotas datang ke kampung KetumCoin dan mempunyai berpuluh-puluh ribu helai daun ketum untuk dijual kepada penduduk kampung KetumCoin.

Ihsotas menjual semua daun ketum miliknya pada harga RM150,000 sehelai.
Penduduk kampung KetumCoin membeli semua daun ketum dari Ihsotas walapun harganya RM150,000 sehelai kerana mereka tahu Satoshi akan membelinya semula pada harga RM200,000 sehelai satu hari nanti.

Ihsotas keluar dari kampung KetumCoin dengan membawa pulang RM berbillion billion hasil jualan berpuluh ribu helai daun ketum miliknya.

Sekarang penduduk kampung KetumCoin sangat gembira dan menantikan kedatangan Satoshi untuk membeli daun ketum milik mereka pada harga mungkin RM200,000 sehelai.

Tetapi.. hari demi hari berlalu, Satoshi tidak datang ke kampung KetumCoin lagi.
Penduduk kampung KetumCoin kini menyimpan berpuluh puluh ribu daun ketum yg dulu di beli dgn harga RM150,000 sehelai.
Dengan tiada Satoshi atau sesiapa yg membelinya, daun ketum hanyalah daun ketum.

Akhirnya penduduk kampung KetumCoin cuma ada daun ketum yg tiada nilai lagi.

Dan mereka juga baru sedar, Satoshi dan Ihsotas adalah orang yg sama.
Dia bijak mencipta trend dan manipulasi KetumCoin yg mana pada akhirnya hanya dia yg merasa keuntungan terakhir.

Akhir cerita, penduduk kampung KetumCoin kini menjadi murung dan mulakan hobi baru mereka dgn menghisap gam.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.